Monday, April 4, 2011

LARA DI HATI BAB 7

Gambar hiasan dari: keluargakusayang.blogspot.com

Assalamualaikum, terima kasih kepada yang sudi membaca. Maaf kerana lambat meletakkan sambungan. Seperti biasa, bila ada clue permintaan supaya disambung barulah saya publishkan. Ulasan Kak Intan dalam FB, mendorong saya meletakkan sambungan. Semakin lama, semakin berterabur susunan ayatnya...


Bab 7. Kemudi patah, perahu tumbu (Malang yang datang bertubi-tubi)

Peperiksaan SPM tinggal tiga minggu saja lagi. Masalah yang melanda keluarga benar-benar menjejaskan tumpuannya terhadap pelajaran. Walaupun menerima kenyataan yang ibu dan bapanya bakal berpisah, tetapi hakikatnya hati Alia tidak merelakan.

Alia ialah salah seorang pengawas sekolah. Sebelum ini, dia seorang cergas dan petah. Jika ada pertandingan debat atau kuiz, dialah dipilih gurunya untuk menyertai. Setiap kali bertanding, Alia sering muncul johan. Dan dialah yang sering membawa kemenangan kepada kumpulannya. Alia juga kerap mewakili sekolah jika ada pertandingan di peringkat daerah. Setiap kali menang, dia akan mengharumkan nama sekolah dan diberikan pujian oleh guru. Apabila Alia dilanda masalah, guru-guru menjadi risau, sementelah dengan keadaannya yang sering tidak sedarkan diri.

“Sejak Alia sakit ni, rasa tak bestlah, kan Mawar? Kumpulan kita pun dah tak aktif lagi. Belajar pun sendiri-sendiri,” kata Shila kepada Mawar sewaktu dalam perjalanan ke kelas prep. Di bahunya tersandang beg galas dan di tangan kanannya mengelek sebuah kamus.

“Yalah, semasa Alia sihat dulu, dia sering bantu kita kalau kita tidak faham. Sekarang diri dia sendiri pun dah tak menentu,” jawab Mawar sambil berjalan beriringan dengan Shila.

“Sekarang ini, nak duduk dekat dia pun dah tak berani. Dahlah suka bersendiri, kadang-kadang bercakap seorang-seorang. Tak macam dulu. Yang aku tak tahan, bila dia tiba-tiba menjerit dan kemudian pengsan,” balas Shila.

Shila dan Mawar adalah kawan baik Alia. Selalunya mereka berada dalam satu kumpulan sama ada sewaktu belajar, mengendalikan projek sekolah mahupun ketika menyertai apa-apa pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Sampai di muka pintu kelas prep, Shila dan Mawar terus melangkah masuk dan menuju ke tempat duduk mereka. Alia sedang tekun menelaah pelajaran Biologi di satu sudut. Kawan-kawan lain juga sibuk menatap buku masing-masing. Tempat duduk Shila dan Mawar di barisan belakang Alia.

Hari itu, mereka belajar sendiri-sendiri. Sesekali, mata Shila menjeling ke arah Alia. Dia fobia melihat keadaan kawannya itu, bimbang penyakit misterinya berulang. Baru saja Shila mengalihkan pandangan kepada buku yang dipegangnya, tiba-tiba saja Alia tersentak. Dia ternampak satu lembaga yang tiba-tiba muncul, melanggar mukanya. Serentak itu, Alia bertempik. Sekali gus tubuhnya bergegar dan matanya terjegil. Rakan-rakannya terkejut dan panik. Saat itu kepala Alia terasa tersangat sakit dan persekitaran berpusing 360 darjah. Dinding, kerusi, meja dan apa sahaja di dalam bilik itu kelihatan turut berputar. Matanya semakin berpinar, dia memegang kuat penyandar kerusi. Namun putaran yang dirasai terlalu kuat, menyebabkan dia meraung lagi sekuat hati.

