Friday, September 11, 2009

Mama Yang Uzur

7 September 2009


Mama berusia 73 tahun semakin uzur. Hari ini saya pulang ke kampung, melawatnya di Hospital Bandar Jengka. Tidak sedar diri. Saya diberitahu, waktu mula-mula terkena, mama pandang ke arah dinding seperti nampak sesuatu dan dia senyum panjang. Sebentar kemudian dia seperti tersentak takut. Mengepal kuat jarinya. Kemudian tangannya kejang, lalu dibawa ke hospital.

Semasa saya sampai, mama seperti tidur lena, langsung tidak buka mata. Dia tidak sedar sebenarnya. Itulah pertama kali saya melihat mama dalam keadaan seperti itu. Adakah itu dinamakan koma? Doktor memberitahu mama perlu dibawa ke hospital lebih besar untuk mendapatkan rawatan bantuan pernafasan. Tiga hospital dihubungi oleh doktor terbabit, Hospital Temerloh, Hospital Kuantan dan Hospital Selayang, tetapi malangnya doktor dimaklumkan semuanya alat di ketiga-tiga hospital itu sedang digunakan, tidak ada yang kosong. Makanya mama dibawa ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut, dan bukan mengharap kepada alat bantuan pernafasan tetapi untuk dirawat secara biasa.

Apabila mama dibawa ke Hospital Temerloh dengan ambuluan, saya dan suami mengikut sampai ke sana. Selepas dimasukkan ke wad, kami pulang ke KL. Menurut doktortubuh mama kurang garam. Darah tinggi dan kencing manis juga tinggi sedikit. Doktor cuba mengkaji kenapa garam kehilangan begitu banyak dari dalam tubuhnya. Mungkin kerana ubat darah tinggi yang dimakan tidak sesuai dengan dirinya.

Mama di temani, adik bongsu saya (Mok Su) dan kakak kedua (Mok Nik). Menurut mereka, selepas dimasukkan air garam dan ubat, dia mula sedar tidur, sedar tidur. Seperti ada benda yang menggangunya. Mama seperti nampak sesuatu di bahagian atas tingkap bilik hospital itu.

"Bawa benda tu ke sini, bawak letak sini," katanya.
"Tak ada pun," kata Mok Nik.
"Bawa sini, " arah mama lagi seperti ada gangguan.
"Yalah nanti kita bawahlah ke sini," jawab Mok Nik.
Kemudian mama diam.

Selepas dirawat secara tradisional, barulah mama mula tenang. Dan dia sudah boleh respon kepada soalan doktor dan soalan sesiapa sahaja.

"Kenapa mama di sini?" Soal mama.
"Mama tak sedar, dua tiga hari mama tak sedar," kata Mok Nik.
"Kenapa ya mama tak sedar," mama menyoal Mok Nik.

Tiga empat hari kemudian mama dibenarkan keluar hospital. Tidak sangka mama boleh sedar semula. Saya menang tidak putus berdoa agar mama sedar.

11 September 2009

Saya pulang ke Bandar Jengka untuk melihat mama.
Wajahnya sayu. Pandangannya kosong. Tidak lagi seperti sebelumnya menyambut kepulangan anaknya dengan dakapan mesra dan penuh kegembiraan setiap kali kami pulang. Tidak lagi dapat memeluk Irfan Kamil sambil meniupkan ayat-ayat suci penerang hati dan baik pekerti.
Mama, orang yang paling kuat solat, mengaji dan pergi ke kelas agama pun diuji sebegitu... satu yang ketara, mama sentiasa tersenyum, sabar dan tidak merengek, memarahi atau memaki hamun sesiapa... wajahnya tenang setenangnya tetapi sangat tidak bermaya.

Ayah adalah orang paling sedih apabila melihat mama dalam keadaan begitu. Hari mama tersentak di pangkuannya, ayah seperti hendak demam kerana terkejut.

Semoga Allah meringankan mama daripada segala penderitaan dan pulih segera...

Monday, September 7, 2009

Kisah Sedi/Abang Teh Yang Patah Kaki

8 September 2009

Seminggu lalu.

Ini kisah anak saudara, Rosdi atau kami panggil Sedi, juga digelar Abang Teh, berusia 18. Sewaktu membonceng motor sendiri (dia beri kawan bawa motornya), mereka mendapat kemalangan sewaktu ke pusat latihan pengajiannya. Kaki Abang Teh patah. Bahagian luar betis disokong dengan rangka besi dari betis sampai ke peha. Doktor bercadang memasukkan besi ke dalam kaki untuk menyokong tulang di bahagian bawah lututnya yang remuk.

Mendengar berita itu, saya segera memberitahu emaknya (kakak sulung saya), kalau boleh tak usahlah dimasukkan besi. Carilah rawatan alternatif. Kebetulan masih ada masa, kerana doktor bercadang membuat pembedahan itu minggu depannya. Saya menggesa kakak berjumpa dengan pakar perubatan tradisional yang mengkhusus dalam rawatan berkenaan yang pernah merawat anak saya dulu.

Esoknya, kakak berjumpa dengan pakar berkenaan, Pok Weil. Disebabkan Abang Teh sedang dalam rawatan hospital, Pok Weil tidak dapat pergi merawat. Dia menggelengkan kepala sambil meluahkan rasa terkilan kerana pesakit sudah dibawa ke hospital. Sebelum kakak pulang, Pok Weil memberikan air penawar dan berjanji akan berusaha memberikan rawatan jarak jauh. Air itu disapukan ke betis Abang Teh.

