Tuesday, August 4, 2015

SANTAI SALAM AIDILFITRI 2015


Santai Salam Aidilfitri 2015
Tulisan: Rashidah Ibrahim



                                       
                                                     Tiba di jeti Kuala Perlis

Sebagaimana kebiasaan menjelang Ramadan, Anita Entertainment and Production (AEP) menganjurkan program tahunannya, Santai Salam Aidilfitri (SSA), kali ini bertempat di Aseania Resort & Spa, di Pantai Chenang, Langkawi, Kedah. SSA 2015 berlangsung tiga hari dua malam, bermula 12 Jun.

Santai Salam Aidilfitri tahun ini mendapat penyertaan di luar jangkaan daripada wakil media cetak dan elektronik. Peserta media, artis dan krew AEP penuh sebuah bas dibawa ke lokasi program. Rombongan bertolak dari Kuala Lumpur jam 10.45 malam 11 Jun di Stesen Petronas Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Acara pertama adalah singgah sahur di restoran “Tuuu… Dia Pak Tam” di Bandar Baru, Selayang. Di situ kami disediakan makanan ringan iaitu roti kaya bakar yang dihidangkan bersama minuman kopi Pak Tam. Selepas sesi temu ramah dengan Ruslin Ibrahim, 53, pengasas Restoran Tuuu… Dia Pak Tam Food & Restaurant, kami meneruskan perjalanan.



                                             
                                                                             Persembahan Kebudayaan

Melewati jam 12.00 malam, mata sudah semakin kuyu. Mereka yang mengantuk mengambil kesempatan melenakan diri selepas beberapa minit bas meneruskan perjalanan. Ada yang sekadar tidur-tidur ayam kerana tidak biasa tidur dalam bas yang sedang bergerak.

Seperti sebelumnya, artis baru dan veteran dibawa untuk menyertai program ini.  Penyertaan kali ini didominasi artis lelaki. Mereka terbabit termasuklah pelakon dan penerbit Khatijah Abu Hassan, Penyanyi Ikka Razman, Hana Febians dan Nas Kilauan Emas 4, pelakon yang juga penyanyi Zack Kool, Amaris serta komposer dan penyanyi, Ken Bluesmetal dan penyanyi dari Indonesia, Thomas Arya.

Wakil media cetak antaranya dari majalah Anjung Seri, Aroma, Malaysian Business dan Humairah, sementara media elektronik diwakili Bernama TV dan Astro Awani, juga blogger C.C Kak Fas. Tidak ketinggalan turut serta ialah penaja, My Beauty Herbs diwakili pengasasnya, Normey Mansor dan Pengurus Perhubungan Awamnya, Wan Ziraida Wan Musa.


Dari kiri, Ikka Razman, Wan Ziraida, Pengasas My Beauty Herbs, Normey (penaja) dan Hana Febians bergambar di jeti feri Kuala Perlis.


Kami sampai di jeti Kuala Perlis awal pagi esoknya dan menaiki feri jam 10 pagi. Perjalanan  feri mengambil masa kira-kira 50 minit. Sesampai di jeti kuah, terus menaiki bas untuk ke tempat penginapan di Aseania Resort & Spa.

Setibanya kami di resort berkenaan, disambut dengan pemberian segelas minuman air serai yang berkhasiat. Selepas mendengar taklimat ringkas oleh pihak hotel, kunci bilik diberi. Masing-masing mendapat tempat penginapan selesa dengan dua katil kelamin. Bilik besar dengan tilam lebih, maka ada yang menukar bilik suka sama suka.

Jamuan untuk kami disediakan bermula tengah hari itu, diikuti makan malam dan pagi. Selepas makan tengah hari, peserta media dibawa melawat ke tapak rakaman aktiviti SSA 2015, iaitu di sekitar kawasan kolam yang terletak di bahagian belakang bangunan. Dari lobi, pengunjung dikehendaki menuruni tangga untuk ke restoran dan kawasan kolam renang yang diberi jolokan taman air mini. Kami difahamkan, kolam mandi berukuran 154.4 meter di Aseania Resort & Spa itu diiktiraf oleh Malaysian Book of  Record sebagai kolam mandi terpanjang di Malaysia.


