Monday, December 28, 2009

Daripada blog kekawan.


Assalamualaikum...

* Mogok menulis sebentar kerana terlalu sibuk dengan tugasan seharian, tidak ada masa nak memasukkan entri baru mengenai hal sendiri.

* Dengan ini saya ambil peluang menjenguk blog kawan-kawan.

* Ada entri mereka yang menyentuh perasaan, ada yang memberi peringatan dan ada yang membuatkan kita turut bergembira....


Berikut catatan daripada blog seorang rakan.... yang tulisan bold (hitam) tu ulasan saya...

Thursday, December 24, 2009

Berbagi rezeki, berkongsi gembira. Kelak, hidup tambah makmur bahagia


Dalam blognya rakan itu menulis.

Dah lama tak update entry baru. Banyak cerita sebenarnya tapi masa yang tak berapa mengizinkan. Terbaru, aku ingin berkongsi perjalanan penuh duga di Pattani, Thailand. Tapi biarlah dulu kerana lebih seronok menceritakannya di saat tenang. Fikiran lebih lapang dan susunan kisah serta bahasa lebih lancar dan cantik.

Ulasan saya; tak sabar nak mengetahui kisahnya..

Hanya saat ini, aku bersyukur kerana mendapat apa yang dihajati sekian lama. Kerana kemurahan rezeki berkerja di sini, aku berpeluang, mungkin lebih tepat, berjaya memiliki mini lap top yang dulunya harus mengikat perut dulu andai berhajatkannya. Sekarang, bukan itu saja dalam genggaman bahkan dapat pula membeli aksesori tambahan, broadband dan sebagainya. Tidaklah lagi, aku kesunyian di rumah itu. Tidaklah lagi aku mengeluh bosan kala malam2 Astro menyiarkan cerita ulangannya tu. Dapatlah lebih giat lagi bertenet ye....

Selepas ini, aku berhasrat melengkapi rumah dengan perabot. Sekarang bukan tidak ada tapi aku rasa belum cukup selesa. Ingin kusediakan sebuah kediaman yang memenuhi cita rasa dan paling penting, adik lelakiku yang tinggal bersama rasa seronok. Tidaklah dia nanti dok bersidai di kedai kopi bersama teman-temannya.

Ulasan saya: Diharap cita-cita murni itu tercapai ....

Oh, banyak sungguh yang ingin dilakukan. Banyak sungguh yang masih dalam perancangan. Baru kini hidup rasa lebih bererti dan bermakna. Selain ingin menyenangkan keluarga, ada jugalah imbuhan untuk diri sendiri. Doaku, moga Allah memberkati dan terus melimpahkan rezekiNYA kepada ku dan mereka yang patut menerimanya. Dan, ingatlah di kala senang, rezeki bukan untuk tembolok sendiri tetapi sebaiknya dinikmati, dikongsi dan dihirup manisannya bersama makhluk Allah yang lain.

Jangan terlalu berkira dalam hidup. Jangan terlalu bertuhankan duit. Jangan lupa menghargai dan mengenang kesusahan kala kesenangan membelit diri. Rezeki lebih berkat andai dibahagikan. Jangan tamak, kerana orang tamak selalu rugi. Jangan bakhil, itu sifat orang jahil. Dan, yang penting jangan menindas orang lain demi mengumpul harta peribadi. Sebelum terlanjur jauh, fikir akhirat kelak kerana semua yang dilakukan bakal dihitung dan dihisab.

Komen saya: Membaca perenggan ini, teringat kesilapan sendiri... sewaktu menjadi tuan kepada orang gaji, saya sentiasa berasa orang gaji itu tak cukup buat kerja... sudahlah dia buat kerja rumah, kena pula buat kerja-kerja jahit baju, langsir dan pasang pelamin. Bila dia langgar kontrak kerana berkahwin... saya tahan gaji dia untuk kos sambung permit (ketika itu baru saja sambung permit dia). Walaupun dia bersalah saya rasa Allah tak reda saya buat begitu... selepas itulah bisnes part time saya kian merosot, kemudian tak ada hati nak teruskan lagi.

Pengalaman dulu saya jadikan pengajaran... setelah fikir-fikir, saya sedar mungkin tidak cukup buat kebajikan, jarang berderma, nak bagi orang tua berkira ... Itulah agaknya rezeki pun susah. Kini apabila saya beralih kepada bisnes part time lain pula... saya pun cuba ikut amalan seorang rakan, menderma sebahagian kecil daripada hasil perniagaannya setiap kali wang masuk. (Patutlah job dia tak putus-putus - kawan saya itu - suami isteri tak makan gaji... buat kerja kontrak membina dan mengubahsuai rumah/bangunan, senang juga hidup dia walaupun dalam keadaan ekonomi meleset).

