Tuesday, July 28, 2009

Izzat melaram di majlis makan malam



Izzat depan sekali, bersedia untuk menjamu selera

Ini kisah anak, Irfan Izzat semasa praktikal di Alam Maritime, seronok bukan main dapat makan free dalam dinner tajaan syarikat berkenaan yang gemar mengadakan jamuan untuk staff.
Yang ini gambar sewaktu dinner atas restoran Cruise Tasik Putrajaya minggu lepas. Walaupun dalam keadaan demam, digagah juga pergi kerja sebab pada malam itu nak ikut staff lain pergi dinner.
Pulangnya lewat malam dengan kegembiraan, "Huh, bestnya makan kos RM150 sekepala."
Izatt tidak lupa bawa kamera SLR untuk merakamkan kenangan... mula-mula bercadang ambil gambar sesama kawan selatihan, tetapi kemudian semua staff dan bos-bos ikut posing.
Kata Izzat lagi, setiap jumaat tak payah keluar duit untuk lunch sebab syarikat jamu staff dengan makanan katering taraf hotel.
Pada hari-hari lain, petang-petang ada saja orang belanja beli kuih-muih... pendek kata makan tak putus, tambahnya.
"Tapi, Izat praktikal tugasan dah macam kerja betul... mana boleh... elaun RM300 je!" dia merungut.
"Untung juga dapat RM300, tempat lain ada yang tak dapat langsung," kata saya.

Sesi menyelesaikan tugasan...


Izzat dan Kamil masa celebrate hari jadi `main-main'.
Selasa, 28 Julai 2009

Hari ini kedua-dua anak lelaki demam. Irfan Izzat, Irfan Kamil. Dua-dua batuk, sakit tekak. Kenalah ber alah, buat kerja di rumah. Sambil menunggu mereka tidur lepas makan ubat, tangan ligat di papan kekunci. Tak tahulah nak kata - `hari ini bekerja atau tidak' - yang pasti, duduk di rumah yang sunyi ini (apabila bebudak tu tidur dan tv tidak dipasang) makin produktif pula menulis. Semua yang perlu ditulis dan disubmit, dah pun di emel... tinggal write up iklan... kalau pergi ofis, tak tentu siap semua kerja tu. Esok meeting, kenalah hantar yang apa patut kalau tidak kena bambulah lagilah...

Sunday, July 26, 2009

Doa untuk 2 bekas rakan sepejabat


Kenangan bersama Cik Yam di Bandung (depan, kanan sekali)


Sibuk berface book... lupa pula nak update entry. Tiba-tiba rasa malas dan tidak ada mood. Apa tidaknya suasana pejabat semakin hari semakin sepi. Maka hati pun berasa seakan mati. Selepas seorang staff Anjung Seri, Huda keluar menyambung pengajian di bidang perguruan, kini dua lagi mengikut jejak.

Siti Mariyam dan Anis dari majalah Jelita sama-sama seia sekata pergi ke syarikat lain. Ini menunjukkan dengan pengalaman yang ada, mereka mudah saja mendapat peluang kerja di tempat lain. Dengan tawaran gaji yang lebih baik, didoakan kerjaya mereka akan terus meningkat dan berjaya dalam hidup....

Sunday, July 19, 2009

Beli atau tidak?

Hari ini di kampung, Bandar Jengka.

8.30 pagi. Kabus masih memutih meliputi jalan menghala ke satu tempat. Wah syahdunya. Jam 8.30 masih ada kabus. Begitulah keadaan di luar kota.
Saya dan suami keluar awal, menuju ke satu tapak binaan tidak jauh dari rumah orang tua. Tujuannya nak melihat perkembangan projek binaan banglo dan teres di situ. Masuk kali ini, entah berapa kali dah saya menjenguk tempat itu. Wah dah perkembangannya boleh tahan. Banyak sudah lengkap berdinding dan berbumbung. Laluan masuk ke kawasan taman yang dalam pembinaan itu masih berpalang. Kami cari laluan, dengan berjalan kaki. Sanggup menyeberang longkang untuk melihat seunit rumah berkembar. Dulu belum ada apa-apa melainkan timbunan pasir dan batu serta tempat meletak jentolak. Itulah tapak rumah yang kami bercadang beli. Wah hari ini, rangka besi konkrit sudah tercacak. Lega. Macamlah dah beli.
Sebenarnya saya baru menempah unit itu dengan bayaran RM500 beberapa bulan lalu. Surat perjanjian jual beli sudah disediakan pemaju untuk ditanda tangani. Tiba-tiba hati saya bimbang. Bimbang terbengkalai. Maklumlah musim gawat. Sampai sekarang belum berani buat keputusan. Pemaju sudah berapa kali telefon bertanyakan jadi beli atau tidak. Dulu saya buat alasan, takut terbengkalai. Sekarang dah ada tiang dan yang lain semua dah nak siap, apa lagi nak bagi alasan?
Menjelang hari tua, kononnya berangan nak balik kampung duduk dikelilingi ibu bapa dan adik beradik. Tinggallah kota raya yang sibuk dan sesak ini. Persoalannya... RM280,000 seunit - Ansuran bulanan kira-kira RM1,800 sebulan...mampukah nak beli? Mahu berhenti kerja, tetapi nak buat hutang lagi... dengan apa nak bayar? Jual rumah di KL?

