Monday, September 7, 2009

Kisah Sedi/Abang Teh Yang Patah Kaki

8 September 2009

Seminggu lalu.

Ini kisah anak saudara, Rosdi atau kami panggil Sedi, juga digelar Abang Teh, berusia 18. Sewaktu membonceng motor sendiri (dia beri kawan bawa motornya), mereka mendapat kemalangan sewaktu ke pusat latihan pengajiannya. Kaki Abang Teh patah. Bahagian luar betis disokong dengan rangka besi dari betis sampai ke peha. Doktor bercadang memasukkan besi ke dalam kaki untuk menyokong tulang di bahagian bawah lututnya yang remuk.

Mendengar berita itu, saya segera memberitahu emaknya (kakak sulung saya), kalau boleh tak usahlah dimasukkan besi. Carilah rawatan alternatif. Kebetulan masih ada masa, kerana doktor bercadang membuat pembedahan itu minggu depannya. Saya menggesa kakak berjumpa dengan pakar perubatan tradisional yang mengkhusus dalam rawatan berkenaan yang pernah merawat anak saya dulu.

Esoknya, kakak berjumpa dengan pakar berkenaan, Pok Weil. Disebabkan Abang Teh sedang dalam rawatan hospital, Pok Weil tidak dapat pergi merawat. Dia menggelengkan kepala sambil meluahkan rasa terkilan kerana pesakit sudah dibawa ke hospital. Sebelum kakak pulang, Pok Weil memberikan air penawar dan berjanji akan berusaha memberikan rawatan jarak jauh. Air itu disapukan ke betis Abang Teh.

Pada malam itu atau satu malam kemudian, Abang Teh yang sedang berbaring lesu di katilnya terasa seperti ada orang mengusik betisnya. Dia terasa seperti ada tangan sedang menarik dan mengurut betisnya. Sesekali dia terasa hujung kakinya ditolak ke kiri dan ke kanan. Abang Teh berasa hairan dan menggerak ibunya dari tidur. Saat dia merasakan hujung kakinya terkulai ke tepi, dia menarik kain selimut untuk melihat tetapi hujung kakinya berada dalam keadaan menegak seperti biasa.

"Mi, Abang Teh rasa ada orang usik kaki, tapi bila tengok tak bergerak pun," adu Abang Teh kepada Uminya. Mendengarkan kata-kata itu, Uminya menjawab: "Tak apalah tu, insya-Allah nanti baiklah..."

Pagi esoknya, kakak menelefon Pok Weil, untuk mengetahui perkembangan rawatan. Pok Weil memberitahu "saya rasa dah bertangkup dah, tak teruklah, insya-Allah akan sembuh. Yang saya risau lukanya," kata Pok Weil sambil memberitahu biarlah doktor uruskan fasal luka itu (menurut doktor kakinya Abang Teh juga akan dibedah untuk menutup luka besar di betisnya.)

Dipendekkan cerita, memang benar doktor mendapati keadaan tulang yang remuk/patah sudah dalam keadaan betul. Kaki Abang Teh tak perlu dimasukkan besi lagi. Mereka hanya membuat pembedahan menutup luka pada otot betisnya. Dua hari kemudian Abang Teh dibenarkan pulang.

Nota: Ada pakar rawatan patah tradisional, boleh mengatasi kepakaran doktor. Dia mampu merawat pesakit sehingga sembuh tanpa sebarang pembedahan, dengan izin Allah SWT. Nasib baik saya sempat menyuruh kakak berjumpa dengan pakar itu.

Nota: Mengubat seseorang pesakit patah bagi Pok Weil adalah satu bebanan besar yang harus digalas. Sepanjang malam dia terpaksa berjaga dan membaca ayat2 doa tertentu untuk mengubati pesakit. Justeru Pok Weil bukanlah pakar rawatan pesakit patah komersil, sebalik dia lebih suka kalau orang tidak tahu mengenai kepakarannya mengubati pesakit patah.

Friday, September 4, 2009

Berita Baik Lagi Untuk Iliyana


5 September 2009 - 12.00 tengah hari.

Sedang menulis sms kepada seorang datuk mahu meminta tolongnya supaya mendapatkan dana daripada PM untuk pembelian buku Diari Khidmat Negara (DKN) Iliyana, tiba-tiba telefon berbunyi. Tidak sempat memicit butang untuk menghantar sms, alamak... telefon berbunyi. Saya menjawabnya... terdengar suara seorang perempuan.

