Friday, March 18, 2011

Lara di Hati Bab 4


Bab 4

Hati yang rawan jangan dilayan, kalau dilayan merana badan…

“Cikgu, Cikgu, Alia Cikgu. Cepat Cikgu!”

“Kenapa dengan Alia? Hah Shila, Mawar, kenapa dengan Alia?”

“Dia buat… dia buat hal lagi cikgu!”

Cikgu Mariam baru sahaja hendak menonton TV rancangan kesukaannya, Al-Kulliyah. Tiba-tiba dikejutkan oleh ketukan pintu yang bertalu-talu. Begitulah nasib seorang warden di asrama. Tidak senang duduk. Ada sahaja masalah yang ditimbulkan oleh pelajar. Sambil mencapai serkup kepala dan menyarungkannya, Cikgu Mariam berkejar ke bilik studi mengikut Shila dan Mawar. Sebaik sampai, kelihatan beberapa murid sedang mengejutkan Alia yang sedang terbaring di sisi kerusi, tempat dia duduk mengulang kaji pelajaran.

“Macam mana boleh terjadi?” Cikgu Mariam menyoal.

“Tak tahulah cikgu. Tadi kami semua asyik studi, tiba-tiba saja dia jatuh terkulai daripada kerusinya. Dia pengsankah cikgu?” Shila bersuara.

“Pergi ambil air… ambil air cepat!,” Perintah Cigku Mariam.

Zura yang berdiri di tepi pintu pantas mencapai botol air mineralnya, lalu menghulurkan kepada Cikgu Mariam. Dia membaca doa, menghembuskan ke dalam air lalu merenjis ke muka Alia. Lama juga Cikgu Mariam di situ sebelum Alia sedar.

“Alhamdulillah…Alia, kenapa ni? Tegur Cikgu Mariam sebaik melihat mata Alia terbuka. Tak makan ke tadi? Baru sahaja Cikgu Alia bertanya, belum sempat berjawab, Alia pengsan lagi.

“Astaghfirullah….budak ini! Shila, Mawar, kenapa dengan Alia. Dia makan tak tadi?” Soal Cikgu Mariam. Sebagai warden, dia prihatin terhadap semua pelajar.

“Tadi saya nampak dia pergi ke dewan makan, tapi saya tak tahu dia makan atau tak,” jawab Mawar.

“Selepas solat Maghrib tadi, saya terdengar Alia macam bercakap dengan ibunya di telefon. Muka dia macam tension je. Macam ada masalah,” celah Shila pula.

“Dah cepat pergi panggil Ustaz Ali. Kita usung dia ke klinik.” Arah Cikgu Mariam. Begitulah rutin hidupnya, setiap kali ada pelajar asrama yang deman, sakit perut, sakit gigi atau tercedera akan segera dibawah ke klinik.

Sejak akhir-akhir ini Alia sering menimbulkan kekecohan di asrama sekolahnya. Masuk kali ini sudah tiga kali dia pengsan tiba-tiba.

Cikgu Mariam terpandang ke arah buku-buku di atas meja Alia. Apa yang dia tulis pada buku contengnya ni. Cikgu Mariam tidak sedap hati melihatnya. Goresan pen berserabut dengan kesan kertas terkoyak. Mula-mula kertas diconteng biasa, selepas itu ada kesan ditekan kuat sehingga terkoyak. Ini tanda luahan perasaan. Mesti ada yang tidak kena. Kalau tidak masakan mata pen digores kuat. Sayang, budak pandai jadi begini. Apa masalah dia agaknya?. Cikgu Mariam memikirkan puncanya. Dia terkilan dengan apa yang terjadi.

Sebaik Ustaz Ali sampai, mereka beramai-ramai mengusung Alia ke kereta dan membawanya ke klinik, Alia dirujuk ke hospital untuk mengesan penyakitnya. Setelah dua hari di hospital. Cikgu Mariam semakin bingung mendengarkan penjelasan doktor.

“Kami dah periksa, Alia tak ada apa-apa masalah penyakit. Semua okey. Doktor rasa dia bolehlah dibawa pulang sekarang,” kata Doktor Helmi.

