Wednesday, December 23, 2015

Bagaimana Atasi Masalah Anai-Anai?







Kejadian berlaku sekitar empat tahun lalu. Saya ada banyak khazanah tersimpan dalam stor, nak dibuang sayang. Saat berpindah ke rumah lain, barang itu ditinggalkan termasuklah himpunan majalah Anjung Seri kesayangan. Almaklum bekerja sejak keluaran pertama, maka himpunan pun majalah itu pun bertimbun.

Majalah dan buku disusun kemas dalam almari cip bod berpintu, sangkaan saya ia selamat di dalamnya. Tidak disangka, `buah cempedak menjadi nangka` - rupa-rupanya kabinet itu telah dimasuki anai-anai.  Sebaik dibuka suatu hari, alangkah terkejut, ia penuh dengan sarang anai-anai.



Pertama kali melihat keadaan seperti itu, alahai geli-geleman. Terpaksalah juga dibelek satu persatu dan dibuang majalah yang rosak. Selepas itu, mulalah mencari perkhidmatan memusnahkan anai-anai di internet. Dipendekkan cerita, datanglah seorang lelaki yang memberikan perkhidmatan itu secara solo.


Yang pernah didengar sebelum ini ada rawatan menebuk lubang lantai dan memasukkan ubat anai-anai namun dia mengsyorkan kaedah memberi umpan.




“Saya akan letak umpan supaya dimakan anai-anai. Askarnya akan mengambil makanan itu dan diberikan kepada ratunya. Dengan memakan umpan beracun itu, lama-lama kelamaan anai-anai dan ratu akan mati. Apabila ratu sudah dihapuskan, akhirnya musnahlah seluruh koloni anai-anai," ujarnya sambil menambah kaedah itu mengambil masa beberapa bulan, harga rawatan berkenaan adalah seribu lebih.







Langkah rawatan, paket umpan dilekatkan pada dinding.

(Antara hendak percaya dengan tidak keberkesanannya. Tidak sabar mahu melihat kesannya, Dua tiga bulan kemudian, mulai cuak kerana tiada tiada apa-apa kesan, anai-anai masih aktif.

“Biarkan anai-anai  itu makan umpan itu sampai habis,” ujar lelaki itu sewaktu datang kali kedua.  Ternyata ada kesan umpan dimakan, tetapi paket masih kembung dan tegang. “Tunggulah sedikit masa lagi”, ujarnya.


Namun saya semakin tidak sabar, kali ketiga dia datang pun sama, anai-anai masih ada walaupun umpan semakin habis. Saya mula membebel tidak puas hati, sehingga sanggup panggil orang lain datang memeriksa, adakah kaedah itu betul.

Saat lelaki pertama datang sekali lagi, saya marah-marah kepadanya kerana rawatannya seoalah-olah tidak menjadi. Dari raut wajahnya , dia agak kecewa dengan sikap saya, apatah lagi apabila diketahui ada orang lain datang mengalih kedudukan umpannya

Lelaki itu berkata, tunggu sedikit hari lagi...dipendekkan cerita selepas sekitar enam bulan lebih barulah, terserlah keberkesanan rawatan, memang betul setelah semua umpan habis dalam sebulan kemudian tiada lagi anai-anai.

Rasa bersalah pula marah-marah pada lelaki berkenaan kerana sifat tidak sabar saya.