Friday, June 17, 2011

Lara di Hati Bab 8

Sambungan Lara di Hati

Bab 8 -

Kilat dalam kilau kabus mengandungi hujan - Tutur kata dan tingkah laku seseorang mempunyai maksud yang tersembunyi di dalam hatinya.

Di tengah-tengah malam yang sunyi itu, tiba-tiba telefon bimbit Sharifah Ameera berbunyi, lantas dicapainya dan dituangkan ke corong telinganya.

“Helo sayang, dah tidurkah… malam masih muda tau?” Suara itu diikuti ketawa lembut.

Sharifah Ameera terkejut. Dia kenal benar dengan suara itu. Inspektor Azmi. Selepas mandi malam, Sharifah Ameera mengenakan baju tidur nipis. Dia baru sahaja ingin menghempaskan tubuhnya ke atas tilam empuk, tiba-tiba panggilan Inspektor Azmi pula mengganggu. Penat memandu mengambil Alia di asrama siang tadi, belum hilang.

“Helo, Azmi. Apa ni…. telefon malam-malam. Berani lagi telefon? Kalau dia tahu nanti macam mana?” Sharifah Ameera merujuk kepada isteri Inspektor Azmi sambil terbayangkan wajah garang wanita berpangkat ASP itu.

“Dia… sejak waktu maghrib tadi dah keluar, sampai sekarang belum balik-balik. Jangan bimbang, dia tak ada,” kata Inspektor Azmi. Lelaki berusia lingkungan 40-an itu sunyi ditinggalkan isteri pada malam itu.

“Kenapa tak keluar?” soal Sharifah Ameera.

“Taklah… sebab tak ada teman. Duduk seorang-seorang ni, saya terkenangkan Meera. Apa boleh buat.... nak jumpa, nanti suami Meera marah. Almaklumlah buah hati isteri orang!”

“Oh, isteri tak ada di rumah beranilah ya? Kalau di depan, pijak semut tak mati.” Bidas Sharifah Ameera.

“Heh, mana boleh, pijak semut mestilah mati! Tak percaya, bawakan semut ke sini, biar saja pijak, nak tengok mati tak?” InspektorAzmi berseloroh sambil ketawa mengekek, menghiburkan hati Sharifah Ameera yang sedang rawan. Sifat romantik dan mesra Inspektor Azmi membuatkan Sharifah Ameera terpaut. Sharifah Ameera teringat peristiwa yang tidak pernah diduga akan berlaku dalam hidupnya. Dia kasihan dan geli hati melihat Inspektor Azmi membuat pengakuan tidak akan mengulangi perbuatan miangnya di hadapan isterinya dan Syawal, suaminya.

Gara-gara cemburu terhadap isterinya yang diketahui pernah keluar dengan Inspektor Azmi, Syawal mengirim surat aduan kepada ASP Bahiyah. Apa lagi, mengamuklah isteri Inspektor Azmi sehingga mereka terpaksa mengadakan pertemuan empat mata untuk menyelesaikan masalah syak wasangka.

Bahkan Sharifah Ameera sendiri turut dipaksa membuat pengakuan serupa. Betapa dia berasa dirinya bodoh ketika itu. Saat mencemaskan sewaktu dia dan ASP Bahiyah kena bersalam dan bermaafan. Walaupun bibir Bahiyah mengukir senyuman, tetapi daripada air mukanya, jelas membayangkan dia masih marahkan Sharifah Ameera.

“Apa-apa pun, kami hanya berkawan biasa, saya anggap Inspektor Azmi tak lebih daripada seorang pelanggan, jangan risaulah, Sharifah Ameera sempat berbisik pada ASP Bahiyah, sebelum mereka berpisah selepas perundingan hari itu.

“Helo Meera… dengar tak, senyap saja?” Inspektor Azmi menyoal, apabila Sharifah Ameera lama terdiam.

“Helo, adalah ni, I dengar!” jawab Sharifah Ameera kaget.

“Hemm… sebenarnya I telefon nak tanya, Alia dah habis exam?”

“Dah, I baru balik ambil dia di asrama siang tadi.”

Pergi dengan siapa?”

“Seoranglah, dengan siapa lagi?”

“Oh, dah berani memandu seorang?”

“Terpaksalah. Memandu di luar KL bolehlah… bukannya banyak kereta di jalan macam di KL ni,” jawab Sharifah Ameera.

“ Hari itu minta I temankan memandu di sekitar KL. Ahad ini I free, Bahiyah pun tak ada, dia akan ke Singapura sampai Rabu depan,” ujar Inspektor Azmi

“Yakah? Kalau macam tu bolehlah Ahad ni. Tapi ingat, cuma teman tunjuk jalan, jangan nak ajak ke tempat lain pula. Nanti I ajak Alia sekali. Biar dia pun tahu jalan-jalan di KL,” jawab Sharifah Ameera.
“Hemm, okeylah. Good night,” kata Azmi, menamatkan perbualan.

Sharifah Ameera seronok dihubungi Inspektor Azmi. Terasa masih ada orang yang prihatin terhadap nasibnya. Dipandang ke sekeliling bilik. Masih hambar dan asing. Kini ia bukan lagi bilik yang selama ini dihuni bersama Syawal. Keadaan rumah sewanya itu jauh berbeza dengan rumah lamanya. Dinding usang yang sudah dicat baru kosong tanpa sebarang hiasan. Dia teringat bilik di rumah lama. Pada dinding, berhias gambarnya bersama Syawal. Gambar itu mempamerkan mereka berdakapan dalam pakaian pengantin yang menghangatkan perasaannya setiap kali ditatap. Namun bagi Syawal, gambar itu hanyalah sekeping kertas yang tiada membawa apa-apa makna. Semakin hari, semakin hilang nafsu batinnya. Sharifah Ameera cuak. Cuak dengan perubahan suaminya.

Apa pun, perasaan cintanya terhadap Syawal masih berbaki, tetapi dia cuba melupakan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya itu. Gambar kenangan mereka bersama, disimpan dalam kotak di bawa katil. Sebolehnya dia tidak mahu lagi melihat unsur-unsur yang mengembalikan ingatannya terhadap Syawal.

Sharifah Ameera menguap panjang. Malam sudah semakin larut. Dia cuba memejam matanya rapat-rapat. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berlagu. His, apa lagilah Si Azmi ni, Meera merungut di dalam hatinya. Di sangkanya itulah adalah Inspektor Azmi.

“Helo…apa lagi?”

“Helo, dah tidur ke?”

Terkejut Sharifah Ameera, nasib baik aku tidak sempat menyebut nama Azmi, bisik hatinya. Rupa-rupanya, panggilan daripada Syawal.

“Oh abang… la, buat apa ganggu malam-malam ni. Orang nak tidur laa…”

“Eh, lama abang cuba call tadi. Kenapa asyik, asyik engggaged? Cakap dengan siapa lama sangat. Dengan dia lagi?”

“Ah abang ni, suka hati Meeralah. Nak jealous lagi ke? Kan abang dah bagi kebenaran kepada Meera untuk keluar rumah.”

“Eh eh…eh.. bukan abang ya, Meera yang nak keluar sangat. Hemm… Meera masih berhubung dengan setan tu ya? Haa… ingat, Meera masih isteri abang. Abang cuma bagi kebenaran untuk duduk berasingan…bukan bermakna Meera sudah bebas. Kita masih ada peluang untuk hidup bersama!”

Sharifah Ameera diam membisu seribu bahasa. Hilang kata-kata.

“Helo. Helo Meera.”

“Helo.”

“Dengar tak apa yang abang kata ni?” Syawal bertegas.

“Dengar.” Sharifah Ameera menjawab dalam nada tenggelam.

“Ingat, abang tak pernah buang Meera. Meera yang sampai hati bawa semua anak-anak pergi. Nak suruh abang duduk di sini dengan hantu?” Suara Syawal berubah lembut. Dia cuba menagih simpati. Syawal bukanlah seorang yang suka bercakap meninggikan suara. Setiap masa, tenang sahaja tutur katanya tetapi sayang, dia tidak berapa pandai memujuk dan mengambil hati.

