Wednesday, January 13, 2010

Selamat berjaya untuk Sedan dan Deha.

Terkilan sungguh tak dapat masukkan Kamil ke sekolah Tahfiz. Kamil mahukan sekolah Tahfiz Sains, tetapi susah sikit nak dapat, tempat terhad. Namun dua sepupunya memilih untuk masuk Tahfiz al-Quran di Kuantan. Mereka berdua sudah selamat mendaftar. Dulu datuk mereka gagal sambung pengajian agama ke Mesir kerana masalah kewangan. Semoga Sedan (Rasydan) dan Deha (Adha) berjaya memenuhi cita-cita datuknya (ayah saya).

Berikut petikan daripada blog kakak Sedan, Biah (Sabariah).

Tuesday, January 5, 2010

aL-HaFiZ~ (

arini temankan mommyku pegi register utk adikku yg bongsu itu..dia nak masuk sekolah tahfiz utk menjadi seorg al-hafiz yg disegani dan berjaya m'hafaz al-quran..insyaallah..entry kali ni versi sopan sket..sbb insap br pulang dr madrasah asyraful madaris..huhu~

sedan (rasydan nama adik aku tu) register sama2 ngn adha (cousin aku anak p.uda) ermm..memula cam nak tak nak jgk kan bg adik aku sekolah sini..ye laa..sbb xde pmr & spm..tp setelah ustaz dia convinced ckp kalo nak amik spm bole..diorg tlg arrangekan..ada bdk2 skolah tu yg amik spm.. diorg lebih cemerlang keputusannya dari skolah bese ni..ye laa..tuhankan maha adil..so..biarlah dia skolah sini..at least he get something yg x sume org bole dpt kan..

then masa nak balik tu..bese laa adegan airmata..maklum laa..sorg anak bongsu..sorg anak sulung..dua2 manja x penah berenggang ngn mak kan..igt bdk2 tu je yg mengalir..last2 mak aku..mak uda ngn pak uda aku pon sama..aku?? aku bese laa...pandai cover..huhu..k laa..ni laa gamba2 bakal tahfiz kebanggaan family kami =)

:: tingkat atas tu hostel diorg ::


:: yg ni dpn surau ::

:: muka lps kesat airmata ::

:: 3 org al-hafiz ::

:: rilek ye bro ::

Gambar bawah:
Kamil pula mendaftar di Kelas Aliran Agama Sek Men Keb Sg Pusu, Gombak. Kamil pun masuk asrama. Nampaknya dia langsung tidak sedih, malah teruja nak masuk asrama. Tapi balik hujung minggu lepas, bila ditanya seronok tak duduk asrama, jawabnya: "Boring!"

Kamil Menangis Terkilan...


Sabtu - 9 Januari 2010

Padi pagi itu hati mama Kamil berdebar-debar. Mana tidaknya dia dan kakak Kamil, Iliyana akan ditemu bual dalam salah satu racangan siaran langsung di TV. Iliyana yang menulis buku Diari Khidmat Negara (DKN) dijemput sebagai tetamu dalam rancangan Apa Kata Wanita di TV1. Pada pagi itu pengacaranya, Zamzarina akan mengupas mengenai Program Latihan Khidmat Negara. Atas cadangan Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Latihan Khidmat Negara, Iliyana dipanggil untuk ditemu bual selaku bekas pelatih. Mamanya turut dijemput untuk ditemu bual selaku ibu bapa bekas pelatih.

"Jangan lupa bawa buku berkenaan, kami nak promote buku itu," kata Penolong Penerbit menerusi telefon.

"Boleh, insya-Allah," kata mama, tidak tahu macam mana nak beritahu bapa Iliyana kerana pada hari dia ada rancangan lain. Nampaknya kena pergi dengan Iliyana sahajala bisik hati mama. Namun kemudian Penolong Penerbit berkata, "Oh ya, nanti saya tanya ketua saya, sama ada bapa Iliyana perlu datang atau tidak," ujar Penolong Penerbit sebelum memutuskan perbualan telefon. Sebentar kemudian dia menelefon semula dan memberitahu bapa Iliyana perlu ada bersama-sama. "Mereka nak temu bual kedua-dua ibu dan bapa," ujarnya. Mama gembira sedikit, adalah teman. Kuranglah sikit kebimbangannya.

