Saturday, March 6, 2010

Festival Kraf 2010

1. Produk Batik

Hari Kraf Kebangsaan 2010
Gambar oleh RASHIDAH IBRAHIM

Jumaat (semalam), KUALA LUMPUR: Bertujuan mencari ilham untuk menulis, saya pun pergilah meninjau-ninjau ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur, di Jalan Conlay. Kebetulan berlangsung Festival Kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan 2010. Tak mahu ketinggalan melihat produk-produk kraf tempatan yang dipamerkan.

2. Produk Kayu ukir - Suka sangat dengan gerbang berukir ini. Membayangkan ia dipasangkan di anjung atau di depan pintu rumah sendiri, mesti gah ya...


Hari Kraf Kebangsaan (HKK) diadakan bertujuan memberi pengiktirafan terhadap pembabitan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf dalam membangunkan industri kraf negara. Program berlangsung dari 24 Februari hingga 8 Mac ini.
3. Produk kayu ukir

Tahun ini, HKK bertemakan Kraf Kreatif dan Inovatif, selaras saranan PM yang menjadikan tahun 2010 sebagai tahun kreatif dan inovasi. Dengan harapan penghasilan kraf yang kreatif dan inovatif akan membawa produk kraftangan Malaysia ke tahap lebih gemilang dan cemerlang.
4. Demonstrasi anyaman - asyiknya mereka ni menganyam, sambil buat `ketupat' ke?

Program sambutan kali ini berkonsep himpunan kraf Malaysia daripada pelbagai kaum dan budaya dari seluruh Malaysia. Selaras gagasan 1Malaysia, produk kraf rekaan terbaru dipamer dan dijual kepada umum. Aktiviti jualan dan pameran barangan kraf, bengkel rekaan, peragaan fesyen, demonstrasi serta interaktif serta pertunjukan fesyen dipersembahkan sebagai promosi untuk memperkenalkan produk kraf malaysia kepada semua golongan masyarakat.

5. Demonstrasi membuat kuih karas. Mak cik ni pula sedang tekun menggoyangkan acuan kuih karas yang diperbuat daripada tempurung. Untuk mengelakkan tangan lenguh, digantungnya acuan itu... jadi tak lenguh tanganya memegang.


Poyolah pula saya menulis dalam paragraf permulaan, dah ala-ala tulis berita... maklumlah terbawa-bawa dengan kerjaya sebagai orang surat khabar dan majalah... sebenarnya saje saya tulis lengkap begitu, sebab nanti senanglah nak copy paste kat rencana nanti...

Berbalik fasal Festival, kraf tu... memanglah meriah. Banyak sungguh kerajaan mengeluarkan belanja untuk membantu pengusaha-pengusaha dari seluruh negara mempromosi produk kraf masing-masing. Sepanjang festival itu, harga barangan tentulah murah dariapada biasa sebab mereka menjual pada harga kilang.

8. Kuih Karas

Tiga produk kraf iaitu batik, ukiran kayu dan anyaman dipamerkan di khemah berasingan. Siap berhawa dingin lagi, maka taklah panas dan pengunjung pun selesa untuk membeli belah dan meninjau barangan. Budak sekolah, institut pengajian tinggi dan kumpulan persatuan datang berduyun-duyun dengan bas, dari jauh dah dekat... paling laris ialah kuih tradisional .. baulu dan bingka, sehingga tak menang tangan tukang membuatnya... ada yang menempah banyak dan ada yang membeli sedikit... saya leka mengambil gambar gelagat mereka..

