Saturday, May 12, 2012

Mawar Merah Untuk Ibuku


Apabila ramai kawan-kawan di FB bercakap pasal ibu masing-masing, aku pun turut terpanggil untuk mencoret. Semua menyanjungi ibu masing-masing. Aku pun begitu. Ibuku juga adalah yang terbaik. Tidak ada satu pun ingatan, kemarahannya yang membuatkanku tidak boleh lupa, kerana ibu jarang sekali marah. Ibu menyanjungiku terlebih-lebih sebagai seorang anak, sehingga kuberasa sudah terbalik. Rasa sangat bersalah. Selama ibu masih sihat, kalau aku sekeluarga pulang, ibu akan bersusah payah memasak dan menghalangku daripada membantunya.

“Mu duduklah…” Rela dia menyuruh anaknya duduk berehat daripada meminta bantuan untuk memasak kerana baginya aku pulang sekali-sekala. Terkadang aku juga alpa, leka menonton TV sedang ibu sibuk memasak di dapur. Kini bila ibu sudah uzur dan tidak boleh memasak lagi, aku berasa sangat bersalah. Aku memeluk dan memohon maaf daripada ibu setiap kali pulang. Kini, kalau ada peluang aku akan mengambil kesempatan memasak untuk ibu dan ayah, tetapi dengan adanya seorang kakak yang menjaga kedua orang tua kami sepenuh masa di kampung, kerja aku menjadi lebih ringan. Aku tahu memasak berseorangan itu sebenarnya amat memenatkan (sebab tidak biasa). Aku juga tabik pada kakak yang seorang itu dan kepada adik-beradik lain yang memasak untuk ibu dan ayah.

Apakan daya kerana aku duduk jauh di ibu kota,  aku hanya dapat bersama ibu sekali-sekala.  Biarpun ibu sudah tidak mampu membuat sebarang kerja, kalau aku pulang, ibu akan menarik aku ke dapur untuk melihat apa makanan yang ada yang dimasak oleh kakakku. Ibu akan menyuruh kami makan. Terkadang ibu tidak akan berhenti menyuruh kami makan selagi tidak melihat kami makan. Bila dilihat aku memasak seorang diri di dapur tanpa ada kakak, sebab giliran kakak hendak berehat, lantas ibu menunjukkan rasa terkilan. “Mu seorang saja masak?” Ibu akan bertanya, mana kakak .. seolahnya memasak itu kerja kakak sahaja. Dan aku akan menjawab, “Tak apalah, orang pun boleh memasak… biarlah orang memasak.” Dan ibu akan berkata, “Ya? Terima kasihlah… maaflah…  maafkanlah saya…  (cuba menunjukkan rasa terkilannya kerana membiarkan aku memasak, kerana dia sudah tidak dapat membuat kerja itu lagi.)  Karakter ibu yang begini sering membuatkan aku rasa tersentuh.

Oh ibu, ibu tidak perlu lagi berasa begitu, kini giliran kami pula memasak untuk ibu. Pada hari ibu tahun ini, aku sangat terkilan dan memohon sejuta kemaafan, kerana tidak berkesempatan pulang untuk bersama ibu…. Selamat Hari Ibu… semoga  ibu terus sihat sejahtera, semoga kami dapat membahagiakan ibu… Doakan ku, agar ibu mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.


Wednesday, May 9, 2012

sembang santai Anjung

Ruangan:  Sembang Santai…
Tajuk:  Cara Betul Mewujudkan Gaya Inggeris Kedesaan.

Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM  
Bertitik tolak daripada keinginan untuk bertemu dengan pembaca dan beramah mesra dengan klien serta pencinta dunia hiasan dalaman, seni bina dan landskap, maka majalah Anjung Seri menganjurkan satu program baru, Perbincangan di Meja Bulat iaitu lebih kepada kegiatan sembang santai  yang berkisar mengenai topik berkaitan tiga bidang berkenaan.