Mawar berkejar ke tempat Alia. Tanpa di sengaja dia terpandang mata Alia yang terbeliak. Alia merenung liar mata Mawar dan sepantas itu juga Mawar turut menjerit. Saat itu juga Alia rebah. Seluruh bilik prep menjadi kalut. Keadaan seperti itu kemudiannya menjadi rutin bagi Alia. Pelbagai cara dilakukan oleh guru-gurunya untuk membantu. Kaunseling demi kaunseling diberikan kepadanya. Sudah beberapa kali dibawa berjumpa doktor dan berubat cara tradisional, tetapi tidak juga berkesan. Sharifah Ameera sudah beberapa kali membawanya mendapatkan rawatan. Dia hairan kenapa tiba-tiba Alia jadi begitu. Malah dia sendiri mengesan ada sesuatu yang tidak kena pada keluarganya. Sejak akhir-akhir ini kepala dan dadanya juga sering sakit. Pernah juga pergi berjumpa doktor tetapi selepas diperiksa, doktor memberitahunya yang dia bebas daripada sebarang penyakit. Begitu juga dengan Alia.

Di sekolah, Alia langsung tidak mahu duduk berdekatan Mawar. Melihat Mawar, dia terus berpaling ke arah lain seperti nampak hantu. Sewaktu Mawar sedang membaca di atas katil suatu hari, Alia nampak ada seorang perempuan berambut panjang di sebelah kawannya itu. Perempuan itu membelai-belai rambut Mawar yang sedang tunduk membaca. Apabila Mawar berpaling ke arah Alia, perempuan berambut panjang itu tiba-tiba saja beralih ke sisinya. Alia mengangkat muka dan tergamam. Muka perempuan itu kosong! Alia ketakutan.

“Tolooonnnggg... pergi, pergi pergi!” Jerit Alia, terketar-ketar. Dia tidak dapat mengawal dirinya daripada terus menjerit sekuat hati, sehingga mengejutkan seluruh penghuni dorm. Alia hanya dapat ditenangkan oleh Ustazah Zainab, setelah disapukan `air tawar’ ke mukanya. Setiap kali selepas menerima kejutan seperti itu, Alia akan diserang demam selama berhari-hari.

“Alia, aku tak nak dekat dengan kau, lebih baik duduk jauh-jauh daripada aku. Aku takut penyakit kau berjangkit pula pada aku,” ujar Mawar setiap kali Alia cuba mendekatinya.

“Aku pun takut nak duduk dekat dengan kau. Kalau aku beritahu, tentu kau tak percaya. Benda yang ada pada kau itu yang mengacau aku selalu.” Alia memberitahu Mawar.

Terbeliak biji mata Mawar mendengar kata-kata Alia. “Apa yang kau kata ni Alia… Kau nak kata aku ni ada hantukah?” Marah Mawar.

“Aku tak kata begitu…Aku cuma beritahu apa yang aku nampak.” Jawab Alia.

“Tolonglah, jangan nak bawa mulut pula. Datuk nenek aku tak ada yang mengamalkan ilmu songsang tau? Aku rasa kaulah pembawa masalah di sini.” Sanggah Mawar, marah.

“Kenapa pula tuduh aku… sebenarnya aku yang jadi mangsa. Agaknya kau dengki kat aku tak? Kau buat aku jadi begini, sampai tak boleh nak belajar?” Tekaan Alia membuatkan Mawar lebih marah.

“Sudahlah. Aku tak nak kawan dengan kau lagi. Pergi, pergi!” jerit Mawar. Dia tidak mahu lagi bertegang leher dengan Alia. Dia bimbang Alia akan menjaja cerita itu kepada orang lain.

“Kau tak percaya kepada aku? Tak percaya apa yang aku nampak?” Alia cuba bertegas.

“Aku ingatkan kau Alia, jangan reka-reka cerita seperti ini lagi. Kau tak ada bukti nak tuduh aku begitu. Aku ni kawan baik kau, tak mungkin aku nak pengapakan kau?”