Kakak Kamil, Iliyana sedang disolek

Pada hari berkenaan, mereka bersiap pagi-pagi kerana perlu sampai jam 9.30. Bapa Iliyana merungut-rungut, tidak mahu ditemu bual. "Saya tak payahlah..." katanya sambil menunjukkan wajah yang kelat. Anak, mak dan bapa sama saja perangai... tidak suka publisiti.
Papa Kamil, serius selepas di touch up mukanya.

"Eh orang dah jemput, dah janji nak datang, kenalah datang," ujar mama. Kalau tidak kerana nak bantu promote buku Iliyana, mama tidak kuasa nak muncul di TV. Sebenarnya ramai yang mencadangkan buku itu diusahakan untuk dipromote di TV. "Kini peluang datang menggolek, takkan nak tolak begitu sahaja," kata mama.

Sewaktu bertolak ke RTM awal pagi, Irfan Kamil masih tidur. Begitu juga abangnya. Mama sempat berpesan kepada abang yang sedang di atas katil, jangan lupa tengok TV jam 11.00. Manakala Kamil masih lena tidur.
Muka kakak dan Mama sudah jadi tepung gomak. Mama cukup tak suka disolek tebal, sudah jadi muka orang lain.

Sampai di tempat letak kereta papa Kamil masih tidak ikhlas untuk menyertai program siaran langsung itu, apatah lagi program itu adalah progam untuk wanita. Namun apabila dibawa ke bilik mekap, papa mula berasa pelik dan teruja. Bilik mekap itu agak besar dengan cermin penuh ruang. Beberapa orang tukang mekap bersedia untuk menjalankan tugas. Papa turut dimekapkan. Dia mula berasa diraikan. Apatah lagi apabila dibawa ke bilik VIP. selepas itu.

Sebaik masuk, kelihatan suasana agak eksklusif dengan set sofa kulit mewah. Kuih-muih dan pelbagai jenis makanan pagi dihidangkan di satu sudut. Papa semakin teruja. "Wah hebatnya layanan..." ucap papa sebaik pelayan menjemput mereka makan.

"Mahu teh atau kopi?" Tanya pelayan itu.

Selepas menjamah sedikit makanan, pengacara Zamzarina pula datang. Dia juga baru selesai dimekap. Mama mengambil kesempatan bertanyakan apa soalan yang bakal diajukan nanti.

"Soalan ringkas sahaja. Misalnya, apa perubahan Iliyana selepas mengiktu program PLKN," kata Zamzarina.
Iliyana selepas disolek, tebal sungguh. Mengalahkan artis.

Sebentar kemudian kakak, mama dan papa dibawa ke studio. Rupa-rupanya tetamu sudah sedia memenuhi tempat duduk. Kelihatan sekumpula pelatih - wira dan wirawati PLKN. Mereka diundang khas untuk menyertai rancangan itu bersama dua jurulatih. Tetamu pada hari itu ialah kumpulan wanita daripada Kesedar, Kelantan.
Sebahagian wira (pelatih PLKN) yang dijemput menyertai program Apa Kata Wanita. Mama di belakang sedang menunggu giliran untuk dipanggil ke depan.


Kakak paling seronok apabila bukunya diulas sepanjang program itu. Buku DKN asyik berada di tangan Zamzarina. Setiap kali beralih tempat duduk, buku itu dibimbitnya dan disuakan ke layar televisyen setiap kali dia mengulas kandungannya. Kakak lebih banyak ditemu bual dalam rancangan itu. Manakala mama dan papa, hanya diajukan satu soalan yang sangat mudah.

Balik ke rumah, mama terus bertanyakan Kamil. Mama lihat Kamil dan abangnya biasa sahaja tidak sedikit pun menunjukkan perasaan teruja.

"Tengok tak kakak, mama dan papa di TV tadi?" tanya mama.

"Mama tak cakap pun TV berapa pukul berapa!" kata Kamil mencuka.

"Kan mama cakap pada abang tadi, tengok TV pukul 11."

"Abang dengar, mama kata tengok Kamil ... ingat kan tengok kami suruh bagi makan ke apa..."

