Thursday, August 18, 2011

Pemandu Teksi Kantoi!!


Disebabkan hubby outstation maka saya terpaksa menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Saat beginilah yang paling saya tidak suka, kerana perjalanan terpaksa bertukar pengangkutan. Tambah lagi pagi-pagi bulan puasa ni. Nak tak nak saya terpaksa juga pergi. Saya mempunyai dua pilihan, menaiki bas untuk ke stesen LRT Gombak dan kemudian berhenti di KL Sentral atau Bangsar untuk menaiki bas atau teksi ke pejabat saya di Jalan Klang Lama.

Sewaktu menunggu di tepi jalan, yang pertama lalu ialah bas ke KL, maka saya tahan dan terus ke KL. Sedang memikir untuk turun di mana bagi menyambung perjalanan ke Jalan Klang Lama, bas yang dinaki langsung melewati Chow Kit. Saya ternampak stesen monorel, lantas terfikir lebih baik turun sebelum terperangkap dalam jam. Jalan memang sudah semakin sesak, lalu saya bertindak segera turun dan bergegas ke stesen monorel untuk ke KL Sentral.

Setengah jam dalam monorel akhir sampai ke stesen terakhir, KL Sentral di Brickfield. Oh jalan sudah berubah sehala. Di stesen akhir monorel kelihatan banyak teksi sedang menunggu. Sebenarnya bab di sinilah yang hendak saya ceritakan ini. Sesampai di tempat teksi, saya terus memberitahu pemandu-pemandu di situ, mahu ke Taman Desa, Jalan Klang Lama. Dan amat terkejut apabila seorang pemandu memberitahu harga tambangnya.

"RM15!"

"Apa? Kenapa pula RM15, saya hari-hari naik teksi di sini tau.. saya tahu harganya," saya menyampuk dalam nada angin satu badan, tapi masih dapat mengawal perasaan.

Pemandu teksi itu kelihatan memberitahu kawan-kawannya dan mereka semua bersepakt tidak mahu pergi, sambil bertegas RM15! kalau nak pergi juga.

"Kenapa RM15? Saya tahu harganya dalam RM7 saja.... , saya selalu naik teksi di sini..Kenapa RM15?" Saya terus menyoal.

"Nanti balik tak ada penumpang," pemandu yang sama memberi alasan.

"Mana boleh tak ada penumpang?" Saya membidas.

Dia ingat saya tidak tahu, kawasan pejabat saya di Jalan Klang Lama itu bukannya jauh tersorok.. bangunannya pun di tepi jalan besar. Nampak sangat dia sengaja memberikan alasan itu.

"Awak ingat saya orang luar, saya orang sini tau? Awak ingat saya orang Indon, orang luar?" Saya terus merungut.


Ada di antara mereka sudah menunjukkan rasa serba salah. Nampaknya pemandu-pemandu teksi itu sudah kantoi, nak mengenakan saya tetapi sudah silap orang... kelihatan mereka berbincang sesama sendiri dalam bahasa Tamil.

Saya sudah mulai cuak dan tidak mahu pedulikan mereka lagi. Dengan wajah masam mencuka saya angkat kaki, ingin pergi ke seberang sana jalan... tak mahu tengok muka-muka mereka lagi.
Sedang saya memulakan langkah dengan perasaan geram, kedengaran seorang memanggil.

"Okey, naik-naik! "

Saya memberikan syarat, "Ikut meter tau?" Pemandu yang bersedia menghantar saya itu mengangguk.

Saya membuka pintu, lantas duduk. Apabila pemandu berkenaan masuk, saya sekali mengingatkan, "ikut meter tau?"

"Ya, ya!" Pemandu itu menjawab sambil cuba menerangkan, "mereka ikut giliran, sebab itu saya tak boleh ambik tadi.."

"Itulah, kenapa nak kenakan saya RM15... you tahu tak, saya ni reporter!" Saya memberanikan diri bersuara sambil menunjukkan raut muka yang serius.

Mendengarkan pengakuan saya, pemandu itu terus tersentak.