Sharifah Ameera terpempan mendengar ungkitan Syawal, si buah hati pengarang jantungnya selama 10 tahun yang lalu. Suara itulah yang menghiburkan hatinya selama ini tetapi sekarang tidak lagi. Kini dia rimas, setiap kali mendengar nama atau melihat wajah Syawal, akan menjelma wajah ibu mertuanya yang garang. Sharifah Ameera tidak suka dengan keadaan begitu. Ini gara-gara ibu kesayangan Syawal semakin kuat menyucuk jarum berbisa, mengganggu kehidupan mereka, asyik menuang minyak ke dalam api. Kemarahan Sharifah Ameera sudah sampai ke tahap maksiumum.

“Helo abang… Tolonglah faham. Meera tahu, tapi abang memang… memang tak akan dapat memahami perasaan Meera, tapi cubalah…” Meera kehilangan kata-kata.

“Alaah… tak payah cakap banyak-banyak lagi. Meera baliklah. Bawa semua anak-anak kita balik.” Syawal cuba melembutkan hati isterinya.

“Tak mau. Abang tak faham hati Meera!”

“Meera, keselamatan Meera dan anak-anak di bawah tanggung jawab abang, baliklah,” Syawal mendesak.

Sharifah Ameera tertekan. Sebolehnya dia tidak mahu mengikut kata-kata Syawal.

“Abang datang ya?”

“Jangan!” Kalau abang kerap datang, nanti mak tahu pula di mana Meera tinggal. Dahlah abang, jangan kacau Meera lagi!”

“Percayalah, abang tak akan beritahu mak.”

“Meera tak percaya, nanti silap-silap abang yang bawa dia ke sini.” Balas Sharifah Ameera. Tanpa belas kasihan, dia menamatkan perbualan telefon bersama Syawal.

Tuesday, May 24, 2011

Cabaran Kembara

 MicrosoftInternetExplorer4


 
Tajuk: Cabaran Ekspedisi Madu Lebah Tualang
Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM
Kredit foto: Anis Jelita


 
     Bersiap sedia untuk memulakan ekspedisi

Melalui perjalanan dengan bot nelayan selama tujuh jam di sungai diselang-seli berjalan kaki meredah air deras di kawasan jeram merupakan pengalaman sangat mengujakan sewaktu menyertai rombongan Ekspedisi Madu Lebah di Ulu Muda, Kedah Mei lalu.
Gembira tidak terhingga apabila berjaya menempuhi cabaran perjalanan ke destinasi, tanpa mengetahui bahawa ada lagi beberapa cabaran sedang menanti. Yang pasti, apa yang dialami itu menyempurnakan satu perjalanan dinamakan ekspedisi! Kata orang, bukanlah satu ekspedisi andai perjalanan tidak menempuhi bermacam cabaran.


    Di atas jeti Kuala Muda

Sudah lama berangan-angan untuk menyertai ekspedisi seperti itu. Pada mulanya gentar juga untuk menaiki bot berenjin sangkut yang hanya muat tiga orang. Pada permulaan perjalanan, saya dan dua lagi peserta duduk tegak seperti patung agar bot tidak bergoyang. Tidak dapat mengelak daripada memikirkan perkara bukan-bukan, misalnya terjatuh di dalam air, sampan tiba-tiba bocor atau enjin terhenti.
Selepas beberapa minit duduk di dalam sampan yang bergerak laju dipermukaan tasik yang luas terbentang, rasa gementar beransur hilang. Beberapa jam selepas meninggalkan Jeti Empangan Ulu Muda, air tasik yang jernih kebiruan bertukar keruh. Saya lantas bertanya kepada pengemudi bot, “ini tasik atau sungai?”