"Itulah tidur lagi." Bidas mama.

"Mama tak cakap pun TV berapa... mama hanya cakap ada temu bual dengan orang TV, Kamil nak tengok. Kenapa tak bagi tahu hari ini keluar." Kamil mula tak puas hati. rupa-rupanya dia sangat kepingin nak melihat kakak, mama dan papanya di TV.

"Tak apalah, mama minta salinan dalam cd nanti," pujuk mamanya.

"Kamil tak nak tengok salinan, Kamil nak tengok kat TV," ujar Kamil mula memberontak. Terkumat-kamit mulutnya meluahkan rasa tidak puas hati sambil mula mengalir air mata.

"Tak apa, ada siaran ulangan hari Jumaat pagi," pujuk mamanya lagi.

"Mana boleh tengok, masa tu Kamil sekolah," dia terus `meracau' sehingga ke petang.

Mama diam, terkilan. Dah tak boleh buat apa-apa. Membiarkan saja Kamil melepaskan kemarahannya.


Gambar bawah. Petugas Apa Kata Wanita teruja berjumpa dengan pelakon tersohor Rosyam Noor lalu mengambil kesempatan bergambar. Dari kiri Penerbit Nik Ramzi, Penolong Penerbit bertudung merah jambu dan biru serta Zamzarina.

Tuesday, January 12, 2010

Kisah Kamil


Nama budak lelaki ini Irfan Kamil. Dia berusia 13 tahun dan baru saja masuk tingkatan satu. Di kalangan ahli keluarga dia dipanggil dengan nama singkat Kamil saja. Sejak dulu Kamil bercita-cita nak jadi juruterbang. Kamil pun tak tahu kenapa dia minat sangat dengan kerjaya itu. Kalau cik gu atau sesiapa bertanyakan cita-citanya, itulah yang dia jawab. Mamanya bangga dengan jawapan itu. Tapi dalam hati mamanya, terselit rasa bimbang. Bolehkah Kamil jadi juruterbang?

Kamil tahu kenapa mamanya bimbang. `Yalah badan aku ni kecil sangat. Ikut saiz mamalah. Tak macam kakak dan abang. Besar tinggi, ikut saiz papa. Abang dan kakak selalu gelakkan aku. Aku pun risau, dah masuk tingkatan satu tahun ini, tapi badan masih kecil masih macam budak sekolah rendah," bisik hati Kamil. Dalam hatinya berazam untuk rajin bergayut agar cepat tinggi. Itulah yang kerap disarankan kepadanya. Seorang kawannya mencadangkan agar Kamil kerap makan kacang panjang. Betulkah saranan itu? Bisik hati Kamil. Namun Kamil jarang dapat makan kacang panjang. Pergi bergayut di padang pun sesekali sahaja. Jadi tidaklah ketara perubahan badannya. Bagaimanapun, apabila nak naik tingkatan satu...sedar tak sedar ada sedikit perubahan ke atas dirinya. Tinggilah sedikit. Tapi masih dalam kategori kecil.




Kamil bergambar di tengah sawah selepas melawat sebuah sekolah agama di Sabak Bernam. Dia tak jadi masuk sekolah itu.


Berbalik kepada cita-cita Kamil untuk menjadi juruterbang... budak kecil ini terdidik dalam sekolah agama swasta di peringkat sekolah rendah. Makanya dia sangat mengambil berat mengenai pelajaran agama. Jadi Kamil bukan setakan mahu menjadi seorang juruterbang biasa, dia mahu menjadi seorang juruterbang yang berilmu agama. Harapannya agar dapat memasuki sekolah Tahfiz." Itu juga yang diharapkan oleh mamanya. "Kalau Kamil berjaya menjadi Hafiz, apabila jadi juruterbang, Kamil akan mendapat gelaran Kapten Irfan Kamil Al-Hafiz. Kalau jadi doktor, Kamil akan digelar Doktor Irfan Kamil Al-Hafiz," kata Kamil. Itu gara-gara uztaznya yang sudah menanam kuat kepentingan ilmu akhirat di sanubari anak didiknya. Kalau tak dapat sekolah tahfiz, sekurang-kurangnya dia mahu masuk sekolah menengah agama.