"Apa? Reporter? Ayyoooo....," pemandu itu kelihatan gugup lantas menyambung kata-katanya;"Awak tengok muka saya ya, saya tak ambil mahal..."

Dalam hati saya berkata-kata, oo.. tahu takut...

"Saya ni bukan reporter jahat, saya cuma mahu naik teksi dan saya orang sini... Kalau nak kenakan penumpang pun, tengok dulu siapa orangnya," saya memberi ingatan.

"Yalah, tak baik mereka kenakan harga tinggi kepada orang kita," pemandu itu bercakap dengan sopan. "Ofis mana?" Soalnya lagi.

Saya menjawab, sambil sengaja menegaskan perkataan, "BERITA Publishing!" Ini untuk membuktikan bahawasanya saya memang reporter.

Mendengarkan kata-kata itu, saya dapat rasakan yang pemandu berkenaan semakin serba salah dengan kesilapan kawan-kawannya, lantas dia diam... Dan saya turut diam sambil mengetap bibir menahan geram dengan sikap pemandu-pemandu teksi yang cuba mengenakan saya dengan caj tinggi tadi.

Monday, August 15, 2011

Percutian di Krabi, Thailand.


Indahnya alam....Pemandangan di antara dua gua, warna biru kehijauan ini sentiasa tersemat di ingatan. Gambar ini diambil ketika lawatan ke pulau Phi Phi pada hari kedua.


Sebaik tiba di stesen bas Transnasional di Hatnyai, kami menaiki tut tut untuk ke stesen bas utama di mana kami seterusnya menaiki van untuk ke Ao Nang, Krabi.



.




"Krabi? Kat mana tu?"

Demikian reaksi saya pertama kali mendengar nama itu yang sedang diperkatakan oleh rakan-rakan sepejabat. Mereka sedang memilih tempat untuk pergi bercuti dengan membuat tempahan perjalanan bersama pesawat AirAsia yang sedang mengadakan tawaran tambang murah.
"Kat Thailand ke?" Saya meneka mengikut gerak hati dan mereka mengangguk. Betul pula tekaan saya itu.

Lucunya, saya memang agak ketinggalan dalam hal tempat-tempat melancong. Selama ini memang tidak berminat untuk menghabiskan wang dengan cara itu. Walaupun teringin, hati saya kuat menyatakan kalau pergi dengan wang sendiri, `tak payahlah... membazir saja!' Selama ini, saya hanya menunggu peluang untuk pergi secara percuma, atas urusan pejabat. Selama ini pun banyak jugat tempat di negara Asia yang saya sudah sampai melalui perjalanan yang ditaja.

Entah kenapa pada hari itu, hati saya menggeletek untuk ke luar negara dengan wang sendiri tetapi bila mengambil kira perbelanjaan untuk pergi bersama seorang anak dengan pesawat AirAsia, saya bersungut `banyak juga habis duitnya.' Akhirnya saya tak jadi membuat tempahan. Namun nasib berpihak kepada saya, apabila kawan baik saya, Zurin mengajak pergi.

"Kak, saya dah tengok (gambar kat internent).... Krabi, cantiiiikkkkk kak... saya nak pergilah! Akak nak ikut?" Zurin, kaki bag packer menyoal.
"Dengan AirAsia?" Saya menyoal.
"Tak nak dengan Air Asia, lambat sangat... saya nak pergi dalam masa terdekat," ujar Zurin.
"Bila?" Saya menyoal lagi.
"Bulan depan. Saya nak naik bas, murah saja," jawab Zurin lagi.
"Bulan depan? Cepatnya!" Saya terkejut. "Berapa?"
"Untuk seorang perjalanan pergi balik, seratus lebih saja.. hotel kita tempat yang harga patut," tambahnya.

Dipendekkan cerita rancangan kami akhirnya menjadi kenyataan. Rancangan untuk pergi bertiga akhirnya menjadi bertujuh. Semuanya berminat untuk pergi di saat akhir, kerana percaya kepada Zurin selaku ketua.