Program pertama berlangsung dengan lancar di Laman Kampung, Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 8 Mei lalu.  Perbincangan membabitkan 10 peserta, termasuk Elyza Yong iaitu pengasas syarikat pengeluar fabrik untuk hiasan tingkap dan upholsteri, Elyza’s Home. Kehadiran beliau memeriahkan majlis perbincangan yang diadakan selama kira-kira sejam sebelum, makan tengah hari.

Dalam ulasannya Elyza berkata, rahsia untuk mewujudkan gaya kedesaan Inggeris yang kemas dan menawan adalah dengan memilih kemasan dan barang sesuai dengan tema berkenaan. Menurutnya, beliau amat berhati-hati dalam menentukan pilihan fabrik dan perabot untuk digandingan secara suai padan, bagi mengelakkan suasana berserabut.

Menjawab soalan Penolong Pengarang, Onlia Mohd Dom mengenai kebanyakan penataan yang dilihat tidak sama dengan ruang contoh rekaan Elyza, beliau menjawab; itu disebabkan mereka cenderung mencampur-adukkan unsur hiasan yang tidak selari dengan tema berkenaan. 

“Sesetengah mereka hanya menonjolkan langsir bergaya Inggeris tetapi pemilihan perabot dan perhiasan lain tidak seiring. Perabot jenis kayu yang sesuai ialah berwarna putih. Warna ini adalah selamat dan serasi untuk semua jenis corak fabrik. Secara peribadi, saya akan memilih perabot berwarna putih. Pilihan corak pula adalah pelbagai, namun jika corak berbunga sarat tidak seharusnya ditonjolkan terlalu banyak, cukup pada langsir atau pada fabrik upholsteri sahaja. Selebihnya digandingkan dengan corak ringan seperti jalur, dam atau polos,” ujarnya sambil menunjukkan contoh gambar pada katalog langsir keluaran Elyza’s Home.

Era penataan gaya Inggeris sekarang kata Elyza adalah tidak terlalu sarat, kerana kebanyakan pengguna kini sudah beralih selera kepada gaya yang lebih ringkas, tidak terlalu banyak ropolan dan corak. Maka itu, Elyza’s Home turut mengeluarkan fabrik bercorak ringan yang sesuai juga dengan gaya lain seperti urban dan sebagainya.

Peserta daripada rakan Facebook (FB) English Style Decoration Group (ESDG), Intan Kamariah berkata, beliau mengenali beberapa peminat fanatik gaya Inggeris yang menghias rumah dengan terlalu banyak perhiasan.

“Misalnya sewaktu berkunjung ke Singapura, ada tiga rumah yang menampilkan gaya sedemikian. Mereka menghias begitu daripada luar sehingga ke dalam bilik tidur dan bilik air. Peliknya, rumah apartmen di sana tidak berhabuk seperti di sini,” ujar Kamariah yang juga peminat gaya Inggeris.
Menurut Intan Kamariah, sebenarnya dia hanya menyukainya sejak muda lagi  tanpa mengetahui apakah jenis gaya itu. Setelah menyertai kumpulan FB ESDG, barulah dia terdedah kepada gaya penataan berkenaan, dan mendapati ramai yang sudah terkedepan dalam penggayaan itu.

 Ikuti lanjutan rencana ini dalam Anjunf Seri keluaran Jun 2012

Salah seorang peserta, Sam Raja Aziz bergambar bersama pengasas Elyza's Home, Elyza Yong.


Sunday, April 22, 2012

Bertukar wajah..

Hari ini reka letak Duniaku Rashidah Ibrahim bertukar wajah.Setelah sekian lama dengan warna pink, kini beralih kepada jingga...

Perbincangan Rahsia


Petua Petui Kecantikan


Petikan daripada Ensaiklopedia Petua...
Petua Untuk Melicinkan
Kulit Muka

Pilihan 1: Campurkan sedikit tepung pulut dengan sedikit air. Sapukan pada muka sebelum tidur. Keesokkannya cuci muka dengan air suam. Amalkan seminggu sekali.

Pilihan 2: Campurkan 1 sudu besar madu lebah dengan 1 sudu besar susu tepung. Sapukan pada seluruh muka dan biarkan sebentar. Kemudian basuh muka dengan air suam. Amalkannya 2 kali seminggu.

Pilihan 3: Campurkan bedak sejuk, asam jawa, serbuk kunyit serta sedikit air. Sapu dan gosok perlahan-lahan pada muka selama beberapa minit sebelum mandi. Kemudian cuci dengan air suam. Amalkannya setiap hari.

Pilihan 4: Giling 3 sudu besar kacang hijau. Campurkan dengan sedikit air. Sapukan pada muka dan biarkan ia kering. Cuci dengan bersih.

Pilihan 5: Gosokkan serbuk teh yang telah digunakan ke muka anda. Biarkan selama 3 minit sebelum dicuci dengan air suam.

Pilihan 6: Kisar 2 biji buah tomato, gula dan air. Tapiskan dan minum air setiap pagi. Amalkannya selalu sehingga kulit muka kelihatan licin.

Pilihan 7: Setiap kali anda mandi, gosokkan tawas pada muka. Lakukan setiap pagi atau malam. Muka anda akan menjadi halus.

Pilihan 8: Ambil 1 biji buah tomato masak. Lecek hingga halus. Kemudian pupurkan di seluruh muka. Biarkan mengering selama 20 minit. Bilas dengan air bersih. Amalkannya 2 atau 3 kali semingg

Petua Untuk Wajah
Semakin Berseri


1. Ambil semangkuk kecil beras. Basuh dan toskan airnya.


2. Goreng tanpa minyak sehingga hangus.


3. Tumbuk atau kisar kering sehingga menjadi serbuk.


4. Simpan di dalam bekas bertutup kedap udara.


5. Apabila hendak digunakan, ambil sedikit dan campurkan dengan air limau nipis.


6. Sapu rata pada muka dan biarkan sehingga kering.


7. Basuh muka sehingga bersih.
Petua Solekan Untuk
Wanita Bertudung


1. Bersihkan wajah anda terlebih dahulu. Gunakan bedak asas dengan warna yang sesuai dengan jenis kulit.


2. Untuk bahagian mata, guna pembayang mata (eye-shadow) berwarna coklat pada kelopak mata, dan penggaris mata berwarna hitam pada lingkaran mata atas dan bawah.


3. Untuk menambahkan seri mata, sapukan maskara. Cara yang berkesan ialah membiarkan mata terbuka bagi memudahkan pemakaiannya. Teknik solekan ini untuk menghasilkan mata yang lebih galak dan ceria.


4. Sapukan pemerah pipi berwarna coklat pada tulang pipi dengan mengarah ke atas secara tipis untuk kesan semulajadi.


5. Gunakan gincu berwarna lembut dan diakhiri dengan pengilat bibir agar senyuman tampak lebih menawan.
Petua Menghilangkan Muka Kasar
dan Berbintik-Bintik Hitam

1. Ambil buah mentimum, parutkan dan diperah.

2. Ambil airnya.Gunakannya untuk mencuci muka sewaktu hendak tidur.
3. Anda juga boleh tempel atau tampalkan hampas mentimum wajah anda.
4. Pada waktu petangnya, mandi dengan air suam dan cuci muka anda berkali-kali dengan air suam.
Petua Untuk Mencuci Hati

Sebelum tidur, amalkan selalu membaca selawat Nabi paling kurang dalam kiraan 100 kali. Cara ini dapat memurahkan rezeki, menenangkan fikiran yang runsing serta membuat orang sayang pada kita. Orang yang hatinya be
rsih, pasti disenangi orang lain walau di mana jua dia berada. Kesan jangka masa panjang, bacaan selawat dengan kerap membuat fikiran kita bebas dari unsur-unsur fikiran negatif, membuat kita sentiasa bersangka baik pada situasi-situasi dalam hidup kita. Sikap suka bersangka baik dapat dibina dengan mengamalkan bacaan selawat. Rutin ini dapat mencetus sikap berfikiran positif, iaitu sikap yan paling perlu dalam usaha kita membina kecemerlangan.

Friday, March 23, 2012

Persediaan Ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2012

Wau... itu buku di atas sekali - Langsir dan Bidai , yang ditulis dan diawasi reka letaknya oleh saya, dilaporkan sebagai - top in the list - iaitu yang terlaris, menurut sumber daripada Lot 10 (Kedai Buku Berita Publishing Sdn Bhd) dah masuk empat kali cetak...bangga jugalah saya, susunan gambar yang cantik itu juga adalah hasil kerjasama saya dengan pereka letaknya, Ramlah Noh. Jualan buku ini dipakejkan dengan buku Ruang Dapur dan Hias Laman.

Pakej buku Ruang Tamu, Lanskap Melayu dan Arkitek.

Pakej = set dua buku Sewangi kasih (himpunan cerpen) dan buku Jenayah Bawa Padah.

Buku-buku dan majalah yang sudah disusun mengikut pakej.

Dalam kepenatan dan berpeluh sakan, sempat lagi terseyum simpul...



Baru semalam selesai tugasan saya menguruskan penerbitan majalah Bonus Anjung Seri Ke 11, memakan masa berbulan-bulan....sangatlah lama dan sangatlah slow. Ini gara-gara pihak grafik membuat reka letak secara sambilan, `di celah-celah masa' menguruskan reka letak majalah utama, Anjung Seri.

Sesungguhnya saya sudah hampir berputus asa, tapi bersyukurlah akhirnya selesai juga. Yang penting, Bonus Anjung Seri Ke 11 mesti diterbitkan sebelum berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012, yang akan bermula penghujung April ini. Kepada peminat Anjung Seri, jangan lupa dapatkan satu naskhah ya! Dan terima kasih kepada pembaca setia yang telah menyokong majalah itu selama ini.

Hari ini jabatan saya, sunyi sepi... yang lain ada tugas di Lot 10 (kedai@stor buku). Mereka dikehendaki mengemas dan membungkus buku-buku dan majalah yang akan dijual di PBKL nanti. Justeru saya mengambil peluang membuat `spring cleaning', sekitar meja saya ini sudah beritimbun dengan majalah dan kertas-kertas. Kalau nak dibandingkan dengan tempat staff lain, tempat duduk sayalah yang paling `meriah` penuh dengan benda yang tidak diingini. Berjam-jam mengemas, tapi keadaan nampak macam tu juga...masih lagi bertimbun majalah dan fail-fail - press kit. Saya ni gemar menyimpan, terutama majalah, sayang nak buang, bayangkan mengumpul hampir 30 tahun, mahunya tidak setinggi gunung!

Selesai mengemas, yang tak berapa kemas.. saya pun turun ke Lot 10, untuk menjenguk mereka yang sedang bertugas di situ. Sempatlah ambil gambar, untuk dimuat naik dalam FB Majalah Anjung Seri. Sebagai tarikan kepada pembaca, tahun ini buku-buku dan majalah akan dijual secara pakej, dua atau tiga buah untuk satu harga, dengan diskaun yang menarik.

Di sini saya paparkan dahulu, set buku yang akan dijual secara pakej... harganya belum tetap lagi, kalau dan ada saya akan maklumkan kemudian...

Wednesday, March 14, 2012

Pilihan ilham hias

Meja kopi sebagai warna aksen.

Lagi pilihan gaya penataan bertemakan merah jambu.

Kelabu & pink