Tulisan
dan gambar: RASHIDAH IBRAHIM
Assalamualaikum rakan maya semua, bertemu lagi dalam entri terbaru saya, kali ini mengenai sebuah bangunan usang yang penuh misteri di Perak, dibina 102 tahun lalu. Ini adalah kunjungan kali ketiga saya ke situ. Disebabkan majalah tempat saya bekerja menolak cerita ini dengan alasan pernah disiarkan, hmm saya paparkanlah di sini... Selamat membaca, kalau suka tinggalkanlah jejak (komen)... Terima kasih.
Kunjungan
ke Istana Kota Kellies (Kellie’s Castle) di Batu Gajah sewaktu menyertai
program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M), Jom Terokai Perak awal Mei lalu (2012),
mengimbau kenangan saya sewaktu berkunjung ke situ lebih 20 tahun lalu. Biarpun orang kata bangunan itu berhantu, tidak menghalang orang ramai daripada berkunjung.
Merakam gambar daripada seberang sungai.
Terletak di seberang sana sungai Kinta, pengunjung perlu menaiki jambatan untuk sampai ke bangunan itu. Dalam masa beberapa minit berjalan, kami sudah pun berada di sebelah sana sungai.
Bangunan itu kelihatan tersergam di atas bukit, tidak jauh daripada tebing sungai yang
memisahkan bangunan itu dengan jalan besar. Sementara peserta lain ghairah
melihat reka bentuknya, pandangan saya tertumpu pada jambatan yang menghubungkan
kedua-dua tebing. Selain memudahkan perjalanan ke bangunan berkenaan, kehadiran
jambatan berkenaan menyumbang kepada
pembentukan lanskap yang menarik.
Penyertaan
dalam program KCC1M Jom Terokai Perak anjuran Tourism Malaysia Perak dengan
kerjasama Gaya Travel Magazine, membawa saya ke situ buat kali ketiga. Sewaktu
kunjungan pertama dan kedua pada tahun 80-an, Istana Kota Kellie
belum menjadi destinasi utama pelancongan. Suasana persekitaran, tidak sama
seperti sekarang. Bukan sahaja bangunannya kelihatan sangat usang kerana
terlalu lama ditinggalkan, bahkan jambatan pun belum ada.
Pada masa
itu, pengunjung menaiki sampan untuk sampai ke Istana Kota Kellie dan perjalanannya
sedikit mencabar. Lokasinya suram dan sunyi. Kini, dalam keadaan ramai sekali pun
terasa kesiknya berikutan bangunan itu menyimpan pelbagai cerita misteri.
Istana
Kota Kellie yang juga dikenali Rumah Kellas dilaporkan dibina pada 1910.
Bangunan itu kini dipulihara dan dijaga persekitarannya berikutan lokasi itu sudah
dimajukan sebagai pusat pelancongan. Dinding daripada batu-bata tanah liat
diselenggara sehingga terserlah serinya. Bangunan tiga tingkat itu dibina
mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India; manakala
tukangnya dibawa khas dari Madras.
Di atas bumbung..
Menurut catatan sejarah, Istana Kota Kellis dibina oleh seorang peladang
getah terkemuka British, bernama William Kellie Smith yang berasal dari sebuah
desa di Scotlandia, dikenali Kellas. Beliau datang sebelum Tanah Melayu
membangun iaitu pada 1890, ketika berusia 20 tahun. Smith bertemu dengan seorang pemilik tanah
bernama Alma Baker yang telah memenangi konsesi daripada pemerintah negara
untuk membersihkan 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar daripada
perniagaan bersama Alma Baker, Smith mula menanam getah dan menyertai industri
perlombongan timah di samping memiliki Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas
Tin Dredging Company.
Berkahwin di negara asal dengan gadis Scotland, Agnes; Smith kemudian
membawa isteri tercintanya ke Tanah Melayu pada 1903. Mereka dikurniakan anak
perempuaan, Helen tahun berikutnya. Smith mengharapkan seorang anak lelaki
sebagai waris untuk mengambil alih perniagaannya. Nasib menyebelahi mereka
apabila Agnes melahirkan anak lelaki bernama Anthony pada1915, dan selepas itu mereka
dikurniakan rezeki melimpah. Bagi merayakan kelahiran Anthony, Smith berusaha membesarkan
kediaman itu dan merancang pembinaan istana besar, digelar Rumah Kellas (Kellas
House) sempena rumahnya di Scotland, nama di kalangan penduduk tempatan,
lebih dikenali Kellie`s Castle.
Bangunan itu dirancang untuk menampung 14 bilik, dengan satu bilik bawah
tanah membawa ke terowong rahsia. Namun yang dapat dilihat adalah kesan bilik
tuan rumah dan bilik dua anaknya di bangunan baru, kesan ruang dapur serta
ruang makan di bangunan yang dibina terawal. Dua kepala patung yang tertera
pada dinding depan di bahagian luar bangunan, dikatakan melambangkan diri Smith
dan anak lelakinya.
