Wednesday, October 7, 2009

Ibu Sakit, Ujian Untuk Anak-anak

7 September 2009

Lagi mengenai ma sakit. Apabila ma seorang sahaja asyik ke surau mendengar ceramah agama, apabila ma asyik mendoakan supaya anak-anak dan cucu berakhlak mulia serta tidak tinggal solat, apabila ma sering menasihatkan anak-anaknya agar tidak terlalu taksub bekerja sehingga lupa tanggungjawab terhadap agama, anak-anak sekadar mengangguk namun tetap ghairah bekerja, bekerja dan bekerja.

Kini apabila ma jatuh sakit, apabila lidah dan suaranya tidak lagi dapat menyebut perkataan dengan jelas, apabila fikirannya kurang daya ingatan, dia bukan sahaja tidak dapat menasihat dan berdoa untuk anak-anak. Apabila ma sakit, tibalah masanya kami semua tujuh beradik berkorban masa. Kini ma sudah dibawa pulang ke rumah dari hospital. Terpaksalah kami bergilir-gilir meninggalkan tugas masing-masing untuk menjaga ma. Mujur ada tujuh beradik. Kalau diikutkan bolehlah dibahagikan tugas menjaga seorang sehari, sebab dalam seminggu ada tujuh hari. Namun buat masa ini, ma tidak cukup dijaga seorang, kena sekurang-kurangnya dua orang pada satu masa. Kadang-kadang tiga orang. Itulah ujian Allah kepada kami. Nasib baik lima beradik tinggal berdekatan ma dan ayah, cuma saya dan seorang lagi bekerja di Kuala Lumpur. Makanya giliran kami menjaga pada hujung minggu.

Apabila ma dibawa pulang ke rumah, ramai pula yang datang menawarkan untuk cuba mengubat secara tradisional. Daripada stroke tidak boleh bercakap, kini sudah boleh bercakap. Dulu cuma minum susu ikut tiub yang dipasang di hidung, kini sudah boleh menelan nasi bubur. Semoga ma cepat sembuh. Sewaktu masih sedar, ma pernah berkata, "Allah memberikan kepada kita sakit dan kita mesti reda... kerana ujian itu untuk menggugurkan dosa-dosa kita." Pun begitu, kita yang sihat ini pula berasa gundah gulana. Dalam berdoa, berperasaan tidak menentu lantaran bimbang dan cemas. memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya.

Selain itu terfikir juga, kalaulah saya tua nanti dan jatuh sakit, dapatkah anak-anak yang hanya tiga orang itu bersabar menjaga?


No comments:

Post a Comment