Thursday, November 5, 2009

Bertamu di Rumah Presiden Kelab Kucing

Pelakon veteren, Datuk Maria Menado dan Datuk Sarimah Ahmad tetamu kenamaan di majlis rumah terbuka Presiden Kelab Kucing.

Pada suatu hari itu Pak Khalid, Presiden Persatuan Kucing yang juga client syarikat kami, mengajak ke jamuan hari terbuka di rumahnya. Terkejut melihat suasana dalaman rumahnya. Patung kucing menghiasi segenap sudut. Sambil makan, mata kami melilau melihat patung-patung kucing yang comel mungil itu.



Patung kucing daripada seramik warna putih dan perang menghiasi meja sudut di dalam bilik di aras bawah. Apabila tetamu semakin ramai, kami menyelinap masuk ke bilik yang penuh dengan replika kucing. Di bilik berhawa dingin itu, kami beristirahat sambil menjamah makanan.

Masuk ke bilik replika kucing, Zurin dan Ain pun berlagak manja nak jadi seperti kucing juga. Maklumlah perut sudah kenyang tetapi tuan rumah belum membenarkan kami pulang. Sambil beristirahat, mengantuk pula. Tengoklah lagak Zurin dan Ain yang berposing dalam bilik kucing ni.


Seekor kucing comel dalam sarang menyambut kunjungan tetamu di anjung rumah. Kucing ni tak menjalankan tugasnya, asyik tidur dan menyembunyikan mukanya.



Nampak macam betuk tetapi ini hanyalah patung kucing. Ibu dan anak-anak kucing sedang tidur dalam bakul siap beralas lagi. Comelnya... Ini adalah antara koleksi replika kucing Pak Khalid.

Monday, November 2, 2009

Majlis Perpisahan Suzie

Suzie dan Cik Senah.


Agar-agar tembikai, menurut Suzie dibuat oleh kakaknya.


Majlis perpisahan Suzie...( baju merah)

Majlis kali ini ringkas sahaja. Cuma beli atau bawa apa yang patut. Pagi-pagi lagi hidang buat makan breakfast. Spagetti tajaan saya dan Zurin, Onlia bawa nasi lemak dan Ain beli Cocacola manakala Suzie bawa agar-agar tembikai. Terima kasih Suzie kerana memberi cenderahati mug seorang satu kepada kami yang tinggal.

Friday, October 16, 2009

Trio Hias Semula AS di rumah Diddy Hirdy

Ungu pekat, warna kegemaran baru Diddy Hirdy (dulu dikenali Diddy AF). Trio Hias Semula AS bergambar bersama Diddy dan wakil klien (belakang/berdiri di kiri).
Ain memeluk kusyen gebu - Tugasnya menyuaipadankan warna mengikut tema pilihan.

Uin mencuba bean bag - Tugasnya mendapatkan klien untuk menaja barangan.

Syida (Saya) Mencungkil rahsia hati Diddy Hirdy mengenai gaya penataan yang diidamkan untuk bilik tidurnya. Temu bual berlangsung di ruang tamu - Tugas saya, mencari artis/selebriti untuk diberikan barangan tajaan dan menulis mengikut kehendak klien.

Cerita lanjut dalam buku sisipan Anjung Seri Disember.

Friday, October 9, 2009

Shocking Pink!,

Trio Hias Semula AS di rumah Shila One In A Million. Shocking pink pilihan adiknya untuk bilik mereka. Terpaksalah dipadankan dengan putih untuk meredakan penguasaan pink.


Letih, interview sampai terduduk. Bukanlah, sebenarnya nak merasa kelembutan karpet berbulu panjang yang pink itu. Sama pula dengan bajuku! Satu kebetulan.


Trio Hias Semula AS bergambar kenangan selepas menghias bilik Shila One In A Million. Memulakan kerjaya sebagai penyanyi sejak di bangku sekolah, anak gadis bekas penyanyi ND Lala ini bagaimapun menyukai warna hitam. Merah jambu warna pilihan adiknya.


Membetulkan karpet. Saya cukup suka dengan karpet berbulu panjang warna pink ini. Uin pula nampaknya berminat dengan set cadar warna krim di atas tilam itu.
Cerita lanjut dalam buku sisipan Anjung Seri Disember.

Banglo Sejuta Lebih

Subang Bestari, pemaju World Wide

Kunjungan ke banglo ini adalah untuk menyempurnakan tugasan penulisan rencana mengenai syarikat pemaju berkenaan. Tugasan ini amat bermakna kerana pengambilan iklan adalah di atas inisiatif saya membuka mulut, "kalau mahu ditulis panjang lebar dan mahu dipaparkan alamat penuh dan contact number, kenalah ambil iklan." Begitulah kata-kata saya sewaktu menghubungi pegawai bertugas ketika memohon untuk merakamkan gambar untuk majalah tahunan, Anjung Seri Bonus 2010.

