Saturday, February 20, 2010

Kisah anak-anak maklong

Yue dan bondanya (maklong)


Semalam melayani dua anak saudara, Yue dan Biah datang nak memilih baju kahwin. Yue si adik, dengarnya dah lama sangat berkawan dengan pak we dia (sepupunya juga). Selesai pengajian master dalam bidang enggineering, terus saja nak kahwin. Ikut saya, biarlah dia kerja dulu tetapi dah dia nampak confident dengan masa depannya, tak apalah. Daripada ke hulu ke hilir, baiklah kawin cepat-cepat. Kakaknya Biyah atau di kalangan kawan-kawan dikenali Saba, relaks saja lagi. Berpakwe diam-diam. Adik mereka, Nor pun dengarnya dah ada calon. Amboi kalau dah kahwin semua nanti, tambah berkembanglah keluarga akak@maklong.

Bercakap fasal maklong, nasib dia baik sungguh. Dalam kepayahan membesarkan anak-anaknya yang seramai enam orang seorang diri (suaminya dah lama meninggal), berjaya juga mereka akhirnya. Boleh dikatakan semua`menjadi' . Sabariah (Biah) lulusan kejuruteraan, dah pun bekerja dengan Lembaga Lebuh Raya. Yue akan menamatkan pengajian master, bidang kejuruteraan juga. Salutelah dengan mereka sebab saya tak suka matematik dan sains. Nor yang ketiga dah tamat diploma pendidikan awal kanak-kanak - dah pun bekerja dengan Kemas. Hanya adik lelaki mereka Sedi (Rusydi) yang nakal sikit tu saja yang suspensnya, kerana kemalangan motor hari itu, pengajiannya tertangguh. Dulu pernah tanya Sedi, besar nak jadi apa, dia jawab nak jadi engineer juga. Macam mana nak lepas, malas belajar tak bersungguh2.
Nani adik mereka, ada tanda-tanda akan berjaya, nampaknya rajin belajar tanpa di suruh. Dan adik yang paling bungsu Sedan (Rasydan), bersekolah Tahfiz. Melihatkan perangai abangnya tulah yang menyebabkan maklong nak masukkan Sedan ke sekolah Tahfiz. Nampaknya, jaga anak lelaki ni susah sikit.... suka main-main dan tak serius belajar.


Kiri sekali Nor, disebelahnya Nani. Duduk ialah Yue dan yang tunduk berbaju oren, Biyah (empat daripada enam anak maklong). Yang kecil sekali, adik Lin dan yang berbaju ungu, Dayah - anak adik saya yang lain. Bukan kereta ini yang mak dia dapat daripada Zhulian tu...

Kalau anak-anak maklong semua berjaya, sebagai mak sedara, sayat turut bangga. Yang si emaknya, dah lewat usia masih giat lagi nak berniaga MLM Zhulian. Sejak dapat ganjaran kereta, bertambah-tambah gigih berniaga sampai jarang lekat di rumah. Dapat melancong keluar negara percuma, entah berapa kali dah. Ke New Zealand, ke China, Ke Bali dan entah ke mana lagi, rata dah pergi. Kerana tak ada suami, Biah yang sulunglah yang beruntung dapat turut serta.

Kerana terlalu sibuknya maklong, kejap dia berpindah duduk dengan emak dan ayah, sekejap berpindah duduk bersama adik-adik. Yalah kalau dia outstation, siapa lagi yang akan tengok-tengokkan anak-anak dia tu, tentulah mak-mak sedara dan ma serta ayah. Rumah banglo mereka di kampung ditinggalkan. Suatu ketika Sedi punya hal, membuat ma pening kepala. Selalu ma bersolat hajat untuk Sedi. Suatu hari ma sanggup suruh saya balik, semata-mata mahu kami bersama-sama bersolat hajat di masjid Bandar Jengka kerana Sedi. Bila Sedi jatuh motor dan terlantar sakit, ma dapat stroke. Tidak tahulah sama ada ada kaitan dengan Sedi atau tidak. Ma cepat susah hati kalau apa-apa berlaku kepada anak dan cucu-cucunya. Syukurlah sekarang, ma sudah pulih.