Di dalam kereta, Alia monyok sahaja. Cikgu Mariam bertalu-talu menyoal.

“Kenapa Alia… sampai pengsan? Apa masalah Alia sebenarnya. Beritahu pada cikgu. Alia sakit apa? Tidak lama lagi nak exam. Kalau macam ni selalu, macam mana pelajaran Alia nanti.”

Alia diam sahaja. Sepatah pun tidak menjawab. Orang tak percaya aku sakit. Sukar untukku jelaskan apa sebenarnya berlaku. Alia berkata-kata di dalam hatinya.

Shila rakan baiknya yang duduk di sebelah pula berteka-teki di dalam hatinya, apakah Alia benar-benar sakit. Apa yang menyebabkan dia pengsan?

Friday, March 4, 2011

LARA DI HATI Bab 2

Siang tadi, saya dikejutkan oleh pertanyaan seoran
g kawan, "Mengapa tak masukkan sambungan kisah novel?" Aik, berminatkah... saya garu-garu kepala, sambil menjawab: "Tak ramai yang komen, jadi tak ada moodlah nak letak sambungan."
"Ada.. ramai tu baca... mereka semua silent reader, macam saya. Saya pun baca!"
Kata-kata itu mendorong saya meletakkan sambungannya di sini.
Sebelum orang kutuk, biar saya mengaku, dah tentu ceritanya semakin hambar! Apa-apa pun, kalau nak layan, layaaan sajalah.... Zaasss!