Apabila dimaklumkan kepada bosnya, mereka berminat mengambil iklan. Tugas seterusnya mengajak Zurin berjumpa berbincang dan dipendekkan cerita mereka bersetuju mengambil iklan. Rezeki saya sebagai penulis yang pastinya tidak akan mendapat apa-apa pun selain daripada gaji, tetapi Zurin sebagai staff iklan dan pemasaran akan mendapat insentifnya. Ini bukan kali pertama saya berjaya memujuk pelanggan mengambil iklan. Anjung Seri Bonus dua tahun lepas, SEMUA rencana rumah yang saya tulis adalah rumah client yang mengambil iklan. Bangga juga saya dapat menyumbang sesuatu kepada syarikat.


Halaman sisi yang luas dan lapang.

hem.....

Makan-makan `open house' di unit sendiri

Dah kenyang dan berhenti makan...

Sikit tetapi macam meriah saja.


Cik Senah dengan posing senyum simpulnya.

Kak Ani pun ada (bertudung kuning). Kak Ani asyik nak mengelak apabila nampak lensa kamera ke arahnya. "Kak Ani jangan ingat terlepas daripada rakaman kamera ini," kata Cik Senah sewaktu merakamkan aksi kawan-kawannya makan. Shila menunjukkan anggur yang manis.


Saya sediakan agar-agar susu, nampak macam keju. Terlupa nak buat malam, nasib baik pagi-pagi sempat masak dan sekejap sahaja beku.


Inilah antara hidangannya, makanan habis dalam sekelip mata... menu beriani segera dibeli oleh kawan sepejabat melalui kawan lama, Haslinda, spageti Zurin, Mi Mamak Faridah, biskut raya Senah, buah-buahan, saya sediakan agar-agar susu dan keropok dal. Bila makanan nak habis datang pula pizza khabarnya daripada bos, bila pizza nak habis datang pula Kentucky Min.

Wednesday, October 7, 2009

Ibu Sakit, Ujian Untuk Anak-anak

7 September 2009

Lagi mengenai ma sakit. Apabila ma seorang sahaja asyik ke surau mendengar ceramah agama, apabila ma asyik mendoakan supaya anak-anak dan cucu berakhlak mulia serta tidak tinggal solat, apabila ma sering menasihatkan anak-anaknya agar tidak terlalu taksub bekerja sehingga lupa tanggungjawab terhadap agama, anak-anak sekadar mengangguk namun tetap ghairah bekerja, bekerja dan bekerja.

Kini apabila ma jatuh sakit, apabila lidah dan suaranya tidak lagi dapat menyebut perkataan dengan jelas, apabila fikirannya kurang daya ingatan, dia bukan sahaja tidak dapat menasihat dan berdoa untuk anak-anak. Apabila ma sakit, tibalah masanya kami semua tujuh beradik berkorban masa. Kini ma sudah dibawa pulang ke rumah dari hospital. Terpaksalah kami bergilir-gilir meninggalkan tugas masing-masing untuk menjaga ma. Mujur ada tujuh beradik. Kalau diikutkan bolehlah dibahagikan tugas menjaga seorang sehari, sebab dalam seminggu ada tujuh hari. Namun buat masa ini, ma tidak cukup dijaga seorang, kena sekurang-kurangnya dua orang pada satu masa. Kadang-kadang tiga orang. Itulah ujian Allah kepada kami. Nasib baik lima beradik tinggal berdekatan ma dan ayah, cuma saya dan seorang lagi bekerja di Kuala Lumpur. Makanya giliran kami menjaga pada hujung minggu.

Apabila ma dibawa pulang ke rumah, ramai pula yang datang menawarkan untuk cuba mengubat secara tradisional. Daripada stroke tidak boleh bercakap, kini sudah boleh bercakap. Dulu cuma minum susu ikut tiub yang dipasang di hidung, kini sudah boleh menelan nasi bubur. Semoga ma cepat sembuh. Sewaktu masih sedar, ma pernah berkata, "Allah memberikan kepada kita sakit dan kita mesti reda... kerana ujian itu untuk menggugurkan dosa-dosa kita." Pun begitu, kita yang sihat ini pula berasa gundah gulana. Dalam berdoa, berperasaan tidak menentu lantaran bimbang dan cemas. memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya.

Selain itu terfikir juga, kalaulah saya tua nanti dan jatuh sakit, dapatkah anak-anak yang hanya tiga orang itu bersabar menjaga?