Anak2 maklong, Nor kiri sekali, yu nombor tiga dari kiri, diikuti Biah dan Nani. Kedua dari kiri ialah Dayah anak makngah.

Fasal Sedan adik bungsu mereka pula.... sekarang, kecoh pula kakak-kakaknya mahu keluarkan dia dari sekolah Tahfiz di Kuantan kerana tempat tu tak ada pengajian akademik. Saya sempat melayari internet dan terbaca mengenai sebuah sekolah Tahfiz Akademik untuk anak yatim dan untuk budak-budak biasa, lalu terus cadang agar Sedan ditukarkan ke situ. Biah dan Yue pun bersetuju. Tambah lagi Sekolah Tahfiz Fuqaha, di Sungai Merab tu dekat pula dengan tempat duduk Yue di Bangi. Semoga Sedan dapat masuk ke sekolah itu. Kalau dapat program untuk anak yatim lagi bagus, dapatlah dia belajar secara percuma sehingga ke peringkat diploma.

Friday, February 19, 2010

Lagi Kisah Kamil, Sedan dan Deha...

Kamil (baju ungu), Sedan (baju peach), Deha (baju kuning -- tinggi)



Macam tak ada kisah menarik nak dicerita. Balik-balik fasal Kamil. Pulang dari asrama minggu lepas, sempena cuti Tahun Baru Cina, dapatlah kami pulang ke Bandar Jengka semalaman. Kamil tak sabar nak jumpa dua sepupunya yang masuk sekolah Tahfiz di Kuantan. Sebelum balik Kamil bertanya , "Macam mana dengan Sedan dan Deha (Rasydan dan Adha)...?"

"Macam mana apa?" Tanya saya.

"Perangai dialah..?"

Dalam kepala Kamil kalau masuk sekolah Tahfiz, tentulah perangai Sedan dan Deha sudah bertukar menjadi orang alim. Pulang hari Sabtu lalu, dapatlah Kamil bertemu sendiri dengan dua sepupunya itu. Saya pun teruja nak jumpa dan menemubual Sedan dan Deha. Sampai di rumah, yang kelihatan berbeza hanyalah kepala mereka yang hampir tidak berambut. Setiap dua minggu sekali rambut mereka dicukur, katanya untuk `meringankan' kepala dan supaya mudah menghafal.

Sebelum itu, Kamil asyik menyebut mahu pergi bersekolah Arab atau Tahfiz. Dia terkilan tidak dapat masuk sekolah seperti itu.

Sewaktu berbual-berbual sambil makan tengah hari, Biah kakak Sedan mengejipkan mata... sambil berbisik memberitahu mahu membawa Sedan keluar dari sekolah itu. Pengajian Tahfiz tanpa pelajaran akademik, membuatkan mereka tidak yakin dengan masa depan Sedan.

"Cadang nak bawa dia keluar dari sekolah Tahfiz tu," kata Biah.
"Dia nak ke?" Soal saya.
"Sedan kata, kalau tukar ke sekolah lain dia tak nak, tetapi kalau tukar ke sekolah Kamil, dia nak. Kamil belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak yang ada kelas program rancangan khas Bahasa Arab.

"Sedan kata, kalau tukar dia nak masuk sekolah Kamil," kata kakaknya lagi.

Saya tersenyum. Kenapa? Sebabnya, saya terkilan Kamil tak masuk sekolah Tahfiz macam Sedan, tetapi Sedan pula nak masuk sekolah Kamil.

Perbualan saya dengan Biah terdengar pula oleh emak Deha, lalu dia bertanya... "Biah kata, dia nak keluarkan Sedan? Inilah abah Deha marah betul, Saya dah bagi tahu jangan keluarkan... kata nakkan didikan agama, supaya dia jadi anak soleh. Kalau keluar nanti, jadilah macam abang dia tak lekat di rumah," rungut emak Deha.