Percutian selama lima hari bermula Selasa malam. Bertolak dengan bas Transnasional dari Puduraya ke Hatnyai, sekitar jam 10 malam. Sampai di stesen bas Hatnyai jam 6 pagi.
Perjalanan dengan van dari stesen bas Hatnyai ke Ao Nang, mengambil masa kira-kira tiga jam. Van bekenaan menurunkan kami di satu pejabat yang menyediakan kaunter tempahan kegiatan island hopping. Pandai betul, dia sengaja meninggalkan kami di situ - kira-kira 30 minit lagi perjalanan ke kawasan pantai - supaya berpeluang bertanya mengenai tempahan kegiatan melawat pulau.

Sudah tentulah kami bertanya mengenai harga dan sebagainya di situ dan akhirnya mengambil keputusan membayar keseluruhan wang untuk tempahan perjalanan melawat pulau untuk dua hari. Hari pertama kegiatan island hopping dan kedua, lawatan ke pulau Phi phi. Setiap seorang perlu membayar lebih RM100 untuk dua hari lawatan di pulau dengan menaiki bot laju. Pelanggan boleh memilih sama ada ingin menaiki bot laju atau bot ekor panjang (long tail boat). Sejurus selesai tawar menawar dan membayar, van tadi muncul semula dan datang mengambil kami untuk menghantar ke kawasan pantai, destinasi sebenar kami.


Destinasi kegiatan melawat pulau (island hopping) yang pertama di Tup island. Laut biru kehijauan luas terbentang, pasir halus memutih....

Di Tup island kami terperangkap sejam dalam hujan, ketika inilah kebimbangan melanda ... berdiri dalam sebuah pondok kecil beramai-ramai sambil menunggu hujan berhenti, teringat peristiwa Tsunami... "Bagaimana kalau ombak besar melanda dan menenggelamkan kami di pulau yang amat kecil ini? Oh Tuhan selamatkanlah kami! Apakah yang saya buat di sini," bisik hati kecil saya. Ketika itu, saya pasrah. Mujurlah kira-kira 30 minit kemudian hujan berhenti dan kami sambung dengan sesi bergambar.

My dotter ni, dia saja asyik nak bergambar... bagi chanlah kepada dia....

Yana, di tepian pantai, di sebelah long tail boat.

Di Phranang. Saya suka bangat dengan pemandangan di sisi gua dalam laut ini.... huuhhh!

Cuba nak ambil gambar ombak membelah pantai....

Zurin, saya dan Dila dengan gelagat masing-masing... keletihan...

Yana lagi berposing di celah akar berserayut di tepi gua... tempat ini sesuai dijadikan lokasi penggambaran cerita seram.

Yana bergambar dekat papan kenyataan di tepi gua pulau Phranang..

Itulah nama-nama tempat yang kami lawati, pada papan tanda arah tu...

Di depan chalet, di Phranang beach.


Yana dengan Mad, pemandu pelancong kami selama dua hari - island hopping di pantai Ao Nang, Krabi. Mad ni sangat nakal ... dia menggelar saya `amak' (emak) ! "Call me Mad," katanya yang mengakui beragama Islam, memang pun dia Islam ... nama penuh dia, Mohamad.

Dalam bot, bersiap sedia dengan jaket keselamatan untuk pergi snorkeling...

Ini trip keesokan harinya.... ke Phi Phi island.. perjalanan bot melalui celah gua, pemandangannya waduhh.. sungguh mengasyikkan! Rujuk gambar paling atas..

Ketua bag packer kami, Zurin.. kelihatan tegas orangnya tetapi bila terlambung-lambung dalam bot laju yang meredah badai, tiba-tiba dia berbisik, "Kak.... saya takut!!!"


Hmmm akhirnya sampailah ke destinasi, snorkeling... Yana ni yang paling terer... pergi ke tengah laut, yang lain bermain di tepi bot saja.. Yana siap bawa roti dalam botol berair, untuk dituang dalam laut, bagi menarik perhatian ikan-ikan...

Ini hanya sebahagian kecil gambar dari album `Sepanjang Jalan Kenangan' saya di Ao Nang, Krabi... kalau ada masa sambung lagi cerita...