Friday, March 3, 2017

Tempat Makan di Awangan


Kampung Baru, Kuala Lumpur dikenali sebagai  `syurga makan-makan`,  banyak restoran dan warung menawarkan pelbagai pilihan makanan. Kebanyakannya terletak di kawasan bawah tetapi tempat makan yang satu ini lain daripada lain. Tempat makan bagaikan terletak di awangan.

D’ Arina Skyview didakwa restoran pertama beroperasi di puncak bangunan di Kampung Baru, yang menyajikan makanan mewah continental Melayu.

Selain makanan yang menyelerakan, suasana seakan di awangan adalah tarikan utama restoran ini.

“Menawarkan pemandangan 360 darjah, tempat makan ini sesuai disinggahi pelancong asing mahupun pelancong tempatan dan penduduk sekitar, hatta kakitangan pejabat yang ingin menikmati hidangan sambil menghayati panorama kota dari  bumbung bangunan 20 tingkat,” kata Pengurus Jualan dan Pasarannya, Ahmad Hisham Mohd Sharif, 44.  

Menurutnya, D’ Arina Skyview adalah restoran pertama terletak di puncak bangunan di kawasan Kampung Baru.

Memerhati ke sekeliling menerusi dinding kaca lut sinar, terasa seperti berada di atas awan.

Pelbagai jenis hidangan, masakan mewah continental Melayu disediakan kepada pelanggan harian mahupun yang menempah majlis.

Menghadiri satu majlis makan petang, tetamu dihidangkan makanan utama `Hi-Tea` antaranya ialah nasi dan kue tiaw goreng, mihun rebus, capati, lemang dan nasi impit.

Padanan kuah untuk nasi, lemang dan nasi impit ialah gulai kari ayam bersantan pekat, sungguh menyelerakan.

Melengkapi hidangan tradisional, disediakan juga serunding untuk dimakan bersama lemang dan nasi impit, sementara pencuci mulut meliputi kuih tradisional seperti lopes, kaswi, cucur badak, getas dan kuih keria turut dihidang.

Tidak ketinggalan menyelerakan, bubur pulut durian dan bubur gandum masing-masing sederhana manis dan pekat, disediakan bersekali pulut dan roti. 

Minuman istimewa tentulah air batu campur . Buah-buahan tempatan juga disediakan.

Makanan tengahari menyediakan lebih banyak pilihan meliputi masakan Melayu kegemaran ramai iaitu nasi dan aneka lauk pauk serta sayur.  Hatta hidangan untuk sarapan juga disediakan.

Tidak ketingalan restoran itu juga menerima tempahan untuk  majlis perkahwinan dan sebarang majlis keraian, di samping mesyuarat dan perbincangan dengan hidangan lauk pauk mengikut kehendak penganjur.
Pilihan hidangan meliputi pakej Galaxi, Meteor, Phoenix dan Complementary dengan harga RM35 hingga RM55 sekepala untuk tetamu 500 orang, membabitkan tiga kategori hidangan iaitu, makanan utama, pemanis dan minuman.

Harga termasuk hiasan untuk ruang acara, meja pengantin dan tetamu kenamaan.

Tarikan makanan dan persekitaran sama hebat, masing-masing dengan kelebihan tersendiri. Paling teruja, melihat Menara Berkembar Petronas, kemegahan negara di samping  bangunan lain, yang tinggi rendah.

Pemandangan sewaktu makan pada waktu senja dan malam, lebih lagi menarik apabila diwarnai simbahan cahaya lampu.

Sesuai dengan lokasi dan kedudukannya di aras ke-20, restoran D'Arina Sky view  yang dimiliki Arina Development Sdn Bhd bakal menjadi bualan di kalangan peminat.

Dibuka sebelum bulan Ramadan lalu (2016), restoran itu mengadakan pelbagai tawaran promosi dari semasa ke semasa dan menerima tempahahan untuk pelbagai acara.

Masakan disediakan oleh Chef Sabirin Yusof yang lebih dikenali Cef Bai yang berpengalaman selama 20 tahun bekerja di Restoran Seri Melayu dan Restoran Berputar Seri Angkasa.


AGRA FORT



                                                     Di hadapan Istana Jahangir
                                                
Taj Mahal yang ingin penulis terokai, namun Agra Fort pula jadi pengganti, gara-gara masalah kabus tebal, penerbangan kami seramai 20 orang dari Kashmir ke New Delhi pada Disember lalu dibatalkan. Kerugian sehari menyebabkan jadual lari. Percutian tujuh hari kami di India bermula di Kashmir.
Sampai di Agra hari Jumaat, diberitahu pemandu pelancong yang menunggu kami sejak semalam bahawa Taj Mahal ditutup hari itu. Kesemua 20 peserta kecewa namun siapakah yang dapat melawan ketentuan-Nya?
Tidak jauh dari Taj Mahal, terdapat sebuah kompleks dikenali Agra Fort atau Kubu Merah Agra iaitu monumen Mughal atau Mogul abad ke-16 yang juga tersohor dan menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia. Dulunya, ia sebuah kubu paling penting di India.


                                         Bangunan utama dalam kawasan Agra Fort

Mula dibina oleh Maharaj Mogul, Akbar the Great atau Akbar yang Hebat, di dalam Kubu Agra terdapat sejumlah bangunan termasuk istana dan landskap taman bernilai sejarah. Padanya tersimpan harta kekayaan negara, antaranya perbendaharaan dan kilang syiling terbesar.
Terletak di kanan tebing sungai Jamuna ke arah Timur bandar Agra, kompleks  kubu dan bangunan terbina oleh dinding kukuh dan tebal daripada pasir merah. Difahamkan Akbar membinanya menggantikan Kubu Badalgarh daripada batu lama yang kukuh, diasaskan  Raja Rajput dengan tembok kepungan 2.5-km 

Tunggukan cerita lanjut dalam Harian Metro.

Di hadapan gerbang laluan masuk utama ke ruang dalaman Agra Fort.