Kali ini, setiap kali wang masuk... saya akan pastikan tolak terus sekurang-kurangnya kadar potongan zakat... tidak kiralah bagi pada masjid, anak yatim atau ibu bapa....


Akhir sekali, saya doakan, rezeki yang diperolehi berkat dan mendapat syafaat di hari perhitungan kelak. Amin.

Ulasan: Apabila Izzat dapat wang insurans kemalangan dan Iliyana dapat wang hasil tulisan bukunya, saya mengarahkan mereka supaya memberi sedikit kepada datuk mereka, kerana ayah sayalah yang selalunya saya suruh solat hajat untuk kami - baik semasa Iliyana dan Izzat akan menduduki periksaan, masa saya zaman student pun sama juga... sewaktu Izzat kemalangan dan sewaktu Iliyana mengusahakan projek penulisan bukunya...

Alhamdulillah... setakat ini, apa yang kami usahakan dan harapkan sudah dapat hasilnya.... jangan pula disalah tafsir, cerita ini bukan untuk menunjuk, jauh sekali nak membesar diri... tapi untuk membuktikan catatan kawan saya di atas itu semuanya benar belaka....dan untuk berkongsi tips serta panduan berdasarkan pengalaman sendiri.

Saya percaya sangat bahawa rezeki boleh ditarik dalam sekelip mata... Jadi, kena sentiasa ingat bahawa saat kesusahan boleh menimpa kita bila-bila masa... kerana itu kita harus reda dengan gaya hidup serba sederhana, di samping tidak putus berusaha dan berdoa untuk kebahagiaan...

Nota: Saya pun pelik, selalu dikata orang senang sedangkan kalau dilihat daripada pandangan mata kasar (pemakaian dan cara hidup) sempoi habis... apa pun gembira harap kata-kata mereka itu sebagai doa... Nota lagi: Percayalah saya ini orang biasa-biasa saja, sama standard dgn kawan-kawan saya yang lain... (Saya berani kata begini kerana saya tahu, saya tak ada kawan orang kaya raya - tengok penampilan dan lagak saja dah tahu, tak sealiran jiwa, tak boleh masuk regu).

Nota lagi: Sejak saya mengamalkan untuk memberi sebahagian daripada hasil kepada orang... walaupun sedikit... rupa-rupanya terserlah kemurahan rezeki... he he.. masa asyik dapat cabutan bertuah, dua minggu berturut-turut itu, saya rasa, kerana itulah kut... sebab zaman `jahil` dulu haram - tak pernah `bertuah`... Hari ini, syarikat yang menawarkan cabutan bertuah menghubungi saya, hadiahnya (dish drier) sudah ada dan diminta datang collect di pejabatnya... Semasa majlis hari itu dapat surat sahaja. Ada masa saya, saya upload gambarnya... sebagai dorongan kepada kita untuk terus buat kebajikan tanpa memikirkan hadiah... hadiah itu akan datang dengan sendirinya, seperti `bulan jatuh ke riba' - eh eh setujukah apa yang saya kata ni... hmm mesti ada yang kata, poyo lah saya ni...huk huk huk!

Sambung pula dengan catatan kawan saya itu...

Aku: Sedih dengan nasib anak2 yatim di Pattani, Thailand. Sangat daif dan merentap kalbu. Nanti, bila senang akan kutulis kesulitan mereka. Moga hati semua kita terbuka untuk meringankan beban mereka. Saya doakan yang baik2 saja untuk anak2 berwajah bersih itu. Yang tidak bernasib baik namun tidak pernah meragui takdir dan sepak terajang hidup.

Thursday, December 17, 2009

Menang Berganda!

Sedang memikir apakah kebaikan yang telah kulakukan, lewat dua minggu ini asyik menang cabutan bertuah! Gambar: Sedang terima Grand Prize daripada bos teka.

Suatu hari saya teringat, sudah lama tak dapat undangan ke majlis pelancaran, menyebabkan terdetik di hati, `kenapa ya?' . Dah tak ada jemputan untuk media ke...