"Hello, itu Iliyana atau ibunya?"
"Ya... ini ibu dia."
"Nak beri tahu, buku Iliyana tu dah diterima (oleh Perpustakaan Negara)."
"Ya? Alhamdulillah."
"Inilah nak bagi tahu, tolong datang segera... kalau boleh Iliyana datanglah... bawa dokumen bukti nombor akaun atas nama Iliyana sebagai penulis buku itu. Kalau boleh datang Isnin ini. Cepat datang, cepatlah dapat diuruskan," kata suara itu.
Dalam kegembiraan, saya menjawab, "Baiklah. Baiklah. Hari Isnin insya-Allah dia datang. "

Sejak semalamnya saya hampir kecewa. PTS sudahpun mendapat senarai buku yang diterima oleh perpustakaan. Iliyana mahupun saya tidak mendapat sebarang berita. Namun seharian itu saya masih menaruh harapan, terus berdoa di dalam hati agar buku DKN diterima. Saya menunggu-nunggu panggilan dpd perpustakaan. Saya menyesal, tidak bersungguh-sungguh berdoa selepas solat. Kadang-kadang saja apabila teringat. Saya mempertaruhkan solat hajat oleh ayah sewaktu buku itu hendak dicetak.

"Ayah tolonglah solat hajat untuk kejayaan buku itu, doalah supaya semua berjalan lancar dan Iliyana tidak ditipu orang atau kerugian," pinta saya.

Beberapa hari selepas itu, ayah memberitahu dia sudahpun melaksanakan solat hajat. Begitulah saya. Sejak waktu bersekolah lagi, setiap kali ingin menduduki peperiksaan besar, akan meminta ayah solat hajat untuk kejayaan saya. Ingat lagi, sewaktu SPM - selesai kertas akhir, saya menangis sepuas hati kerana tidak yakin akan lulus subjek-subjek sains. Saya memang tidak suka aliran sains. Ayah tidak membenarkan saya tukar ke jurusan sastera. Rupa-rupanya berkat doa ayah saya lulus juga SPM, tetapi sekadar dapat ke tingkatan enam jurusan sastera.
Tidak yakin lulus STPM, tetapi berkat doa ayah juga saya lulus dan berjaya memasuki ITM.

Kembali kepada bab buku Iliyana, ibu juga berpesan supaya sentiasa berdoa dan membaca ayat seribu dinar setiap kali selepas solat untuk mendapatkan apa yang kita hajati. Tapi biasalah, sibuk, setiap kali selepas solat tidak sempat nak berdoa panjang... paling-paling berdoa dalam Bahasa Melayu secara direct, meminta apa yang dihajati atau memohon doa setiap kali teringat.

Selepas mengetahui berita baik itu, saya terus sujud syukur. Kebetulan ketika itu berada di dalam surau. Menitis air mata kegembiraan kerana apa yang saya usahakan untuk anak saya berjaya juga akhirnya - walaupun Iliyana hanya mendapat separuh daripada jumlah maksimum bayaran yang diperuntukkan kepada penulis, saya tetap bersyukur.

Dengan berita itu, lantas saya tidak jadi mengirim sms kepada datuk berkenaan. Tunggulah di lain hari...

Saturday, August 29, 2009

Terkenang-kenang 90-an

Gambar ini dirakam di belakang rumah sewa student di East Ham. Suami saya turut menyewa di situ. Poyo sikitlah bergambar dalam kesejukan suasana kabus di pagi hari. Hanya pagar kayu usang memisahkan dengan halaman belakang rumah sebelah.
Bersantai di backyard garden - belakang rumah penginapan, Bed & Breakfast (B&B) di BATH. Jatuh cinta kepada suasana country di situ. Suasana kedesaan Inggeris diserlahkan oleh benteng pagar daripada susunan batu batan yang kelihatan seperti batu semula jadi.
Lokasi yang paling saya suka. Sebuah rumah penginapan Bed & Breakfast (B&B) di BATH, tempat kami bermalam sewaktu mengembara ke kawasan pinggir kota. Hairannya tuan rumah ini (seorang wanita), percayakan pelanggan. Dia meninggalkan kami berdua, sewaktu keluar bekerja pagi-pagi hari itu. "Just press (door knob) to lock the door when you want to leave," katanya. Ini memberi peluang kepada kami untuk bergambar sakan di setiap penjuru di dalam rumahnya.
Tiga minggu bercuti di London, masa balik, muka dan kulit jadi macam orang putih - putih kemerah-merahan. Gambar kenangan sewaktu di lapangan terbang Heathrow.