Bab 2 ini bersambung dengan Bab 3



“Usah dikenang peristiwa silam, kerana yang lepas tak mungkin berulang.”
Sambil memgemas rumah pada pagi itu, Rita Nadia terus terkenangkan nasib rakannya Sharifah Ameera. Selesai menukar pengikat tali langsir, Rita Nadia duduk di hadapan TV. Matanya sahaja memerhati aksi pelakon di kaca TV tetapi hatinya masih terkenangkan nasib kawannya itu. Sedang berfikir bagaimana untuk menyelamatkan rumah tangga kawannya itu, tiba-tiba tersembul Sharifah Ameera di muka pintu rumahnya.
“Assamualaikum Rita…hai khusyuknya tengok TV. Berapa kali aku ketuk, tak dengar?” Sharifah Ameera menolak pintu, lalu terus masuk mengejutkan Rita Nadia yang sedang mengelamun.
Sorry, sorry, sorry. Tak dengar. Masuklah,” pelawa Rita Nadia sambil tangannya pantas mengutip kertas surat khabar di atas lantai.
“Tak apalah, aku bukan hendak duduk lama pun. Datang ni nak tanya, ada tukul tak?”
“Tukul?”
“Ya, tukul.”
“ Di mana pula aku letak ya… Nak hias semula rumah ke? Lambat lagilah raya,” sampuk Rita Nadia.
“Bukan, sebenarnya aku dah pindah. Banyaklah benda nak buat di rumah sewa aku tu.”
“Maksudnya, jadi juga kau pindah?” Pantas Rita Nadia menyoal.
Sharifah Ameera mengangguk.
“Syawal macam mana, dia tak marah?”
“Kan aku dah kata, aku nekad…” jawab Sharifah Ameera dengan nada sedikit hampa.
Rita Nadia menggeleng-gelengkan kepalanya, kesal dengan tindakan kawannya itu.
“Dah, tak payah fikir pasal aku, pergilah cari tukul cepat!” pinta Sharifah Ameera. Tidak sabar untuk mendapatkan alat memaku itu.
“Tunggu sekejap, aku pergi cari.” Rita Nadia lantas bangun, menuruni tangga ke aras bawah untuk mencari tukul. Selepas menyelongkar di sana sini, akhirnya berjumpa juga dengan alat yang dicari.
“Nasib baik jumpa,” kata Rita Nadia sambil menaiki tangga menuju ke arah Sharifah Ameera bersama tukul di tangan kanannya. Kembang kuncup hidungnya, menahan penat selepas naik turun tangga di dalam rumah yang beraras selisih itu. “Nah!” Rita Nadia menghulurkan tukul kepada Sharifah Ameera.
“Haa… mujur ada. Okey, aku balik dulu,” kata Sharifah Ameera, tergesa-gesa ingin pulang.
“Cepatnya nak balik? Tak minum dulu!” Pelawa Rita Nadia.
“Aku nak cepat, anak tunggu di dalam kereta. Lagi pun lori barang akan sampai bila-bila masa,” beritahu Sharifah Ameera kepada Rita Nadia.
“Jadi juga pindah ya?”
“Mestilah jadi… kalau tak setuju, tak apalah. Aku datang nak pinjam ini saja,” balas Sharifah Ameera sambil menunjukkan tukul di tangannya.
Rita Nadia terkilan dengan tindakan Sharifah Ameera. Dia berazam untuk memujuk kawannya itu supaya kembali ke pangkuan suaminya. Mengapalah Meera buat keputusan terburu-buru? Bisik hati Rita Nadia.
“Duduklah lama sikit, kita berbual-bual dulu,” ujar Rita Nadia.
Menghormati ajakan kawannya itu, Sharifah Ameera tidak jadi melangkah pergi, lalu mencecahkan semula punggungnya di sofa.
“Rita, sekali lagi aku beritahu… yang aku memang dah nekad!” Kata Sharifah Ameera. Punggungnya diangkat ke belakang untuk menikmati keempukan sofa di ruang tamu rumah rakannya itu. Inilah masanya dia ingin menyampaikan berita terkini mengenai dirinya kepada Rita Nadia. Namun pembuka cerita itu membuatkan Rita Nadia pura-pura berteka-teki.
“Nekad apanya?” Soal Rita Nadia sambil memandang tepat ke wajah gebu Sharifah Ameera.
“Nekad nak berpisah dengan ….”
“Dengan rakan kongsi?” Rita Nadia sengaja memintas kata-kata kawannya itu. Rita Nadia tidak mahu mendengar pengakuan Sharifah Ameera bahawasanya dia mahu berpisah dengan suaminya, Syawal.
“Rita, mana aku ada rakan kongsi lain selain Syawal?” Balas Sharifah Ameera sambil tangannya membelek-belek majalah di atas meja kopi. “Maksud aku, ingin bercerai dengan Syawal!” Sharifah Ameera, berterus terang.