Apa pun, alih-alih minggu lepas dan minggu ini, dapat pula pergi. Yang hairannya, dua kali berturut-turut menang cabutah bertuah. Minggu lalu, sagu hati...dish washer dari Panasonic. Hari ini pula, di majlis pelancaran ruang pameran Teka Kuchentechnik, dapat Grand Prize. Selama ni, tak pernah naik nama, sekali nah... sampai lima lapis... Malu, tak terangkat..



Pegang ala-ala saja nak berposing, lepas tu cepat-cepat letak atas meja di sebelah tu. Berat...
Malu juga, semua lensa kamera tertumpu kepada saya. Apa pun, terima kasih Teka Kuchentechnik!


Nak ceritanya, di majlis itu saya sibuk mencatat nota dan merakam gambar, makanya kawan saya, Zurin (jabatan pemasaran) yang tolong menandakan jawapan borang cabutan bertuah itu... Ada ke kami press dikenakan menjawab beberapa soalan sebelum diberikan kertas jawapan itu bersekali kad bisnes kepada pengurus majlis.

Apabila pengacara majlis memanggil nama pemenang, saya duduk jauh di satu sudut... berbual-bual dengan Zurin tidak langsung ghairah mengharap untuk menang, sebab baru saja minggu lepas menang mesin pengering pinggan mangkuk. Tup-tup, terdengar di hujung-hujung telinga nama di sebut, apabila Zurin menjerit... saya macam tak percayalah. Tambah bila tengok hadiah yang tinggi bertingkat-tingkat.

Yang bestnya, sebelum nama saya diumum, baru saja saya bersungut kepada seorang lagi rakan press - "kenapalah dikumpulkan hadiah tu berkotak-kotak... tak fair, patut dicerai-ceraikan.... ramailah yang akan dapat... Rupa-rupanya, aikk.. saya yang dapat. Sebab Zurin yang tulis jawapan dan tumpang kereta Zurin, maka saya pun berbahagilah dengan dia juga...

Tuesday, December 1, 2009

Bersama mama

Mama, Bidah binti Isa bertudung merah jambu.

Kenangan beraya di kampung Pulau Mansuk, Jerantut, Pahang.


Pada Hari Raya Eidul Adha ini, kami sekeluarga beraya sakan kerana ibu yang koma pada Aidilfitri lalu sudah beransur sihat. Kini dia boleh berjalan, bercakap, membaca dan mengaji. Masih terbayang betapa hambarnya perasaan apabila terpaksa beraya di hospital dulu. Selesai solat sunat Aidilfitri dan makan pagi, kami semua berkejar ke hospital di Temerloh untuk berada di sisinya. Hari raya kali ini lebih meriah kerana mama ada bersama-sama Biarpun sudah boleh berjalan, biasalah orang baru pulih dari sakit, perlu sentiasa diawasi. Seronok melihat dia sentiasa tersenyum, walapun dalam kepayahan mengingati sesuatu. Ayah orang yang paling gembira kerana kami dapat berkumpul beramai-ramai.

Thursday, November 26, 2009

Hadiah daripada sebuah kerajinan!

Assalamualaikum.

Khamis: 26 November 2009.

Esok Hari Raya Aidil Adha. Saat orang sudah berada di kampung, saya masih menunggu detik 6.00 petang. Belum boleh pulang lantaran terlewat hantar borang, permohonan cuti saya ditolak untuk hari ini. Jadi kenalah saya datang bekerja. Semuanya kerana saya terlalu asyik memikirkan soal kerja-soal rencana-rencana dan lay out yang perlu disiapkan sebelum saya pulang, hingga saya alpa untuk mengisi borang cuti.

Saya sedia maklum, memohon cuti di saat akhir memang akan ditolak. Tidak mengapa. Yang penting sebahagian besar kerja saya sudah diatur dan ada yang sudah dihantar. Banyak yang perlu saya bereskan. Soal raya adalah perkara kedua... itu prinsip yang ditanam oleh pihak pengurusan. Dan sebagai pekerja, kita perlu akur. Sebagai orang lama, soal cuti tidak diluluskan itu adalah `small matter'. Saya tidak boleh memohon cuti lebih awal, kerana saya mesti tengok keadaan kerja, sama ada sudah beres atau tidak.. kalau semua beres atau hampir beres, barulah saya berani untuk memohon cuti.

