Wednesday, May 9, 2012

sembang santai Anjung

Ruangan:  Sembang Santai…
Tajuk:  Cara Betul Mewujudkan Gaya Inggeris Kedesaan.

Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM  
Bertitik tolak daripada keinginan untuk bertemu dengan pembaca dan beramah mesra dengan klien serta pencinta dunia hiasan dalaman, seni bina dan landskap, maka majalah Anjung Seri menganjurkan satu program baru, Perbincangan di Meja Bulat iaitu lebih kepada kegiatan sembang santai  yang berkisar mengenai topik berkaitan tiga bidang berkenaan.

Program pertama berlangsung dengan lancar di Laman Kampung, Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 8 Mei lalu.  Perbincangan membabitkan 10 peserta, termasuk Elyza Yong iaitu pengasas syarikat pengeluar fabrik untuk hiasan tingkap dan upholsteri, Elyza’s Home. Kehadiran beliau memeriahkan majlis perbincangan yang diadakan selama kira-kira sejam sebelum, makan tengah hari.

Dalam ulasannya Elyza berkata, rahsia untuk mewujudkan gaya kedesaan Inggeris yang kemas dan menawan adalah dengan memilih kemasan dan barang sesuai dengan tema berkenaan. Menurutnya, beliau amat berhati-hati dalam menentukan pilihan fabrik dan perabot untuk digandingan secara suai padan, bagi mengelakkan suasana berserabut.

Menjawab soalan Penolong Pengarang, Onlia Mohd Dom mengenai kebanyakan penataan yang dilihat tidak sama dengan ruang contoh rekaan Elyza, beliau menjawab; itu disebabkan mereka cenderung mencampur-adukkan unsur hiasan yang tidak selari dengan tema berkenaan. 

“Sesetengah mereka hanya menonjolkan langsir bergaya Inggeris tetapi pemilihan perabot dan perhiasan lain tidak seiring. Perabot jenis kayu yang sesuai ialah berwarna putih. Warna ini adalah selamat dan serasi untuk semua jenis corak fabrik. Secara peribadi, saya akan memilih perabot berwarna putih. Pilihan corak pula adalah pelbagai, namun jika corak berbunga sarat tidak seharusnya ditonjolkan terlalu banyak, cukup pada langsir atau pada fabrik upholsteri sahaja. Selebihnya digandingkan dengan corak ringan seperti jalur, dam atau polos,” ujarnya sambil menunjukkan contoh gambar pada katalog langsir keluaran Elyza’s Home.

Era penataan gaya Inggeris sekarang kata Elyza adalah tidak terlalu sarat, kerana kebanyakan pengguna kini sudah beralih selera kepada gaya yang lebih ringkas, tidak terlalu banyak ropolan dan corak. Maka itu, Elyza’s Home turut mengeluarkan fabrik bercorak ringan yang sesuai juga dengan gaya lain seperti urban dan sebagainya.

Peserta daripada rakan Facebook (FB) English Style Decoration Group (ESDG), Intan Kamariah berkata, beliau mengenali beberapa peminat fanatik gaya Inggeris yang menghias rumah dengan terlalu banyak perhiasan.

“Misalnya sewaktu berkunjung ke Singapura, ada tiga rumah yang menampilkan gaya sedemikian. Mereka menghias begitu daripada luar sehingga ke dalam bilik tidur dan bilik air. Peliknya, rumah apartmen di sana tidak berhabuk seperti di sini,” ujar Kamariah yang juga peminat gaya Inggeris.
Menurut Intan Kamariah, sebenarnya dia hanya menyukainya sejak muda lagi  tanpa mengetahui apakah jenis gaya itu. Setelah menyertai kumpulan FB ESDG, barulah dia terdedah kepada gaya penataan berkenaan, dan mendapati ramai yang sudah terkedepan dalam penggayaan itu.

 Ikuti lanjutan rencana ini dalam Anjunf Seri keluaran Jun 2012

Salah seorang peserta, Sam Raja Aziz bergambar bersama pengasas Elyza's Home, Elyza Yong.