Thursday, December 31, 2009

Berblog untuk meredakan tekanan.

Kala malam menjelang, kala itulah saya ada masa untuk berblog. Siang hari waktu kerja, nak jenguk pun tak sempat, apa lagi nak baca tulisan orang. Tengah buat kerja lain, mana boleh fokus nak tulis. Di rumah pun, menulis hanya waktu semua kerja sudah selesai. Menulis memang mencuri masa kita, apa lagi upload gambar. Saya tidak tahulah macam mana orang boleh tulis blog sewaktu orang ramai di sekeliling. Sebabnya bagi saya, selain menulis perihal kegiatan seharian, menulis blog adalah untuk meluahkan perasaan yang terpendam, mencurahkan segala yang terkilan, tetapi bukan untuk berdendam.

Orang kata, untuk meredakan segala kekusutan dan kesedihan, legakan hati dengan mencurahkan kemarahan menerusi tulisan. Begitulah nasihat pakar motivasi. Banyak kali saya cuba, rupa-rupanya betul. Setelah mengumpul tenaga, memerah minda untuk membalas kata, dan setelah selesai apa yang hendak diucapkan serta berhenti di titik noktah... Dengan sendirinya kemarahan kita itu akan berlalu begitu sahaja. Apa yang kita tulis, bagaikan sudah sampai ke sasarannya walaupun sebenarnya tidak pun.

Kalau dulu, semua kata-kata luahan tersimpan dalam file document microsoft word dan menjadi catatan rahsia peribadi. Tetapi bila dah ada blog, maka di situlah menjadi tempat mencurahkan kata. Saya percaya, bukan saya seorang begitu. Malangnya sifat blog adalah terbuka, sesiapa sahaja boleh baca. Kalau tak suka, tak payah baca. Zaman ini semua orang pun ada blog. Nak buat macam mana, kalau tak ada... ketinggalan zamanlah pula, terasa seperti katak di bawah tempurung. Macam dungu, tak pandai IT. Ini pun kiranya, baru nak belajar. Biasalah orang baru belajar, sering terperangkap dengan kesilapan.

Dulu ingatkan orang tulis blog kena tulis nama penuh seperti berita di surat khabar... (terbawa-bawa kerjaya, sebagai seorang wartawan). Rupa-rupanya dalam blog, tidak boleh tulis terang-terang... nama pun perlu dirahsiakan. Dulu saya tersasar juga, apabila diingatkan oleh kawan-kawan, saya pun membetulkan kesilapan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang menunjuk ajar.

Rupa-rupanya teguran demi teguran yang diberikan oleh kawan-kawan, bersebab. Sebabnya blog ini amat berbahaya. Kalau dulu orang kata mata pena itu setajam mata pedang, begitu jugalah tulisan-tulisan di blog... Biasalah dalam kita mempertahankan diri dan menjelaskan sesuatu, tidak semestinya diterima oleh orang lain... Akhir kata, mohon kemaafaan di atas segala keterlanjuran bicara...

4 comments:

  1. setuju sangat dengan kak shidah..saya tulis blog pun setelah selesai semua kerja..jadinya, tidak mengganggu langsung kerja saya. Tak timbul soal gaji buta ye.

    Betul juga kata kak shidah, blog tempat meluah perasaan dan menyuarakan pendapat. Kalau tiada siapa mendengar kata-kata kita, lebih baik dicurahkan di blog. Namun, setakat ini rasanya tiada memudaratkan orang. Saya pun pernah diserang di blog. Gara-gara orang makan cili dia terasa pedas walhal saya tak sebut/tulis langsung nama dia. Tapi, pedulilah...kalau dia tak buat, dia takkan terasa begitu sekali kan. Blog saya bukan macam politikus yang menyebut nama terang-terangan. Saya masih waras dan mengira aib orang.

    Kak Shidah, teruskan berblog. Sebab saya suka baca tulisan akak. Akak memang gifted bab berkarya ni..sayang kalau ada yang tak menghargai..teruskan perjuangan Kak Shidah!

    ReplyDelete
  2. Ennieva: Ia adalah satu-satunya ruang untuk kita menyatakan pendirian dan menangkis tanggapan salah orang terhadap kita... di mana kita tidak berpeluang atau sukar menjelaskannya ( mengenai apa jua yang mungkin mencalar peribadi atau menghiris hancurkan hati kita...bukan macam blogger politik - siapa kita nak membicarakan hal politik negara), makanya kita menulis terhad kepada masalah yang kita tanggung sahaja...dan tentunya masalah yang kita tanggung itu berkait dengan isu tertentu...

    ReplyDelete
  3. Kak Shidah, saya sekarang sudah tutup blog saya untuk tatapan orang ramai. Saya rasa lebih baik saya seorang sahaja yang boleh membacanya. Dulu pernah diserang, disergah dan dikeji kerana blog saya yang mungkin pedas untuk sesetengah orang walau tiada nama yang dituliskan. Maklumlah saya hanya orang biasa, bukan orang berpangkat besar yang boleh berbuat apa sahaja tanpa disalahertikan. Sedangkan dalam blog orang lain pun ada juga yang menulis mengenai saya tetapi saya tak kisah pun. Sebab itu pendapat masing-masing. Dalam hal akak ni, terpulang kepada akak sama ada akak rasa ingin meneruskan berblog atau tidak. Secara jujurnya, penulisan akak sangat menarik dan seronok dibaca. Tidaklah membosankan seperti banyak blog lain yang saya baca. Disebabkan hendak menjadi terlalu baik, penulisannya pun menjadi 'baik' sangat sehingga membosankan dek kerana asyik memuji diri sendiri.

    ReplyDelete
  4. Cik Yam: Sekarang ni sudah jadi serba salah... kita bukan tulis fasal orang lain pun, tapi tulis peristiwa yang berlaku ke atas diri sendiri - ibarat kata `bercakap dengan diri sendiri'. Sebelum ni kalau berlaku sesuatu yang menyedihkan hati, berhari-hari memikir sambil bermonolog. Tidak pun bercerita kepada kawan baik yang memahami dan bersimpati. Teknologi IT mewujudkan blog membolehkan orang lain tahu apa yang terpendam di hati kita apabila diluah menerusi tulisan. Malangnya jika pihak satu lagi terbaca (dia tidak sepatut baca kecuali jika bersedia memaaf), tambah menimbulkan kemarahannya pula... Hakikatnya memang sukar untuk mengakui kesalahan sendiri...siapa pun begitu... termasuk diri akak sendiri, bukanlah serba sempurna. Sensitif dan mudah terasa, tetapi sangat low profile. Nampak saja mudah diperkotak katikkan orang. Sebaliknya, inilah orang yang `degil' (beberapa orang sudah membuat statement kepada akak begitu - dulu tak boleh terima, lama-lama akak faham... degil akak, bermksud tegas dengan prinsip sendiri, berhati kental dan tidak mudah mengalah atau putus asa. Biar orang pijak kepala kita pun tak apa. (orang kata - biarlah luncai terjun dengan labu-labunya ).. melalut dah..

    Apa pun, kalau kita ini dikurniakan hati yang murni dan bebas daripada ego, boleh sahaja kita saling memaafkan sesama sendiri setelah menyedari kita dengan sengaja atau tidak sengaja melukakan hati orang dan boleh terima kritikan.. Namun hakikatnya, itu sukar berlaku... juga sedang memikir perlukah menutup blog ini untuk umum..

    ReplyDelete