Namun saya kesian kepada rakan saya itu. Dia bertungkus lumus menyiapkan kerja dan dia juga alpa untuk mengisi borang. Makanya terkejut besar dia kerana cutinya juga tidak dilulus untuk hanya sehari. Akhirnya dia memilih untuk cuti tanpa gaji. Sudah pulang dia ke Johor Baharu. Diharap dia dapat melupakan segala yang terkilan di hati dan dapat menyambut raya dengan gembira bersama ahli keluarga. Kepada dia, saya ingatkan lain kali, hantarlah borang cuti lebih awal. Kalau saya sendiri, tidak mengapa kerana sudah bersedia permohonan cuti akan ditolak. Pun begitu saya bersyukur, kerana sepanjang minggu depan, saya dapat cuti.

Satu masalah pada diri ini, biarpun cuti hati tidak pernah berasa selesa kerana asyik teringat soal kerja dan kerja yang tidak pernah habis-habis. Maka mulalah saya menggunakan waktu cuti untuk membuat kerja ofis di rumah. Melangkah ke mana sahaja, saya akan teringat apa yang belum siap, apa yang sudah siap. Begitulah diri saya, dari dulu sampai sekarang. Tapi kalau kawan saya yang seorang itu selalu mengaku begini, "saya kalau cuti, tak ingat langsung fasal hal ofis." Saya harap saya boleh bersikap begitu. Mungkin saya kena menuntut daripadanya bagaimana untuk melupakan hal-hal yang tidak sepatutnya saya ingat sewaktu bercuti.

Nota: Hapuskan rasa terkilan dan sakit hati, bersabar selagi kita boleh bersabar... kerana Allah SWT sentiasa bersama kita... Dia lebih memahami apa yang terdetik di dalam kalbu setiap makhluknya. Dia menilai dan merekod setiap kesabaran kita.


Selamat Hari Raya Aidil Adha, Maaf Zahir Batin.

Monday, November 23, 2009

Perihal Irfan Kamil...

Irfan Kamil bercita-cita nak masuk sekolah tahfiz sains.
"Kamil nak belajar quran dan nak juga belajar sains tekonologi macam abang. Kalau jadi doktor, nanti gelaran Kamil... Dr Irfan Kamil Al Hafiz, kalau jadi juruterbang... orang panggil Kamil, Kapten Irfan Kamil Al Hafiz." Saya tersenyum sendiri mendengar ayat angan-angan Kamil, sewaktu duduk mengadap komputer main game. Waktu kanak-kanak, suka-suka hati saja berangan, tak tahu bukan senang nak ke arah itu. Kalau asyik main game, macam mana? Bisik hati saya...



MINGGU lepas dan minggu ini sibuk sikit. Tension memikirkan ke mana nak hantar Irfan Kamil sambung pelajaran. Hantar permohonan ke sana sini. Baru nak naik tingkatan satu. Itu pun dah pening.

Hajat di hati nak masukkan dia ke sekolah agama tahfiz tetapi nakkan tahfiz sains. Biarlah kedua-dua ilmu ada. Masalahnya tak banyak sekolah agama tahfiz sains. Tapi saya lupa, tingkatan satu mana ada aliran sains , sastera, akaun dan sebagainya lagi. Baik sekolah sains, MRSM atau sekolah biasa, sewaktu tingkatan satu hingga tiga, belajar subjek hampir sama, melainkan sekolah agama penuh dan tahfiz.

Kenapa saya nak sangat pilih sekolah agama atau tahfiz, sebabnya dah tak percaya dengan sekolah menengah biasa dan sekolah berasrama penuh bukan agama. Terutama bagi budak lelaki. Anak yang baik di rumah, apabila masuk asrama mudah terpengaruh. Hisap rokok, panjat siling, lompat pagar, perkara lumrah. Ini berdasarkan cerita dan pengalaman si abang, Irfan Izzat (yang belajar di MRSM), sepupu dia dan beberapa lagi kisah pelajar lain yang pernah saya dengar. Sekolah agama sekali pun, silap-silap boleh juga terpengaruh dengan gejala ini.

Syukur dan seribu rahmat bagi yang berjaya mengelakkan diri daripada semua kegiatan tidak baik itu.

Atas alasan di atas, saya sebenarnya serik dah nak hantar anak ke sekolah berasrama penuh (bukan agama) dan MRSM.

Peri hal Irfan Kamil - walaupun sikit-sikit mengharap, sebenarnya tak agak pun dia boleh dapat 5A. Tak membaca, asyik main game. Sebelum exam (pada musim H1H1) , dia demam. Melepek tak makan hingga kurus kering, tinggal tulang. Hampir dua minggu tak pergi sekolah. Seminggu sebelum exam baru sembuh, dan dapat sambung tuisyen.