"Kenapa Kamil nak sangat sekolah tahfiz?" Soal mamanya.
"Sebab uztaz Kamil kata, kalau kita jadi hafiz, insya-Allah mati nanti dapat masuk syurga," jawab Kamil. Namun pada suatu hari Kamil juga pernah menyebut, "Tak mahulah Kamil jadi hafiz."
"Kenapa?" Soal mamanya.

"Uztaz kata, kalau kita sudah jadi hafiz dan kemudian lupa.....nanti payahlah pula nak masuk syurga," jawab Kamil.

Mama Kamil diam. Dia tak berapa nak tahu mengenai bab itu. Jadi dia tak jadi nak komen apa-apa. Apa pun yang pasti, mama Kamil mendapati Uztaznya kuat mempengarahui murid-murid ke arah ilmu agama dan akhirat. Nasihat uztaz meresap masuk ke lubuk jiwa murid-muridnya sehingga mereka lebih mengutamakan pengajian sekolah agama daripada sekolah kebangsaan. Ini membuat mama Kamil sangat susah hati. Ingat lagi waktu nak menduduki peperiksaan UPSR dab PSRA setahun lalu. Ketika itu Kamil akan menduduki dua-dua peperiksaan pada hujung tahun. Kedua-dua peperiksaan itu hanya senggang seminggu.
Wah macam mana nak bahagikan masa ni, kata mama Kamil. "Kamil jangan lupa baca buku sekolah kebangsaan juga. Peperiksaan UPSR pun penting juga," mamanya sentiasa berpesan.
Kamil dibiarkan membaca buku dalam bilik seorang diri. Kamil tidak suka diganggu apabila membaca. Mama membuka buku-buku rujukan dan peperiksaan sekolah kebangsaan di hadapan Kamil. Jangan lupanya yang baca ni juga.

Sesekali mama Kami menjenguk ke dalam bilik. Dia lihat Kamil masih baca buku sekolah agama. "Kami belum baca buku sains, buku Inggeris ni?" Tegur mamanya.

"Tak lagi," jawab Kamil. Dia sedang asyik menghafal salah satu mata pelajaran agama.

Mamanya tak sampai hati nak kacau konsentrasi Kamil tetapi dalam hatinya risau juga, bila Kamil nak baca buku-buku sains, Bahasa Malaysia, Inggeris.... dan jangan lupa buat latihan Matematik tu.

"Jangan tak baca buku tu juga ya? Matematik tu, kena buat ulang kaji." Kamil senyap. Tidak mengendahkan kata-kata mamanya. Mamanya keluar semula. Sebentar kemudian masuk mengintai lagi. Dia lihat Kamil masih lagi membaca buku agamanya..."Ya Allah ya Tuhanku....harap-harap Kamil lulus kedua-dua peperiksaan," Mamanya berdoa.
Kamil bersama mamanya ketika bercuti di sebuah resort dalam `hutan' di Janda Baik, Bentong Pahang.

Memanglah sebagai ibu, mama Kamil mengharapkannya ditanam ilmu agama sejak daripada awal. Maklumlah kata mama, abang dah kakak dah terlepas. Tidak sempat menamatkan sekolah agama. Abang Kamil, IrfanIzzat sekolah agamanya, hanya setakat darjah lima manakala kakaknya Iliyana berhenti di darjah tiga sahja. Makanya abang dan kakaknya tidak berapa tahu tulis dan baca jawi macam Kamil. Dan mereka juga sering alpa dengan keseronokan dunia hiburan. Di rumah Kamil dipanggil uztaz oleh kakaknya. Ini gara-gara Kamil suka menegur kakaknya, membuatkan kakanya rimas.

"Kakak nak masuk neraka. Kakak tak pakai tudung. Kenapa Kamil tengok saudara yang lain semua pakai tudung." Kamil maksudkan kepada sepupu-sepupu perempuan dan ibu saudaranya. Mereka semua pakai tudung. Bahkan Kamil juga berani menegur mamanya. "Mama tak cantik pakai macam tu. Baju ketat. Pakai seluar...tudung nampak leher..." itulah teguran biasa daripada mulut Kamil. Kadang-kadang membuat mamanya juga turut rimas.
"Ala.. mak-mak saudara Kamil tu duduk di mana... mereka tinggal di kampung. Mama kerja di ofis. Jumpa orang besar, keluar masuk hotel. Jadi mama kenalah pakai lain sikit, macam ni." Jawab mamanya. Kamil diam.