Pada malam itu atau satu malam kemudian, Abang Teh yang sedang berbaring lesu di katilnya terasa seperti ada orang mengusik betisnya. Dia terasa seperti ada tangan sedang menarik dan mengurut betisnya. Sesekali dia terasa hujung kakinya ditolak ke kiri dan ke kanan. Abang Teh berasa hairan dan menggerak ibunya dari tidur. Saat dia merasakan hujung kakinya terkulai ke tepi, dia menarik kain selimut untuk melihat tetapi hujung kakinya berada dalam keadaan menegak seperti biasa.

"Mi, Abang Teh rasa ada orang usik kaki, tapi bila tengok tak bergerak pun," adu Abang Teh kepada Uminya. Mendengarkan kata-kata itu, Uminya menjawab: "Tak apalah tu, insya-Allah nanti baiklah..."

Pagi esoknya, kakak menelefon Pok Weil, untuk mengetahui perkembangan rawatan. Pok Weil memberitahu "saya rasa dah bertangkup dah, tak teruklah, insya-Allah akan sembuh. Yang saya risau lukanya," kata Pok Weil sambil memberitahu biarlah doktor uruskan fasal luka itu (menurut doktor kakinya Abang Teh juga akan dibedah untuk menutup luka besar di betisnya.)

Dipendekkan cerita, memang benar doktor mendapati keadaan tulang yang remuk/patah sudah dalam keadaan betul. Kaki Abang Teh tak perlu dimasukkan besi lagi. Mereka hanya membuat pembedahan menutup luka pada otot betisnya. Dua hari kemudian Abang Teh dibenarkan pulang.

Nota: Ada pakar rawatan patah tradisional, boleh mengatasi kepakaran doktor. Dia mampu merawat pesakit sehingga sembuh tanpa sebarang pembedahan, dengan izin Allah SWT. Nasib baik saya sempat menyuruh kakak berjumpa dengan pakar itu.

Nota: Mengubat seseorang pesakit patah bagi Pok Weil adalah satu bebanan besar yang harus digalas. Sepanjang malam dia terpaksa berjaga dan membaca ayat2 doa tertentu untuk mengubati pesakit. Justeru Pok Weil bukanlah pakar rawatan pesakit patah komersil, sebalik dia lebih suka kalau orang tidak tahu mengenai kepakarannya mengubati pesakit patah.

Friday, September 4, 2009

Berita Baik Lagi Untuk Iliyana


5 September 2009 - 12.00 tengah hari.

Sedang menulis sms kepada seorang datuk mahu meminta tolongnya supaya mendapatkan dana daripada PM untuk pembelian buku Diari Khidmat Negara (DKN) Iliyana, tiba-tiba telefon berbunyi. Tidak sempat memicit butang untuk menghantar sms, alamak... telefon berbunyi. Saya menjawabnya... terdengar suara seorang perempuan.

"Hello, itu Iliyana atau ibunya?"
"Ya... ini ibu dia."
"Nak beri tahu, buku Iliyana tu dah diterima (oleh Perpustakaan Negara)."
"Ya? Alhamdulillah."
"Inilah nak bagi tahu, tolong datang segera... kalau boleh Iliyana datanglah... bawa dokumen bukti nombor akaun atas nama Iliyana sebagai penulis buku itu. Kalau boleh datang Isnin ini. Cepat datang, cepatlah dapat diuruskan," kata suara itu.
Dalam kegembiraan, saya menjawab, "Baiklah. Baiklah. Hari Isnin insya-Allah dia datang. "

Sejak semalamnya saya hampir kecewa. PTS sudahpun mendapat senarai buku yang diterima oleh perpustakaan. Iliyana mahupun saya tidak mendapat sebarang berita. Namun seharian itu saya masih menaruh harapan, terus berdoa di dalam hati agar buku DKN diterima. Saya menunggu-nunggu panggilan dpd perpustakaan. Saya menyesal, tidak bersungguh-sungguh berdoa selepas solat. Kadang-kadang saja apabila teringat. Saya mempertaruhkan solat hajat oleh ayah sewaktu buku itu hendak dicetak.

"Ayah tolonglah solat hajat untuk kejayaan buku itu, doalah supaya semua berjalan lancar dan Iliyana tidak ditipu orang atau kerugian," pinta saya.

Beberapa hari selepas itu, ayah memberitahu dia sudahpun melaksanakan solat hajat. Begitulah saya. Sejak waktu bersekolah lagi, setiap kali ingin menduduki peperiksaan besar, akan meminta ayah solat hajat untuk kejayaan saya. Ingat lagi, sewaktu SPM - selesai kertas akhir, saya menangis sepuas hati kerana tidak yakin akan lulus subjek-subjek sains. Saya memang tidak suka aliran sains. Ayah tidak membenarkan saya tukar ke jurusan sastera. Rupa-rupanya berkat doa ayah saya lulus juga SPM, tetapi sekadar dapat ke tingkatan enam jurusan sastera.
Tidak yakin lulus STPM, tetapi berkat doa ayah juga saya lulus dan berjaya memasuki ITM.

Kembali kepada bab buku Iliyana, ibu juga berpesan supaya sentiasa berdoa dan membaca ayat seribu dinar setiap kali selepas solat untuk mendapatkan apa yang kita hajati. Tapi biasalah, sibuk, setiap kali selepas solat tidak sempat nak berdoa panjang... paling-paling berdoa dalam Bahasa Melayu secara direct, meminta apa yang dihajati atau memohon doa setiap kali teringat.

Selepas mengetahui berita baik itu, saya terus sujud syukur. Kebetulan ketika itu berada di dalam surau. Menitis air mata kegembiraan kerana apa yang saya usahakan untuk anak saya berjaya juga akhirnya - walaupun Iliyana hanya mendapat separuh daripada jumlah maksimum bayaran yang diperuntukkan kepada penulis, saya tetap bersyukur.

Dengan berita itu, lantas saya tidak jadi mengirim sms kepada datuk berkenaan. Tunggulah di lain hari...