Saya tahu, paling emak Deha bimbang ialah takut Deha juga mahu ikut keluar. Kisahnya, sebulan pertama Deha di sekolah Tahfiz, dia asyik merengek mahu pulang. Deha tidak pernah berenggang dengan ibunya, itulah... home sick setiap malam teresak-esak nangis tapi Sedan biasa saja. Tengah seronok berbual-bual, bila teringat rumah - muka Deha berubah, tiba-tiba panjat katil dan menangis lagi teresak-esak. Sedanlah yang memujuk Deha supaya jangan sedih. Sedan adalah anak yatim, bapanya meninggal sejak dia masih kecil tetapi berhati tabah kerana selalu juga ditinggalkan ibunya yang kerap bekerja outstation.

Sedang memikir untuk syorkan Sedan masuk sekolah anak yatimTahfiz yang ada pengajian akademik, supaya Sedan dapat belajar Tahfiz dan akademik serentak. Kamil pula, nampaknya sudah seronok duduk di sekolahnya... mungkin sudah dapat ramai kawan baru, tidak lagi teringat-ingat sangat untuk ke sekolah agama di Sabak Bernam. Ramai kawan-kawannya masuk sekolah di situ.
Muka boring Kamil sewaktu mendaftar di sekolahnya. Dia merungut kerana tak ada seorang pun kawannya masuk ke sekolah itu. "Sebab Kamil seorang saja yang terpilih masuk ke sekolah ini, " saya memberi alasan untuk memujuknya.

Leka melayari blog orang

Hmmm dalam tak ada semangat nak update blog, tiba-tiba semangat berkobar-kobar nak kembali bercerita. Ini gara-gara selepas banyak membaca blog orang lain yang tidak dikenali. Sejak diperkenalkan oleh kawan baik, Zurin mengenai blog Salam Dua Benua Blog milik rakyat Malaysia yang tinggal di Perth Australia, saya kini sudah pandai berlayar jauh ke seberang laut. Zurin juga memperkenalkan saya kepada blog `patinpasta' milik anak pahang yang kini berada di Spain.

Ralit membuang masa membaca kisah hidup mereka, dalam hati berkata-kata mereka ini banyak sungguh masa untuk mengupdate blog. Lemongrass pemilik blog Salam Dua Benua yang berasal dari Ijok, adalah antara yang aktif, setiap hari melaporkan kisah santai dalam keluarganya di Perth. Paling saya suka tengok gambar makanan Barat yang disediakan untuk keluarganya setiap hari. Nampak macam susah untuk disediakan tetapi mungkin senang sangat bagi dia yang sudah biasa dengan masakan Barat.

Kalau kawan-kawan buka blog Salam 2 Benua berderet senarai nama blog kawan-kawannya di seluruh dunia. Agak saya, mereka ini mungkin tidak bekerja makanya boleh mengupdate blog setiap hari. Gaya penceritaan dalam bahasa Inggeris bercampur b Melayu dengan ejaan sesuka hati, membuat kita berasa santai dan tidak jemu membacanya.

Okeylah, sekarang saya nak update kisah saya pula.... nak cerita apa ya? Tengoklah enteri di atas...

Friday, February 12, 2010

Puding yang menyelerakan!

Sejak akhir-akhir ini saya kerap melayari blog mereka yang gemar memasak. Gambar yang cantik dan persembahan menarik membuatkan kita kecur liur. Jealous betul tengok kepandaian mereka memasak... ada di antara mereka adalah rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara seperti di Australia, Jepun dan sebagainya.

Makanan mereka pula nampaknya pelik-pelik dan sangat menarik. Bagi saya yang tak ada masa nak memasak ini, sangat kagum dengan kerajinan mereka. Tiba-tiba saya teringin nak masukkan gambar makanan dalam entri blog saya pula. Tapi, maaflah tidak ada resepi... Berikut adalah himpunan gambar pencuci mulut yang sempat saya rakamkan.

Gambar di atas, puding marble kut. Biar saya teka bahannya mungkin daripada tepung jagung campur koko atau milo.