7. Produk Batik.

Hari Kraf Kebangsaan 2010 dilancarkan isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Berikut ucapan beliau sewaktu majlis pelancaran itu




By
:
Datin Paduka Seri Rosmah Mansor




Date
:
25 Feb 2010




Venue
:
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR




Title
:
MAJLIS PERASMIAN HARI KRAF KEBANGSAAN 2010





Bismillahirahmanirrahim

Yang Berusaha Saudara Pengerusi Majlis,YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim & Isteri YBhg. Datin Seri Masnah Rais, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan YB Senator Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, H.E Dr. Sharifa Bint Khalfan Al Yahyaeiyah Minister of Social Development The Sultanate of Oman, YBhg. Datuk Wira Kamaruddin Siaraf Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan YBhg. Datuk Zakiah Ahmad Pengerusi Kraftangan Malaysia, Yang Berusaha Encik Mohd Kamil bin Mohd Ali Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.

Tan Sri - Tan Sri, Puan Sri - Puan Sri, Dato' - Dato', Datin- Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Ada akar hidupan berumpun
Guna serai seikat pintalnya
Apa khabar tuan dan puan
Harap sihat sejahtera hendaknya

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini bagi menjayakan Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2010.

2. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kerana sudi mengundang saya untuk menyempurnakan majlis pada hari ini dan seterusnya menyampaikan pengiktirafan kepada usahawan kraf serta penghargaan kepada pihak hotel dan pusat beli-belah yang telah menyokong usaha Kerajaan untuk memajukan industri kraf negara.

3. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian dan khasnya Kraftangan Malaysia kerana berjaya menganjurkan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan buat kali yang kelapan semenjak tahun 2003. Saya amat gembira menyaksikan ratusan usahawan kraf berkumpul untuk sama-sama menjayakan satu-satunya program kraf yang dilaksanakan secara besar-besaran setiap tahun. Saya difahamkan pada kali ini Kraftangan Malaysia akan menyambut Hari Kraf Kebangsaan secara serentak di Kompleks Kraf dan juga di lokasi-lokasi lain iaitu di hotel-hotel dan pusat beli-belah.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

4. Alhamdulillah, dari setahun ke setahun penganjuran Hari Kraf Kebangsaan ini telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari segi jumlah jualan iaitu bermula dari RM 300,000 pada tahun 2003 kepada RM11.7 juta pada tahun lalu. Saya ucapkan tahniah dan syabas di atas pencapaian ini yang mana telah membuktikan bahawa produk kraf tempatan mempunyai pasaran dan potensi yang baik untuk dimajukan.

5. Industri kraf merupakan salah satu komponen industri kreatif yang mana juga sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Saya dimaklumkan bahawa berdasarkan kajian oleh Kraftangan Malaysia, saiz pasaran domestik industri kraf juga telah meningkat daripada RM200.9 juta pada tahun 2004 kepada RM243.7 juta pada tahun 2007 iaitu peningkatan sebanyak 21.3%. Ini menunjukkan industri kraf walaupun masih merupakan industri cottage namun mampu menyumbang kepada ekonomi negara jika terus diusahakan dengan gigih. Keadaan ini serupa dengan industri kraf di negara lain seperti India, Thailand, Indonesia, Bangladesh di mana industri kraf juga merupakan industri cottage yang menyumbang kepada pendapatan negara.

Para hadirin yang di hormati sekalian,

6. Kraf tangan adalah begitu sinonim dengan wanita, sama ada di Malaysia mahupun di negara-negara lain. Mengikut perangkaan sebahagian besar usahawan kraf di Malaysia adalah terdiri daripada golongan wanita. Daripada seramai 6,167 orang jumlah usahawan kraf secara keseluruhannya,seramai 4,117 orang atau 67% adalah wanita. Majoriti daripada usahawan kraf wanita bergiat aktif dalam bidang tekstil dan anyaman. Bidang-bidang ini mendapat sambutan kerana ia tidak melibatkan kerja-kerja berat dan ia boleh di buat di rumah.

7. Dari segi jumlah jualan produk kraf yang di hasilkan oleh golongan wanita, ia juga telah mencatatkan peningkatan iaitu daripada RM 124.2 juta pada tahun 2004 kepada RM 162.7 juta pada tahun 2007, iaitu peningkatan sebanyak 31%. Jika dilihat secara keseluruhannya dari segi jumlah penglibatan golongan wanita dan jualan kraf ia bermakna secara purata pendapatan setiap pengusaha kraf wanita adalah dalam lingkungan RM 40,000 setahun. Dari itu, jelaslah bahawa sektor kraf mampu menjana pendapatan tambahan kepada seisi keluarga di samping mempertingkatkan taraf hidup keluarga berkenaan.

