Bila saya menyebut mengenai permasalahan saya, masing-masing membuka cerita - mengenai pengalaman yang terkena pada ahli keluarga sendiri. Wah masing-masing pun ada cerita sensasi, bisik hati saya. Jadi saya tidaklah berasa berseorangan, mereka menyokong saya bertindak awal dalam mengemukakan persoalan/mendapatkan kepastian, atau memberitahu cadangan kepada pihak yang berkenaan.
Cerita I, Kes emak A.
“Semasa atuk saya nak meninggal, atuk menyampaikan wasiat secara mulut mengenai pembahagian harta. Atuk sudah mengisytihar bahagian tanah untuk anak-anaknya…. Ketika itu emak berusia 16. Dia anak tunggal, berlainan emak sama bapa. Kiranya adik beradik betul jugalah. Bila mak berkahwin, ayah meninggalkan emak di rumah kerana pergi bekerja di Singapura. Tidak lama selepas nenek dan atuk meninggal dan juga tidak lama selepas emak berkahwin, emak dihalau adik beradiknya (berlainan ibu). Perbuatan itu membabitkan tiga abang lelakinya, abang pertama, kedua dan ketiga. Sedangkan abang inilah yang sepatut memberi perlindunga kepada adik wanitanya, tergamak pula menghalau.”
“Tanpa alamat, emak pergi mencari ayah di Singapura. Nasibnya baik dapat bertemu ayah. Selepas bertahun di perantauan, emak pulang ke kampung nak menziarah rumah peninggalan orang tua dan berjumpa adik beradik. Dia bertanyakan tanah bahagian haknya yang diberikan atuk. Malangnya, sekali lagi mak dihalau oleh tiga adik beradik lelaki tadi dan isteri-isteri mereka, Mereka semua berkomplot menghalau emak supaya dapat merampas tanah yang diberikan oleh atuk kepadanya. Zaman itu tidak ada hitam putih, cakap mulut sahaja, jadi yang lemah mudah ditipu.”
“Emak menjadi mangsa dianiaya, mak mengadu kepada adik beradik lain, “tak apa, berjumpalah di akhirat nanti, ada hasil-hasil kebun dan pokok ni, makanlah tetapi semuanya haram!” Lalu emak dan suami kembali ke Singapura.”
“Lama kemudian, emak menerima panggilan telefon daripada keluarga di kampung memintanya balik kerana abangnya yang pertama sakit tenat. Mereka minta emak datang supaya maafkan kesalahannya. Emak berkata, tak apa, saya tak baliklah. Emak bertegas tidak mahu balik. Beberapa hari selepas itu, emak bermimpi tiga hari berturut-turut, seorang lelaki berwajah/berkepala anjing datang menemuinya meminta maaf. Hari ketiga dia bermimpi, dia mendapat panggilan telefon bahawa abang pertamanya meninggal. Yg datang itu, mungkin bayangan dari Allah terhadap rupa abang pertamanya ketika hendak meninggal, kerana kesalahannya.
“Semasa abang kedua sakit nak meninggal, mak juga terima panggilan daripada isteri abang supaya memaafkan abangnya itu. Tapi emak tidak balik. Kemudian mak diberitahu semasa hendak abang kedua meninggal, lidah terbelah dua/bercabang. Ini adalah abangnya yang menjadi tukang cakap, mungkin yang merancang segala penganiayaan ke atas emak.
‘Sewaktu abang ketiga hendak meninggal, emak dipanggil sekali lagi supaya memberi kemaafan. Mendengar cerita kurang enak sewaktu abang-abang sebelum hendak meninggal, hati mak terbuka untuk memberi kemaafan apabila dirayu. Emak berkata… `tak apa, Yam maafkan dosa-dosanya denganYam. Makan dan minum yang terambil hak Yam, Yam halalkan. Tapi dosanya dengan Allah dia tanggung sendiri! Dengan kata-kata itu, abang ketiga meninggal dalam keadaan biasa.
‘Apa yang berlaku selepas itu?
Isteri ketiga-tiga abang yang pada mulanya bersepakat berkomplot menganiaya mak, akhirnya datang meminta maaf, lalu mereka berkata: “Yam, ambillah tanah dan harta hak Yam -.kami tak nak, itu hakYam. Kami tak nak benda-benda tidak baik berlaku kepada kami pula, Barulah wujud penyesalan.”
Natijahnya, hak orang adalah hak orang. Kalau lemah dan tidak berani mempertahan, terjadilah seperti emak si A yang dianiayai dan tiada sokongan daripada semua adik beradik.