“Ha… inilah yang aku paling tak suka dengar. Jadi juga rancangan itu. Memang degil, berapa kali aku nasihat, bersabar…bersabar!”
Kemunculan Sharifah Ameera pada pagi itu membawa satu perkhabaran yang lebih menyenakkan perut Rita Nadia. Keadaan rumah tangga Sharifah Ameera yang sedang bergelora dilanda badai itu sudah lama diketahui Rita Nadia. Paling dia terkilan, sikap Sharifah Ameera yang sengaja mengeruhkan keadaan rumah tangganya.
“Meera, kau memang tak sayangkan diri sendiri. Macam mana dengan anak-anak kau nanti?” Soal Rita Nadia lagi. Nada suaranya semakin tinggi. Namun Sharifah Ameera berlagak tenang sahaja. Jemarinya beralih memegang sebuah album lama milik Rita Nadia.
“Rita, aku datang sini bukan mahu dengar nasihat kau. Datanglah tengok rumah baru aku nanti,” balas Sharifah Ameera tanpa sedikitpun membayangkan reaksi tertekan. Bahkan dia kelihatan semakin tenang dan ceria selepas berpindah, sedangkan pada anggapan Rita Nadia, Sharifah Ameera kini bagai layang-layang putus tali.
Sharifah Ameera terus membelek album lama itu, tiba-tiba matanya tertumpu kepada sekeping gambar usang yang mengingatkannya kepada satu peristiwa silam.
“Eh, mana dapat gambar ni Rita? Setahu aku, aku seorang saja ada gambar ni!” Kata Sharifah Ameera sambil menunduk lebih rapat untuk meneliti wajah seseorang yang pernah rapat dengannya pada zaman remaja dahulu. “Macam mana kau dapat gambar ni, macam aku punya! Sharifah Ameera lantas mengeluarkan gambar itu daripada album dan membelek di belakangnya. Ternampak catatan `Untuk yang kusayang’
“Ha betullah gambar aku, nampak ni ada tanda tangan dia…” Sebelum selesai Sharifah Ameera menghabiskan ayatnya, Rita Nadia memotong.
“Meera, janganlah marah…. Minta ampun, sebenarnya aku yang ambil daripada album kau,” jawab Rita Nadi. Dia cuak melihat reaksi Sharifah Ameera. Bimbang perbuatannya mengambil gambar tanpa pengetahuan mengundang kemarahan kawan baiknya itu.
“Patutlah aku tak nampak lagi gambar ini!” Ulas Sharifah Ameera. Raut wajahnya membayangkan kehairan.
Mengapa gambar ini dicuri daripada albumku. Adakah dulu Rita Nadia juga meminati orang yang sama sehingga sanggup mencuri gambar ini daripada albumku? Hati Sharifah Ameera berkata-kata.
“Dah, tak payahlah bereya-eya tatap gambar itu. Sudah tak ada apa-apa lagi dengan kau!”
“Tapi… mengapa kauambil?” Sharifah Ameera sedikit curiga.
“Janganlah salah faham. Sebenarnya, aku saja ambil sebaik sahaja selepas kau bertunang dengan Syawal. Sebab kau ada beritahu aku yang kau teringat-ingat semula padanya. Niat aku baik, tak mahu hati kau berbelah-bahagi pada Syawal. Jadi aku soroklah gambar ini. Itu saja,” jelas Rita Nadia, mengharapkan pengertian daripada kawannya itu.
“Sangkaan aku tadi, kau pun minat pada dia.”
“Minat?? Hiss, tak ada maknanya! Lupa pula aku, siapa namanya?” Soal Rita Nadia. Doanya, agar Sharifah Ameera tidak lagi menaruh sangkaan yang bukan-bukan terhadapnya.
“Di mana agaknya dia sekarang ya?” Soal Sharifah Ameera pula. “Aku mana boleh lupa nama dia, Suhaini… Ya, Ahmad Suhaini. Cinta pertamalah katakan. Ini semua gara-gara mak akulah, tak benarkan aku berkawan dengan dia.” Sharifah Ameera tidak boleh lupa sikap arwah ibunya yang garang.
“Yalah, bukankah semasa itu kau masih belajar. Betullah tindakan arwah. Kalau anak aku pun, aku larang juga. Baru tingkatan satu, dah nak menggatal!”
“Mak aku tu memang….dengan Syawal pun dia tak benarkan aku kahwin. Kau ingat tak masa Suhaini….”
“Dah tak payah nak kenang-kenangkan dia… baik fokus pada masalah kau sekarangi.” Rita Nadia begitu mengambil berat terhadap nasib Sharifah Ameera. Seribu satu persoalan terdetik di hatinya. Bagaimana mungkin Sharifah Ameera boleh hidup tanpa Syawal, sudah hampir 10 tahun mereka hidup bahagia berasama-sama.