8. Ekoran dari perkembangan ini, saya berharap agar Kraftangan Malaysia dapat membantu golongan wanita secara menyeluruh dari aspek pengeluaran dan pemasaran supaya perusahaan mereka dapat berkembang dengan lebih pesat lagi. Kraftangan Malaysia juga perlu membimbing mereka yang berkemahiran ini supaya menjadi usahawan dan mampu menjana pendapatan sendiri. Justeru, saya menyeru kepada semua wanita agar sentiasa peka terhadap setiap perubahan, sentiasa memanfaatkan peluang yang disediakan dan turut serta dalam apa jua program yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Hadirin Sekalian,

9. Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berbangga dengan keupayaan usahawan kraf kita yang mampu menghasilkan pelbagai produk yang estetik, berkualiti, praktikal serta mempunyai keunikannya tersendiri. Sekiranya kita lihat negara-negara seperti India, Thailand, Indonesia, rakyatnya sangat megah dan bangga menggunakan produk kraf keluaran negara mereka sendiri. Dari itu, kita seharusnya mencontohi mereka dengan menggunakan produk kraf tempatan sama ada sebagai pakaian harian, hiasan dalaman, landskap dan lain-lain.

10. Di sini saya ingin menyeru kepada semua pembesar negara, ahli-ahli korporat serta rakyat amnya supaya mengutamakan pemakaian baju batik, tenun dan songket tempatan semasa menghadiri majlis-majlis utama. Sebenarnya tekstil kraf tempatan mempunyai keunikan tersendiri seperti batik eksklusif yang dikeluarkan hanya sehelai sahaja. Untuk makluman, saya dan YAB Perdana Menteri adalah pencinta tekstil batik. Kami memakainya di majlis-majlis rasmi, baik di dalam mahu pun di luar negara. Kami bangga memakai tekstil batik, hasil titik peluh usahawan tempatan.

11. Tanggungjawab untuk mempromosikan produk kraf tempatan harus di galas bersama oleh pelbagai pihak baik kerajaan mahupun sektor swasta. Saya yakin sekiranya ini dapat di usahakan ia akan mengakibatkan satu lonjakan terhadap permintaan kraf tempatan. Justeru, saya menyeru supaya Kraftangan Malaysia bersedia dengan perancangan yang rapi bagi pengeluaran tekstil kraf dibuat mengikut segmen pasaran atau permintaan. Sebagai contoh, pasaran untuk kanak-kanak juga terbuka luas. Usahawan dan pereka fesyen boleh berganding bahu untuk menghasilkan produk kraf untuk kanak-kanak seperti pakaian, mainan dan sebagainya. Saya percaya dengan peluang ini, saiz pasaran industri kraf akan dapat dipertingkatkan lagi.

12. Bagi memastikan kecintaan kepada seni kraf, aktiviti pendidikan seni kraf hendaklah disebar luas dan dimulakan dari peringkat awal lagi. Bak kata pepatah "Jikalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tak kenal maka tak cinta". Pendedahan awal kepada aktiviti pembuatan kraf tempatan adalah penting kerana ia dapat membina kecintaan terhadap kraf dan membentuk karakter kanak-kanak. Mereka ini juga perlu digalakkan supaya menjadikan kraf sebagai hobi dan kerjaya seni kraf sebagai kerjaya pilihan apabila dewasa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Sebagaimana kita sedia maklum, kreativiti dan inovasi mempunyai kaitan yang rapat dengan industri kraf. Justeru bagi memastikan pembekalan produk kraf yang memenuhi permintaan pasaran secara berterusan, Kraftangan Malaysia perlu sentiasa menitikberatkan kreativiti dan inovasi serta pembaharuan dalam proses pengeluaran. Teknologi baru perlu diterokai dan diadaptasikan dalam penghasilan produk kraf agar dapat menjimatkan masa, kos, kuantiti yang banyak serta kualiti yang konsisten. Ini selari dengan pemikiran Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berinovatif dan kreatif.