Paling senak perut, apabila di asyik beri tumpuan pada pelajaran sekolah agama. Waktu exam UPSR dan PSRA pula selang seminggu sahaja. Gila bisik hati saya.. macam mana nak bahagikan masa. Guru sekolah agama pula, lebih kuat mempengaruhi mindanya. Sewaktu tuisyen UPSR giat diadakan, tuisyen untuk PSRA juga sama kuatnya. Bila bertindih waktu, Kamil pilih tuisyen sekolah agama. Risau betul saya. Sedangkan UPSR pun penting. Saya bingung dan tawakkal saja bagi pihak Kamil.

Apabila keputusan keluar, Alhamdulillah kedua-duanya seimbang dan membolehkan dia memohon ke sekolah agama, aliran agama atau tahfiz kategori atas.

"Keputusan Kamil (4A 1B) ni tak ada masalah. PSRA nya baik. Ada budak dapat cemerlang PSRA tapi UPSR 2A saja. Susahlah sikit. Kamil seimbang, lagi pun dia lelaki.. peratus syarat untuk masuk lebih rendah daripada perempuan," ujar guru besar sekolah agamanya.

Mendengarkan kata-kata guru besar itu, lega sikit hati saya. Apa-apa pun saya tadah tangan, syukur dan memohon yang terbaik daripada yang Maha Esa.

Friday, November 13, 2009

Lunch bersama kawan lama...

Hari ini berjumpa dengan rakan lama, jurureka dalaman June Yap. Dia belanja makan team Anjung Seri. Enaknya, makanan di Mum's Place. Hampir tujuh lapan tahun lalu, saya pernah dibelanja makan olen June di situ. Ketika itu June baru saja membuka pejabat hiasan dalaman dan kedainya terletak berhampiran restoran berkenaan.

Sangat kagum dengan semangat berniaga Jun - selepas keluar daripada Biggie Best lebih 10 tahun lalu, dia memulakan perniagaan sendiri, mengubah suai hiasan dalaman rumah persendirian. Dia mendapat pelanggan `dari mulut ke mulut.' Dan pelanggannya daripada kalangan datin-datin dan orang vip.

Kemuncak kejayaannya apabila June dapat bekerjasama dengan wanita nombor satu negara, Allahyarham Datin Hendon dan adik kembarnya. Selepas kedua-duanya meninggal, kini perniagaan itu diusahakan June bersama Tun Jean Abdullah.

Saya terharu apabila June masih ingat dan beriya-iya mengajak bertemu. Melalui rakan sepejabat, kami menerima undangannya. Dia menunjukkan hasil kerjanya yang terkini. Kalau dulu pejabatnya setingkat sahaja dan tidak ada pekerja, kini sudah dua tingkat dan ramai pula pekerja. Kagum sungguh dengan si June ini. Dia tanya saya, masih buat bisnes wedding package: Saya jawab, dah berhenti.

June beri semangat kepada saya supaya teruskan bisnes itu dan dia mengingatkan, "kalau nak buat bisnes sekarang ni, jangan buat yang kecil-kecil, go for up market!" Terkebil-kebil saya mendengarnya. "Saya sekarang, kalau ambil pakej, kosnya seratus dua ratus ribu ringgit. Dapat dua job setahun cukuplah... Kalau buat berpuluh job tapi hasil sama dengan dua job, mestilah kita nak ambil job yang mahal saja," katanya. Bukan angkuh, tetapi dia berterus terang.

Hemm dia bolehlah kata begitu sebab contactnya siapa.... kawan-kawan dam saudara mara mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi. Dia juga terbabit mengubah suai dan menghias rumah Tun, Datuk Mukhriz Mahathir dan ramai lagi orang ternama serta ahli politik. Malangnya mereka tidak gemar mendedahkan suasanan dalaman rumah kepada umum. Apa lagi dipaparkan dalam majalah. Sejak mendapat client daripada kalangan orang begitu, hubungan kami terputus. Hasil pertemuan dengannya hari ini, dapatlah mengutip sedikit semangat daripadanya.

Wednesday, November 11, 2009

Celaru sekeping hati...