Saturday, July 11, 2009

PC Teater Muzikal Tun Abdul Razak

Dato' Rahim Razali berucap mengenai pembabitannya dalam teater muzikal Tun AbdulRazak.



Sabtu - 11 Julai 2009.

Petang tadi menemani Iliyana ke majlis Sidang Akhbar Mempromosi Barisan Pelakon dan Krew Teater Muzikal Tun Abdul Razak di Aswara. Tugas Iliyana merakamkan gambar kegiatan di majlis itu, dan saya seperti biasa menolongnya mendapatkan maklumat.

Seramai 100 pelajar dan pensyarah Aswara terbabit dengan program teater muzikal itu yang akan dipentaskan di Istana Budaya bulan Ogos nanti. Projek teater pelajar itu terpilih ke pentas antarabangsa, Istana Budaya - memanfaatkan kepakaran Dato Rahim Razali sebagai pengarah dan pelakon Rashidi Ishak selaku Tun Abdul Razak dan Fauziah Latiff sebagai Toh Puan Rahah.

Pementasan itu membabitkan pelajar Aswara dari semua jurusan - teater, muzik dan tarian. Skrip asal teater muzikal itu dihasilkan oleh salah seorang pelajar Penulisan Kreatif (lelaki). Sebagai pelajar penulisan, Iliyana tidak terbabit dalam lakonan mahupun tarian, tetapi berangan-angan nak offer diri jadi krew di belakang tabir (set).

Pada saat ini dia terbabit sebagai krew set pentas persembahan bangsawan di Panggung Bandaraya, yang membuatkan saya sesak nafas, bila dia balik lewat malam.

"Mama bukan suruh kamu buat kerja tu, kamu tu adalah penulis - tak payah buat kerja-kerja lasak tu... yang ini last tau. Mama tak benarkan lagi," saya merungut.

Belum selesai pementasan yang ini, dah berangan nak join krew di Istana Budaya...

"Sebab apa yang rajin sangat tu?" Saya menyoal.

"Nak duit! Hari itu adik dengar, ada offer seminggu kerja dapat RM800."

"Siapa yang bayar?"

"Istana Budayalah."

"Yang kerja untuk teater bangsawan di Panggung Bandaraya ni, ada bayaran ke?"

"Adalah, tapi taklah mahal seperti di Istana Budaya," jawabnya.

Friday, July 10, 2009

Dua Beradik Umpama Tahi Cicak


Seorang hitam, seorang putih


Kebanyakan daripada kita tentulah menginginkan anak berkulit cerah, setidak-tidaknya setara dengan kulit ibu atau bapanya. Orang kata, kalau nak anak berkulit cerah, minumlah air soya. Saya pun minumlah sewaktu mengandungkan mereka. Malangnya Irfan Izzat si abang dilahirkan berkulit kelabu asap, bila besar bertambah gelap, tak tahulah kenapa. Adik dia Iliyana pun dilahirkan tidak cukup putih, walaupun ketika mengandungkannya saya amalkan juga minum air soya.

Seboleh-bolehnya saya mahulah seorang anak yang kalau tidak putih sangat, setakat sama dengan emaknya pun okeylah. Saya pun berikhtiar untuk itu. Sewaktu mengandungkan Irfan Kamil, saya mengikut petua Islam - amalkan membaca surah Yusof. Hasilnya positif, bukan sahaja dia dilahir berkulit putih...malah ada lesung pipit!

Gambar: Tengoklah kedua beradik ni - kerana warna kulit mereka jauh berbeza saya tidak perasan yang wajah kedua-duanya ada iras, sehinggalah disedarkan oleh seorang rakan.