Kakak Kamil lagi laser. Apabila Kamil menegur, kakaknya akan menjawab. "Apa kau susah, aku yang masuk neraka?"

Aduh, bukan Kamil saja yang marah dengan jawapan kakaknya itu. Bahkan jawapan kakaknya itu menggoncangkan hati mamanya.

"Apa adik cakap macam tu?" Mamanya menggelar kakak Kamil adik sebab sudah terbiasa dengan gelaran dia sewaktu kecil. Kadang-kadang mama Kamil juga sakit hati dengan gelagat kakak Kamil. Suka bergaduh dengan adiknya, tak mahu beralah. Kamil pula suka juga buat kakaknya marah. Tapi bila mama dan papa Kamil tak ada, kakaknya juga yang perlu menguruskan Kamil. Membeli makanan atau membawanya ke mana-mana.
Kamil bersama kakaknya. Ambil gambar berdua pun macam tak ikhlas.


"Kau jangan nak mengada-ngada dengan aku, nanti aku tak tolong kau lagi.. Kau tu macam budak kecil, dah besar darjah lima enam pun nak kena diambil air minuman. Tak boleh ambil sendiri ke? Aku dulu semua buat sendiri tahu?" Begitulah selalunya jawapan balas kakaknya apabila mereka bergaduh.

Friday, January 8, 2010

Satu kisah

1. Hari yang membawa rezeki. Seorang rakan berjaya close deal berpuluh ribu. Tidak sia-sia membawa saya untuk memberi keyakinan kepada client terbabit sehingga bersetuju untuk terus menghulurkan cek sebanyak itu.... bermakna murahlah rezeki kawan saya itu bakal mendapat dot dot dot, jika diizinkan Allah. Beberapa bulan lepas dia dapat berpuluh ribu juga daripada satu client, saya turut berada di sisinya sewaktu sesi perundingan... Itulah berkat kerjasama berdua tetapi saya hanya membantu... Hasilnya, bukan untuk faedah rakan itu seorang, bahkan untuk manfaat ramai lagi....

2. Alhamdulillah dipertemukan dengan client yang banyak modal dan pemurah itu. Ibarat bulan jatuh ke riba, client itu mencari rakan saya itu untuk tujuan melaburkan sejumlah wangnya bagi tujuan mengembangkan bisnesnya dan mencari lebih ramai pelanggan. Salute kerana client itu adalah seorang Bumiputera.

3. Client yang sempoi dan tak nampak macam bos itu amat merendahkan diri apabila bercerita mengenai bisnes kabinet, perabot dan renovasinya. Tetiba dia tercerita pula mengenai bisnes2nya yang lain.. wah.. bukan hanya itu.... ada tiga empat bidang bisnes dilakukan... Lebih terkejut apabila dia dengan selamba tercerita bisnes di bidang oil and gas yang baru dapat diceburi. Dia juga sempat bercerita mengenai risiko bekerja di atas pelantar di tengah laut, yang menyebabkan pekerjanya mendapat gaji sangat tinggi - berpuluh ribu ringgitdalam beberapa minggu bekerja.

Menurut client itu, kini konsep bisnes oil and gas nya masih secara joint venture dengan syarikat dari luar negara. Dan syarikatnya akan mencari pekerja tempatan untuk dilatih bekerja di bidang itu. Menurutnya lagi dalam beberapa tahun ini, banyak projek petronas dan syarikat minyak akan dibuka tender projek. Jadi adalah peluang pekerjaan di bidang itu untuk mereka yang berani. Di atas mejanya terdapat beberapa keping dokumen tender projek.