   Mula-mula, bot melalui a ir tasik yang tenang


“Yang tadi tasik, sekarang sungai,” jawab lelaki berkulit putih berusia dalam lingkungan 30-an yang kelihatan tenang mengemudi bot yang kami naiki. Bermakna perjalanan kami untuk ke hutan Ulu Muda, melalui tasik dan sungai. Terdapat kira-kira 30 bot bergerak secara konvoi menuju ke hutan Ulu Muda tempat peserta akan dibawa melihat kegiatan memungut madu lebah di pokok tualang. Ekspedisi itu disertai hampir 100 orang, antaranya ahli media, pelajar sekolah dan pegawai Mada. Tidak ketinggalan, pegawai Fama dan Tourism Malaysia yang bekerjasama menjayakan ekspedisi itu.


 Selepas melepasi tasik, bot mula memasuki sungai.
Selepas tiga jam melalui perjalanan selesa sambil duduk memerhati keindahan alam sekeliling, kami dikehendaki turun dan naik bot beberapa kali apabila perjalanan melalui halangan dari satu jeram ke satu jeram. Saya tidak dapat ingat berapa kali turun mengharungi air, ada tempat cetek dan ada yang dalam separas pinggang. Lebih daripada empat jeram yang harus kami tempuhi. Berjalan dalam air deras, memijak pasir dan batu besar menyakitkan kaki jika tidak memakai kasut. Akibat terlalu lama mengharungi air, kasut beberapa peserta terkopak tapak apabila gamnya tanggal.
     Sewaktu taklimat di bilik Hotel Star City, Alor Setar semalamnya, kami dijadual sampai ke tapak perkhemahan pada tengah hari. Kami bertolak dari jeti jam 10 pagi, sejam lewat daripada jadual dan dijangka sampai jam 2 petang tetapi sebaliknya perjalanan berlarutan sehingga 5 petang yang mengambil masa 7 jam. Ini berikutan banyak kali berhenti menunggu bot-bot di belakang, bagi mengelakkan ada yang tertinggal.


    Kesan belerang di kawasan air panas Sira MAS

Sewaktu menyusuri sungai, kami dibawa singgah ke kawasan mata air panas, Sira Mas. Kami diberitahu, kawasan anak sungai itu adalah tempat gajah turun mendapat air bagi mengubati luka-luka di badannya. Di bahagian tertentu terdapat kesan belerang, hampir sama dengan keadaan dalam kawah gunung berapi yang saya lihat di Tangkuban Perahu, di Bandung.
     Melihat kesan najis dan tapak gajah di situ membuatkan hati berdebar-debar, adakah haiwan besar itu boleh datang bila-bila masa? Bagaimana kalau ia tiba-tiba muncul? Khayalan saya dikejutkan oleh rasa panas yang teramat apabila terpijak punca air panas. Seperti terkena air mendidih, kulit kaki menjadi merah tiba-tiba, mujurlah tidak sampai melecur kuat. Kemudian kami meneruskan perjalanan.
     Sebaik tiba di tapak perkhemahan, sudah terhidang makanan disediakan kumpulan tukang masak yang berada di situ sejak sehari sebelumnya. Tepat pada masanya apabila perut sudah berkeroncong, masing-masing me­ngambil pinggan dan beratur mengambil makanan. Kami makan secara berselerak di tepi sungai. Makan nasi dimasak dalam buluh dengan kerabu pucuk paku dan ikan talapia bakar, cukup menyelerakan. 


 Menyelusuri anak sungai untuk ke kawasan air panas Sira Mas.

Sebelum gelap, jurugambar dan beberapa penulis dibawa ke pokok tualang di tengah hutan untuk merakam kegiatan memasang sigai iaitu tangga yang membolehkan pemungut naik ke atas pokok tualang untuk memungut madu. Mereka berjalan 20 minit ke sana sambil menghadapi cabaran digigit pacat. Saya tidak ikut kerana bercadang pergi melihat kegiatan memungut pada sebelah malam.
    Menjelang maghrib, khemah-khemah didirikan untuk kami bermalam.
Menurut rakan penulis, Suliati Asri, mereka terpegun melihat ketinggian pokok tualang yang mempunyai tiga sarang lebah, menyamai bangunan 10 hingga 12 tingkat. Bermakna pemungut akan memanjat sigai setinggi itu. Sewaktu sampai, empat daripada lapan pemungut sudah memasang sigai.
Lantaran hari sudah gelap dan jarak di antara sigai dan sarang sangat dekat, kerja itu tidak dapat diteruskan. Selesai merakamkan gambar mereka kembali ke tapak perkhemahan.