“Okeylah dah lama aku di sini. Balik dululah ya!” Sharifah Ameera bangkit daripada tempat duduknya.
“Di mana rumah sewa tu?” Rita Nadia ingin tahu.
“Ah, bukannya jauh sangat. Aku pindah pun di sekitar kawasan ini juga. Tapi, jangan cerita kepada sesiapa yang aku dah pindah ya?” Pesan Sharifah Ameera.
“Baiklah,” jawa Rita Nadia.
“Janji ya?” Sharifah Ameera mengingatkan Rita Nadia sekali lagi.
“ Hmm… Meera, Meera… apalah malangnya nasibmu!” Usik Rita Nadia.
Dua rakan itu mempunyai pendapat yang sangat berbeza. Rita Nadia menganggap nasib Sharifah Ameera sangat malang, sebaliknya Sharifah Ameera cukup gembira dengan tindakannya itu.
Akhirnya dapat juga aku keluar daripada hidup Syawal. Sharifah Ameera menganggap dirinya sudah merdeka, walaupun hakikatnya dia hanya duduk di rumah yang berasingan dan belum lagi bercerai dengan suaminya.
“Apa nama tempat kau pindah tu?” Soal Rita Nadia. Mesti tak sempurna berbanding rumahnya dulu, fikir Rita Nadia.
“Di Taman Desa Bahagia,” jawab Sharifah Ameera.
“Oh, tak jauhlah dari rumah lama kau di Taman Mewah,” balas Rita Nadia pula.
“Ya, memang tak jauh. Saja aku cari yang dekat-dekat. Nanti, aku dan Syawal masih kena berhubung kerana anak-anak. Kau kena ingat, kami tak bergaduh. Dia boleh datang ambil anaknya bila-bila masa.” Ibu berusia awal 30-an itu membalas.
Berkahwin sebelum usia mencecah 20, Sharifah Ameera dan Syawal dikurniakan dua anak Ariana, 11 dan Shabudin, 6. Dengan persetujuan Syawal, mereka mengambil dua anak saudaranya, Alia 18 dan Shariman, 15 sebagai anak angkat kerana mereka kematian ibu sewaktu usia masih kecil. Sharifah Ameera menyayangi kedua-dua anak saudaranya itu seperti anak kandungnya sendiri. Alia dan Shariman memanggilnya emak dan memanggil Syawal, ayah. Bagi Sharifah Ameera, anak-anaknya adalah empat orang dan budak-budak itu adalah penceria hidupnya.
Aku bukan tidak terkilan memisahkan perhubungan budak-budak itu dengan ayahnya. Namun aku tersepit dalam keadaan hidup yang kurang menyenangkan akibat campur tangan ahli keluarga Syawal. Sampai hati mereka memperlakukan aku seperti orang asing! Aku paling perit dengan sikap ipar duai yang sentiasa membuat onar dan fitnah terhadap diriku.
Tidak mengenang budi. Itulah yang disimpulkan Sharifah Ameera terhadap adik-beradik Syawal. Dia tidak mahu lagi diperlakukan sesuka hati oleh ibu mentuanya. Bukan sahaja datang ke pejabat mencari kesalahannya dan marah-marah, bahkan dituduh pengikis harta suami sendiri!
Aku penat-penat berusaha mencari wang, aku pula dikata menguasai harta suami. Mereka tidak tahu, aku yang bersusah-payah bersengkang mata mengurus kerja pejabat, menjaga kewangan dan membuat perancangan perniagaan, senang-senang pula dituduh begitu. Sharifah Ameera mengenang malangnya.
Sebagai majikan, Sharifah Ameera bertindak tegas dalam urusan kerja. Adik ipar sendiri atau sesiapa sahaja akan dimarahi jika cuai atau sengaja melakukan kesalahan.
Memang, ada manusia tidak tahu mengenang untung. Sudah diberi peluang bekerja, diberi tempat tinggal, jadi seperti kaduk naik junjung, seperti Belanda mendapat tanah! Berpakat pula untuk merampas syarikat yang kubina bersama suami. Termenung Sharifah Ameera memikirkan perlakuan adik beradik Syawal ke atas dirinya.
“Elokkah rumah sewa tu?” Soal Rita Nadia pula. Sharifah Ameera tidak mendengar. Fikirannya melayang jauh, terbayang bagaimana adik-adik iparnya menikam dia daripada belakang sementara tangannya masih memegang album lama milik Rita Nadia.