                                            Persembahan tarian kebudayaan

Sebelah petang, saya, blogger C.C Kak Fas Online (Fariza), Siti Hawa Dimiati Editor Aroma, Khatijah Abu Hassan dan seorang lagi berpeluang menziahari selebriti televisyen, Aziz Desa di rumahnya di Kuah. Beliau menghidap sakit buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialysis. Kami berbual dengannya lebih sejam.

Pulang ke hotel melewati jam 7 petang, hidangan makan malam sudah tersedia di pekarangan kolam. Di situ terdapat pentas persembahan, dinamakan Teratak Mahsuri. Ia dibina daripada kayu berasaskan bentuk rumah tradisional. Bangunan itu dibahagikan kepada pentas terbuka di bahagian hadapan dan berbumbung di belakang. Artis keluar melalui pintu tengah untuk memulakan persembahan nyanyian dan tarian.

Pada malam itu, kami makan diiringi persembahan tarian tradisonal oleh kumpulan seni hotel, apabila hujan renyai kegiatan beralih ke kawasan berbumbung di bangunan bersebelahan untuk acara persembahan santai oleh semua artis terbabit.



                                                                                    
                                                                                  Kegiatan mengacau dodol.

Pada pagi esoknya berlangsung aktiviti menghias pentas utama dan persediaan tempat untuk memasak dodol, lemang dan menganyam ketupat, diikuti aktiviti rakaman kegiatan berkenaan. Selepas makan tengah hari pula, diadakan latihan untuk persembahan malam.

Pada sebelah petang, berlangsung rakaman takbir Aidilfitri membabitkan peserta lelaki sahaja. Saya,
Fariza dan Siti Hawa mengambil kesempatan mengunjungi kedai di sepanjang jalan berdekatan. Sebelah siang suasana sepi tetapi pada waktu malam, tempat itu meriah dengan kerlipan lampu dan pengunjung yang datang untuk makan dan membeli-belah.

Kami singgah di sebuah kedai perhiasan diri. Masing-masing tertarik pada kalung besar,  pelbagai reka bentuk dan warna, yang dipamerkan.

“Cantiknya..”  Berulang kali Siti Hawa memuji sambil membelek rantai yang bergantungan di kedai itu.  Saya dan Fariza, turut membelek satu persatu-persatu. Lama kelamaan kami turut tertawan dan sama-sama membeli.

“Bolehlah dipakai di majlis makan malam ini,” ujar Siti Hawa.

“Ya, boleh kita lawan gemerlap artis-artis tu..” Seloroh saya, disambut tawa Siti Hawa dan Fariza. Sebelum waktu maghrib kami balik ke hotel dan terus bersiap untuk ke majlis makan malam.


                                                                
                                                                                 Persembahan artis

Sesuai dengan tema Aidilfitri,  Nas Kilauan Emas dan Zack Kool yang menjadi juruacara majlis pada malam itu, mengenakan pakaian baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok. Acara dimulakan dengan tarian tradisional diikuti nyanyian raya oleh Ken Bluesmetal. Apabila hujan renyai, seperti malam sebelumnya, kami berpindah ke bangunan sebelah untuk meneruskan acara pentas.




Persembahan nyanyian oleh semua peserta artis berlangsung dalam keadaan santai. Selesai persembahan, saya dan Fariza lepak di lobi, berbual dengan Ken Bluesmetal. Jam sudah melewati 11 malam, tetapi ada yang sempat membuat kegiatan sendiri mencari tempat untuk berkaraoke.




                                               Persembahan nyayian oleh KenBlues Metal





Keesokannya berlangsung majlis penyampaian cenderamata yang turut dihadiri Pengurus Besar Aseania Resort & Spa, Shamsol Mustapa. Dalam ucapannya, Shamsol berkata, resort itu dalam proses menaik taraf ke lima bintang. Beberapa pengubahsuaian dibuat membabit bilik penginapan dan restoran untuk mencapai taraf berkenaan.

Sebelum itu, pengasas dan pemilik AEP, Anita Yusof dalam dalam ucapannya berkata,  program Santai siri ke 51 ini, membawanya kembali ke Hotel Aseania  Resort & Spa, iaitu lokasi pertama penjelajahan siri Santai Selebriti.  Dalam siri Santai seterusnya beliau bercadang untuk kembali ke lokas-lokasi yang pernah diadakan sebelum ini.




Program Santai Selebriti dan Santai Salam Aidilfitri yang dianjurkan secara bersiri menurut Anita, antara lain bertujuan untuk mempromosi pelancongan domestik. Selepas bertukar cenderamata antara pihak hotel dengan penganjur, peserta berkumpul di lobi untuk menaiki bas.