 Menunda bot di kawasan jeram

Selepas menikmati hidangan makan malam cukup istimewa iaitu sup dan daging rusa goreng, pengumpul madu kembali ke kawasan pokok tualang. Ahli media seramai 30 orang menyusul selepas waktu isyak. Siap mengenakan sarung kaki untuk menghindari pacat, tiba-tiba saya kecut perut, lalu `mengangkat bendera putih’. Pertama, takut berjalan di dalam gelap di tengah hutan, kedua takutkan pacat dan ketiga, bimbang percuma disengat lebah. 


Pokok tualang dirakam pada waktu senja, di atasnya terdapat sarang leba
Sebelah malam, kegiatan memungut madu diadakan.
Sewaktu menunggu mereka pulang, salah seorang yang berkawal menyedari air memasuki dua khemah yang dibina berhampiran gigi sungai. Saya difahamkan, air yang tiba-tiba sebak menunjukkan hujan lebat di hulu sungai.
Dalam kepekatan malam itu, saya belajar beberapa panduan perkhemahan. Pengalaman itu mengingatkan kepada sesiapa saja agar tidak membina khemah berhampiran gigi sungai.
    “Air boleh naik secara tiba-tiba sewaktu mereka tidur dan keadaan ini sangat berbahaya jika tidak ada orang berjaga. Air yang naik secara tiba-tiba boleh menyebabkan kehilangan nyawa kepada mereka yang berkhemah berhampiran gigi sungai,” kata seseorang yang tidak jelas wajahnya dalam kepekatan malam itu.
 
 Makan ikan tilapia bakar, sungguh enak

Saya mulai faham mengapa kemalangan mudah berlaku di kawasan perkhemahan berhampiran sungai. Walaupun ketika itu sungai cetek, air boleh naik mendadak sehingga kita tidak sempat menyelamatkan diri.
    Sedang khemah di bawa ke atas tebing, bot pula diperiksa oleh pemilik masing-masing. Mereka bangun daripada tidur mengalihkan tali tambatan bagi memastikan bot tidak hanyut.
Daripada mereka, saya mempelajari satu lagi perkara. Jika hujan lebat di sebelah hulu, air sungai di kawasan yang tidak hujan turut sebak dan mengalir deras. Ia akan menghayutkan dengan laju keseluruhan isi sungai termasuk batang pokok dan ini sangat berbahaya kepada mereka yang menaiki bot atau mandi.
   “Jika air tidak surut, mungkin berbahaya bagi kita untuk menaiki bot dalam keadaan air deras esok,” sampuk seorang lagi.
     Menjelang jam dua pagi, kumpulan yang pergi melihat kegiatan memungut madu lebah sampai ke tapak perkhemahan.
Saya diberitahu, kegiatan memungut madu itu dilakukan secara berkumpulan. Sebelum memulakan operasi, pemungut membaca al-Fatihah tiga kali serta beberapa surah lain dan berdoa agar segalanya berjalan lancar.
    Ketika proses memungut,kumpulan media duduk dalam keadaan gelap gelita. Jamung (api)dinyalakan dan direnjis ke bawah, diikuti bunyi lebah mengikut jamung sampai ke bawah pokok. Ketika itu, suasana sukar digambarkan dengan kata-kata. Dalam kegelapan, hanya kedengaran bunyi lebah.
   Sementara itu, bekas untuk menadah madu dinaikkan dengan tali besar. Sebahagian sarang dipotong dan dimasukkan ke dalam bekas sebelum dibawa turun menggunakan tali saiz kecil.
Ahli media diberi peluang melihat dan merasa madu segar yang diturunkan daripada pokok. Pengalaman paling mahal, apabila beberapa orang daripada mereka tidak terlepas daripada disengat lebah! Namun dengan mengamalkan petua menyapu madu di tempat gigitan, bisa sengatan beransur hilang.

 
 Nasi dimasak dalam buluh ini.

Kami difahamkan, tugas memungut madu lebah perlu diselesaikan sebelum jam 4 pagi. Jika cuaca terang, lebah akan terbang ke sarang semula dan pemungut madu pasti terdedah kepada bahaya dise­ngat.
   Balik ke khemah selepas selesai menyaksikan `acara’ penuh debaran itu, mereka dijamu minuman ringan. Masing-masing keletihan tidur. Yang perempuan masuk ke dalam khemah tertutup untuk tidur dan yang lelaki tidur di bawah khemah terbuka.
Dek bimbang pacat terbawa ke dalam khemah tanpa disedari oleh kawan yang masuk ke hutan, saya rela duduk di atas pangkin, menahan tidur sampai ke pagi bersama seorang lagi rakan.
   Pagi esoknya kami menyaksikan keletah Chef Anuar dan pembantunya menjalani rakaman demonstrasi memasak yang disiarkan secara langsung oleh TV9. Selesai bersarapan, kami meninggal­kan tapak perkhemahan ke Jeti Empangan Sungai Muda. Mengelak risiko air deras, kami diarah berjalan kaki sehingga melepasi kawasan jeram. Maka saya melalui satu lagi pengalaman baru, menjalani `jungle treking’, menyelusuri denai dan meredah hutan bersama peserta yang ramai itu. 











 Nasi yang sudah dimasak dengan cara dibakar, sedang dikeluarkan daripada buluh.
 
Kepenatan berjalan kaki selama empat jam, turun naik bukit, melangkah batang pokok, mengelak halangan dahan dan akar yang terjuntai bukanlah satu masalah bagi saya. Ia sebenarnya satu pengalaman yang menyeronokkan jika tidak diganggu masalah pacat yang seakan berpesta di permukaan tanah lembab disirami hujan. Pacat-pacat itu pantas menghidu manusia dan berceracak menunggu untuk naik ke kaki. Ini menyebabkan sebahagian daripada kami berjalan terlompat-lompat, ketakutan selain sekali sekala mengelak daripada terpijak najis gajah.
   Dalam perjalanan, peserta diperkenalkan dengan sejenis akar pokok yang boleh mengeluarkan air bersih. Masing-masing tidak lepaskan peluang menadah mulut untuk minum bagi menghilangkan rasa dahaga.
    Selepas berjalan melepasi kesemua jeram, kami menunggu bot di sungai untuk menyambung perjalanan ke jeti Empangan Sugai Muda. Sampai di jeti sekitar jam tiga petang, kami terus ke Pusat Pemprosesan Madu Lebah di Fama cawangan Kuala Nerang, mengakhiri ekspedisi dua hari satu malam yang penuh cabaran itu.

Setelah dua hari menempuhi cabaran ekspedisi, saya bersyukur dapat pulang ke jeti dengan selamat, Yes, kami boleh!!!

Sunday, April 24, 2011

pixtips1





Memenuhi permintaan ayah supaya membina rumah dikampung. Oh akhirnya terlaksana jua

Saturday, April 23, 2011

Pix seni bina.

Pix atas: Rumah penginapan di kawasan sawah padi dalam kompleks Hotel Mandarin Oriental, Dhara Devi, Chiang Mai.
Istana Kuning di Kuala Kangsar yang kini muzium, menonjolkan ciri rumah tradisional di Perak.

Rumah banglo berhalaman luas.

Salah sebuah bangunan unik di Chiang Mai, dengan bumbung bentuk meninggi, persis gaya alat perhiasan kepala di Thailand.

Bangunan tradisional Melayu, daripada kayu mewakili imej rumah kampung.

Rumah teres tiga tingkat lot tepi, tampil gah dengan bentuk bumbung V terbalik dan bertebar layar di bahagian depan.

Friday, April 22, 2011

pix Mak Yong

This pics are for Liza to copy paste... menurutnya, dia nak guna dalam satu rencana majalah mengenai tarian.

"Anak akak masih belajar tarian ke?" Soal Liza yang bertugas di Astro.

"Tak..." jawab saya.

Sebenarnya Yana ambil Penulisan Kreatif ketika di Aswara.

Gambar-gambar yang Liza tengok sebelum ini menunjukkan aktivitinya sewaktu sedang menjalani exam Mak Yong, salah satu subjek Wajib bagi semua kursus peringkat diploma di akademi seni itu.

Masuk ke peringkat pengajian ijazah di UM, Yana beralih pula ke bidang seni lain... Bidang asal, penulisan ditinggalkan, bukan juga menyambung di bidang tarian tetapi lebih kepada pengurusan seni...



Scene akhir persembahan mak yong

Scene sembah hormat kepada penonton selepas persembahan

Aksi lakonan selepas scene tarian

Persembahan Makyong dimulakan dengan scene tarian


Kiranya first timelah dia menari serious macam ni...


Puaslah juga nak melenturkan tangan menjadi lentik sebegini...

Pergerakan tarian lemah gemalai...


Dia selamba je, mak yang menonton di bawah berdebar-debar..


Tenang di permulaan persembahan...

Tuesday, April 5, 2011

Periuk Baru Elba




Periuk Baru Elba

Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM

Dalam menjalani kehidupan moden yang serba pantas, keperluan terhadap barangan penggunaan yang lebih canggih, cekap dan pelbagai fungsi di dapur diperlukan. Fiamma memperkenalkan tiga produk Elba baru yang memiliki kelebihan seperti di atas iaitu;


1. Rice Cooker (Periuk Masak) ERC-1899D bukan hanya boleh memasak nasi, sebaliknya memiliki kelebihan pelbagai fungsi. Anda boleh menggunakannya untuk memasak, merebus sup, membakar kek, stew dan mengukus. Periuk berukuran sm 42.0 panjang x 31.0 lebar x 27.5 tinggi, seberat 5.3 kg dengan aliran wap homogeneous ini berkuasa 860W dan 1.8 liter muatan serta dikawal komputer mikro, dilengkapi panel LCD, difusi pemanasan 3D dan direka bentuk untuk gaya memasak bertekanan rendah.

2. Bread Maker (Pembuat Roti) BM-8380 yang boleh membakar lof roti 750 -900 gram, memiliki 12 program digital, masa membakar boleh dilewatkan sehingga 60 minit, mengekalkan kepanasan sehingga 60 minit, mengawal warna kulit - cerah, sederhana dan gelap, selamat dibasuh dalam mesin, dilengkapi periuk roti tidak melekat dan boleh ditanggalkan untuk kemudahan mencuci, pisau kneading, kaki kalis gelincir, sudu sukat, permukaan luar alat pembakar tidak panas apabila disentuh, panel LCD, berukuran sm?? 44 x32.2 x 33 dan berat 7.9 kg.

3. Pressure Cooker (Periuk Bertekanan Tinggi) EPC-6000SS mempunyai pelbagai fungsi memasak seperti merebus sup, memasak nasi, congee dan menumis reneh. Dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termasuk pada penutup, alat kawal tekanan, injap had tekanan, penutup antihadang, penurun tekanan, fuse termostat dan termal, ia juga jimat elektrik sehingga 60 peratus dan jimat masa memasak sehingga 40 peratus. Selain itu, turut dilengkapi lapisan tidak melekat, komputer mikro untuk menyimpan zat makanan dan mengekalkan keenakan rasa, teknologi kawalan auto bagi program memasak berkomputer dan panel LED untuk pilihan fungsi kegunaan serta kuasa 1000 W dengan ukuran sm?? 32.5 x 32.7 x 37 serta berat 6.22 kg.