Thursday, November 26, 2009

Hadiah daripada sebuah kerajinan!

Assalamualaikum.

Khamis: 26 November 2009.

Esok Hari Raya Aidil Adha. Saat orang sudah berada di kampung, saya masih menunggu detik 6.00 petang. Belum boleh pulang lantaran terlewat hantar borang, permohonan cuti saya ditolak untuk hari ini. Jadi kenalah saya datang bekerja. Semuanya kerana saya terlalu asyik memikirkan soal kerja-soal rencana-rencana dan lay out yang perlu disiapkan sebelum saya pulang, hingga saya alpa untuk mengisi borang cuti.

Saya sedia maklum, memohon cuti di saat akhir memang akan ditolak. Tidak mengapa. Yang penting sebahagian besar kerja saya sudah diatur dan ada yang sudah dihantar. Banyak yang perlu saya bereskan. Soal raya adalah perkara kedua... itu prinsip yang ditanam oleh pihak pengurusan. Dan sebagai pekerja, kita perlu akur. Sebagai orang lama, soal cuti tidak diluluskan itu adalah `small matter'. Saya tidak boleh memohon cuti lebih awal, kerana saya mesti tengok keadaan kerja, sama ada sudah beres atau tidak.. kalau semua beres atau hampir beres, barulah saya berani untuk memohon cuti.

Namun saya kesian kepada rakan saya itu. Dia bertungkus lumus menyiapkan kerja dan dia juga alpa untuk mengisi borang. Makanya terkejut besar dia kerana cutinya juga tidak dilulus untuk hanya sehari. Akhirnya dia memilih untuk cuti tanpa gaji. Sudah pulang dia ke Johor Baharu. Diharap dia dapat melupakan segala yang terkilan di hati dan dapat menyambut raya dengan gembira bersama ahli keluarga. Kepada dia, saya ingatkan lain kali, hantarlah borang cuti lebih awal. Kalau saya sendiri, tidak mengapa kerana sudah bersedia permohonan cuti akan ditolak. Pun begitu saya bersyukur, kerana sepanjang minggu depan, saya dapat cuti.

Satu masalah pada diri ini, biarpun cuti hati tidak pernah berasa selesa kerana asyik teringat soal kerja dan kerja yang tidak pernah habis-habis. Maka mulalah saya menggunakan waktu cuti untuk membuat kerja ofis di rumah. Melangkah ke mana sahaja, saya akan teringat apa yang belum siap, apa yang sudah siap. Begitulah diri saya, dari dulu sampai sekarang. Tapi kalau kawan saya yang seorang itu selalu mengaku begini, "saya kalau cuti, tak ingat langsung fasal hal ofis." Saya harap saya boleh bersikap begitu. Mungkin saya kena menuntut daripadanya bagaimana untuk melupakan hal-hal yang tidak sepatutnya saya ingat sewaktu bercuti.

Nota: Hapuskan rasa terkilan dan sakit hati, bersabar selagi kita boleh bersabar... kerana Allah SWT sentiasa bersama kita... Dia lebih memahami apa yang terdetik di dalam kalbu setiap makhluknya. Dia menilai dan merekod setiap kesabaran kita.


Selamat Hari Raya Aidil Adha, Maaf Zahir Batin.

Monday, November 23, 2009

Perihal Irfan Kamil...

Irfan Kamil bercita-cita nak masuk sekolah tahfiz sains.
"Kamil nak belajar quran dan nak juga belajar sains tekonologi macam abang. Kalau jadi doktor, nanti gelaran Kamil... Dr Irfan Kamil Al Hafiz, kalau jadi juruterbang... orang panggil Kamil, Kapten Irfan Kamil Al Hafiz." Saya tersenyum sendiri mendengar ayat angan-angan Kamil, sewaktu duduk mengadap komputer main game. Waktu kanak-kanak, suka-suka hati saja berangan, tak tahu bukan senang nak ke arah itu. Kalau asyik main game, macam mana? Bisik hati saya...



MINGGU lepas dan minggu ini sibuk sikit. Tension memikirkan ke mana nak hantar Irfan Kamil sambung pelajaran. Hantar permohonan ke sana sini. Baru nak naik tingkatan satu. Itu pun dah pening.