Selepas pertikaman lidah itu, perhubungan Mawar dan Alia semakin renggang. Masing-masing curiga di antara satu sama lain. Namun Alia bernasib baik kerana Ustazah Zainab tidak putus asa memberi semangat kepadanya. Ustazah Zainab tahu yang Alia adalah seorang pelajar yang pintar. Dia sangat terkilan di atas apa yang berlaku pada anak muridnya itu.

“Alia, SPM sudah semakin dekat,” Nasihat Ustazah Zainab dalam sesi pertemuan, bertentangan mata dengan Alia. Itu adalah jadual rutin mingguan untuk memantau dan menaikkan semangat mereka yang akan menghadapi SPM. Kini giliran Alia. Banyak nasihatnya kepada Alia lantaran dia paling kerap menimbulkan masalah di sekolah sejak akhir-akhir itu.

“Kamu rajin-rajinlah solat dan berdoa. Jangan putus baca ayat Qursi dan Yaasin, supaya hati kamu lebih tenang. Setiap kali kamu dirujuk ke hospital, doktor kata kamu tekanan perasaan. Tak apalah, tapi kamu jangan lupa amalkan baca ayat-ayat penenang yang Uztazah beri hari tu,” pesan Ustazah Zainab. Semalam, selepas sesi membaca Quran, nasihat itu juga diberikan oleh Uztazah Zainab kepada Alia. Alia sekadar boleh menganggguk. Apa yang berlaku ke atas dirinya, dia sendiri kurang mengerti.

Di sekolah, kawan-kawan dan guru sudah mulai cuak dengan Alia yang kerap histeria. Mereka menuduh Alia berlakon sakit. Alia semakin marah apabila dituduh begitu. Kawan-kawan sudah hilang kepercayaan terhadapnya, malah dia dianggap pencetus kecoh di sekolah. Kini semua pelajar sibuk membuat persediaan untuk SPM yang semakin hampir. Tiada siapa yang mahu ambil tahu pasal Alia lagi. Kerana itu dia kerap bersendiri. Alia semakin tertekan. Mujur dia dapat menggagahkan diri untuk terus belajar sebagai persediaan menduduki SPM.

Selesai satu ujian, Alia masuk ke bilik bacaan. Hari itu fikirannya tenang sedikit. Dia mencapai senaskhah akhbar lalu membelek helaian muka suratnya, satu persatu. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada satu tajuk, mengenai kejadian histeria di sekolah. Rencana Harakahdaily itu melaporkan perihal histeria, fenomena yang kerap berlaku di sekolah berasrama.

Matanya tekun membaca baris demi baris ayat yang tertulis. “Ada beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala histeria yang bermaksud kejadian rasuk akibat gangguan makhlus halus.”

Cuba memahami dan mencari penyelesaian masalahnya, Alia memeruskan bacaan. “Petua untuk menghindarinya daripada terus berulang di kalangan pelajar sekolah berasrama dan orang awam adalah dengan mengamalkan Muawizat. Muawizat adalah surah-surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari, baik sebelah pagi atau pada sebelah malam. Hadis sahih Rasulullah SAW pula menyebut ayatul Qursi juga perlu dibaca berterusan bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.” Seakan sama seperti yang diajar Ustazah Zainab, bisik hati Alia.

Pengamal rawatan secara Islam, Dato' Dr Haron Din pula mengulas dalam rencana itu, beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan pelajar adalah kerana berlaku breakdown pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang keterlaluan ditambah masalah lain di samping kelemahan seseorang dan mengalami emosi ketakutan yang amat sangat sehingga memudahkan gejala diserang gangguan makhluk halus sehingga terjadinya histeria. Fenomena itu tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama. sekolah biasa atau berasrama penuh, bahkan banyak juga terjadi di kilang-kilang serta tempat tumpuan orang. Mengutip saranan daripada bahan bacaan itu, Alia cuba mengamalkan beberapa petua yang diberi. Berkat amalan membaca doa dan ayat pendiding, Alia berjaya menenangkan dirinya. Air doa yang diberi Uztazah dan seorang Tuk Guru, tidak lupa diminum setiap hari. Sepanjang tiga minggu menduduki SPM, dia tidak pernah pengsan. Namun sesekali kepalanya berdenyut-denyut, sakit yang teramat sangat. Alia menggagahkan diri untuk menyelesaikan peperiksaannya. Apabila SPM selesai, dia berasa amat lega. Alia menadah tangan mengucapkan seribu syukur. Esoknya Sharifah Ameera datang menjemput Alia di asrama.