Kami bergerak pulang dengan bas ke jeti pada waktu tengah hari. Dalam perjalanan pulang, sempat singgah di Restoran Tuuu… Dia Pak Tam di Tapah yang menaja hidangan mi goreng dan kopi. Ketika itu sudah lewat malam. Selepas mengisi perut, perjalanan diteruskan, kami sampai di Kuala Lumpur jam 3 pagi.



                                                   
  Aksi `salam hari raya` - Amariz (kiri) dan Hana Febians.


 Bergambar ramai berlatarkan pentas persembahan, Teratak Mahsuri.



Singgah di Restoran Tu Dia... Pak Tam dalam perjalanan pulang.


Nanti kami datang lagi ya...bersama Fariza (kanan).




Monday, July 27, 2015

Anugerah Video Belia - Bertemakan `Anda Hidup Hanya Sekali!`


Anugerah Video Belia Malaysia 2015 bertemakan “You Only Live Once”

Tulisan: Rashidah Ibrahim




Setiap insan di dunia ini diberikan kesempatan untuk hidup hanya sekali. Ya, itu adalah hakikatnya. Mana ada manusia yang disahkan mati dan kemudian hidup semula? Dengan mesej ini, golongan muda diingatkan agar menghargai kehidupan mereka dengan melakukan perkara yang bermanfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Demi memberi kesedaran itu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melalui saluran perkhidmatan komuniti, Insurans Hayat Cares menganjurkan Anugerah Video Belia Malaysia 2015, bertemakan `You Only Live Once` (Yolo). Majlis pelancaran anugerah itu berlangsung di Universiti Malaya, 24 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Promosi Industri LIAM, Ramzi Toubassy berkata anugerah julung kali diadakan itu disertai pelajar daripada 20 universiti tempatan. Menerusi rakaman video hasil kreativiti masing-masing, mereka akan berkongsi mesej bahawa nyawa amat berharga dengan tema kempen, 'hargailah nyawa, hayatilah kehidupan, berkongsilah kehidupan.'


"Kami ingin mengingatkan generasi muda Malaysia mengenai hakikat kehidupan di dunia hanya sekali. Kalangan dewasa selalu terfikir untuk memberitahu mesej ini kepada golongan muda terutama sewaktu terserempak mereka dalam kegiatan tidak berhemah misalnya memandu melulu sambil memintas kenderaan di jalan raya mahupun ketika menemuduga mereka untuk diambil bekerja,” kata beliau pada majlis itu.

Menurutnya lagi, belia kadang-kala melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang dengan anggapan mereka akan hidup selamanya. Bagi menghindari penyesalan seumur hidup wajarlah mereka sering diingatkan mengenai kepentingan menjaga nyawa sendiri.

Pertandingan anjuran Komuniti Belia Malaysia (MYC) yang disasarkan kepada pelajar fakulti penyiaran multimedia itu, secara tidak langsung menyemai sikap beringat mengenai perkara itu dalam kalangan pelajar yang menyertai anugerah itu dan juga sasaran penonton video mereka.



Sementara itu, Presiden MYC, Jason Koh berkata sebagai komuniti rangkaian kreatif belia yang menghubungkan jenama korporat dengan pihak universiti tempatan, pihaknya berbangga dapat menjalin kerjasama dalam mengadakan pertandingan sosial media terbesar di peringkat universiti di negara ini.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah RM8,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM2,000. Di samping itu juga, RM500 disediakan untuk tujuh pemenang hadiah sagu hati.

Hadiah juga disediakan bagi kategori pensyarah terbaik dan pemenang tempat kedua, yang masing-masing akan menerima RM1,000 dan RM500. Pemenang tempat pertama secara automatik akan dianugerahkan Trofi Video Universiti Terbaik.



Pada malam penyampaian anugerah itu, 10 video terbaik akan ditayangkan kepada media, anggota LIAM dan pensyarah universiti yang mengambil bahagian.

Disokong oleh 16 ahli syarikat, LIAM menerusi platform Insurans Hayat Cares akan terus bersama komuniti ke arah meningkatkan kesedaran belia yang juga generasi bakal pemimpin negara akan datang.

Fasa permulaan program bermula 22 Jun, dengan lawatan ke lebih 20 universiti yang menarik 541 penyertaan daripada kalangan pelajar iaitu `penerbit dan pengarah muda` amatur. Namun 10 video terbaik dipilih selepas melalui beberapa peringkat penilaian. Maklumat lanjut mengenai anugerah ini, boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.youthvideoawards.com.

Idarashida@blogspot.com




Saturday, May 30, 2015

Perarakan Bot Berhias Magic of the Night 2015







                                                           

             
Entah berapa kali pertunjukan bot berhias diadakah di Putrajaya tetapi baru tahun ini dapat menyaksikannya. Jemputan majalah Gaya Travel bagi menyertai program “Keajaiban Malam  2015”, memberi peluang kepada saya untuk menonton perarakan berkemilau itu. Bot-bot yang menyertai perarakan terserlah reka bentuknya menerusi pancaran cahaya lampu yang dipasang pada keseluruhan rangka bot.


                                                       Tarian pembuka tirai

Difahamkan ini adalah perarakan kali ke lima dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tahun ini disertai 17 bot mewakili semua negeri di Malaysia di samping Tourism Malaysia, Cruise Tasik Putrajaya dan satu penyertaan dari negara luar iaitu daerah Suzhou Republik Rakyat China. Acara dimulakan dengan ucapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, diikuti persembahan paluan irama gendang oleh Orkestra Tradisional Malaysia dan Kumpulan Gendang 1 Malaysia, pertunjukan bunga api dan perarakan Flotila.




Bot-bot yang menyertai perarakan direka hias membawa identiti setiap peserta. Dengan tema Endless Celebrations, setiap bot yang melayari sepanjang tiga kilometer Tasik Putrajaya menampilkan gabungan gemerlap lampu dan rona. Semua reka bentuk melambangkan ikon dan produk pelancongan serta kebudayaan negeri masing-masing. Penataan itu selaras dengan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menggalakkan pelancong tempatan dan asing menghargai kepelbagaian budaya seni bina, warisan dan tradisi di Negara ini.

Majlis perarakan tahun ini diserikan persembahan keharmonian irama pergendangan 1 Malaysia bertajuk Seratus Irama Pergendangan MyFEST 2015, merangkumi kumpulan pergendangan Kompang, gendang Cina, India, Jido dan Bhangra.

Acara ikonik pelancongan Negara ini turut disaksikan 70 wakil media dan ejen pelancongan luar negara yang diundang khas oleh Tourism Malaysia di bawah program Mega Fam. Ia berlangsung selama empat hari bermula dari 28 Mei 2015.




Bot Berhias Melaka

Mengekalkan konsep Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri, bot berhiasnya memperlihatkan konsep bot yang diguna pakai sebagai aktiviti pelancongan, `Melaka River Cruise'. Ia menonjolkan ikon-ikon utama produk pelancongan negeri itu iaitu Masjid Kampung Hulu (antara masjid tertua di Melaka dan Malaysia), Porta De' Santiago, Stadthuys, Menara Taming Sari yang berseni dan keunikan masyarakat etniknya.



 Bot berhias, Perbadanan Putrajaya.

Bertemakan Floria, ia mengetengahkan konsep seni bina tradsional Islam dan moden, dengan logo gah melambangkan rasa berbesar hati Perbadanan sebagai agensi bertanggungjawab dalam mentadbir dan menguruskan Putrajaya sebagai Pusat Petadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia.



Bot berhias, Pahang.

Dengan tema Menyerlahkan Rahsia Pahang... , ia mendedahkan Bebar "Black Water Jewel", kompleks hutan paya gambut yang meliputi kawasan seluas 160,000 hektar di Pekan, Kawasan itu diselimuti dengan nilai keaslian flora dan fauna serta kekayaan warisan alam semula jadinya yang tersendiri.

Bebar, adalah ntara habitat tertua dan hutan paya terbesar di Asia Tropika. Penampilan botnya menyelitkan sebahagian hidupan liar yang belum kelihatan oleh mata kita, di samping mengajak penonton untuk bersama-sama menghargai, memelihara dan mewarisi anugerah alam itu.



Bot berhias, Kelantan.

Berilhamkan Flora dan Fauna, reka bentuk  menampilkan binaan perahu diraja Kelantan dinamakan Pertala Indera Sri Kelantan. Motif ukiran pada perahu melambangkan keagungan nila kesenian Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim.

Pertala Indera Sri Kelantan mengikut sejarah kesultanannya, adalah satu kurniaan istimewa yang disembahkan oleh Raja Siam iaitu Raja Chulalongkorn Rama V kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Long Senik Putera Long Kundur (Sultan Muhammad ke IV) sempena keberangkatan baginda ke Negeri Kelantan pada tahun 1905.




Bot berhias Negeri Sembilan.

Memaparkan seni binaan rumah tradisionalnya yang dipengaruhi rumah Minangkabau.  Rakyat Minangkabau yang berhijrah ke Melaka dengan merentasi Selat Melaka pada masa lampau membawa bersama seni binaan tradisional tempat asal mereka dari tanah seberang, seterusnya menjadi ikutan untuk dibina oleh rakyat negeri itu kemudiannya. Reka bentuk berseni itu dapat dilihat di Muzium Negeri Sembilan yang dibina pada 1953.



Bot berhias Tourism Malaysia

Memilih tema Irama Malaysia, perarakannya diiringi bunyi ketukan harmonika muzik tradisional Malaysia. Reka bentuk menampilkan peralatan yang menghasilkan bunyian muzik tersebut. Meneliti di bahagian belakang bot, terdapat replika bayau, iaitu monyet Proboscis yang menjadi maskot Tahun Festival Malaysia 2015.



Kembara Jelajah Koperasi Johor


Meninjau Kegiatan Koperasi Johor
Tulisan dan gambar: Rashidah Ibrahim
www.idarashida.blogspot.com

Program jelajah koperasi bukanlah sesuatu yang baru dianjurkan untuk media.  Disebabkan kali pertama menyertainya, maka terselit sedikit rasa teruja. Dengan pembabitan kali pertama, maka apa dilalui dirasakan menarik dan bermakna.

Dalam program Jom Jelajah Koperasi Negeri Johor (JJKNJ) 2015 dari 16 hingga 18 Mei lalu, peserta media dan agensi pelancongan didedahkan kepada produk pelancongan lima koperasi terpilih.

Lawatan tiga hari dua malam itu memberi tumpuan kepada kegiatan Koperasi Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai Berhad; Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad; Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad; Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (Kopris) dan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad yang mengkhusus dalam perniagaan masing-masing.





Hari pertama

Seperti biasa, rombongan yang dikendalikan oleh Gaya Travel dijemput dengan bas  di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Kuala Lumpur. Diringi rider dan kereta polis trafik, kami bertolak sekitar jam lapan pagi, menuju ke destinasi pertama, Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai. Di situ kami meninjau kegiatan koperasi kampung nelayan berkenaan.

Didaftarkan pada Mac 2014, Koperasi yang mempunyai 60 ahli itu menawarkan perkhidmatan eko dan agro pelancongan, pengangkutan air di samping memasarkan produk anggota.



                                   Setiba di jeti Kampung Nelayan Sg Latoh Kong Kong, Masai.                             


Ketibaan kami sekitar jam 12 tengahari, disambut sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang berbaris menunggu. Selepas diraikan dengan pemberian cenderamata, kami terus dibawa ke jeti untuk memulakan acara pertama, melawat perairan Sungai Latoh dan Johor, tempat nelayan kampung itu mencari makan.

Cuaca mendung menyambut ketibaan kami pada tengah hari itu menyebab atur cara taklimat ditunda.

“Kita akan terus ke acara boat cruising terlebih dahulu memandangkan ada tanda-tanda akan hujan,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Promosi Suruhajaya Koperasi Malaysia (SKM), Sairah Basrin yang turut menyertai jelajah dari Kuala Lumpur.

Seterusnya kami ke jeti untuk menaiki bot yang akan membawa peserta meronda di sekitar perairan Sungai Latoh bagi tujuan melihat aktiviti di perairan kampung nelayan itu.

Dua bot sedia menanti untuk membawa peserta. Nelayan bertugas memberi penerangan, Normala Salim, 57, memperkenalkan dirinya. Saat diminta memakai jaket pelampung, hati teruja kerana aktiviti menaiki bot memang menjadi kegemaran.

Perjalanan bot bermula di jeti melalui Selat Mendana yang bersambung dengan Sungai Johor.


                                                    
         Acara menaiki bot melawat lokasi kegiatan nelayan. Amboi sibuk dengan gajet masing-masing.


“Di sini terdapat perusahaan membuat bot dan rakit memancing oleh penduduk tempatan,” katanya sambil menambah sewa rumah rakit memancing dalam RM15 semalaman sementara sewa bot dari RM50 hingga RM100 sebuah, bergantung saiz.

Kami melewati hutan pokok bakau yang menurut Normala, sengaja ditanam untuk kegunaan membuat arang kayu.  Jenis tangkapan nelayan di situ katanya, bergantung kepada musim, meliputi ikan, kupang, kerang, dan siput.

Acara ditunggu ialah makan tengah hari di atas rumah rakit, berlaukkan ikan, sotong, udang, ketam segar dan kerang. Selesai makan, bergerak semula ke jeti untuk menaiki bas ke Johor Bahru.  Sampai di destinasi penginapan, sudah lewat petang.  Kami cuma ada masa kurang sejam untuk bersiap ke majlis perasmian program JJKNJ 2015.


                                              
                                                        Jamuan tengahari di atas rakit

Majlis perasmian berlangsung di restoran Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad. Ia terletak di Anjung Senibong yang dikenali sebagai pusat makanan laut tersohor, di Johor Bahru.

Saat pengacara menjemput tetamu menjamu selera, suasana sunyi sepi. Semua memberi tumpuan pada makanan enak di hadapan mata.Kemudian berlangsung acara perasmian oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Lamien Sawiyo.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Johor, Muriddan Elias, dalam ucapan sebelumnya berkata, di Johor ada 17 koperasi aktif dalam pelancongan meliputi  bidang travel & ticketing, pengurusan resort, hotel bajet, homestay, rumah inap, pelancongan eco dan agro, restoran, kraftangan dan pengangkutan.


                                                   Salah satu acara di majlis perasmian.

Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad didaftarkan pada Oktober 2010 dengan kini 174 ahli. Antara kegiatannya,menjalankan penternakan kupang, menyewa rumah inap, tapak perniagaan dan mengusahakan restoran.

Pada hari kedua, bertolak ke Johor Bahru untuk meninjau kegiatan Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad. Beroperasi  sejak 19 tahun lalu, ia menguruskan 304 teksi. Jumlah anggota terkini 292 dan 130 teksi disewakan kepada ahli. Bagi melengkapkan rantaian nilai perkhidmatan, disediakan perkhidmatan Mawar Radio Teksi bagi membantu ahli mendapatkan pelanggan.


                                                              Menaiki teksi

Pada tengah hari, kami meneruskan jelajah ke Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (KOPRIS). Memasuki kawasan ladang melihat aktiviti ternakan lembu tenusu dan daging serta ayam, adalah sesuatu yang menyeronokkan. Disebabkan kawasan ladang tidak dapat dimasuki dengan bas, kami dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan sempit, dan tidak rata.

                                                             
                                                    
                                                              Ternakan lembu.

Perjalanan melalui ladang kelapa sawit untuk sampai ke ladang ternakan agak mencabar. Perladangan kelapa sawit adalah aktiviti utama Kopris, di atas tanah seluas 200 hektar (500 ekar).

Terdapat 13 kandang ayam yang besar dibina atas kawasan berbukit itu. Projek ekonomi kedua menyumbang kepada pendapatan Koperasi, ternakan ayam pedaging ini dimulakan pada 2012, di atas tapak  40 hektar (100 ekar) di daerah Mersing. 


                                                   
                                                         Ternakan ayam daging

Bertambah teruja apabila ahli media dibawa masuk ke reban ayam untuk merakamkan gambar dengan lebih jelas. Rakaman temu bual untuk siaran televisyen turut diadakan di dalam reban. Geli hati melihat gelagat wartawan penyiaran berdiri dalam ketakutan sambil menemu bual, tiba-tiba menjerit saat kakinya hampir dipatuk ayam ternakan.

Menjelang petang perjalanan diteruskan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad. Penyerahan rasmi anak angkat diadakan pada majlis makan malam, diikuti persembahan kebudayaan. Selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah keluarga angkat untuk menginap.




                                                      Demonstrasi mengutip madu kelulut

Menjelang petang perjalanan diteruskan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad. Penyerahan rasmi anak angkat diadakan pada majlis makan malam, diikuti persembahan kebudayaan. Selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah keluarga angkat.

Hari ketiga

Pagi esoknya, selepas bersarapan bersama keluarga angkat, peserta dibawa ke sekitar kampung, melawat bengkel produk hiasan tempurung, perusahaan madu kelulut dan rumah tradisional yang berfungsi sebagai galeri peralatan kesenian.