Hajat di hati nak masukkan dia ke sekolah agama tahfiz tetapi nakkan tahfiz sains. Biarlah kedua-dua ilmu ada. Masalahnya tak banyak sekolah agama tahfiz sains. Tapi saya lupa, tingkatan satu mana ada aliran sains , sastera, akaun dan sebagainya lagi. Baik sekolah sains, MRSM atau sekolah biasa, sewaktu tingkatan satu hingga tiga, belajar subjek hampir sama, melainkan sekolah agama penuh dan tahfiz.

Kenapa saya nak sangat pilih sekolah agama atau tahfiz, sebabnya dah tak percaya dengan sekolah menengah biasa dan sekolah berasrama penuh bukan agama. Terutama bagi budak lelaki. Anak yang baik di rumah, apabila masuk asrama mudah terpengaruh. Hisap rokok, panjat siling, lompat pagar, perkara lumrah. Ini berdasarkan cerita dan pengalaman si abang, Irfan Izzat (yang belajar di MRSM), sepupu dia dan beberapa lagi kisah pelajar lain yang pernah saya dengar. Sekolah agama sekali pun, silap-silap boleh juga terpengaruh dengan gejala ini.

Syukur dan seribu rahmat bagi yang berjaya mengelakkan diri daripada semua kegiatan tidak baik itu.

Atas alasan di atas, saya sebenarnya serik dah nak hantar anak ke sekolah berasrama penuh (bukan agama) dan MRSM.

Peri hal Irfan Kamil - walaupun sikit-sikit mengharap, sebenarnya tak agak pun dia boleh dapat 5A. Tak membaca, asyik main game. Sebelum exam (pada musim H1H1) , dia demam. Melepek tak makan hingga kurus kering, tinggal tulang. Hampir dua minggu tak pergi sekolah. Seminggu sebelum exam baru sembuh, dan dapat sambung tuisyen.

Paling senak perut, apabila di asyik beri tumpuan pada pelajaran sekolah agama. Waktu exam UPSR dan PSRA pula selang seminggu sahaja. Gila bisik hati saya.. macam mana nak bahagikan masa. Guru sekolah agama pula, lebih kuat mempengaruhi mindanya. Sewaktu tuisyen UPSR giat diadakan, tuisyen untuk PSRA juga sama kuatnya. Bila bertindih waktu, Kamil pilih tuisyen sekolah agama. Risau betul saya. Sedangkan UPSR pun penting. Saya bingung dan tawakkal saja bagi pihak Kamil.

Apabila keputusan keluar, Alhamdulillah kedua-duanya seimbang dan membolehkan dia memohon ke sekolah agama, aliran agama atau tahfiz kategori atas.

"Keputusan Kamil (4A 1B) ni tak ada masalah. PSRA nya baik. Ada budak dapat cemerlang PSRA tapi UPSR 2A saja. Susahlah sikit. Kamil seimbang, lagi pun dia lelaki.. peratus syarat untuk masuk lebih rendah daripada perempuan," ujar guru besar sekolah agamanya.

Mendengarkan kata-kata guru besar itu, lega sikit hati saya. Apa-apa pun saya tadah tangan, syukur dan memohon yang terbaik daripada yang Maha Esa.

Friday, November 13, 2009

Lunch bersama kawan lama...

Hari ini berjumpa dengan rakan lama, jurureka dalaman June Yap. Dia belanja makan team Anjung Seri. Enaknya, makanan di Mum's Place. Hampir tujuh lapan tahun lalu, saya pernah dibelanja makan olen June di situ. Ketika itu June baru saja membuka pejabat hiasan dalaman dan kedainya terletak berhampiran restoran berkenaan.

Sangat kagum dengan semangat berniaga Jun - selepas keluar daripada Biggie Best lebih 10 tahun lalu, dia memulakan perniagaan sendiri, mengubah suai hiasan dalaman rumah persendirian. Dia mendapat pelanggan `dari mulut ke mulut.' Dan pelanggannya daripada kalangan datin-datin dan orang vip.

Kemuncak kejayaannya apabila June dapat bekerjasama dengan wanita nombor satu negara, Allahyarham Datin Hendon dan adik kembarnya. Selepas kedua-duanya meninggal, kini perniagaan itu diusahakan June bersama Tun Jean Abdullah.

Saya terharu apabila June masih ingat dan beriya-iya mengajak bertemu. Melalui rakan sepejabat, kami menerima undangannya. Dia menunjukkan hasil kerjanya yang terkini. Kalau dulu pejabatnya setingkat sahaja dan tidak ada pekerja, kini sudah dua tingkat dan ramai pula pekerja. Kagum sungguh dengan si June ini. Dia tanya saya, masih buat bisnes wedding package: Saya jawab, dah berhenti.

