Saturday, August 29, 2009

Terkenang-kenang 90-an

Gambar ini dirakam di belakang rumah sewa student di East Ham. Suami saya turut menyewa di situ. Poyo sikitlah bergambar dalam kesejukan suasana kabus di pagi hari. Hanya pagar kayu usang memisahkan dengan halaman belakang rumah sebelah.
Bersantai di backyard garden - belakang rumah penginapan, Bed & Breakfast (B&B) di BATH. Jatuh cinta kepada suasana country di situ. Suasana kedesaan Inggeris diserlahkan oleh benteng pagar daripada susunan batu batan yang kelihatan seperti batu semula jadi.
Lokasi yang paling saya suka. Sebuah rumah penginapan Bed & Breakfast (B&B) di BATH, tempat kami bermalam sewaktu mengembara ke kawasan pinggir kota. Hairannya tuan rumah ini (seorang wanita), percayakan pelanggan. Dia meninggalkan kami berdua, sewaktu keluar bekerja pagi-pagi hari itu. "Just press (door knob) to lock the door when you want to leave," katanya. Ini memberi peluang kepada kami untuk bergambar sakan di setiap penjuru di dalam rumahnya.
Tiga minggu bercuti di London, masa balik, muka dan kulit jadi macam orang putih - putih kemerah-merahan. Gambar kenangan sewaktu di lapangan terbang Heathrow.

30 Ogos 2009


SEMALAM- Album yang sudah lusuh itu sudah lama tidak disentuh. Sudah terkoyak kulitnya akibat diusung ke sana ke mari, manakala keadaan setiap halaman ketara dimakan usia seperti juga tuannya. Kedatangan Cik Yam, wartawan majalah Midi semalam mengingatkan saya kepada album itu.

Bagi memenuhi kehendak ruangan Romantika yang bakal ditulis Cik Yam, saya perlu memberinya gambar-gambar yang menunjukkan aksi intim. Sempat membuka majalah Midi untuk melihat persembahan rencana-rencana lepas. Wah poyonya kena bergambar duduk rapat-rapat. Mana saya ada gambar-gambar terbaru seperti itu. Yang ada pun gambar dari album lama itulah. Album itu merakamkan kenangan saya sewaktu bercuti di London, tinggal bersama suami yang ketika itu menuntut di University of the Arts London. Dia menyewa rumah orang Pakistan di East Ham, di pinggir bandar.

"Yang ini sesuai tak?" Saya bertanyakan jurugambarnya. Tujuan menunjukkan gambar lama itu sebab saya tidak mahu diambil gambar dalam keadaan sebegitu romantik.

"Boleh, boleh," kata jurugambar Midi. Malangnya dia menghendaki juga kami berposing untuk gambar baru, selain gambar bersama anak-anak. Nasib baiklah kesemua ada di rumah pada hari itu.

Tidak lama kemudian Cik Yam pun sampai dan dia tersenyum menyaksikan gelagat kami memberikan posing. Rumah teres di lereng bukit yang bertingkat-tingkat (5 aras) ini tidak begitu luas bagi setiap aras, menyebabkan kami terpaksa mengalih barangan ke sana kemari untuk menyesuaikan dengan angle yang dikehendaki. "Macam shooting Anjung Seri pula," kata saya.

Selesai bergambar, Cik Yam menemuramah kami mengenai bagaimana mengekalkan perkahwinan sehingga usia 25 tahun. Dan terkeluar cerita lama bagaimana kami berkenalan sewaktu di kampus dahulu. Nasib baik Cik Yam tak tanya, adakah saya bahagia? Soalan itu sangat subjektif. Dari mana hendak dinilai kebahagian itu? Wang ringgit/harta benda atau kasih sayang? Kalau harta/wang ringgit. Tidaklah.

Mungkin bagi sesetengah orang menganggap seorang isteri yang tidak bekerja, hanya duduk di rumah memerintah pembantu membuat itu dan ini, dibaluti kemewahan dan dapat membeli apa sahaja, kerap melancong ke luar negara, saban minggu mengunjungi salun kecantikan untuk membelai dan mencantikkan diri, dinamakan bahagia. Yang ini bukanlah saya.

Tapi kalau dari segi perhubungan kasih sayang, mungkin yelah. Maksud saya, mendapat suami yang tidak memeningkan kepala dengan perangai di luar dan setia menghantar mengambil saya ke pejabat selama 25 tahun ( tolak dua tahun sewaktu di di luar negara dan out station). Menulis surat setiap minggu tika dia berada di rantauan (dulu-dulu mana ada sms dan e-mel, telefon sesekali saja sebab mahal).

Pun begitu sebut fasal bertengkar - biasa jugalah, sebab masing-masing pun ada keegoan, pendapat dan prinsip. Maklumlah suami isteri, lagikan gigi dengan lidah tergigit...
kumpul dosa setahun, bila hari raya barulah bermaafan! He He he.. Jangan ikut perangai ini.

4 comments:

  1. alahai comelnya kak shidah.. handsome banget lagi ganteng hubby kak shidah.. alhamudlillah, perkahwinan kak shidah tentu bahagia.. kami adik adik selalu doakan... kak shidah yg sentiasa sabar ni memang jadi contoh buat kami yg selalu cepat 'hangin' kepala ni.. ha! ha! ha!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas doa Lily. Itu rupa kami lebih berpuluh tahun lalu, sama-sama keding. Tentulah tidak sama dengan sekarang. Pada masa bergambar itu, kami dah pun ada dua anak.

    ReplyDelete
  3. ala..sekarang ni pun maintain slim ape..akak mananya penah gemok hehehe

    ReplyDelete
  4. Ben ennieva, memanglah akak tak ketara berubah susuk tubuh tetapi muka lari banyak, suami pula badannya sekarang jauh sangat beza daripada gambar di atas.

    ReplyDelete