Dalam beberapa hari ini, hati gelisah. Resah tidak menentu. Teringat kepada kedua orang tua yang masih hidup. Memerhati kedut-kedut halus di wajah ayah dan ma, hati saya bertanya, apakah jasa saya terhadap mereka selama ini? Terlalu sedikit atau tiada langsung! Sedangkan kita selalu diingatkan, buatlah jasa kepada orang tua sementara mereka masih hidup.
Kerana duduk berjauhan, tidak berpeluang untuk membatu mereka dari segi tenaga. Saya sepatutnya memberi wang kepada mereka setiap bulan, tetapi tidak berbuat begitu. Bukan tidak mampu, tetapi leka. Lagi pun, dek gila beli rumah, wang di tangan tidak cukup untuk bermewah atau nak dihulurkan kepada ayah dan ma. Saya beruntung, mendapat orang tua yang tidak pernah mengharap wang daripada anak-anak. Bahkan mereka kerap membantu anak-anak dari segi kewangan, terutama tambahkan modal berniaga.
Berkahwin dalam usia muda, iaitu sebaik sahaja mendapat kerja menyebabkan wang gaji habis untuk keluarga sendiri. Bila anak semakin membesar, bersekolah tinggi dan banyak membeli harta beku, hasrat untuk memberi wang kepada ayah dan ma sering terhalang.
Hari ini saya bertekad untuk membuatkan mereka gembira. Biarlah mereka berpindah dari rumah teres lot tepi kepada yang lebih besar, kalau tidak banglo, sekurang-kurangnya rumah berkembar.
Saya mencari rumah yang berhalaman luas. Banglo mahal dan tanah terhad. Ada satu rumah berkembar lot tepi, berkeluasan 5,000 kaki persegi. Tu dah keluasan untuk sebuah banglo. Kira okeylah. Harga RM278,000. Menepati kehendak ayah. Ayah tak suruh beli dan tidak juga menghalang... "Nak beli, belilah... tapi ayah dah tak nak fikir fasal hutang," katanya yang sudah berusia lebih 70 tahun.
Saya bangga dengan ayah dan ma. Mereka mula berniaga dari zero. Kerana terlalu menjaga perniagaannya, mereka tidak kisah sangat mengenai tempat tinggal. Semasa kecil, rumah kedailah tempat kami tinggal. Bila mampu sedikit ayah beli rumah teres lot tengah yang diduduk sekarang. Pinjaman perumahan atas nama saya. Tapi satu sen pun saya tidak keluar duit, sampailah rumah tu habis dibayar. Kiranya rumah itu memang rumah ayah. Bayarannya ke bank, sebulan pun tidak pernah lewat. Prinsip ayah berniaga, bayaran kepada bank jangan lewat. Wang dalam akaun mesti dijaga. Baginya, pantang kalau keluarkan cek tendang.
Bila anak-anak sudah ambil alih perniagaan, ayah dan ma lega. Mereka menghabiskan usia emas di masjid dan pergi ke kebun di Jerantut, beberapa kali dalam seminggu. Tanah tapak rumah lama di kampung ada, tetapi tak kan nak duduk berjauhan dengan anak-anak? (Jarak Bandar Jengka dengan Jerantut, 45 minit memandu). Kini dia masih larat memandu, tidak tahulah beberapa tahun lagi.
Atas alasan di atas, saya bercadang membeli rumah baru yang berhalaman luas. Dengan tiga rumah di KL yang masih dibayar, mampukah beli satu lagi. Ini betul-betul gila! Gaji bukan RM10,000, dah tu sedang memikir untuk berhenti kerja pula. Namun, saya mengharapkan restu dari ayah dan ma untuk pembelian rumah kali ini. Ma kata, tak apalah nanti juallah salah satu rumah di KL. Masalahnya, buat masa ni semua rumah saya sayang, sedangkan ada yang meminta untuk membeli.
Belum lagi menandatangani pernjanjian jual beli, saya bermimpi yang menakutkan... babaknya macam di kejar along!
No comments:
Post a Comment