Daripada nak menemubual, lain teralih ke perbualan lain. Teruja sungguh mendengarnya. Hemm.... saya pun berangan-angankan sesuatu.... saya tanya, apa yang membolehkan seseorang bekerja di bidang itu? Dia jawab, "education". Saya tahu pengajian di bidang itu (oil & gas) sangat susah. Ramai yang gagal. Dan nak melepaskan masuk juga bukan senang. Tidak semua universiti menawarkan pengajian itu. Apabila diterima, nak lulus pun payah. Tapi saya tahu ada seorang pelajar perempuan telah lulus cemerlang dan kini sudah bekerja dengan syarikat antarabangsa. Manakala pelajar lelaki ramai yang gagal. Saya pun tanya, kalau lulusan di bidnag marine engineering atau naval architecture, ada tak peluang untuk sertai kerjaya tu? Dia jawab: "Ya, boleh kerana pengajiannya ada kaitan." Lega mendengarnya. Moga-moga Izzat yang sedang menuntut di tahun akhir di Mimet, dapat peluang menyertai bidang itu sipi-sipi.

Sewaktu pulang kawan saya berkata, "menyesal tak ambil pengajian di bidang yang membawa gaji besar seperti itu....dulu, manalah kita terdedah kepada bidang-bidang seperti itu."
Saya pun jawab: "Kalau saya, tak lepas kut."

Friday, January 1, 2010

Lumrah kehidupan

Bergaduh dan berbaik semula.
Itulah uniknya hati manusia.

Ada orang berkata, "saya kalau dah sakit hati dan bergaduh dengan seseorang, akan ingat sampai bila-bila. Sampai mati saya tak akan tegur dan tak akan percaya kepada dia lagi.."

Bukan nak mengata fasal orang lain, ini saya bercakap fasal diri sendiri. Saya pun pernah meluahkan kata-kata begitu. Anehnya, pada suatu masa berbaik semula seperti tiada apa yang pernah berlaku, walaupun ada kes tidak bertegur sapa makan bertahun. Kira-kira dengan jari, sepanjang hidup ini... adalah juga tiga empat kes pernah dialami. Namun percayalah, walaupun mengaggap kawan itu bersalah, selama tidak bertegur sapa, jauh di sudut hati sentiasa terkilan dan menyesal sangat (ini kerana saya tahu sebagai muslim, berdosa besar kalau memutuskan persahabatan selama tiga hari dan sebenarnya saya tidak mahu perkara itu berlaku).

Sesungguhnya untuk meluahkan kata-kata maaf atau minta maaf itu sangat sukar. Tidak tahu kenapa. Mungkin kerana kita berasa diri kita sahaja yang betul atau sangat ego, maka kita akan berkata - buat apa mengalah. Tapi ada orang, senang sahaja meluahkan kata-kata mohon maaf dan memberi maaf. Dan perkara yang paling membahagiakan saya ialah apabila dapat bertegur sapa dan menghubung semula silatulrahim.

Bagaimanapun, bab untuk berbaik semula - untuk melupakan segala sengketa dan menerima semula seseorang dengan ikhlas, tengok juga kepada keadaan kawan itu... Melihat gerak-geri dan tutur kata saja, kita boleh dapat mengagak sama ada kita boleh menerimanya semula tanpa sebarang syak wasangka, atau kita perlu berwaspada. Kerana kita sedia maklum di pentas sandiwara dunia ini, ada orang yang menunjuk baik di depan mata, tetapi memijak dan menikam kita di belakang... kerana itulah kita harus berjaga-jaga... jangan sampai diri kita menjadi mangsa dianiaya.

Ingatlah, sekali kita ditindas dengan cara licik dan dilemparkan segala buruk sangka, memang susah untuk melepaskan daripada sumpahan berbisa orang atau pihak yang percaya kepada taburan fitnah orang itu.

Apa pun yang berlaku, kesabaran itu adalah penawarnya. Jika kita bersabar tanpa melakukan sesuatu tindakan, percayalah Yang Berkuasa akan mengutuskan seseorang untuk menjernihkan suasana. Atau Dia akan menurunkan sesuatu kepada pihak yang menzalimi kita dalam apa jua cara atau keadaan yang kadang-kadang tidak nampak pada mata kasar kita.

Itulah lumrah hidup manusia....

Nota: Yang perlu kita ingat (malangnya selalu juga kita/saya alpa) bahawasanya dalam kehidupan kita, Dia sentiasa memerhati setiap gerak-geri kita dari atas sana...