Puding berbatik merah, kuning dan hijau dan putih, nampak sungguh enak kan? Yang ini mungkin susu campur petak jeli warna-warni. Saja tak nak beritahu di mana saya dapat puding ni. Sebenarnya bukan ambil gambar ini saja-saja, adalah kegunaannya tu. Masih tinggal rancangan. Nak bagi tahu, takut rancangan tinggal rancangan. Angan-angan tinggal angan. Maklumlah orang kuat berangan-angan!

Yang ini pula puding bercampur buah kut, tidak tahulah apa lagi bahannya. Bahagian bawah warna lut cahaya di atas legap. Yang pasti saya sangat tertarik dengan warnanya yang berbatik tu... nak kena cari resepi puding-puding di atas untuk dicuba.... Kalau sesiapa ada resepinya boleh lagi bagi tahu....

Buah Melaka dan Sayur Lemak Kuning


Ini pula gambar kuih buah melaka ada panggil onde-onde. Siapa yang tak kenal dengan kuih ini? Dibuat daripada pulut dan tepung gandum atau tepung gandung dengan ubi keledek. Di dalamnya ada gula melaka dan diluar digaulkan dengan kelapa parut muda. Kuih ini saya pernahlah buat. Masa kelas sains rumah tangga sewaktu tingkatan tiga dulu pun diajar buat kuih ini.. Kalau nak makan kena berhati-hati. Masukkan semua ke dalam mulut dan kunyah. Kalau digigit sekerat, takut terpancut keluar air gula melaka di dalamnya, kalau terkena baju, cepat-cepat basuh dan lap.



Ini pula gulai paku lemak kuning. Senang saja nak buatnya, campur santan, bawang, ikan bilis dan cili tumbuk. Makan dengan nasi panas-panas. Hemmm..... Orang Melayu semua tahu, gulai masak kuning macam ini. Apa-apa sayur pun boleh guna, cara masak sama saja.

Monday, February 1, 2010

Gelagat IK dengan Hasil Kreativitinya...

Saya pun tak tahu apa motif gambar yang dihasilkannya ini...

Selepas penat melipat kain yang bertambun setinggi gunung dalam bilik, berehat sebentar di depan komputer. Semasa belek-belek gambar, terjumpa fail pix Irfan Kamil (IK), anak bongsu yang kini dah masuk asrama tu. Kamil ni dari dulu memanglah kreatif. Sejak di tadika lagi dia tahu melukis dan mewarna menggunakan komputer. Entah dalam fail mana dia simpan gambar-gambar lakaran berwarna menggunakan program paint tu. Ini terjumpa gambar dia konon-konon jadi model iklan. Pandai pula tu ambil latar di luar negara. Terpampang gambar muka dia yang perasan ensem.... tengoklah gelagatnya... saya pun tak tahu macam mana dia boleh reka semua tu...

Yang ini konon-konon dia jadi model iklan di bangunan tinggi........ ini gambar baru Irfan Kamil sebelum masuk tingkatan satu.

Ini pula konon-konon ada orang sedang melukis gambar dia...

Ini pula terpampang di skrin tv, konon-konon di ruang pameran/ kedai tv lah kut...

Gambar ni buat saya tersentap. Dalam fail simpanan Kamil, imej api `hidup' - sedang menyala melintuk-liuk membakar kertas gambar itu... tetapi bila saya copy kat blog ni, tak nampak bergerak pula api tu...
Sekeping gambar yang dirakam di Taman Orkid. di paste pada tangan orang, kemudian diletak imej api sedang membakar....

Yang ini pula konon-konon. seorang mat salleh sedang memasang kain rentang iklan gambar Kamil pada tembok batu bata.... rasanya gambar ni semasa darjah lima...


Tengok gambar yang ini pula, saya jadi sedih ... gambar ni dirakam sewaktu kami sibuk menyediakan keperluan barangan untuk dia masuk asrama. Inilah jumlah kasut yang perlu dibeli mengikut arahan barangan yang perlu dibawa. Dua kasut sekolah warna putih, satu kasut kulit warna hitam, satu kasut kanvas untuk kegiatan sukan dan satu sandal bertali. Saya membayangkan, kopaklah wang kalau dua orang masuk asrama serentak...itu tak masuk keperluan-keperluan lain...