14. Usahawan kraf perlu mempunyai minda yang terbuka untuk menerokai pasaran di dalam dan luar negara. Dalam perkara ini saya percaya produk yang sesuai untuk sesuatu pasaran perlu dihasilkan supaya produk kraf Malaysia dapat bersaing dengan produk-produk hasilan luar negara. Fokus perlu diberi pada aspek rekaan kerana ia merupakan salah satu kriteria yang mendorong seseorang membeli produk tersebut. Oleh itu, saya menyeru usahawan untuk berusaha lebih gigih menghasilkan rekaan-rekaan yang baru dan inovatif supaya dapat bersaing dalam pasaran domestik dan global. Di samping bekerja keras, para usahawan juga perlu terus menghasilkan produk yang kompetitif dan mampu berdaya saing.

15. Seperti mana yang kita sedia maklum industri kraf tempatan dihimpit persaingan sengit daripada negara pengeluar kraf seperti India, Pakistan, Thailand, China, Indonesia. Dalam keadaan ini usahawan tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan peluang berlalu begitu sahaja. Kita harus menandingi mereka dengan menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif serta menawarkan harga yang kompetitif. Industri kraf perlu mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan keupayaan dan kapasiti untuk menghadapi cabaran persekitaran arus perniagaan yang semakin terbuka. Inovasi dan pemerolehan teknologi baru, serta keinginan untuk meneroka pasaran baru selain daripada pasaran tempatan merupakan faktor integral dalam membangunkan daya saing dan mempertingkatkan produktiviti industri kraf.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Saya sedia maklum bahawa Kraftangan Malaysia sering mengadakan peragaan fesyen menggunakan tekstil kraf seperti batik, tenun dan songket. Sebagai penaung kepada Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival, saya ingin melihat Kraftangan Malaysia memainkan peranan yang lebih aktif dalam menonjolkan penggunaan kraf tekstil dalam Busana Muslim di peringkat antarabangsa. Saya difahamkan Kraftangan Malaysia akan mengadakan Promosi Busana Muslim pada tahun ini. Dengan itu, saya ingin menyeru supaya ia di gabungkan dengan Islamic Fashion Festival (IFF). Ini bertujuan supaya kraf tekstil dapat dipertontonkan dan dihebahkan dengan lebih meluas lagi.

17. Selain dari itu, saya juga ingin mencadangkan supaya Kraftangan Malaysia menerajui usaha untuk menganjurkan satu Eksposisi Kraf Tekstil Sedunia di mana negara-negara pengeluar kraf tekstil dapat menyertainya. Eksposisi ini boleh dijadikan landasan bagi usahawan kraf dan pereka fesyen untuk menampilkan produk-produk hasilan mereka.

18. Sebelum mengakhiri ucapan saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada usahawan kraf yang akan menerima pengiktirafan serta pihak hotel dan pusat beli-belah yang mendapat penghargaan. Saya berharap kejayaan ini akan menyuntik semangat untuk terus menyumbang ke arah membangunkan industri kraf negara. Semoga ini juga menjadi pendorong kepada para usahawan kraf dan pihak-pihak lain untuk turut menggembleng tenaga bagi mempertahankan dan memantapkan industri warisan bangsa.

19. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr Rais Yatim di atas jemputan untuk merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2010. Semoga dengan aktiviti serupa ini dianjurkan setiap tahun dapat menyemarakkan lagi industri kraf tempatan.

20. Izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan serangkap pantun.

Lebat daun si bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Kraf kita harus disanjung
Menjadi wadah penyatuan bangsa

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya dengan ini merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2010.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalam Mualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

l