Thursday, December 31, 2009

Berblog untuk meredakan tekanan.

Kala malam menjelang, kala itulah saya ada masa untuk berblog. Siang hari waktu kerja, nak jenguk pun tak sempat, apa lagi nak baca tulisan orang. Tengah buat kerja lain, mana boleh fokus nak tulis. Di rumah pun, menulis hanya waktu semua kerja sudah selesai. Menulis memang mencuri masa kita, apa lagi upload gambar. Saya tidak tahulah macam mana orang boleh tulis blog sewaktu orang ramai di sekeliling. Sebabnya bagi saya, selain menulis perihal kegiatan seharian, menulis blog adalah untuk meluahkan perasaan yang terpendam, mencurahkan segala yang terkilan, tetapi bukan untuk berdendam.

Orang kata, untuk meredakan segala kekusutan dan kesedihan, legakan hati dengan mencurahkan kemarahan menerusi tulisan. Begitulah nasihat pakar motivasi. Banyak kali saya cuba, rupa-rupanya betul. Setelah mengumpul tenaga, memerah minda untuk membalas kata, dan setelah selesai apa yang hendak diucapkan serta berhenti di titik noktah... Dengan sendirinya kemarahan kita itu akan berlalu begitu sahaja. Apa yang kita tulis, bagaikan sudah sampai ke sasarannya walaupun sebenarnya tidak pun.

Kalau dulu, semua kata-kata luahan tersimpan dalam file document microsoft word dan menjadi catatan rahsia peribadi. Tetapi bila dah ada blog, maka di situlah menjadi tempat mencurahkan kata. Saya percaya, bukan saya seorang begitu. Malangnya sifat blog adalah terbuka, sesiapa sahaja boleh baca. Kalau tak suka, tak payah baca. Zaman ini semua orang pun ada blog. Nak buat macam mana, kalau tak ada... ketinggalan zamanlah pula, terasa seperti katak di bawah tempurung. Macam dungu, tak pandai IT. Ini pun kiranya, baru nak belajar. Biasalah orang baru belajar, sering terperangkap dengan kesilapan.

Dulu ingatkan orang tulis blog kena tulis nama penuh seperti berita di surat khabar... (terbawa-bawa kerjaya, sebagai seorang wartawan). Rupa-rupanya dalam blog, tidak boleh tulis terang-terang... nama pun perlu dirahsiakan. Dulu saya tersasar juga, apabila diingatkan oleh kawan-kawan, saya pun membetulkan kesilapan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang menunjuk ajar.

Rupa-rupanya teguran demi teguran yang diberikan oleh kawan-kawan, bersebab. Sebabnya blog ini amat berbahaya. Kalau dulu orang kata mata pena itu setajam mata pedang, begitu jugalah tulisan-tulisan di blog... Biasalah dalam kita mempertahankan diri dan menjelaskan sesuatu, tidak semestinya diterima oleh orang lain... Akhir kata, mohon kemaafaan di atas segala keterlanjuran bicara...

Monday, December 28, 2009

Dari blog seorang kawan...


Assalamualaikum...

* Mogok menulis sebentar kerana terlalu sibuk dengan tugasan seharian, tidak ada masa nak memasukkan entri baru mengenai hal sendiri.

* Dengan ini saya ambil peluang menjenguk blog kawan-kawan.

* Ada entri mereka yang menyentuh perasaan, ada yang memberi peringatan dan ada yang membuatkan kita turut bergembira....


Berikut petikan catatan daripada blog seorang rakan...


December 4, 2009

kerja baru, suasana baru dan semangat baru

Tempat baru, suasana baru, bos baru dan semangat baru...
Sudah masuk hari ketiga aku bertugas di tempat baru NSTP Harian Metro meja Wanita. Ehhmm....teruja itulah perkataan pertama ketika menjejakkan kaki ke dalam bangunan NSTP yang gah di Jalan Riong ini. Terasa seperti baru sahaja menamatkan pelajaran dan memulakan kerja. Perasaan inilah yang aku rasai lapan tahun lalu ketika mula bekerja di akhbar Warta Perdana dan majalah I-remaja setahun kemudian. Bezanya aku sudah ada sedikit pengalaman dan juga kawan yang aku kenali ketika membuat tugasan. Ya aku juga mengenali Bennie yang sudah setahun lebih bekerja di Berita Minggu dengan harapan dia akan lebih banyak membantu untuk lebih pantas mempelajari sesuatu terutama cara bekerja serta sistem it di sana. Ya aku agak buta It mujur ada Rosma dan Faizah yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai sistem tera dan penggunaan pc di sana.