June beri semangat kepada saya supaya teruskan bisnes itu dan dia mengingatkan, "kalau nak buat bisnes sekarang ni, jangan buat yang kecil-kecil, go for up market!" Terkebil-kebil saya mendengarnya. "Saya sekarang, kalau ambil pakej, kosnya seratus dua ratus ribu ringgit. Dapat dua job setahun cukuplah... Kalau buat berpuluh job tapi hasil sama dengan dua job, mestilah kita nak ambil job yang mahal saja," katanya. Bukan angkuh, tetapi dia berterus terang.

Hemm dia bolehlah kata begitu sebab contactnya siapa.... kawan-kawan dam saudara mara mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi. Dia juga terbabit mengubah suai dan menghias rumah Tun, Datuk Mukhriz Mahathir dan ramai lagi orang ternama serta ahli politik. Malangnya mereka tidak gemar mendedahkan suasanan dalaman rumah kepada umum. Apa lagi dipaparkan dalam majalah. Sejak mendapat client daripada kalangan orang begitu, hubungan kami terputus. Hasil pertemuan dengannya hari ini, dapatlah mengutip sedikit semangat daripadanya.

Wednesday, November 11, 2009

Celaru sekeping hati...

Seorang kawan berkata, tidak ada perkataan pencen dalam kamus hidup. Mungkin dimaksudkan kepada bukan kaki tangan kerajaan. Pesara kakitangan kerajaan sekalipun, katanya kena bekerja sehingga ke akhir hayat. Kalau tidak ditambah, simpanan yang ada akan habis jika dimakan sedikit demi sedikit. "Macam sebuah gunung, kalau ditarah sikit-sikit, akan habis juga kan? Macam mana kalau umur kita panjang sampai 70 - 80 tahun. Kalau nak makan duit pencen, berapa banyaklah sangat." Saya termenung, mungkin ada betul juga kata dia - siapa lagi, kalau tidak `uztaz' Nasir Roli tu. Kalau pergi assingment naik kereta dia, tidak sah kalau tidak dengar ceramahnya. Saya suka buka topik... kemudian dengar dia berceramah panjang. Fikir-fikir lagi kenyataannya itu, mungkin betul dan mungkin tidak. Kalau orang bergaji besar, tentu duit pencen cukup untuk dimakan sehingga akhir hayat.

Pendapat saya, andai kita tidak mahu lagi bekerja menjelang usia 50 tahun, kenalah bersiap sedia dari muda, mengumpul wang untuk hari tua. Harta beku penting. Harta yang boleh meningkat harga kalau disimpan seperti rumah dan saham amanah. Saya tidak tahu, mungkin saya terlewat untuk hidup selesa. Cukupkah apa yang ada untuk menampung kehidupan di hari tua? Saya ini `teruk' sedikit. Sepatutnya fikirkan mengenai, cukupkah amal ibadat saya untuk bekalan hari mati? Atau fikirkan mengenai keadaan semasa. Tidak usahlah fikir menjangkau masa yang tidak tentu, kita masih hidup atau tidak lagi ketika itu.

Itu maknanya saya diserang penyakit. Ada saja bisikan-bisikan yang tidak diingini, sentiasa menghasut supaya sentiasa memikirkan mengenai wang ringgit. Benci betul saya. Dari dulu lagi begitu. Sedangkan hal-hal ini, patutnya difikirkan oleh orang lelaki - suami. Tapi dia diam-diam saja, mungkin dia tidak beritahu rancangannya. Dia dengan rancangan dia dan saya dengan rancangan saya.

Saya terbaca kisah selebirit Linda Onn di Kosmo Online. Wah dia mampu memiliki sebuah lagi banglo berharga juta-juta. Belum kahwin lagi minah tu. Mungkinkah bisnes jual nasi ayam My Mom's Chiecken Ricenya meletup-letup? Betullah agaknya. Kalau tidak, masakan dia merancang membuka dua lagi cawangan di tempat lain. Bertuahlah dia mendapat keluarga yang menyokong menguruskan perniagaan berkenaan. Katanya, resipi nasi ayam itu resipi ibunya. Rasanya ibu dan adik-beradiknya yang bertungkus lumus menguruskan periniagaan itu. Bekerja di radio, adakah dia masa untuk itu?

Bercakap fasal berniaga, dengan umur ini dah tak sesuai lagi berhempas pulas di kedai, melayani kerenah pekerja, pelanggan dan sebagainya. Alangkah bagusnya kalau dapat duduk di rumah melakukan apa sahaja kerjaya yang saya suka. Orang kata, bukalah perniagaan melalui internet. Malangnya tak berapa arif dan belum lagi mula.

Mengapa saya mengarut fasal hal ini pagi-pagi hari ini? Sebabnya, saya sudah kerugian, terlepas peluang untuk membuat permohonan refinance rumah sewaktu interest/blr rendah 3.9 peratus. Semalam saya terdengar blr sudah dinaikkan. hu hu... saya sedih. mengutuk diri sendiri, lambat bertindak. Ini gara-gara bank lambat keluarkan permohonan untuk dapatkan penyata akaun gaji dari enam bulan lepas. Maknanya saya sudah kerugian besar. Kalau saya uruskan awal-awal, tentu dapat rebet banyak.

Apa pun, tidak kiralah, hari ini saya kenalah pergi juga ke bank. Sebelum blr naik lebih tinggi, saya mesti pergi berbincang dengan bank, rumah mana yang patut saya buat refinance. Rumah mana yang boleh dilangsaikan bayarannya. Semalam, anak saudara yang bercadang membeli salah satu rumah saya pula memberitahu dia tidak jadi beli. Alasannya permohonan beli rumah berharga sekitar RM300,000 itu sudahpun diluluskan. Baguslah untuk diri dia dan keluarganya. Dapatlah rumah yang besar sedikit dan dekat pula dengan tempat tinggal asalnya. Rumah saya kecil-kecil saja. Macam mana kalau anak nak kahwin nanti? Sempat ke nak renovate, sempat ke nak beli rumah lain yang lebih luas? Banyak yang bercelaru dalam fikiran saya ini... malaslah dah nak cerita... Mengucaplah Rashidah....

Friday, November 6, 2009

Nostalgia di kampung halaman.


Nota: Dipaparkan lebihan gambar yang terbit dalam rencana Tamanku Kebunku, Anjung Seri November, 2009 bertemakan taman.


Gambar-gambar ini mengimbau nostalgia saya sewaktu zaman kecil di Kampung Pulau Mansuk, Jerantut, Pahang. Ini adalah rumah ayah saya tetapi kini didiami bapa saudara sebelah emak. Ayah sudah kira-kira 30 tahun tinggalkan rumah ini kerana berpindah ke Bandar Jengka untuk hidup berniaga.




Bangunan di sebelah kanan adalah rumah asal daripada kayu dan papan. Sebelah kiri ialah rumah batu yang dibina oleh Pok Su, kerana keadaan rumah kayu sudah reput dan tidak lagi sesuai dihuni. Atapnya daripada zink dan tentunya sudah bocor. Di rumah inilah Pok Su dan isterinya menjaga Che' (atuk lelaki sebelah mak) sehingga meninggal di usia lewat 90 (anggaran).


Persinggahan sewaktu dalam perjalanan pulang ke Bandar Jengka dari Kelantan di musim raya Aidilfitri lalu, mengimbau nostalgia sewaktu dibesarkan di kampung ini. Sewaktu belum bersekolah, di kebun inilah saya bersama Che dan Mok (Atuk dan Nenek) bercucuk tanam dan memetik buah-buahan. Selepas mereka tua dan uzur, kawasan tanah di belakang rumah ini dibiarkan begitu saja. Pok Su sibuk bekerja menjadi posmen. Isterinya yang kami panggil Mak Itam pula sibuk berniaga di kantin sekolah. Tinggallah kawasan ini bersemak samun. Namun apabila pulang baru-baru, ia sudah bertukar menjadi kebun. Kawasan tanah itu dikerjakan oleh Pok Su dan Mak Itam yang sama-sama sudah pencen kerja.

Iliyana dan Kamil memetik bunga jagung.


Melihat kawasan tanah yang sudah kembali menjadi kebun ini, membuatkan hati teruja. "Semasa kecil, di sinilah mama menghabiskan masa meneman arwah Che dan Mok berkebun," saya memberitahu anak-anak. Mereka dibesarkan di Kuala Lumpur tidak pernah mengalami pengalaman hidup di kampung. "Hah pergilah beraksi, konon-konon sedang bekerja kampung. Beginilah keadaan berkebun," kata saya sambil menghalakan lensa kamera kepada mereka.