“Meera…. Aku nak tanya ni, anak-anak kau bagaimana?” Rita Nadia begitu prihatin terhadap nasib kawannya yang seorang itu.
“Macam aku kata dululah, semuanya mesti duduk dengan aku,” jawab Sharifah Ameera.
“Kesemuanya sekali ikut pindah duduk dengan kau?” Rita Nadia tidak percaya.
“Kau seorang nak jaga keempat-empat anak itu, bolekah?” Soal Rita Nadia pula.
“Ya… Tidak ada masalah. Jangan ada sesiapa ambil mereka daripada aku. Buat masa ini, aku tak mahu sesiapa datang mengganggu,” jawab Sharifah Ameera.
“Eh takkan aku pun tak boleh datang?” Ujar Rita Nadia sambil memyimpan baju-baju jahitan di dalam bakul di sisi meja ruang tamu. Walaupun sibuk bekerja, Rita Nadia tidak lupa pada hobinya iaitu menjahit. Kedatangan Sharifah Ameera membantutkan kerja menjahitnya pada pagi itu. “Tak nak bagi aku datang, maksudnya aku ni samalah dengan orang lain yang kau benci tu, ya?”
“Mengada-ngadalah kau ni Rita. Kan aku dah ajak datang tadi? Kalau boleh, berilah idea bagaimana nak cantikkan rumah tu,” jawab Sharifah Ameera sambil matanya melirik kepada gaya hiasan dinding rumah kawannya itu. Cantik bisik hatinya. Kawannya itu memang pandai menghias, cuma dia tak ada masa mengemas kerana sibuk bekerja. Sharifah Ameera teringin menghias cantik rumah baru yang disewanya itu.
“Kau datanglah tengok rumah aku, hari ini pun boleh,” ujar Sharifah Ameera.
“Luas tak rumah itu?” Soal Rita Nadia lagi.
“Ada tiga bilik. Tapi terletak di tingkat satu, rumah kedai. Kawasan depan aku buat ruang pejabat. Datanglah.” Ajak Sharifah Ameera lagi. Dia mahukan `air tangan’ Rita Nadia untuk menghias rumah barunya itu.
“Baiklah, nanti aku pasti datang,” balas Rita Nadia sambil turut simpati dengan nasib yang menimpa kawannya itu. “Rumah dan kedai ada tiga empat buah. Alih-alih tinggalkan begitu sahaja dan duduk menyewa. Senang saja lepaskan rumah-rumah sendiri kepada orang lain,” Rita Nadia menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak faham dengan sikap Sharifah Ameera.
Bab 3.
Sepi Sekeping Hati
Jarum jam di dinding hampir menunjukkan 12 tengah malam. Anak-anak Sharifah Ameera semua sudah tidur. Sharifah Ameera tidak dapat melelapkan matanya. Hatinya berserabut. Dia merenung kosong ke arah dinding rumah yang belum bercat. Keadaan agak merimaskan. Dengan dinding kusam, lantai simen render, bergerutu belum beralas. Dia sengaja memilih rumah yang sewa bulanannya agak rendah sebagai persediaan untuk membayarnya sendiri. Dengan itu, tidaklah timbul masalah kalau Syawal memberhentikan elaunnya. Siling kelihtan pecah serta berlubang di sana-sini. Dia sanggup membaiki keadaan rumah itu untuk mendapatkan keselesaan. Namun dengan keadaan rumah yang begitu, timbul pula rasa rimas. Tiba-tiba terlintas bayangan wajah Syawal terlintas di benaknya.
Alangkah bagusnya kalau masih di sisi Syawal. Sharifah Ameera masih ingat, bagaimana terkilannya Syawal apabila dia mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah mereka. Syawal tidak pernah membuang Sharifah Ameera daripada hidupnya. Malah dia masih sayangkan isterinya itu seperti mana dulu.
Maafkan Meera. Bukan Meera tidak sayang abang. Sudah bertahun-tahun Meera bersabar. Abang sudah tidak dapat tunaikan tanggung jawab sebagai seorang suami. Fizikal sahaja nampak sempurna tetapi batin tidak. Keluarga abang pula tidak henti-henti membuli Meera. Kenapa abang tak percaya? Abang tak mahu cuba memahami masalah Meera. Sharifah Ameera mula bermonolog.
