Friday, May 15, 2009

Menunggu Saat Kelahiran....







15 Mei 2009

Masanya hampir tiba. Berita ini tentunya mengembirakan puteri saya, Iliyana Hamdan. Sudah lama dia menunggu-nunggu kelahiran buku sulungnya, bertajuk - Diari Khidmat Negara. Saya terlajak berjanji untuk menzahirkan impiannya itu. Setelah saya memaksanya menulis, dan dia berjaya hasilkan manuskrip dalam masa dua bulan, buku yang dinanti-nantinya tak juga diterbitkan. Makan bertahun dia menunggu. Semuanya salah saya. Tidak bersungguh-sungguh.

Masalahnya? Sukar untuk mencari penerbit. Maksud saya, nak mencari penerbit yang jujur - itu yang susahnya. Penerbit mana yang bayar royalti tidak perlu dituntut oleh penulis? Itu yang saya cari. Saya tahu ada penerbit, sudah ambil manuskrip, sudah terbitkan buku, sudah jual beribu-ribu unit, sudah dapat hasilnya, kemudian senyap begitu saja. Si penulis menunggu royaltinya macam buah yang tidak gugur. Kalau boleh, tak naklah terperangkap dalam masalah sebegini.

Mulanya saya cadang serahkan dummy/mock up buku itu kepada syarikat tempat saya kerja. Manalah tahu, kut mereka berminat. Tapi belum ditunjukkan, berlaku pula satu kes syak wasangka dan tuduhan, terdiam seketika. Dalam pada itu, Iliyana berjaya dapatkan sedikit wang - daripada mana lagi kalau tidak daripada universiti tempat dia belajar. ASWARA. Saya turut berasa terharu.

"Ini first time, kita bantu projek pelajar macam ni...," kata pegawai terbabit. Beliaulah yang bertanggungjawab mengemukakan permohonan tajaan kepada pihak atasan. Iliyana berjumpa sendiri dengan pegawai itu.

Petang tadi, saya dapat tahu Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sudah tetapkan tarikh - 23 Mei untuk pelancaran buku itu, di kem Rimba Templer. Alhamdulillah. Kelam kabut Iliyana. Dia terus hubungi pihak pencetak untuk mengingatkan agar bukunya siap diterbit sebelum tarikh itu.

No comments:

Post a Comment