30 Ogos 2009


SEMALAM- Album yang sudah lusuh itu sudah lama tidak disentuh. Sudah terkoyak kulitnya akibat diusung ke sana ke mari, manakala keadaan setiap halaman ketara dimakan usia seperti juga tuannya. Kedatangan Cik Yam, wartawan majalah Midi semalam mengingatkan saya kepada album itu.

Bagi memenuhi kehendak ruangan Romantika yang bakal ditulis Cik Yam, saya perlu memberinya gambar-gambar yang menunjukkan aksi intim. Sempat membuka majalah Midi untuk melihat persembahan rencana-rencana lepas. Wah poyonya kena bergambar duduk rapat-rapat. Mana saya ada gambar-gambar terbaru seperti itu. Yang ada pun gambar dari album lama itulah. Album itu merakamkan kenangan saya sewaktu bercuti di London, tinggal bersama suami yang ketika itu menuntut di University of the Arts London. Dia menyewa rumah orang Pakistan di East Ham, di pinggir bandar.

"Yang ini sesuai tak?" Saya bertanyakan jurugambarnya. Tujuan menunjukkan gambar lama itu sebab saya tidak mahu diambil gambar dalam keadaan sebegitu romantik.

"Boleh, boleh," kata jurugambar Midi. Malangnya dia menghendaki juga kami berposing untuk gambar baru, selain gambar bersama anak-anak. Nasib baiklah kesemua ada di rumah pada hari itu.

Tidak lama kemudian Cik Yam pun sampai dan dia tersenyum menyaksikan gelagat kami memberikan posing. Rumah teres di lereng bukit yang bertingkat-tingkat (5 aras) ini tidak begitu luas bagi setiap aras, menyebabkan kami terpaksa mengalih barangan ke sana kemari untuk menyesuaikan dengan angle yang dikehendaki. "Macam shooting Anjung Seri pula," kata saya.

Selesai bergambar, Cik Yam menemuramah kami mengenai bagaimana mengekalkan perkahwinan sehingga usia 25 tahun. Dan terkeluar cerita lama bagaimana kami berkenalan sewaktu di kampus dahulu. Nasib baik Cik Yam tak tanya, adakah saya bahagia? Soalan itu sangat subjektif. Dari mana hendak dinilai kebahagian itu? Wang ringgit/harta benda atau kasih sayang? Kalau harta/wang ringgit. Tidaklah.

Mungkin bagi sesetengah orang menganggap seorang isteri yang tidak bekerja, hanya duduk di rumah memerintah pembantu membuat itu dan ini, dibaluti kemewahan dan dapat membeli apa sahaja, kerap melancong ke luar negara, saban minggu mengunjungi salun kecantikan untuk membelai dan mencantikkan diri, dinamakan bahagia. Yang ini bukanlah saya.

Tapi kalau dari segi perhubungan kasih sayang, mungkin yelah. Maksud saya, mendapat suami yang tidak memeningkan kepala dengan perangai di luar dan setia menghantar mengambil saya ke pejabat selama 25 tahun ( tolak dua tahun sewaktu di di luar negara dan out station). Menulis surat setiap minggu tika dia berada di rantauan (dulu-dulu mana ada sms dan e-mel, telefon sesekali saja sebab mahal).

Pun begitu sebut fasal bertengkar - biasa jugalah, sebab masing-masing pun ada keegoan, pendapat dan prinsip. Maklumlah suami isteri, lagikan gigi dengan lidah tergigit...
kumpul dosa setahun, bila hari raya barulah bermaafan! He He he.. Jangan ikut perangai ini.

Wednesday, August 26, 2009

rancangan ANJUNG SERI di TV1

Sempat bergambar sebelum menuju ke bilik rakaman di RTM

Set seperti di ruang anjung
Sedang menunggu kemunculan hos, Erra Fazira kami ambil peluang bergambar di studio.

ANJUNG SERI majalah tempat saya berkhidmat sejak 15 tahun lalu, bakal bertambah glamour apabila tersiarnya rancangan `talk show` ANJUNG SERI di TV1. Dijangka memulakan siarannya Oktober ini. Tidak tahulah bagaimana penerimaan penonton. Adakah seronok atau membosankan? Sewaktu menghadiri satu sesi rakaman, belum dapat dikesan lagi flownya. Dengan menggunakan hos Erra Fazira, diharap dapat membantu menarik perhatian penonton.

Rancangan sebanyak 11 episod itu bakal mengetengahkan beberapa panel jemputan dalam bidang seni hiasan dalaman dan lanskap serta temubual dengan pemenang Anugerah Kreatif Anjung Seri.

Peluang Anjung Seri untuk muncul di TV menerusi satu rancangan tersendiri yang dikendalikan oleh kakitangan RTM, tidak akan menjadi semudah itu kalau tidak kerana ingatan salah seorang bekas kaki tangan Berita Publishing (BP) Sdn Bhd yang kini menjadi orang besar di RTM. Segala dugaan yang diterima sewaktu menjadi salah seorang staff di sini, tidak meninggalkan sebarang titik hitam kepada dirinya.

Saya masih ingat kata-kata beliau sewaktu berucap di majlis perpisahan beberapa tahun lalu - "Kita mesti sentiasa ingat, dalam bidang media ini, pusing-pusing pergi ke mana pun, kita akan saling berjumpa. Kita tidak perlu berlagak sombong atau meninggi diri kerana hidup ini seperti roda, hari ini mungkin kita duduk di bawah, tetapi esok lusa mungkin di atas! Kenyataan yang penuh bermakna, terbit daripada lubuk hatinya. Pasti ada sesuatu yang menyebabkan beliau melahirkan kata-kata peringatan itu.

Dan ternyata, masin mulutnya. Beberapa tahun melangkah keluar, kini dia menjadi orang paling penting dalam bidang penyiaran dan bergelar datuk. Justeru beliau kini jauh lebih berkuasa daripada mereka yang mungkin pernah memandang rendah kepadanya.

Nota: Tidak lupa perbuatan datuk memaksa saya menjadi penjaga masa pertandingan debate, dengan melaungkan bunyi tarzan pada hari terakhir majlis induksi pelajar baru Mass Comm di ITM. Peristiwa itu menyebabkan saya berdendam dalam diam sekian lama, tetapi ianya sudah saya maafkan tidak lama sebelum datuk keluar daripada BP. Kemarahan itu lenyap sebaik saya mendengar satu `statement' datuk terhadap diri saya yang pada ketika itu juga menghadapi satu dugaan yang maha hebat!

Sunday, August 23, 2009

Tips Menulis Novel Sedap Dibaca dari PTS

Assalamualakum semua.

Bismillahirrahmanirrahim. Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, saya nak berkongsi ilmu pula.


Terasa rugi betul, baru beberapa minit sampai, kelas sudah pun berakhir. Terpaksalah bertanyakan peserta di sebelah. Tidak sangka pula sifu PTS, Puan Ainon Muhd sendiri mengendalikan Kelas Menulis Novel Sedap Dibaca pada pagi itu.

Berikut antara tips berdasarkan catatan peserta di sebelah, yang saya tulis semula.

Nota: Cerita fiksyen PTS, mengutamakan ciri Islami. Dan tips di bawah hanya merujuk kepada kehendak PTS, tidak semestinya sama dengan kehendak penerbit lain.

1. Hero mestilah lelaki.
2. Tempoh atau masa kejadian hendaklah panjang misalnya dari watak kecil membawa ke dewasa atau tua.
3. Pada akhir cerita mesti ada kejayaan kepada watak.
4. Watak baik atau jahat tidak boleh dihukum - kata Puan Ainon.
5. Biarpun watak jahat, tetapi tidak perlu diberikan hukuman di akhir cerita, memadai dengan penyesalan.
6. Bermakna tidak boleh memberi kemenangan kepada kejahatan.
7. Watak hero yang ideal iaitu hero yang semua orang suka, mestilah handsome kan?
8. Mesti ada banyak watak, contohnya dalam cerita Surah Yusuf ada kira-kira 25 watak.
9. Daripada watak-watak itu, banyakkan watak jahat. Ini untuk menimbulkan semangat cekal di hati pembaca untuk terus membaca.
10. Guna banyak lokasi.
11. Walaupun cerita fiksyen, kena ada ciri cerita benar - imbangkan antara realiti dan rekaan.


Perkara tidak sepatut ada dalam cerita indah.

1. Orang kahwin. Hero dan heroin bukan suami isteri.
2. Jangan ada kisah bercerai - sebab sudah terlalu banyak kisah novel jenis ini.
3. Susun ikut turutan waktu, tiada bab imbas kembali.
4. Guna bahasa tinggi - jangan guna bahasa pasar.
5. Jangan guna bahasa `kontot' - eg tu, ni, pi, gitu, gini, dah... tulis penuh ini, itu, begitu, begini dan sudah.
6. Jangan ada perkataan tiada makna seperti erm.... err... ha.....arr kerana moto PTS ialah memandaikan bahasa.
7. Subjek dalam ayat tidak perlu ada dalam dialog misalnya "Cikgu, saya ingin berehat selama lima minit." Terus saja...."Saya ingin berehat selama lima minit," kata Aminah kepada gurunya.
8. Jika ingin sebut juga, guna dalam ayat permintaan atau permohonan dan sembah seperti "Oh Tuhan.... "
9. Pekata mengikut teknik Surah Yusuf - kena sebut watak pekata di depan dialog, misal begini:
Mak Som bertanya, "apa khabar?" atau watak dan perbuatan diletak dalam dialog eg. Sambil memerhati jarinya, Aminah berkata di dalam hatinya`cantik betul cincin ini.'


Maklumat untuk bakal penerbit:
1. Kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan 80 peratus buku yang laku ialah buku fiksyen.
2. Daripada jumlah buku-buku fiksyen yang laku itu, 80 peratus pembelinya adalah wanita.
3. Sama ada buku untuk perempuan atau buku untuk lelaki, Covernya mesti cantik pada pandangan wanita.
* Berdasarkan maklumat di atas, bermakna novel pertama yang saya tulis macam tidak kena untuk kehendak PTS. Kalau malas nak ubah, terpaksalah beri ke tempat lain.
* Nasihat untuk kawan-kawan, kenali dahulu kehendak penerbit sebelum anda menghasilkan novel bagi dikemukakan kepada penerbit terbabit.
* Bagi kemudahan pengarang/penulis, kemukakan sinopsis cerita dahulu untuk PTS - bila sinopsis diluluskan barulah boleh mula menulis, atau mengubah novel yang sudah dirangka mengikut kehendak sinopsis yang diluluskan.


Catatan untuk rujukan kawan-kawan semua yang bercadang menulis novel untuk PTS.

Wassalam.

Thursday, August 20, 2009

Satu Projek Separa Amal, Dalam Pelaksanaan.

20 Ogos 1990

Lunch time di sebuah restoran mamak dekat Subang Medical Centre. Berlangsung satu mesyuarat tidak rasmi bersama seorang penerbit rancangan televisyen dan seorang doktor wanita yang sangat peramah, Dr Tunku Nor Tajaiyah. Pertemuan diatur oleh penerbit berkenaan (Su) yang meminta saya membantunya menghasilkan sebuah buku berdasarkan siri rancangan televisyen mengenai Orang Kurang Upaya (OKU) terbitannya.

Enam bulan lalu, Su menyerahkan kepada saya tiga cd mengandungi siri rancangan itu untuk diolah kepada penulisan buku. Tugas itu sudah lama saya selesaikan, itu pun dengan bantuan Si Irfan Izzat, anak sulung saya yang majoring dalam Naval Architecture (Marine Engineering Mimet UniKL). Saya pernah cuba untuk menyalin salah satu siri and not that easy. Tension jugalah asyik kena pasang berulang-ulang untuk menyalin setiap patah perkataan mereka yang ditemu bual. Akhirnya saya menawarkan tugas itu kepada Izzat dengan bayaran upah - wang. Dengar saja akan diberi $$$, Izzat tidak menolak rezeki, lalu menyatakan kesanggupannya untuk melakukan tugas itu. Ketika itu dia sedang cuti semester dan memerlukan wang untuk berjoli.

Sekembali dari kerja, senang hati saya apabila dia memberitahu kerja itu sudah selesai. Tidak ingat berapa hari dia menyelesaikan tiga siri rancangan itu. Ringan sikit kepala saya.Tugas saya hanya tinggal mengedit dan merancang persembahan dalam bentuk buku bergambar. Selesai tugas, Izzat tak tunggu lama, terus menuntut wang bayarannya. Selagi tidak diberi, selagi itu dituntutnya. Kenalah saya bayar dan Izzat tidak peduli sama ada saya sendiri akan mendapat bayaran daripada projek itu atau tidak. Dia juga tidak ambil tahu sama ada projek itu siap dibukukan atau pun tidak.

Nak dijadikan cerita, Su yang bertungkus lumus menghasilkan penerbitan rancangan dokumentari (sehingga selesai), ditakdirkan mendapat pengalaman menjadi OKU. Kakinya patah akibat terjatuh, memaksanya menggunakan kerusi roda selama tiga bulan! Dan tentulah projek buku itu terbengkalai sekejap. Senyap begitu saja dan apabila pulih, dia bertungkus lumus pula dengan kerja penerbitan rancangan lain untuk mencari pendapatan yang sudah banyak dihabiskan kerana membiayai rawatan kakinya.

Baru minggu ini, Su menghubungi saya semula untuk berjumpa dengan Dr Tunku Nor Tajaiyah. Beliaulah doktor yang memberi ulasan mengenai penyakit2 yang dihidapi oleh OKU OKU terbabit. Pada tengah hari itu, saya serahkan manuskrip terawal kepada beliau untuk disemak/komen.

Dan lewat petang dia mengirimkan sms: "Salam, read the text done by shida. good work n ada banyak points bla bla bla ........ Kini turn i pula pening kepala nak buat medical text!" Dr Tunku Nor Tajaiyah meminta diberikan masa tiga bulan untuk menyiapkannya.

Nota: Kata Su, projek ini bukan sangat untuk mendapatkan wang ringgit. Penerbitan buku ini adalah untuk memberi kesedaran dan penerangan kepada warga OKU, ahli keluarga mereka dan masyarakat amnya mengenai program rehabilitasi (pemulihan) yang dikendalikan Dr Tunku Nor Tajaiyah. Ia adalah program untuk melatih OKU supaya dapat hidup berdikari - tidak hidup dengan menagih simpati daripada orang lain. Jika projek itu berjaya, sebahagian wang daripada hasil jualan buku akan diberikan kepada OKU terbabit.

(Dokumentari itu memaparkan kegigihan insan-insan OKU melawan penyakitnya sehingga dapat hidup berdikari. Dr Tunku Nor Tajayiah tidak suka masyarakat memandang OKU dengan perasaan belas kasihan dan asyik memberi bantuan sehingga mereka tidak reti hidup berdikari).

Tuesday, August 18, 2009

Sejukkan Kepala dengan Kaedah Tradisional

18 August 2009


Hari ini serba tidak kena. Pening dan sakit kepala. Adakah kerana bahana penyakit yang sedang menular sekarang ini? Di pejabat boleh dikatakan semua kurang sihat, lemah-lemah badan. Kalau boleh saya mahu elakkan makan ubat panadol/paracetemol atau pain killer. Apa nak buat untuk hilangkan kepala berdenyut. Jarang terkena. Mungkinkah kerana asyik mengadap komputer.

Tidak kira apa pun puncanya, mesti cari cara untuk melegakannya. Orang tua-tua kata, basuh kepala dengan air ramasan daun bunga raya tetapi tidak ada pula di sekitar rumah. Teringat pokok lidah buaya (alovera). Lendirnya pun sejuk juga. Apa lagi, cubalah. Saya ambil sekeping daunnya, buang duri dan patah-patahkan untuk keluarkan lendir. Picit dengan tangan pun lendir boleh keluar dengan banyak, lalu dilumurkan ke atas kepala seperti memakai shampoo rambut. Mula-mula geli untuk menyentuhnya, tetapi apabila ditambahkan air, kepala menjadi bertambah sejuk.

Dalam keadaan rambut basah, saya beristirahat seketika sambil memejam mata untuk menikmati kesejukan krim jelly semula jadi itu. Tak ada bau apa pun. Saja saya tidak membasuhnya supaya alovera terperap lama sedikit. Rupa-rupanya apabila kering ia tidak meninggalkan sebarang kesan lekit atau rambut terlekat di antara satu sama lain dan tidak juga mengeluarkan bau yang kurang enak. Bila disentuh, rambut terasa lembut! Hem kalau macam tu, bolehlah buat selalu.