Iliyana dan adiknya, Irfan Kamil belajar menyiram pokok sayur. Pokok-pokok bendi tumbuh subur, mendapat cukup baja dan siraman air.

Iliyana cuba menggunakan kereta tolak, manakala Kamil mencangkul tanah sambil tersengeh-sengeh lucu. "Orang zaman dulu kena menanam sendiri untuk makan sayur, bukan macam kita di zaman sekarang main beli sahaja," kata saya.

Paling terharu apabila melihat buah tembikai ini. Ingat lagi sewaktu seluruh kawasan ini ditanami pokok tembikai, yang diusahakan oleh Che dan Mok. Sewaktu saya masih budak. Terhegeh-hegeh menggendong buah tembikai besar yang sudah masak. Gemar menolong mereka memetik dan memunggah buah-buah berkenaan.

Sewaktu kamil menguis-nguis tanah dengan parang, tiba-tiba terkena putik tembikai in. Lalu terpotong dan terbelah dua. "Sayangnya, dah terpotong. Muda lagi ni, kenapa Kamil buat macam tu," saya menegur Kamil.
"Kamil tak sengaja."
"Tak apalah ambil, bawa balik buat sayur," kata saya.
Il
"Tengok apa dah jadi dengan buah ni," marah Iliyana kepada adiknya. Beginilah keadaan isi tembikai yang masih muda. Che dan Mok dahulu menggelar buah ini `timun cina.'

Iliyana teruja melihat kebun Pok Su, seronok benar dia beraksi mengambil gambar di dalam kawasan kebun itu. Sanggup pergi tukar baju dan pakai topi Cina sayur.

Pokok kelapa, betik dan dan durian di belakang rumah ditanam oleh arwah Che. Sewaktu segar, arwah tidak boleh duduk diam, setiap hari memegang cangkul dan bercucuk tanam. Ayah membeli tanah ini daripada salah seorang penduduk kampung yang baik hati menjual sebahagiannya daripada kawasan tanah yang didiaminya.

Thursday, November 5, 2009

Bertamu di Rumah Presiden Kelab Kucing

Pelakon veteren, Datuk Maria Menado dan Datuk Sarimah Ahmad tetamu kenamaan di majlis rumah terbuka Presiden Kelab Kucing.

Pada suatu hari itu Pak Khalid, Presiden Persatuan Kucing yang juga client syarikat kami, mengajak ke jamuan hari terbuka di rumahnya. Terkejut melihat suasana dalaman rumahnya. Patung kucing menghiasi segenap sudut. Sambil makan, mata kami melilau melihat patung-patung kucing yang comel mungil itu.



Patung kucing daripada seramik warna putih dan perang menghiasi meja sudut di dalam bilik di aras bawah. Apabila tetamu semakin ramai, kami menyelinap masuk ke bilik yang penuh dengan replika kucing. Di bilik berhawa dingin itu, kami beristirahat sambil menjamah makanan.

Masuk ke bilik replika kucing, Zurin dan Ain pun berlagak manja nak jadi seperti kucing juga. Maklumlah perut sudah kenyang tetapi tuan rumah belum membenarkan kami pulang. Sambil beristirahat, mengantuk pula. Tengoklah lagak Zurin dan Ain yang berposing dalam bilik kucing ni.


Seekor kucing comel dalam sarang menyambut kunjungan tetamu di anjung rumah. Kucing ni tak menjalankan tugasnya, asyik tidur dan menyembunyikan mukanya.



Nampak macam betuk tetapi ini hanyalah patung kucing. Ibu dan anak-anak kucing sedang tidur dalam bakul siap beralas lagi. Comelnya... Ini adalah antara koleksi replika kucing Pak Khalid.

Monday, November 2, 2009

Majlis Perpisahan Suzie

Suzie dan Cik Senah.


Agar-agar tembikai, menurut Suzie dibuat oleh kakaknya.


Majlis perpisahan Suzie...( baju merah)

Majlis kali ini ringkas sahaja. Cuma beli atau bawa apa yang patut. Pagi-pagi lagi hidang buat makan breakfast. Spagetti tajaan saya dan Zurin, Onlia bawa nasi lemak dan Ain beli Cocacola manakala Suzie bawa agar-agar tembikai. Terima kasih Suzie kerana memberi cenderahati mug seorang satu kepada kami yang tinggal.