Friday, September 11, 2009

Mama Yang Uzur

7 September 2009


Mama berusia 73 tahun semakin uzur. Hari ini saya pulang ke kampung, melawatnya di Hospital Bandar Jengka. Tidak sedar diri. Saya diberitahu, waktu mula-mula terkena, mama pandang ke arah dinding seperti nampak sesuatu dan dia senyum panjang. Sebentar kemudian dia seperti tersentak takut. Mengepal kuat jarinya. Kemudian tangannya kejang, lalu dibawa ke hospital.

Semasa saya sampai, mama seperti tidur lena, langsung tidak buka mata. Dia tidak sedar sebenarnya. Itulah pertama kali saya melihat mama dalam keadaan seperti itu. Adakah itu dinamakan koma? Doktor memberitahu mama perlu dibawa ke hospital lebih besar untuk mendapatkan rawatan bantuan pernafasan. Tiga hospital dihubungi oleh doktor terbabit, Hospital Temerloh, Hospital Kuantan dan Hospital Selayang, tetapi malangnya doktor dimaklumkan semuanya alat di ketiga-tiga hospital itu sedang digunakan, tidak ada yang kosong. Makanya mama dibawa ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut, dan bukan mengharap kepada alat bantuan pernafasan tetapi untuk dirawat secara biasa.

Apabila mama dibawa ke Hospital Temerloh dengan ambuluan, saya dan suami mengikut sampai ke sana. Selepas dimasukkan ke wad, kami pulang ke KL. Menurut doktortubuh mama kurang garam. Darah tinggi dan kencing manis juga tinggi sedikit. Doktor cuba mengkaji kenapa garam kehilangan begitu banyak dari dalam tubuhnya. Mungkin kerana ubat darah tinggi yang dimakan tidak sesuai dengan dirinya.

Mama di temani, adik bongsu saya (Mok Su) dan kakak kedua (Mok Nik). Menurut mereka, selepas dimasukkan air garam dan ubat, dia mula sedar tidur, sedar tidur. Seperti ada benda yang menggangunya. Mama seperti nampak sesuatu di bahagian atas tingkap bilik hospital itu.

"Bawa benda tu ke sini, bawak letak sini," katanya.
"Tak ada pun," kata Mok Nik.
"Bawa sini, " arah mama lagi seperti ada gangguan.
"Yalah nanti kita bawahlah ke sini," jawab Mok Nik.
Kemudian mama diam.

Selepas dirawat secara tradisional, barulah mama mula tenang. Dan dia sudah boleh respon kepada soalan doktor dan soalan sesiapa sahaja.

"Kenapa mama di sini?" Soal mama.
"Mama tak sedar, dua tiga hari mama tak sedar," kata Mok Nik.
"Kenapa ya mama tak sedar," mama menyoal Mok Nik.

Tiga empat hari kemudian mama dibenarkan keluar hospital. Tidak sangka mama boleh sedar semula. Saya menang tidak putus berdoa agar mama sedar.

11 September 2009

Saya pulang ke Bandar Jengka untuk melihat mama.
Wajahnya sayu. Pandangannya kosong. Tidak lagi seperti sebelumnya menyambut kepulangan anaknya dengan dakapan mesra dan penuh kegembiraan setiap kali kami pulang. Tidak lagi dapat memeluk Irfan Kamil sambil meniupkan ayat-ayat suci penerang hati dan baik pekerti.
Mama, orang yang paling kuat solat, mengaji dan pergi ke kelas agama pun diuji sebegitu... satu yang ketara, mama sentiasa tersenyum, sabar dan tidak merengek, memarahi atau memaki hamun sesiapa... wajahnya tenang setenangnya tetapi sangat tidak bermaya.

Ayah adalah orang paling sedih apabila melihat mama dalam keadaan begitu. Hari mama tersentak di pangkuannya, ayah seperti hendak demam kerana terkejut.

Semoga Allah meringankan mama daripada segala penderitaan dan pulih segera...

No comments:

Post a Comment