Seorang kawan berkata, tidak ada perkataan pencen dalam kamus hidup. Mungkin dimaksudkan kepada bukan kaki tangan kerajaan. Pesara kakitangan kerajaan sekalipun, katanya kena bekerja sehingga ke akhir hayat. Kalau tidak ditambah, simpanan yang ada akan habis jika dimakan sedikit demi sedikit. "Macam sebuah gunung, kalau ditarah sikit-sikit, akan habis juga kan? Macam mana kalau umur kita panjang sampai 70 - 80 tahun. Kalau nak makan duit pencen, berapa banyaklah sangat." Saya termenung, mungkin ada betul juga kata dia - siapa lagi, kalau tidak `uztaz' Nasir Roli tu. Kalau pergi assingment naik kereta dia, tidak sah kalau tidak dengar ceramahnya. Saya suka buka topik... kemudian dengar dia berceramah panjang. Fikir-fikir lagi kenyataannya itu, mungkin betul dan mungkin tidak. Kalau orang bergaji besar, tentu duit pencen cukup untuk dimakan sehingga akhir hayat.

Pendapat saya, andai kita tidak mahu lagi bekerja menjelang usia 50 tahun, kenalah bersiap sedia dari muda, mengumpul wang untuk hari tua. Harta beku penting. Harta yang boleh meningkat harga kalau disimpan seperti rumah dan saham amanah. Saya tidak tahu, mungkin saya terlewat untuk hidup selesa. Cukupkah apa yang ada untuk menampung kehidupan di hari tua? Saya ini `teruk' sedikit. Sepatutnya fikirkan mengenai, cukupkah amal ibadat saya untuk bekalan hari mati? Atau fikirkan mengenai keadaan semasa. Tidak usahlah fikir menjangkau masa yang tidak tentu, kita masih hidup atau tidak lagi ketika itu.

Itu maknanya saya diserang penyakit. Ada saja bisikan-bisikan yang tidak diingini, sentiasa menghasut supaya sentiasa memikirkan mengenai wang ringgit. Benci betul saya. Dari dulu lagi begitu. Sedangkan hal-hal ini, patutnya difikirkan oleh orang lelaki - suami. Tapi dia diam-diam saja, mungkin dia tidak beritahu rancangannya. Dia dengan rancangan dia dan saya dengan rancangan saya.

Saya terbaca kisah selebirit Linda Onn di Kosmo Online. Wah dia mampu memiliki sebuah lagi banglo berharga juta-juta. Belum kahwin lagi minah tu. Mungkinkah bisnes jual nasi ayam My Mom's Chiecken Ricenya meletup-letup? Betullah agaknya. Kalau tidak, masakan dia merancang membuka dua lagi cawangan di tempat lain. Bertuahlah dia mendapat keluarga yang menyokong menguruskan perniagaan berkenaan. Katanya, resipi nasi ayam itu resipi ibunya. Rasanya ibu dan adik-beradiknya yang bertungkus lumus menguruskan periniagaan itu. Bekerja di radio, adakah dia masa untuk itu?

Bercakap fasal berniaga, dengan umur ini dah tak sesuai lagi berhempas pulas di kedai, melayani kerenah pekerja, pelanggan dan sebagainya. Alangkah bagusnya kalau dapat duduk di rumah melakukan apa sahaja kerjaya yang saya suka. Orang kata, bukalah perniagaan melalui internet. Malangnya tak berapa arif dan belum lagi mula.

Mengapa saya mengarut fasal hal ini pagi-pagi hari ini? Sebabnya, saya sudah kerugian, terlepas peluang untuk membuat permohonan refinance rumah sewaktu interest/blr rendah 3.9 peratus. Semalam saya terdengar blr sudah dinaikkan. hu hu... saya sedih. mengutuk diri sendiri, lambat bertindak. Ini gara-gara bank lambat keluarkan permohonan untuk dapatkan penyata akaun gaji dari enam bulan lepas. Maknanya saya sudah kerugian besar. Kalau saya uruskan awal-awal, tentu dapat rebet banyak.

Apa pun, tidak kiralah, hari ini saya kenalah pergi juga ke bank. Sebelum blr naik lebih tinggi, saya mesti pergi berbincang dengan bank, rumah mana yang patut saya buat refinance. Rumah mana yang boleh dilangsaikan bayarannya. Semalam, anak saudara yang bercadang membeli salah satu rumah saya pula memberitahu dia tidak jadi beli. Alasannya permohonan beli rumah berharga sekitar RM300,000 itu sudahpun diluluskan. Baguslah untuk diri dia dan keluarganya. Dapatlah rumah yang besar sedikit dan dekat pula dengan tempat tinggal asalnya. Rumah saya kecil-kecil saja. Macam mana kalau anak nak kahwin nanti? Sempat ke nak renovate, sempat ke nak beli rumah lain yang lebih luas? Banyak yang bercelaru dalam fikiran saya ini... malaslah dah nak cerita... Mengucaplah Rashidah....