Thursday, November 26, 2009

Hadiah daripada sebuah kerajinan!

Assalamualaikum.

Khamis: 26 November 2009.

Esok Hari Raya Aidil Adha. Saat orang sudah berada di kampung, saya masih menunggu detik 6.00 petang. Belum boleh pulang lantaran terlewat hantar borang, permohonan cuti saya ditolak untuk hari ini. Jadi kenalah saya datang bekerja. Semuanya kerana saya terlalu asyik memikirkan soal kerja-soal rencana-rencana dan lay out yang perlu disiapkan sebelum saya pulang, hingga saya alpa untuk mengisi borang cuti.

Saya sedia maklum, memohon cuti di saat akhir memang akan ditolak. Tidak mengapa. Yang penting sebahagian besar kerja saya sudah diatur dan ada yang sudah dihantar. Banyak yang perlu saya bereskan. Soal raya adalah perkara kedua... itu prinsip yang ditanam oleh pihak pengurusan. Dan sebagai pekerja, kita perlu akur. Sebagai orang lama, soal cuti tidak diluluskan itu adalah `small matter'. Saya tidak boleh memohon cuti lebih awal, kerana saya mesti tengok keadaan kerja, sama ada sudah beres atau tidak.. kalau semua beres atau hampir beres, barulah saya berani untuk memohon cuti.

Namun saya kesian kepada rakan saya itu. Dia bertungkus lumus menyiapkan kerja dan dia juga alpa untuk mengisi borang. Makanya terkejut besar dia kerana cutinya juga tidak dilulus untuk hanya sehari. Akhirnya dia memilih untuk cuti tanpa gaji. Sudah pulang dia ke Johor Baharu. Diharap dia dapat melupakan segala yang terkilan di hati dan dapat menyambut raya dengan gembira bersama ahli keluarga. Kepada dia, saya ingatkan lain kali, hantarlah borang cuti lebih awal. Kalau saya sendiri, tidak mengapa kerana sudah bersedia permohonan cuti akan ditolak. Pun begitu saya bersyukur, kerana sepanjang minggu depan, saya dapat cuti.

Satu masalah pada diri ini, biarpun cuti hati tidak pernah berasa selesa kerana asyik teringat soal kerja dan kerja yang tidak pernah habis-habis. Maka mulalah saya menggunakan waktu cuti untuk membuat kerja ofis di rumah. Melangkah ke mana sahaja, saya akan teringat apa yang belum siap, apa yang sudah siap. Begitulah diri saya, dari dulu sampai sekarang. Tapi kalau kawan saya yang seorang itu selalu mengaku begini, "saya kalau cuti, tak ingat langsung fasal hal ofis." Saya harap saya boleh bersikap begitu. Mungkin saya kena menuntut daripadanya bagaimana untuk melupakan hal-hal yang tidak sepatutnya saya ingat sewaktu bercuti.

Nota: Hapuskan rasa terkilan dan sakit hati, bersabar selagi kita boleh bersabar... kerana Allah SWT sentiasa bersama kita... Dia lebih memahami apa yang terdetik di dalam kalbu setiap makhluknya. Dia menilai dan merekod setiap kesabaran kita.


Selamat Hari Raya Aidil Adha, Maaf Zahir Batin.

No comments:

Post a Comment