Wednesday, December 29, 2010
Flashback Persembahan Makyong
Tamat sudah pengajian tiga tahun Iliyana di ASWARA. Lega hati saya apabila dia berjaya dalam pengajian peringkat diploma (Penulisan Kreatif). Namun perjuangannya belum berakhir, bakal melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pula. Pada 2 Januari ini, akan bermulalah episod pengajiannya di universiti tertua di tanah air itu.
Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti Iliyana akan menjadi siswa di UM walaupun hakikatnya di hati kecil ini terselit harapan agar dia berpeluang melanjut pengajian di situ. Saya tahu, bukan senang untuk mendapat tempat di universiti ternama itu jika keputusan pengajian tidak seberapa. Namun pengajian di ASWARA menjadi laluan mudah untuknya memanjat tangga menara gading itu.
Tiga tahun lalu, sewaktu Ketua Jabatannya memberitahu saya bahawa lulusan ASWARA lebih mudah diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam, saya kurang yakin dengan katanya-katanya... "Mungkin sekadar mahu menyedapkan hati saya sebagai ibu," bisik hati kecil saya.
Sebenarnya saya kecewa apabila Iliyana menolak tawaran ke UiTM kerana ingin kekal berada di ASWARA. Ketika itu dia sudah satu semester berada di ASWARA. Biasalah budak-budak, bila dah selesa dengan kawan-kawan di situ, tidak mahu lagi pergi ke tempat lain.
Perasaan saya, memang gembira apabila Iliyana dapat melanjutkan pengajian di UM, tetapi pada masa sama agak terkilan dengan bidang pengajian yang bakal diikutinya nanti. Namun saya cuba untuk melupakan perasaan itu dan berdoa yang terbaik untuk dia biar apa pun bidang yang diceburinya.
Dipaparkan lagi gambar yang mengimbau kenangan saya sewaktu menonton persembahan tradisional Makyong yang disertai Iliyana dan kawan-kawannya dalam exam tahun akhir di ASWARA.
Gambar atas: Bersedia untuk memulakan persembahan yang dimulai dengan iringan muzik yang lemah gemalai.
Memulakan tarian dengan pergerakan mengangkat sembah sambil duduk bersilang kaki ke bawah.
Selesai menari sambil duduk, diikuti pergerakan bangun secara perlahan-lahan..
Gerak tari Makyong penuh berseni, tiada pelajar terkecuali daripada mengambil peperiksaan subjek ini.
Persembahan tarian diiringi lakonan kisah di istana.
Mengangkat sembah pada penghujung persembahan..
Selesai persembahan, saya dan Si Dia sempat bergambar di luar dewan sambil meneliti senarai nama pelajar yang mengambil bahagian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment