Showing posts with label Travelog. Show all posts
Showing posts with label Travelog. Show all posts

Friday, March 3, 2017

AGRA FORT



                                                     Di hadapan Istana Jahangir
                                                
Taj Mahal yang ingin penulis terokai, namun Agra Fort pula jadi pengganti, gara-gara masalah kabus tebal, penerbangan kami seramai 20 orang dari Kashmir ke New Delhi pada Disember lalu dibatalkan. Kerugian sehari menyebabkan jadual lari. Percutian tujuh hari kami di India bermula di Kashmir.
Sampai di Agra hari Jumaat, diberitahu pemandu pelancong yang menunggu kami sejak semalam bahawa Taj Mahal ditutup hari itu. Kesemua 20 peserta kecewa namun siapakah yang dapat melawan ketentuan-Nya?
Tidak jauh dari Taj Mahal, terdapat sebuah kompleks dikenali Agra Fort atau Kubu Merah Agra iaitu monumen Mughal atau Mogul abad ke-16 yang juga tersohor dan menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia. Dulunya, ia sebuah kubu paling penting di India.


                                         Bangunan utama dalam kawasan Agra Fort

Mula dibina oleh Maharaj Mogul, Akbar the Great atau Akbar yang Hebat, di dalam Kubu Agra terdapat sejumlah bangunan termasuk istana dan landskap taman bernilai sejarah. Padanya tersimpan harta kekayaan negara, antaranya perbendaharaan dan kilang syiling terbesar.
Terletak di kanan tebing sungai Jamuna ke arah Timur bandar Agra, kompleks  kubu dan bangunan terbina oleh dinding kukuh dan tebal daripada pasir merah. Difahamkan Akbar membinanya menggantikan Kubu Badalgarh daripada batu lama yang kukuh, diasaskan  Raja Rajput dengan tembok kepungan 2.5-km 

Tunggukan cerita lanjut dalam Harian Metro.

Di hadapan gerbang laluan masuk utama ke ruang dalaman Agra Fort.



Saturday, May 30, 2015

Perarakan Bot Berhias Magic of the Night 2015







                                                           

             
Entah berapa kali pertunjukan bot berhias diadakah di Putrajaya tetapi baru tahun ini dapat menyaksikannya. Jemputan majalah Gaya Travel bagi menyertai program “Keajaiban Malam  2015”, memberi peluang kepada saya untuk menonton perarakan berkemilau itu. Bot-bot yang menyertai perarakan terserlah reka bentuknya menerusi pancaran cahaya lampu yang dipasang pada keseluruhan rangka bot.


                                                       Tarian pembuka tirai

Difahamkan ini adalah perarakan kali ke lima dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tahun ini disertai 17 bot mewakili semua negeri di Malaysia di samping Tourism Malaysia, Cruise Tasik Putrajaya dan satu penyertaan dari negara luar iaitu daerah Suzhou Republik Rakyat China. Acara dimulakan dengan ucapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, diikuti persembahan paluan irama gendang oleh Orkestra Tradisional Malaysia dan Kumpulan Gendang 1 Malaysia, pertunjukan bunga api dan perarakan Flotila.




Bot-bot yang menyertai perarakan direka hias membawa identiti setiap peserta. Dengan tema Endless Celebrations, setiap bot yang melayari sepanjang tiga kilometer Tasik Putrajaya menampilkan gabungan gemerlap lampu dan rona. Semua reka bentuk melambangkan ikon dan produk pelancongan serta kebudayaan negeri masing-masing. Penataan itu selaras dengan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menggalakkan pelancong tempatan dan asing menghargai kepelbagaian budaya seni bina, warisan dan tradisi di Negara ini.

Majlis perarakan tahun ini diserikan persembahan keharmonian irama pergendangan 1 Malaysia bertajuk Seratus Irama Pergendangan MyFEST 2015, merangkumi kumpulan pergendangan Kompang, gendang Cina, India, Jido dan Bhangra.

Acara ikonik pelancongan Negara ini turut disaksikan 70 wakil media dan ejen pelancongan luar negara yang diundang khas oleh Tourism Malaysia di bawah program Mega Fam. Ia berlangsung selama empat hari bermula dari 28 Mei 2015.




Bot Berhias Melaka

Mengekalkan konsep Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri, bot berhiasnya memperlihatkan konsep bot yang diguna pakai sebagai aktiviti pelancongan, `Melaka River Cruise'. Ia menonjolkan ikon-ikon utama produk pelancongan negeri itu iaitu Masjid Kampung Hulu (antara masjid tertua di Melaka dan Malaysia), Porta De' Santiago, Stadthuys, Menara Taming Sari yang berseni dan keunikan masyarakat etniknya.



 Bot berhias, Perbadanan Putrajaya.

Bertemakan Floria, ia mengetengahkan konsep seni bina tradsional Islam dan moden, dengan logo gah melambangkan rasa berbesar hati Perbadanan sebagai agensi bertanggungjawab dalam mentadbir dan menguruskan Putrajaya sebagai Pusat Petadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia.



Bot berhias, Pahang.

Dengan tema Menyerlahkan Rahsia Pahang... , ia mendedahkan Bebar "Black Water Jewel", kompleks hutan paya gambut yang meliputi kawasan seluas 160,000 hektar di Pekan, Kawasan itu diselimuti dengan nilai keaslian flora dan fauna serta kekayaan warisan alam semula jadinya yang tersendiri.

Bebar, adalah ntara habitat tertua dan hutan paya terbesar di Asia Tropika. Penampilan botnya menyelitkan sebahagian hidupan liar yang belum kelihatan oleh mata kita, di samping mengajak penonton untuk bersama-sama menghargai, memelihara dan mewarisi anugerah alam itu.



Bot berhias, Kelantan.

Berilhamkan Flora dan Fauna, reka bentuk  menampilkan binaan perahu diraja Kelantan dinamakan Pertala Indera Sri Kelantan. Motif ukiran pada perahu melambangkan keagungan nila kesenian Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim.

Pertala Indera Sri Kelantan mengikut sejarah kesultanannya, adalah satu kurniaan istimewa yang disembahkan oleh Raja Siam iaitu Raja Chulalongkorn Rama V kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Long Senik Putera Long Kundur (Sultan Muhammad ke IV) sempena keberangkatan baginda ke Negeri Kelantan pada tahun 1905.




Bot berhias Negeri Sembilan.

Memaparkan seni binaan rumah tradisionalnya yang dipengaruhi rumah Minangkabau.  Rakyat Minangkabau yang berhijrah ke Melaka dengan merentasi Selat Melaka pada masa lampau membawa bersama seni binaan tradisional tempat asal mereka dari tanah seberang, seterusnya menjadi ikutan untuk dibina oleh rakyat negeri itu kemudiannya. Reka bentuk berseni itu dapat dilihat di Muzium Negeri Sembilan yang dibina pada 1953.



Bot berhias Tourism Malaysia

Memilih tema Irama Malaysia, perarakannya diiringi bunyi ketukan harmonika muzik tradisional Malaysia. Reka bentuk menampilkan peralatan yang menghasilkan bunyian muzik tersebut. Meneliti di bahagian belakang bot, terdapat replika bayau, iaitu monyet Proboscis yang menjadi maskot Tahun Festival Malaysia 2015.



Kembara Jelajah Koperasi Johor


Meninjau Kegiatan Koperasi Johor
Tulisan dan gambar: Rashidah Ibrahim
www.idarashida.blogspot.com

Program jelajah koperasi bukanlah sesuatu yang baru dianjurkan untuk media.  Disebabkan kali pertama menyertainya, maka terselit sedikit rasa teruja. Dengan pembabitan kali pertama, maka apa dilalui dirasakan menarik dan bermakna.

Dalam program Jom Jelajah Koperasi Negeri Johor (JJKNJ) 2015 dari 16 hingga 18 Mei lalu, peserta media dan agensi pelancongan didedahkan kepada produk pelancongan lima koperasi terpilih.

Lawatan tiga hari dua malam itu memberi tumpuan kepada kegiatan Koperasi Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai Berhad; Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad; Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad; Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (Kopris) dan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad yang mengkhusus dalam perniagaan masing-masing.





Hari pertama

Seperti biasa, rombongan yang dikendalikan oleh Gaya Travel dijemput dengan bas  di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Kuala Lumpur. Diringi rider dan kereta polis trafik, kami bertolak sekitar jam lapan pagi, menuju ke destinasi pertama, Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai. Di situ kami meninjau kegiatan koperasi kampung nelayan berkenaan.

Didaftarkan pada Mac 2014, Koperasi yang mempunyai 60 ahli itu menawarkan perkhidmatan eko dan agro pelancongan, pengangkutan air di samping memasarkan produk anggota.



                                   Setiba di jeti Kampung Nelayan Sg Latoh Kong Kong, Masai.                             


Ketibaan kami sekitar jam 12 tengahari, disambut sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang berbaris menunggu. Selepas diraikan dengan pemberian cenderamata, kami terus dibawa ke jeti untuk memulakan acara pertama, melawat perairan Sungai Latoh dan Johor, tempat nelayan kampung itu mencari makan.

Cuaca mendung menyambut ketibaan kami pada tengah hari itu menyebab atur cara taklimat ditunda.

“Kita akan terus ke acara boat cruising terlebih dahulu memandangkan ada tanda-tanda akan hujan,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Promosi Suruhajaya Koperasi Malaysia (SKM), Sairah Basrin yang turut menyertai jelajah dari Kuala Lumpur.

Seterusnya kami ke jeti untuk menaiki bot yang akan membawa peserta meronda di sekitar perairan Sungai Latoh bagi tujuan melihat aktiviti di perairan kampung nelayan itu.

Dua bot sedia menanti untuk membawa peserta. Nelayan bertugas memberi penerangan, Normala Salim, 57, memperkenalkan dirinya. Saat diminta memakai jaket pelampung, hati teruja kerana aktiviti menaiki bot memang menjadi kegemaran.

Perjalanan bot bermula di jeti melalui Selat Mendana yang bersambung dengan Sungai Johor.


                                                    
         Acara menaiki bot melawat lokasi kegiatan nelayan. Amboi sibuk dengan gajet masing-masing.


“Di sini terdapat perusahaan membuat bot dan rakit memancing oleh penduduk tempatan,” katanya sambil menambah sewa rumah rakit memancing dalam RM15 semalaman sementara sewa bot dari RM50 hingga RM100 sebuah, bergantung saiz.

Kami melewati hutan pokok bakau yang menurut Normala, sengaja ditanam untuk kegunaan membuat arang kayu.  Jenis tangkapan nelayan di situ katanya, bergantung kepada musim, meliputi ikan, kupang, kerang, dan siput.

Acara ditunggu ialah makan tengah hari di atas rumah rakit, berlaukkan ikan, sotong, udang, ketam segar dan kerang. Selesai makan, bergerak semula ke jeti untuk menaiki bas ke Johor Bahru.  Sampai di destinasi penginapan, sudah lewat petang.  Kami cuma ada masa kurang sejam untuk bersiap ke majlis perasmian program JJKNJ 2015.


                                              
                                                        Jamuan tengahari di atas rakit

Majlis perasmian berlangsung di restoran Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad. Ia terletak di Anjung Senibong yang dikenali sebagai pusat makanan laut tersohor, di Johor Bahru.

Saat pengacara menjemput tetamu menjamu selera, suasana sunyi sepi. Semua memberi tumpuan pada makanan enak di hadapan mata.Kemudian berlangsung acara perasmian oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Lamien Sawiyo.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Johor, Muriddan Elias, dalam ucapan sebelumnya berkata, di Johor ada 17 koperasi aktif dalam pelancongan meliputi  bidang travel & ticketing, pengurusan resort, hotel bajet, homestay, rumah inap, pelancongan eco dan agro, restoran, kraftangan dan pengangkutan.


                                                   Salah satu acara di majlis perasmian.

Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad didaftarkan pada Oktober 2010 dengan kini 174 ahli. Antara kegiatannya,menjalankan penternakan kupang, menyewa rumah inap, tapak perniagaan dan mengusahakan restoran.

Pada hari kedua, bertolak ke Johor Bahru untuk meninjau kegiatan Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad. Beroperasi  sejak 19 tahun lalu, ia menguruskan 304 teksi. Jumlah anggota terkini 292 dan 130 teksi disewakan kepada ahli. Bagi melengkapkan rantaian nilai perkhidmatan, disediakan perkhidmatan Mawar Radio Teksi bagi membantu ahli mendapatkan pelanggan.


                                                              Menaiki teksi

Pada tengah hari, kami meneruskan jelajah ke Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (KOPRIS). Memasuki kawasan ladang melihat aktiviti ternakan lembu tenusu dan daging serta ayam, adalah sesuatu yang menyeronokkan. Disebabkan kawasan ladang tidak dapat dimasuki dengan bas, kami dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan sempit, dan tidak rata.

                                                             
                                                    
                                                              Ternakan lembu.

Perjalanan melalui ladang kelapa sawit untuk sampai ke ladang ternakan agak mencabar. Perladangan kelapa sawit adalah aktiviti utama Kopris, di atas tanah seluas 200 hektar (500 ekar).

Terdapat 13 kandang ayam yang besar dibina atas kawasan berbukit itu. Projek ekonomi kedua menyumbang kepada pendapatan Koperasi, ternakan ayam pedaging ini dimulakan pada 2012, di atas tapak  40 hektar (100 ekar) di daerah Mersing. 


                                                   
                                                         Ternakan ayam daging

Bertambah teruja apabila ahli media dibawa masuk ke reban ayam untuk merakamkan gambar dengan lebih jelas. Rakaman temu bual untuk siaran televisyen turut diadakan di dalam reban. Geli hati melihat gelagat wartawan penyiaran berdiri dalam ketakutan sambil menemu bual, tiba-tiba menjerit saat kakinya hampir dipatuk ayam ternakan.

Menjelang petang perjalanan diteruskan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad. Penyerahan rasmi anak angkat diadakan pada majlis makan malam, diikuti persembahan kebudayaan. Selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah keluarga angkat untuk menginap.




                                                      Demonstrasi mengutip madu kelulut

Menjelang petang perjalanan diteruskan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad. Penyerahan rasmi anak angkat diadakan pada majlis makan malam, diikuti persembahan kebudayaan. Selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah keluarga angkat.

Hari ketiga

Pagi esoknya, selepas bersarapan bersama keluarga angkat, peserta dibawa ke sekitar kampung, melawat bengkel produk hiasan tempurung, perusahaan madu kelulut dan rumah tradisional yang berfungsi sebagai galeri peralatan kesenian.


                                                      Persembahan kebudayaan

Program berakhir dengan penyerahan semula anak angkat. Selepas bersalaman, kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3 tiga petang dan sampai di Matic jam 7 petang.

Program JJKNJ 2015 dianjurkan oleh SKM, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Gaya Travel.



                                Bergambar selepas majlis penyerahan semula anak angkat.



Sunday, April 26, 2015

Kembara Ladang Gaharu




                                     

                                                          
17 April 2015

Cuti 6 hari + 4 hari.
 

Maksud tajuk di atas, hari cuti berekod enam hari campur dua kali Sabtu dan Ahad, menjadi 10 hari.  Itulah bilangan cuti yang saya dapat kali ini. Lama juga tu. Mana nak pergi? Kerana sudah lama tidak balik ke kampung suami di Negeri Cik Siti Wan Kembang, kami mencapai kata sepakat untuk balik ke sana. Si dia ada satu tujuan penting, iaitu untuk meninjau satu kawasan ladang rakyat.

Pada pagi jumaat sekitar jam 10 pagi, kami berlepas daripada Gombak, melalui jalan ke pantai timur ikut Gua Musang. Biasalah, perjalanan ikut lebuh ini agak membosankan. Tidak seperti jalan Kuantan – Terengganu – Kelantan, yang terdedah dengan panorama pantai biru syahdu. Ikut laluan Gua Musang, hanya pemandangan hutan dan apabila sampai di Gua Musang, disajikan dengan panorama bukit batu kapur di sana sini.

Setelah empat jam memandu sampailah ke kawasan ladang itu. Tidak ada pegawai berkenaan di situ, jadi kami tidak dapat masuk ke kawasan lot tanah yang hendak dilihat.

“Saya tidak tahu lot mana lot mana.. bos saya tahulah, dia boleh tunjuk,” ujar petugas yang menyambut kedatangan kami. Dia memang menunggu ketibaan kami kerana sudah dimaklumkan kepadanya melalui dua orang bosnya.

“Mana pokoknya?” Kami menyoal.

Petugas itu membawa kami ke tempatnya. Di sekitar kawasan itu terdapat beberapa jenis pokok buahan termasuk rambutan ciku, duku dan limau yang telah besar. Yang ketara adalah tapak semaian kelapa sawit dan gaharu. Anak-anak pokok itu ditanam dalam poli beg berwarna hitam, ada ke poli beg berwarna lain? Setahu saya, semuanya hitam kan kan?

“Inilah pokoknya,” ujar petugas itu sambil menunjukkan sebatang pokok besar yang kelihatan condong. Hanya ada satu pokok gaharu sekitar kawasan pejabat ini, ditanam oleh arwah Menteri Besar, Tuk Guru Nik Aziz, dalam upacara pelancaran lebih lima tahun lalu.

Si dia memotong satu dahan kecil untuk ditunjukkan kepada sesiapa sahaja yang berminat ingin tahu mengenai pokok berkenaan. Setelah berjanji dengan petugas berkenaan untuk datang lagi, kami meneruskan perjalanan ke Machang.

Bersambung.


Idarashida@blogspot.com
rashida.ibrahims@gmail.com






Saturday, April 25, 2015

MENINJAU LADANG GAHARU



Pengalaman Cemas  Lawat Ladang


         
                                                                   Ladang rakyat 

GUA MUSANG, 19 April 2-15 -  

Menaiki kereta Hilux mendaki laluan bercerun dengan permukaan tanah senget benget, menghayun kuat tubuh ke kiri dan kanan. Itu pun sudah cukup membuat hati berdebar dup dap dup dup!

Sedang mendaki bukit tinggi hampir 45 darjah, kereta pacuan empat roda terhenti. Pedal ditekan kuat, enjin mengaum tetapi kereta tidak lepas juga untuk naik ke atas bukit. Sebelah kanan, lembah curam. Pemandu beberapa kali berusaha untuk menggerakkan kereta ke depan, tiba-tiba enjin mati. Oh ini lebih mencemaskan.




                                                   Biar dia orang yang selesaikan.

“Jom turun, turun.. takut takut takut!!!” Lantas saya mengajak dua lagi penumpang keluar, enggan mengambil risiko. Dalam kereta pacuan empat roda itu ada tiga penumpang dan seorang pemandu. Sebelum itu kereta mengundur dan kemudian mengambil lajak untuk mendaki jalan bertebing curam itu. Namun masih tersangkut , tidak lepas ke atas. Buatnya kereta tergolek, lembah di kanan ibarat mulut sedang menganga menanti mangsa. Bimbang pemandu tidak dapat mengawal imbangan. Lebih baik turun, sekurangnya kereta akan jadi lebih ringan. Kata hati. Setelah kami turun, sebuah lagi Hilux yang sedang menunggu di depan, datang mengundur ke tempat kami untuk memberi bantuan.


                                    
                                                      Persediaan untuk menarik dengan tali.

Bagaikan sudah berpengalaman, pegawai dari kereta satu lagi turun untuk melakukan misi membantu menarik kereta yang tersangkut. Tali dikeluarkan, diikat pada kereta di belakang dan depan. Beberapa kali berusaha menarik, dengan enjin mengaum kuat, akhirnya Hilux yang kami naiki berjaya juga naik ke atas bukit setelah ditarik oleh kereta di depan. Kepala asyik teringat rancangan ekspedisi land rover di televisyen. Begitulah aksi yang kami alami dan tonton pada tengah hari itu.

Saya dan si dia sedang melawat sebuah ladang rakyat di Gua Musang. Tiga petugas ladang membawa kami untuk melihat lot ladang kepunyaan pembeli. Menurut pegawai berkenaan, asalnya tanah itu berhutan tetapi sudah dibersihkan sebelum ditanami pokok buah-buahan dan gaharu. Pernah dengan gaharu? Tumbuhan serba guna, yang dikatakan sangat mahal harganya hingga mencecah ribuan ringgit sepokok. Minyak gaharu yang terhasil daripadanya, ada berharga tiga ribu ringgit sebotol kecil dan berpuluh ribu satu botol minuman! Seperti pokok kelapa, semua bahagian daripada pokok berkenaan boleh mendatangkan hasil produk.

Mengenai ladang
 

                              
                                            Berbincang...................inilah ladangnya!

Dipendekkan cerita akhirnya kami sampai ke kawasan lot tanah yang dituju. Dalam lot itu terdapat pokok duku, pauh dan durian serta tidak ketinggalan pokok gaharu yang dikatakan berusia sekitar lima tahun. Tanah ladang itu milik anak syarikat negeri Kelantan, yang mengusahakan kawasan berkenaan untuk dijual kepada rakyat negeri berkenaan, bersekali pokok buah-buahan dan pokok gaharu.


                                               
                                                 Daun gaharu dikeringkan, boleh dibuat teh.

Setiap lot berukuran 2 ekar, agak luas juga, setiap satu ekar dikatakan boleh ditanami 400 hingga 1,000 batang pokok gaharu. Namun pada setiap ekar, hanya ditanam 100 batang pokok gaharu, yang mana tidak semua hidup. Selebihnya tuan tanah boleh tanam dan mengurus sendiri ladang atau mengupah syarikat berkenaan setelah serahan hak milik dilakukan.



                                                           
                                                          Pokok gaharu berusia 5 tahun

“Inilah pokoknya. Sudah agak besar. Semua bahagian daripada pokok ini boleh mendatangkan hasil. Daunnya boleh dibuat teh, petik biarkan sampai kering kemudian kisar halus sehingga menjadi seperti serbuk teh,” ujar pegawai yang memandu kereta kami naiki sebentar tadi.



                                                                    petugas ladang

Saya juga pernah dengar bahawa gaharu juga boleh menghasilkan bahan untuk dibuat produk kecantikan. Hasilan utamanya tentulah minyak wangi. Pewangi daripada gaharu ini, menjadi kesukaan masyarakat di negara Arab. Diketahui oleh saudagar Arab, mereka tentunya akan menawarkan untuk membeli atau memajak seluruh kawasan berkenaan untuk ditanami gaharu. Nasib baik pihak pengurusan tidak menjual kepada mereka. Difahamkan ada juga seorang rakyat tempatan yang tinggal di Arab membeli sebahagian lot tanah di situ. Bangsa Cina, juga mengidamkan tanah berkenaan, tetapi ia hanya dijual kepada orang Melayu tempatan. Namanya lagi ialah ladang rakyat! Rakyat tempatan.

               

                                 Pokok limau dan ciku antara ditanam bersama gaharu.




Idarashida@blogspot.com

Friday, June 8, 2012

Betulkah Kellie's Castle Berhantu?




Tulisan dan gambar: RASHIDAH IBRAHIM

Assalamualaikum rakan maya semua, bertemu lagi dalam entri terbaru saya, kali ini mengenai sebuah bangunan usang yang penuh misteri di Perak, dibina 102 tahun lalu. Ini adalah kunjungan kali ketiga saya ke situ. Disebabkan majalah tempat saya bekerja menolak cerita ini dengan alasan pernah disiarkan, hmm saya paparkanlah di sini... Selamat membaca, kalau suka tinggalkanlah jejak (komen)...  Terima kasih.

Kunjungan ke Istana Kota Kellies (Kellie’s Castle) di Batu Gajah sewaktu menyertai program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M), Jom Terokai Perak awal Mei lalu (2012), mengimbau kenangan saya sewaktu berkunjung ke situ lebih 20 tahun lalu. Biarpun orang kata bangunan itu berhantu,  tidak menghalang orang ramai daripada berkunjung.


 Merakam gambar daripada seberang sungai.

Terletak di seberang sana sungai Kinta, pengunjung perlu menaiki jambatan untuk sampai ke bangunan itu. Dalam masa beberapa minit berjalan, kami sudah pun berada di sebelah sana sungai.
Bangunan itu kelihatan tersergam di atas bukit, tidak jauh daripada tebing sungai yang memisahkan bangunan itu dengan jalan besar. Sementara peserta lain ghairah melihat reka bentuknya, pandangan saya tertumpu pada jambatan yang menghubungkan kedua-dua tebing. Selain memudahkan perjalanan ke bangunan berkenaan, kehadiran jambatan berkenaan  menyumbang kepada pembentukan lanskap yang menarik.

Penyertaan dalam program KCC1M Jom Terokai Perak anjuran Tourism Malaysia Perak dengan kerjasama Gaya Travel Magazine, membawa saya ke situ buat kali ketiga. Sewaktu kunjungan pertama dan kedua pada tahun 80-an,  Istana Kota Kellie belum menjadi destinasi utama pelancongan. Suasana persekitaran, tidak sama seperti sekarang. Bukan sahaja bangunannya kelihatan sangat usang kerana terlalu lama ditinggalkan, bahkan jambatan pun belum ada.

Pada masa itu, pengunjung menaiki sampan untuk sampai ke Istana Kota Kellie dan perjalanannya sedikit mencabar. Lokasinya suram dan sunyi. Kini, dalam keadaan ramai sekali pun terasa kesiknya berikutan bangunan itu menyimpan pelbagai cerita misteri.

Istana Kota Kellie yang juga dikenali Rumah Kellas dilaporkan dibina pada 1910. Bangunan itu kini dipulihara dan dijaga persekitarannya berikutan lokasi itu sudah dimajukan sebagai pusat pelancongan. Dinding daripada batu-bata tanah liat diselenggara sehingga terserlah serinya. Bangunan tiga tingkat itu dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India; manakala tukangnya dibawa khas dari Madras.


 Di atas bumbung..

Menurut catatan sejarah, Istana Kota Kellis dibina oleh seorang peladang getah terkemuka British, bernama William Kellie Smith yang berasal dari sebuah desa di Scotlandia, dikenali Kellas. Beliau datang sebelum Tanah Melayu membangun iaitu pada 1890, ketika berusia 20 tahun.  Smith bertemu dengan seorang pemilik tanah bernama Alma Baker yang telah memenangi konsesi daripada pemerintah negara untuk membersihkan 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar daripada perniagaan bersama Alma Baker, Smith mula menanam getah dan menyertai industri perlombongan timah di samping memiliki Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas Tin Dredging Company.

Berkahwin di negara asal dengan gadis Scotland, Agnes; Smith kemudian membawa isteri tercintanya ke Tanah Melayu pada 1903. Mereka dikurniakan anak perempuaan, Helen tahun berikutnya. Smith mengharapkan seorang anak lelaki sebagai waris untuk mengambil alih perniagaannya. Nasib menyebelahi mereka apabila Agnes melahirkan anak lelaki bernama Anthony pada1915, dan selepas itu mereka dikurniakan rezeki melimpah. Bagi merayakan kelahiran Anthony, Smith berusaha membesarkan kediaman itu dan merancang pembinaan istana besar, digelar Rumah Kellas (Kellas House) sempena rumahnya di Scotland, nama di kalangan penduduk tempatan, lebih dikenali Kellie`s Castle.

Bangunan itu dirancang untuk menampung 14 bilik, dengan satu bilik bawah tanah membawa ke terowong rahsia. Namun yang dapat dilihat adalah kesan bilik tuan rumah dan bilik dua anaknya di bangunan baru, kesan ruang dapur serta ruang makan di bangunan yang dibina terawal. Dua kepala patung yang tertera pada dinding depan di bahagian luar bangunan, dikatakan melambangkan diri Smith dan anak lelakinya.
Atas bumbung rata, mungkin ini dicadangkan sebagai padang tenis.
Sementara tingkat dua, mahu dijadikan padang tenis. Oleh kerana terlalu taksub dengan agama Hindu dan budaya India, Smith merancang pembinaan mirip seni bina rumah di Madras dengan semua batu bata dan seramik diimport dari India. Dia turut membawa sejumlah besar pekerja buruh India dalam impiannya untuk membina Rumah Kellas menurut seni bina India asli.
Dilihat sekali imbas, reka bentuknya mirip Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. 

Persamaan ketara dari segi susunan batu-bata merah dan bentuk gerbang di sepanjang sisi bangunan. Dalam banyak hal, yang istimewa mengenai Istana Kota Kellie, ia dilaporkan sebagai bangunan pertama yang mempunyai lif di Malaya. Terdapat laluan menghubungkan sayap kanan sampai ke lantai atas selain mempunyai dua terowong yang menganjur di bawah sungai berdekatan. Salah satu terowong menghubungkannya dengan beberapa candi Hindu tidak jauh dari rumah utama. Di tingkat dua, Smith merancang  pembinaan sebuah lapangan tenis dalaman. Pada salah satu lantai, dirancang halaman untuk bersantai kerana kediaman itu mahu dijadikan pusat berhibur bagi pemilik ladang koloni kaya yang telah menetap di Malaya.

Berita mengenai bangunan itu pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911,  yang mendakwa Rumah Kellas adalah bangunan paling unik di Timur Jauh, sama ada dari segi bentuk ataupun besarnya. Namun bangunan itu tidak sempat disempurnakan apabila Kellie Smith meninggal di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926. Bangunan separuh siap itu kini menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana keunikannya.

Antara cerita misteri yang tidak terungkai mengenai Istana Kota Kellies adalah bangunan itu dikatakan berhantu, berikutan ada orang pernah ternampak bayangan ahli keluarga berkenaan muncul di dalam bangunan itu. Ini menimbulkan tanda tanya sedangkan hakikatnya tidak ada seorang pun daripada ahli keluarga berkenaan yang meninggal di situ. Agnes dikatakan menjual tanah berkenaan kepada orang lain dan meninggalkan kediaman itu setelah pemergian suaminya, membawa bersama kedua-dua anak mereka. 

Setelah dijadikan pusat pelancongan, lokasi itu kini semakin terurus. Sebuah kedai makan, kedai cenderamata serta tapak letak kereta telah dibina oleh Majlis Daerah Kinta Barat pada 1990. Kini Istana Kota Kellie sering menjadi lokasi penggambaran drama  dan filem.

Teori lain kenapa bangunan itu dikatakan berhantu, menurut laporan terdapat kejadian bunuh di dalam bangunan itu. Sewaktu menjadi bangunan terbiar, menurut ceritanya ia pernah menjadi tempat perlindungan kumpulan gangster. Dalam satu pergaduhan di antara kumpulan gangster, ada yang terbunuh di situ.

Satu lagi cerita, keluarga Smith dikatakan amat dihormati oleh penduduk sekitar. Dia disanjungi oleh pekerja ladangnya yang beragama Hindu, sehingga mereka membuat sebuah patung dan diletakkan di dalam bangunan kuil mereka, tidak jauh daripada bangunan situ. Patung itu disembah, ibarat Tuhan mereka.

"Bagi kaum Cina, adalah pantang membina patung orang yang masih hidup dan disembah. Perbuatan itu adalah satu taboo, mungkin itu yang menyebabkan Smith mati tidak lama selepas itu," kata Rosalind, pemandu pelancong kami. Bahkan dikatakan ada terowong yang menhubungkan bangunan itu dengan kawasan kuil berkenaan.



Mulut terowong ditutup dengan jaring untuk keselamatan
 
Kalau sudah seseorang itu disembah dengan upacara-upacara keagamaan, itulah agaknya menyebabkan bangunan ini berhantu, fikir saya. Selain itu terdapat juga cerita, ada orang gaji di situ dipotong tangan oleh majikannya disebabkan sesuatu kesalahan. Namun sejauh kebenarannya cerita-cerita ini, tidaklah diketahui.

Yang pasti, peserta media masing-masing teruja berpeluang melawat bangunan berkenaan. Biarpun usang, mereka tertarik dengan seni bina bangunan berkenaan yang menampilkan susunan batu-bata tanah liat warna terracotta. Dan ada pula yang berkata, terbau sesuatu sewaktu menaiki tangga...pada tidak ada benda di dalam bangunan berkenaan.



Wednesday, December 28, 2011

Percutian Percuma 1.

Bergambar ramai di Bukit Fraser. Tengok tu, abang polis rider pun bergambar sama!

Demi keselamatan peserta, rombongan diiringi sebuah van ambulan.

Setiba di Cabrina Vacation Villa, Raub, kami berkumpul untuk mendengar taklimat sebelum dijemput makan.
Hmmm bestnya, kalau dapat mandi kolam. Yang pasti, duduk itu, bukanlah saya...

Wau, kagum dengan pemandangan syahdu di belakang.

Bersantai di beranda dorm Tanah Aina Farrah Soraya.

Bersedia nak sertai kegiatan luncur tali tinggi - flying fox.

Maaaaaaaaakkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!!!! jeritan teruja dan takut tapi best, pengalaman pertama meluncur dari tali tinggi (flying fox).

Mandi air terjun, sejuknya!!!

Punyalah jauh berjalan treking hutan untuk sampai ke kawasan air terjun. Waktu ni tapak kasut saya rosak kena air..


Sedang kelaparan, semuanya enak!!!. Selepas makan, peserta dibawa menjalani kegiatan berakit di Pusat Perkhemahan Kela, Raub. Kerana airnya deras dan berbahaya, saya antara peserta yang tidak ikut berakit. Kami sekadar melihat mereka berakit dari atas jamabatan ini saja,.. sambil merakamkan gelagat.



Tidak boleh lupa peristiwa seorang peserta warga tua (lelaki) dari Singapura terjatuh dari celah lubang ini. Akibat tersalah pijak kayu reput, langsung jatuh terperosok di hadapan mata saya. Sayangnya, kerana terlalu cemas dan kesian, saya tidak sampai hati nak merakam gambarnya sewaktu jatuh ke dalam semak di bawah.

Pendek kata, macam-macam peristiwanya...destinasi seterusnya ialah ke Bukit Fraser...
KCC1M Pahang.
Tahun 2011, adalah tahun aktif bagiku. Banyak dapat peluang menyertai trip media. Menjelang tinggal beberapa tahun saja untuk bekerja makan gaji, tempoh untuk bekerja terasa amat singkat. Kumenghargai semua peluang yang mendatang. Bagi kami orang media, dapat jemputan menyertai trip percuma, adalah sesuatu yang menyeronokkan seperti bulan jatuh ke riba. Kalau dapat tawaran, tetapi ditolak, rugilah sangat. Kesian bagi staff yang menolak tawaran kerana masalah tersendiri. Ibarat menolak tuah.
Selepas pertengahan tahun ini tidak kurang lima kali kumenyertai trip, dua dengan Lembaga Persekutuan Pemasaran Malaysia (FAMA), dua dengan Gaya Travel Magazine (GTM) dan sekali dan Pensonic sekali.
Terbaru, menyertai Program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M) Pahang dan Johor, anjuran GTM dengan kerjasama Tourism Malaysia November lalu. Penganjurannya seiring kempen Cuti-Cuti 1Malaysia yang sedang berlangsung.
Difahamkan sudah tiga tahun program KCC1M berlangsung, entah berapa banyak program kuterlepas. Program KCC1M, Pahang dari 11 hingga 14 November 2011, adalah yang pertama kusertai. Sekali dapat peluang, terasa amat kerugian tidak dapat menyertai program-program sebelumnya.
Perjalanan KCC1M Pahang, bermula dari Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Peserta berkumpul di ibu pejabat Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) awal pagi. Program kembara ke Pahang mendapat sambutan menggalakkan bilangan penyertaan hampir 60 orang termasuk pasukan keselamatan.
Berasa betapa kami mendapat layanan VIP apabila perjalanan kami didahului tiga penunggang police dan sebuah kereta polis, serta sebuah van ambulan. Dengan itu, perjalanan tidak terganggu oleh kesesakan jalan raya. Pasukan keselamatan mengikut kami ke semua destinasi, hampir enam destinasi di Pahang kesemuanya.
Walaupun terpaksa menunggang di tengah panas dan hujan, kulihat abang-abang polis tidak menunjukkan tanda-tanda bosan. Malahan mereka ni sama naik pula dengan jurugambar media, tidak lepaskan peluang merakam gambar menarik di setiap destinasi yang kami kunjungi. Macam mana tidak seronok, mereka turut mendapat penginapan hotel dan makan percuma di setiap tempat persinggahan. Pemandu ambulan yang juga ahli penyelamat, lagi hebat, turut menyertai kegiatan tertentu yang disediakan untuk media.
Destinasi pertama KCC1M Pahang ialah pusat peranginan Casabrina Vacation Villas dan Tanah Aina Farrah Soraya di Raub, Pahang. Ini diikuti ke Bukit Fraser, Ceringin Hill and Spa Resort serta Suffivielle Villa, ada juga tu yang tertinggal nama tu.. semuanya terletak di kawasan tanah tinggi Pahang.
Perjalanan dengan bas tajaan sebuah syarikat pelancongan bermula di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pendek kata, program 4 hari tiga malam ke Pahang itu amat menyeronokkan. Ini kerana aku sempat juga mengambil bahagian dalam beberapa keigatan yang dianjurkan, walaupun dalam keadaan bimbang.. sakit pinggang kerana ada aktiviti sangat lasak. Yang pasti, melawat kesemua tempat, sangatllah teruja...seronoknya sukar untuk dibayangkan dengan kata-kata... lihat saja gambar-gambarnya..

Ada masa saya cerita secara detail..