Wednesday, January 13, 2010
Kamil Menangis Terkilan...
Sabtu - 9 Januari 2010
Padi pagi itu hati mama Kamil berdebar-debar. Mana tidaknya dia dan kakak Kamil, Iliyana akan ditemu bual dalam salah satu racangan siaran langsung di TV. Iliyana yang menulis buku Diari Khidmat Negara (DKN) dijemput sebagai tetamu dalam rancangan Apa Kata Wanita di TV1. Pada pagi itu pengacaranya, Zamzarina akan mengupas mengenai Program Latihan Khidmat Negara. Atas cadangan Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Latihan Khidmat Negara, Iliyana dipanggil untuk ditemu bual selaku bekas pelatih. Mamanya turut dijemput untuk ditemu bual selaku ibu bapa bekas pelatih.
"Jangan lupa bawa buku berkenaan, kami nak promote buku itu," kata Penolong Penerbit menerusi telefon.
"Boleh, insya-Allah," kata mama, tidak tahu macam mana nak beritahu bapa Iliyana kerana pada hari dia ada rancangan lain. Nampaknya kena pergi dengan Iliyana sahajala bisik hati mama. Namun kemudian Penolong Penerbit berkata, "Oh ya, nanti saya tanya ketua saya, sama ada bapa Iliyana perlu datang atau tidak," ujar Penolong Penerbit sebelum memutuskan perbualan telefon. Sebentar kemudian dia menelefon semula dan memberitahu bapa Iliyana perlu ada bersama-sama. "Mereka nak temu bual kedua-dua ibu dan bapa," ujarnya. Mama gembira sedikit, adalah teman. Kuranglah sikit kebimbangannya.
Kakak Kamil, Iliyana sedang disolek
Pada hari berkenaan, mereka bersiap pagi-pagi kerana perlu sampai jam 9.30. Bapa Iliyana merungut-rungut, tidak mahu ditemu bual. "Saya tak payahlah..." katanya sambil menunjukkan wajah yang kelat. Anak, mak dan bapa sama saja perangai... tidak suka publisiti.
Papa Kamil, serius selepas di touch up mukanya.
"Eh orang dah jemput, dah janji nak datang, kenalah datang," ujar mama. Kalau tidak kerana nak bantu promote buku Iliyana, mama tidak kuasa nak muncul di TV. Sebenarnya ramai yang mencadangkan buku itu diusahakan untuk dipromote di TV. "Kini peluang datang menggolek, takkan nak tolak begitu sahaja," kata mama.
Sewaktu bertolak ke RTM awal pagi, Irfan Kamil masih tidur. Begitu juga abangnya. Mama sempat berpesan kepada abang yang sedang di atas katil, jangan lupa tengok TV jam 11.00. Manakala Kamil masih lena tidur.
Muka kakak dan Mama sudah jadi tepung gomak. Mama cukup tak suka disolek tebal, sudah jadi muka orang lain.
Sampai di tempat letak kereta papa Kamil masih tidak ikhlas untuk menyertai program siaran langsung itu, apatah lagi program itu adalah progam untuk wanita. Namun apabila dibawa ke bilik mekap, papa mula berasa pelik dan teruja. Bilik mekap itu agak besar dengan cermin penuh ruang. Beberapa orang tukang mekap bersedia untuk menjalankan tugas. Papa turut dimekapkan. Dia mula berasa diraikan. Apatah lagi apabila dibawa ke bilik VIP. selepas itu.
Sebaik masuk, kelihatan suasana agak eksklusif dengan set sofa kulit mewah. Kuih-muih dan pelbagai jenis makanan pagi dihidangkan di satu sudut. Papa semakin teruja. "Wah hebatnya layanan..." ucap papa sebaik pelayan menjemput mereka makan.
"Mahu teh atau kopi?" Tanya pelayan itu.
Selepas menjamah sedikit makanan, pengacara Zamzarina pula datang. Dia juga baru selesai dimekap. Mama mengambil kesempatan bertanyakan apa soalan yang bakal diajukan nanti.
"Soalan ringkas sahaja. Misalnya, apa perubahan Iliyana selepas mengiktu program PLKN," kata Zamzarina.
Iliyana selepas disolek, tebal sungguh. Mengalahkan artis.
Sebentar kemudian kakak, mama dan papa dibawa ke studio. Rupa-rupanya tetamu sudah sedia memenuhi tempat duduk. Kelihatan sekumpula pelatih - wira dan wirawati PLKN. Mereka diundang khas untuk menyertai rancangan itu bersama dua jurulatih. Tetamu pada hari itu ialah kumpulan wanita daripada Kesedar, Kelantan.
Sebahagian wira (pelatih PLKN) yang dijemput menyertai program Apa Kata Wanita. Mama di belakang sedang menunggu giliran untuk dipanggil ke depan.
Kakak paling seronok apabila bukunya diulas sepanjang program itu. Buku DKN asyik berada di tangan Zamzarina. Setiap kali beralih tempat duduk, buku itu dibimbitnya dan disuakan ke layar televisyen setiap kali dia mengulas kandungannya. Kakak lebih banyak ditemu bual dalam rancangan itu. Manakala mama dan papa, hanya diajukan satu soalan yang sangat mudah.
Balik ke rumah, mama terus bertanyakan Kamil. Mama lihat Kamil dan abangnya biasa sahaja tidak sedikit pun menunjukkan perasaan teruja.
"Tengok tak kakak, mama dan papa di TV tadi?" tanya mama.
"Mama tak cakap pun TV berapa pukul berapa!" kata Kamil mencuka.
"Kan mama cakap pada abang tadi, tengok TV pukul 11."
"Abang dengar, mama kata tengok Kamil ... ingat kan tengok kami suruh bagi makan ke apa..."
"Itulah tidur lagi." Bidas mama.
"Mama tak cakap pun TV berapa... mama hanya cakap ada temu bual dengan orang TV, Kamil nak tengok. Kenapa tak bagi tahu hari ini keluar." Kamil mula tak puas hati. rupa-rupanya dia sangat kepingin nak melihat kakak, mama dan papanya di TV.
"Tak apalah, mama minta salinan dalam cd nanti," pujuk mamanya.
"Kamil tak nak tengok salinan, Kamil nak tengok kat TV," ujar Kamil mula memberontak. Terkumat-kamit mulutnya meluahkan rasa tidak puas hati sambil mula mengalir air mata.
"Tak apa, ada siaran ulangan hari Jumaat pagi," pujuk mamanya lagi.
"Mana boleh tengok, masa tu Kamil sekolah," dia terus `meracau' sehingga ke petang.
Mama diam, terkilan. Dah tak boleh buat apa-apa. Membiarkan saja Kamil melepaskan kemarahannya.
Gambar bawah. Petugas Apa Kata Wanita teruja berjumpa dengan pelakon tersohor Rosyam Noor lalu mengambil kesempatan bergambar. Dari kiri Penerbit Nik Ramzi, Penolong Penerbit bertudung merah jambu dan biru serta Zamzarina.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment