Friday, November 6, 2009

Nostalgia di kampung halaman.


Nota: Dipaparkan lebihan gambar yang terbit dalam rencana Tamanku Kebunku, Anjung Seri November, 2009 bertemakan taman.


Gambar-gambar ini mengimbau nostalgia saya sewaktu zaman kecil di Kampung Pulau Mansuk, Jerantut, Pahang. Ini adalah rumah ayah saya tetapi kini didiami bapa saudara sebelah emak. Ayah sudah kira-kira 30 tahun tinggalkan rumah ini kerana berpindah ke Bandar Jengka untuk hidup berniaga.




Bangunan di sebelah kanan adalah rumah asal daripada kayu dan papan. Sebelah kiri ialah rumah batu yang dibina oleh Pok Su, kerana keadaan rumah kayu sudah reput dan tidak lagi sesuai dihuni. Atapnya daripada zink dan tentunya sudah bocor. Di rumah inilah Pok Su dan isterinya menjaga Che' (atuk lelaki sebelah mak) sehingga meninggal di usia lewat 90 (anggaran).


Persinggahan sewaktu dalam perjalanan pulang ke Bandar Jengka dari Kelantan di musim raya Aidilfitri lalu, mengimbau nostalgia sewaktu dibesarkan di kampung ini. Sewaktu belum bersekolah, di kebun inilah saya bersama Che dan Mok (Atuk dan Nenek) bercucuk tanam dan memetik buah-buahan. Selepas mereka tua dan uzur, kawasan tanah di belakang rumah ini dibiarkan begitu saja. Pok Su sibuk bekerja menjadi posmen. Isterinya yang kami panggil Mak Itam pula sibuk berniaga di kantin sekolah. Tinggallah kawasan ini bersemak samun. Namun apabila pulang baru-baru, ia sudah bertukar menjadi kebun. Kawasan tanah itu dikerjakan oleh Pok Su dan Mak Itam yang sama-sama sudah pencen kerja.

Iliyana dan Kamil memetik bunga jagung.


Melihat kawasan tanah yang sudah kembali menjadi kebun ini, membuatkan hati teruja. "Semasa kecil, di sinilah mama menghabiskan masa meneman arwah Che dan Mok berkebun," saya memberitahu anak-anak. Mereka dibesarkan di Kuala Lumpur tidak pernah mengalami pengalaman hidup di kampung. "Hah pergilah beraksi, konon-konon sedang bekerja kampung. Beginilah keadaan berkebun," kata saya sambil menghalakan lensa kamera kepada mereka.

Iliyana dan adiknya, Irfan Kamil belajar menyiram pokok sayur. Pokok-pokok bendi tumbuh subur, mendapat cukup baja dan siraman air.

Iliyana cuba menggunakan kereta tolak, manakala Kamil mencangkul tanah sambil tersengeh-sengeh lucu. "Orang zaman dulu kena menanam sendiri untuk makan sayur, bukan macam kita di zaman sekarang main beli sahaja," kata saya.

Paling terharu apabila melihat buah tembikai ini. Ingat lagi sewaktu seluruh kawasan ini ditanami pokok tembikai, yang diusahakan oleh Che dan Mok. Sewaktu saya masih budak. Terhegeh-hegeh menggendong buah tembikai besar yang sudah masak. Gemar menolong mereka memetik dan memunggah buah-buah berkenaan.

Sewaktu kamil menguis-nguis tanah dengan parang, tiba-tiba terkena putik tembikai in. Lalu terpotong dan terbelah dua. "Sayangnya, dah terpotong. Muda lagi ni, kenapa Kamil buat macam tu," saya menegur Kamil.
"Kamil tak sengaja."
"Tak apalah ambil, bawa balik buat sayur," kata saya.
Il
"Tengok apa dah jadi dengan buah ni," marah Iliyana kepada adiknya. Beginilah keadaan isi tembikai yang masih muda. Che dan Mok dahulu menggelar buah ini `timun cina.'

Iliyana teruja melihat kebun Pok Su, seronok benar dia beraksi mengambil gambar di dalam kawasan kebun itu. Sanggup pergi tukar baju dan pakai topi Cina sayur.

Pokok kelapa, betik dan dan durian di belakang rumah ditanam oleh arwah Che. Sewaktu segar, arwah tidak boleh duduk diam, setiap hari memegang cangkul dan bercucuk tanam. Ayah membeli tanah ini daripada salah seorang penduduk kampung yang baik hati menjual sebahagiannya daripada kawasan tanah yang didiaminya.

8 comments:

  1. cantiknya gambar yg akak ambil ni.... dan yg penting comel dan manis banget anak dara kak shidah!!!

    ReplyDelete
  2. akak saya sempat merasa waktu mak tanam tembikai, labu, jagung, timun, cili kat batas bendang sementara menunggu padi masak. seronok..tambah2 bila petik tembikai yang dah sedang masak2 tuh. Kerana terlalu banyak tembikai sampai kita orang jual kat rumah sebiji cuma 50 sen. Kalau paling besar tuh Rm1 sebiji. rasanya manis. Ttp skang ni mak dah tak tanam dah sejak bendang pakai jentolak..nak makan tembikai pun beli jer...

    ReplyDelete
  3. Lily: Terima kasih jenguk blog agak. Itu guna kamera Cannon besar, gambar-gambar outdoor biasalah terang, kalau indoor tak tentu lagi, belum pandai sangat. Iliyana tu, kalau tak diet cepat aje badannya naik.

    ReplyDelete
  4. Rynas, memang dapat bayangkan betapa seronoknya buat kerja-kerja tu semua. Sempat juga tengok orang tanam padi. Belajar tuai guna ketam. Paling seronok buat emping guna lesung kaki beramai-ramai dengan jiran.

    ReplyDelete
  5. Kak Shidah, best kan ada kebun mcm tu. Dulu rumah makcik saya ada juga tanam tembikai. Tapi sekarang dah tak ada dah. Saya tak pernah jejak kaki ke sawah padi. Teringin juga nak ke sawah padi. Buat emping??? Best nye...

    ReplyDelete
  6. Mariam tahu ke emping... padi muda digoreng, bila dah panas dan mula meletup-letup nak jadi bertih, cepat-cepat dituang ke dalam lesung kayu. Lepas tu tumbuk-tumbuk sampai isi padi jadi leper. Kemudian tampi habuk padi, dapatlah emping. Makan dengan kelapa campur gula.. best!!!

    ReplyDelete
  7. lawa sungguh anak dara kak shidah ni..terpegun saya menengoknya..alahai kena la kak shidah jaga betul2..ramai peminatnya ni...

    ReplyDelete
  8. Budak lagi tu... dia baru 19 ke 20 tahun tak ingat pula dah. Tapi ada juga kawan dia yang dah kahwin...dia idaklah lagi..

    ReplyDelete