Kampung Baru, Kuala Lumpur dikenali sebagai `syurga makan-makan`, banyak restoran dan warung menawarkan pelbagai pilihan makanan. Kebanyakannya terletak di kawasan bawah tetapi tempat makan yang satu ini lain daripada lain. Tempat makan bagaikan terletak di awangan.
D’ Arina Skyview didakwa restoran pertama beroperasi di puncak
bangunan di Kampung Baru, yang menyajikan makanan mewah continental Melayu.
Selain makanan yang menyelerakan, suasana seakan di awangan adalah
tarikan utama restoran ini.
“Menawarkan pemandangan 360 darjah, tempat makan ini sesuai disinggahi
pelancong asing mahupun pelancong tempatan dan penduduk sekitar, hatta
kakitangan pejabat yang ingin menikmati hidangan sambil menghayati panorama kota
dari bumbung bangunan 20 tingkat,” kata Pengurus Jualan
dan Pasarannya, Ahmad Hisham Mohd Sharif, 44.
Menurutnya, D’ Arina Skyview adalah restoran pertama terletak
di puncak bangunan di kawasan Kampung Baru.
Memerhati ke sekeliling menerusi dinding kaca lut sinar, terasa seperti
berada di atas awan.
Pelbagai jenis hidangan, masakan mewah continental Melayu disediakan
kepada pelanggan harian mahupun yang menempah majlis.
Menghadiri satu majlis makan petang, tetamu dihidangkan makanan utama `Hi-Tea`
antaranya ialah nasi dan kue tiaw goreng, mihun rebus, capati, lemang dan nasi
impit.
Padanan kuah untuk nasi, lemang dan nasi impit ialah gulai kari ayam
bersantan pekat, sungguh menyelerakan.
Melengkapi hidangan tradisional, disediakan juga serunding untuk dimakan
bersama lemang dan nasi impit, sementara pencuci mulut meliputi kuih
tradisional seperti lopes, kaswi, cucur badak, getas dan kuih keria turut
dihidang.
Tidak ketinggalan menyelerakan, bubur pulut durian dan bubur gandum
masing-masing sederhana manis dan pekat, disediakan bersekali pulut dan
roti.
Minuman istimewa tentulah air batu campur . Buah-buahan tempatan juga
disediakan.
Makanan tengahari menyediakan lebih banyak pilihan meliputi masakan
Melayu kegemaran ramai iaitu nasi dan aneka lauk pauk serta sayur. Hatta hidangan untuk sarapan juga disediakan.
Tidak ketingalan restoran itu juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan sebarang majlis
keraian, di samping mesyuarat dan perbincangan dengan hidangan lauk pauk mengikut
kehendak penganjur.
Pilihan hidangan meliputi pakej Galaxi, Meteor, Phoenix dan
Complementary dengan harga RM35 hingga RM55 sekepala untuk tetamu 500 orang,
membabitkan tiga kategori hidangan iaitu, makanan utama, pemanis dan minuman.
Harga termasuk hiasan untuk ruang acara, meja pengantin dan tetamu
kenamaan.
Tarikan makanan dan persekitaran sama hebat, masing-masing dengan
kelebihan tersendiri. Paling teruja, melihat Menara Berkembar Petronas, kemegahan
negara di samping bangunan lain, yang
tinggi rendah.
Pemandangan sewaktu makan pada waktu senja dan malam, lebih lagi menarik
apabila diwarnai simbahan cahaya lampu.
Sesuai dengan lokasi dan kedudukannya di aras ke-20,
restoran D'Arina Sky view yang dimiliki Arina Development
Sdn Bhd bakal menjadi bualan di kalangan peminat.
Dibuka sebelum bulan Ramadan lalu (2016), restoran itu mengadakan
pelbagai tawaran promosi dari semasa ke semasa dan menerima tempahahan
untuk pelbagai acara.
Masakan disediakan oleh Chef Sabirin Yusof yang lebih dikenali Cef Bai
yang berpengalaman selama 20 tahun bekerja di Restoran Seri Melayu dan Restoran
Berputar Seri Angkasa.
No comments:
Post a Comment