“Macam mana, boleh jawab tak?” Soal Sharifah Ameera sewaktu dalam perjalanan pulang dengan kereta, dari asrama ke rumah.

“Tak tahulah mak, Alia dah cuba sedaya upaya. Terserahlah pada takdir. Alia pun tak berharap sangat dah.”

“Tak apalah. Tak usah fikir lagi. Kita berdoa sajalah,” Sharifah Ameera memujuk Alia.

“Mak, kenapa Alia jadi begini, mungkin kerana penyakit keturunan yang kita tak tahu,” Alia cuba serkap jarang.

“Itu ujian. Ujian daripada Allah SWT. Bersabarlah.” Sharifah Ameera memahami apa yang dialami oleh anak itu. Dia pun tidak meletakkan kesalahan pada Alia. Kerana dia sendiri merasai sesuatu yang pelik berlaku ke atas dirinya sejak akhir-akhir itu. Mungkin penyakit misteri yang dialami oleh dia dan Syawal sejak 10 tahun lalu, sudah berjangkit kepada Alia pula. Sharifah Ameera benar-benar bimbang. Dia kuat mengesyaki ada orang mengkhianatinya, menyebabkan dia dan Syawal tidak dapat bersama. Kenapalah nasibku sentiasa malang. Apakah sebabnya aku jadi begini. Ya Allah, bilakah derita ini akan hilang, keluh Sharifah Ameera. Dia tidak pernah bercerita kepada anak-anaknya mengenai kejadian silam yang menimpa dirinya dan Syawal. Ketika itu mereka baru berkahwin. Pelbagai dugaan dihadapi mereka. Kalau boleh, Sharifah Ameera ingin menutup bab itu. Bab mengenai masalah peribadi di antara dia dan Syawal yang menyebabkan mereka asyik pergi berubat.

“Ada orang dengkikan kamu suami isteri. Orangnya gempal, rendah dan berkulit cerah. Dia lelaki, berusia hampir sama dengan tuan. Seorang lagi perempuan. Kurus, berkulit sawo matang dan berusia lebih separuh abad,” kata salah seorang pengamal perubatan tradisional yang dijumpai Sharifah Ameera dan Syawal di Kuala Selangor. Pengamal perubatan itu menerangkan secara terperinci watak dua insan yang disyaki menjadi duri dalam daging pasangan itu.

“Boleh bagi tahu nama mereka?” Sharifah Ameera menyoal. Dia tidak mahu berteka-teki. Kalau boleh biarlah dia tahu secara pasti siapakah yang zalim sanggup menganiaya dia dan suaminya.

“Maaflah, tak boleh sebut nama,” kata Tuk Itam sambil matanya memandang jauh ke satu hala.

“Tuk, kami pun tak mau tau siapa yang buat aniaya pada kami. Apa yang kami hendak agar kami pulih dan boleh hidup aman dan damai,” ujar Syawal sambil memandang Sharifah Ameera dengan penuh mesra. Jelas, Syawal amat menyayangi isterinya. Ketika itu Sharifah Ameera dan Syawal gemar berjumpa bomoh. Namun penyakitnya tidak pernah hilang, bahkan kerap berulang, menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada bomoh. Ketika itu mereka tabah menghadapi dugaan dan tidak pernah berputus asa pergi berubat.

No comments:

Post a Comment