Aku akui bekerja di akhbar yang gah ini sistemnya tidak sama seperti mana tempat lama, semuanya ada di hujung jari, malah tugasan luar juga dicatat di dalam sistem. Klik sahaja untuk mengetahui ke mana kita membuat tugasan. Maklumlah staf sesebuah akhbar itu ramai mana mungkin editor bertanya setiap hari ke mana kita pergi. Asalkan bahan yang diminta itu siap mengikut waktunya. Kedatangan atau berapa kali keluar minum tidak dipersoalkan. Aku harap sedikit masa lagi aku akan menguasai sistem tera di sini.

Bekerja 3 hari aku sudah mula menyukai kenyamanan dan kedamaian suasana bertugas baik rakan sekerja sehinggalah ketua. Semuanya baik-baik belaka tidak seperti yang aku bayangkan mungkin editornya garang atau boleh membaling kertas dan stepler sekiranya artikel tidak mengikut piawaiannya seperti mana aku bekerja di akhbar Warta Perdana suatu ketika dulu. Hari pertama aku bertemu dengan Pengarang Kumpulan lebih dikenali sebagai Pak Mus. Sebelum memperkenalkan diri dia terlebih dulu berkata, " Siti ...nilah dia daripada ......," Oh nampaknya nama aku sudah bermain dibibirnya, mungkin juga kerana aku staff syarikat yang dulunya turut berada di bawah NSTP sebab itu dia mengenali, malah ramai staff syarikat tempat kerja lama aku dulu berpindah kerja di NSTP sehinggakan salah satu soalan pak Mus adalah, " Orang di sana tak marah ka ko datang sini?" aku terkelu sekejap lantas hanya membalas dengan senyuman. Dia juga bertanya siapa lagi orang lama masih ada di sana, sambil menyebut beberapa nama seperti Kak On dan Kak Shidah pantas Pak Mus berkata, "oh Shidah Ibrahim..satu badge dengan aku tu..masih ada lagi dia noo," nampaknya masih ramai kenalan Pak Mus di sana.

Aku juga bertemu dengan pengarang Rencana En Johari yang serius tetapi menurut kata rakan-rakan di situ En. Johari sangat baik dan marahnya berbentuk mengajar. Ohh..aku baru 3 hari masih banyak yang belum aku pelajari juga mengenali pelbagai ragam orang di sana. Bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembek masuk kandang lembu menguak. Juga Adam Salleh editor meja hiburan.

Kak Ayu editor meja wanita lemah lembut orangnya baik tutur kata mahupun penampilan. Terasa agak asing mempunyai ketua sebegitu. Malah sehari sebelum bekerja dia menghantar khidmat pesanan ringkas memberitahu supaya tidak datang awal, kerana meja wanita bekerja jam 10 pagi. Akibatnya akulah orang terakhir sampai di bahagian admin sedangkan yang lain sudah dibawa melawat department masing-masing. malu juga rasanya....

Hari ketiga sudah ada asgn menanti ulasan makanan di hotel dan temuramah untuk rencana. Kebanyakan rencana perlu dicari sendiri bukannya diberi. Wah nampaknya tidak banyak bezanya dengan majalah tempat aku bekerja I-Remaja dan Jelita. Pembahagian tugasan juga sudah dibuat...selepas ini aku harus berusaha keras menyimpan stok rencana -itu sudah pasti bagi memastikan jadual kerja aku berjalan lancar dan dapat bercuti dengan lenangnya. wah sudah mahu berkira untuk bercuti...walau baru tiga hari bekerja. itu sudah pasti mana tahu cuti kecemasan jadinya harus merancang kerja sebaik mungkin..WORK SMART