Atas bumbung rata, mungkin ini dicadangkan sebagai padang tenis.
Sementara tingkat dua, mahu dijadikan padang tenis. Oleh kerana
terlalu taksub dengan agama Hindu dan budaya India, Smith merancang pembinaan mirip
seni bina rumah di Madras dengan semua batu bata dan seramik diimport dari
India. Dia turut membawa sejumlah besar pekerja buruh India dalam impiannya
untuk membina Rumah Kellas menurut seni bina India asli.
Dilihat sekali imbas, reka bentuknya mirip Bangunan Sultan Abdul Samad
di Kuala Lumpur.
Persamaan ketara dari segi susunan batu-bata merah dan bentuk
gerbang di sepanjang sisi bangunan. Dalam banyak hal, yang istimewa mengenai
Istana Kota Kellie, ia dilaporkan sebagai bangunan pertama yang mempunyai lif di
Malaya. Terdapat laluan menghubungkan sayap kanan sampai ke lantai atas selain
mempunyai dua terowong yang menganjur di bawah sungai berdekatan. Salah satu
terowong menghubungkannya dengan beberapa candi Hindu tidak jauh dari rumah
utama. Di tingkat dua, Smith merancang
pembinaan sebuah lapangan tenis dalaman. Pada salah satu lantai,
dirancang halaman untuk bersantai kerana kediaman itu mahu dijadikan pusat
berhibur bagi pemilik ladang koloni kaya yang telah menetap di Malaya.
Berita mengenai bangunan itu pernah disiarkan dalam akhbar London
Financer pada 15 September 1911,
yang mendakwa Rumah Kellas adalah bangunan paling unik di Timur Jauh, sama
ada dari segi bentuk ataupun besarnya. Namun bangunan itu tidak sempat disempurnakan
apabila Kellie Smith meninggal di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember
1926. Bangunan separuh siap itu kini menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana
keunikannya.
Antara cerita misteri yang tidak terungkai mengenai Istana Kota Kellies
adalah bangunan itu dikatakan berhantu, berikutan ada orang pernah ternampak
bayangan ahli keluarga berkenaan muncul di dalam bangunan itu. Ini menimbulkan
tanda tanya sedangkan hakikatnya tidak ada seorang pun daripada ahli keluarga
berkenaan yang meninggal di situ. Agnes dikatakan menjual tanah berkenaan
kepada orang lain dan meninggalkan kediaman itu setelah pemergian suaminya, membawa
bersama kedua-dua anak mereka.
Setelah dijadikan pusat pelancongan, lokasi itu kini semakin terurus. Sebuah
kedai makan, kedai cenderamata serta tapak letak kereta telah dibina oleh
Majlis Daerah Kinta Barat pada 1990. Kini Istana Kota Kellie sering menjadi lokasi penggambaran drama dan filem.
Teori lain kenapa bangunan itu dikatakan berhantu, menurut laporan terdapat kejadian bunuh di dalam bangunan itu. Sewaktu menjadi bangunan terbiar, menurut ceritanya ia pernah menjadi tempat perlindungan kumpulan gangster. Dalam satu pergaduhan di antara kumpulan gangster, ada yang terbunuh di situ.
Satu lagi cerita, keluarga Smith dikatakan amat dihormati oleh penduduk sekitar. Dia disanjungi oleh pekerja ladangnya yang beragama Hindu, sehingga mereka membuat sebuah patung dan diletakkan di dalam bangunan kuil mereka, tidak jauh daripada bangunan situ. Patung itu disembah, ibarat Tuhan mereka.
"Bagi kaum Cina, adalah pantang membina patung orang yang masih hidup dan disembah. Perbuatan itu adalah satu taboo, mungkin itu yang menyebabkan Smith mati tidak lama selepas itu," kata Rosalind, pemandu pelancong kami. Bahkan dikatakan ada terowong yang menhubungkan bangunan itu dengan kawasan kuil berkenaan.
Mulut terowong ditutup dengan jaring untuk keselamatan
Kalau sudah seseorang itu disembah dengan upacara-upacara keagamaan, itulah agaknya menyebabkan bangunan ini berhantu, fikir saya. Selain itu terdapat juga cerita, ada orang gaji di situ dipotong tangan oleh majikannya disebabkan sesuatu kesalahan. Namun sejauh kebenarannya cerita-cerita ini, tidaklah diketahui.
Yang pasti, peserta media masing-masing teruja berpeluang melawat bangunan
berkenaan. Biarpun usang, mereka tertarik dengan seni bina bangunan berkenaan
yang menampilkan susunan batu-bata tanah liat warna terracotta. Dan ada pula yang berkata, terbau sesuatu sewaktu menaiki tangga...pada tidak ada benda di dalam bangunan berkenaan.