                                                      Persembahan kebudayaan

Program berakhir dengan penyerahan semula anak angkat. Selepas bersalaman, kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3 tiga petang dan sampai di Matic jam 7 petang.

Program JJKNJ 2015 dianjurkan oleh SKM, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Gaya Travel.



                                Bergambar selepas majlis penyerahan semula anak angkat.



Thursday, May 21, 2015

Salah Sangka!








Pada malam itu saya menangis teresak-esak selepas terbaca satu status seorang kawan, sangka saya dia menujukan perkataan negatif itu kepada saya, pagi esok apabila terjumpa dia.. seperti biasa sahaja lagaknya...menegur saya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku...sedang saya sudah membuat keputusan untuk menjauhkan diri daripadanya... akhirnya dalam diam saya mengetahui yang dia tidak langsung menujukan kata-kata itu kepada saya... percuma sahaja mengalirkan air mata pada malam itu... rasa malu sendiri dan terbit rasa bersalah kerana silap anggap, namun saya merahsiakan perkara itu daripadanya.... mungkin anda juga pernah melalui pengalaman seperti ini.


Idarashida@blogspot.com







Thursday, May 7, 2015

Koleksi Tudung Terkini Artis Malaysia



                                                                             



Menonton sebuah rancangan anugerah hiburan yang cukup berprestij beberapa minggu lalu, saya sangat teruja, terutama kerana dapat melihat pakaian fesyen yang beraneka rekaan. 

Apa yang saya suka tentang majlis itu adalah ianya adalah ibarat platform untuk peminat fesyen seperti saya mendapatkan rujukan ilham penggayaan diri. Pada majlis anugerah seperti itu kita dapat melihat selebriti terkenal tanah air berjalan di laluan karpet merah dengan persalinan masing-masing yang cukup menyerlah. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, acara karpet merah sebenarnya adalah antara segmen kegemaran saya! 
                                                                        


Pada edisi tahun ini saya lihat banyak artis dalam kalangan selebriti yang hadir mengenakan tudung. Pemakaian tudung ini bukanlah satu yang asing kerana terdapat banyak selebriti wanita Malaysia yang sudah berhijrah dan mengenakan pemakaian yang lebih sopan, sesuai dengan status dan perubahan imej masing-masing.

Koleksi tudung terkini artis Malaysia memperlihatkan pemilihan pelbagai jenis tudung baru yang serba cantik! Tudung Siti Nurhaliza dan tudung Neelofa yang terkenal dengan jenama tudungnya iaitu Neelofar adalah antara yang menjadi perhatian ramai.


Kalau dilihat koleksi tudung terbaru yang kini boleh didapati dalam pasaran mempunyai sifat yang cukup versatile. Ini kerana tudung moden wanita boleh dipadankan dengan hampir apa sahaja untuk membentuk persalinan yang sempurna. Antara pilihan padanan yang popular adalah pakaian tradisional seperti baju kurung, jubah dan baju kurung peplum. 

Koleksi hijab terkini wanita juga boleh didapati dengan pelbagai warna menarik. Sebut apa sahaja tona warna tudung, pasti akan ada yang bersesuaian dengan kehendak anda. Jika inginkan tudung yang boleh dipadankan dengan mudah bersama apa sahaja yang anda ada dalam almari pakaian, pilih warna yang lebih neutral seperti hitam, coklat dan juga putih.





Idarashida@blogspot.com





Sunday, May 3, 2015

Rumah Sewa di Bandar Jengka



Bilik untuk disewa?

This place was renovated for the convenient of students to stay.
Dilengkapi kemudahan mesin basuh, dapur ringkas, peti ais, katil, tilam, sette dan meja serba guna.

                               Sms/Whatsapp: 013-3310221



Lokasi. Nadi Kota: Di belakang pejabat Lembaga Urusan Tabung Haji.
Shop lot di tingkat atas kedai Shoes & Bags.



Tangga ke tingkat atas.
                                                         
                                                                 
                                                                         Ruang lapang



Ruang lapang di hadapan bilik



                                                         
                                                            Meja serba guna

               

Bilik katil double decker




                                                               Bilik katil setingkat



                                                             Bilik katil double decker


                                                        Bilik with built in bathroom

                                               
                                                      Washing and drying cloths area.


                                                             Washroom@toilet.