Sharifah Ameera menganggap Syawal sudah tidak mampu memberi kepuasan dan kebahagiaan dalam hidupnya. Semakin lama perhubungan mereka semakin dingin, semakin sepi. Tidak tahu mengapa. Masing-masing sudah tidak sepersefahaman. Ada sahaja yang menyebabkan mereka bergaduh. Perkara kecil pun, boleh cetuskan pertengakaran. Keadaan selalu panas. Sama-sama sukar mengawal kesabaran. Paling Sharifah Ameera tidak dapat menerima, Syawal terlalu mengikut kata ibunya. Tidak lagi menunjukkan perasaan prihatin terhadap dirinya.
“Mengapa tangan tu?” Soal Syawal apabila terpandang tangan isterinya yang berbalut.
“Kena air panas,” jawab Sharifah Ameera. Wajahnya muram.
“Itulah, dah berpuluh tahun memasak pun, masih cuai!”
Sharifah Ameera teringat sikap kurang prihatin Syawal. Syawal menyalahkan Sharifah Ameera apabila melihat tangannya yang melecur sedangkan dia tidak tahu punca sebenarnya.
“Abang… bukan sebab kecuaian saya. Tangan ni jadi macam ni, emak yang buat. Dia sengaja tumpahkan air panas pada Meera. Mujur tak kena muka!” Sharifah Ameera cuba meraih simpati.
“Lagi-lagi emak. Lagi-lagi emak. Kenapalah Meera suka sangat bersangka buruk pada emak? Suka menuduh! Mungkin emak tak sengaja.”
Setiap kali Sharifah Ameera mengadu mengenai sikap ibunya, begitulah jawapan Syawal. Syawal tak akan percaya kerana dia sendiri tidak pernah melihat peristiwa tidak baik berlaku di antara isteri dan ibunya. Lagi lama mendengar kata-kata Syawal, lagi sakit hati Sharifah Ameera. Dia langsung tidak mendapat pembelaan. Sebelum perang besar meletus, dia segera beredar pergi ke bilik anak bungsunya, Shabudin yang sedang bermain play station.
“Lagi-lagi tuduh emak. Suka berprasangka buruk!” Kata-kata Syawal terngiang-ngiang di telinga Sharifah Ameera. Dia tersedar daripada lamunan apabila mendengar jeritan salah seorang anaknya daripada tempat tidur, yang memanggil-manggil nama ayahnya.
“Mengapa Budin. Mengapa?” Sharifah Ameera menerpa ke arah Shabudin sambil mengejutkannya. Berusia enam tahun, Budin paling rapat dengan ayahnya. Perpisahan itu menyebabkan dia bingung, mengapa mereka harus duduk berasingan.
“Mak, mana ayah. Ayah… Budin teringat ayah.” Kata anak bungsunya yang berusia enam tahun.
“Lah, ayah duduk rumah dialah, ini kan rumah baru kita. Bukankah Budin kata nak duduk dengan mak. Sudah, tidur!” Sharifah Ameera cuba memujuk Budin sambil membelai lembut dahi anak itu.
“Mak, Budin nak ayah? Nak ayah. Budin tak suka duduk sini,” kata Budin sambil menggosok-gosok matanya.
“Budin mimpi ayah?” Sharifah Ameera menyoal.
“Ya… Budin mimpi, ayah bawa Budin pergi Sunway Lagoon. Budin ingatkan betul, rupa-rupanya mimpi,” jawab Shabudin sambil menangis teresak-esak.
“Shhh… jangan menangis. Kakak sedang tidur.” Sharifah Ameera memujuk sambil menahan sebak di hati. Dia memeluk Shabudin sambil menepuk-nepuk punggungnya. Mujur tangis Budin tidak berlarutan. Seketika kemudian esakannya terhenti. Sharifah Ameera lega. Tidak sampai hati meninggalkan Shabudin, dia terus baring di sebelah anaknya. Pada saat-saat begitu, perasaan Sharifah Ameera terusik. Namun dia cuba menahan rasa sedih.
Sambil memejam mata, Sharifah Ameera berfikir bagaimana untuk memberitahu anak sulungya, Alia yang mereka sudah berpindah. Alia yang sedang menuntut di tingkatan lima, tinggal di asrama di Temerloh, begitu juga Shariman yang sedang belajar di tingkatan tiga. Kini hanya Ariana dan Shabudin bersama Sharifah Ameera. Ariana, darjah lima dan Shabudin bersekolah Tadika.
Malam itu, Sharifah Ameera tidak dapat tidur. Dia cuba memejamkan matanya rapat-rapat. Cuba melupakan segala permasalahan. Namun tidak berjaya.
Sharifah Ameera, kenapa harus berduka? Sepatutnya kamu gembira. Ini keputusan kamu. Kamu yang mahu menarik diri. Bagai ada satu bisikan yang menyokong tindakannya.
Tersedar daripada lamunan, Sharifah Ameera bingkas bangun. Dia memerhati wajah Ariana dan Shabudin dalam remang cahaya lampu. Kedua-duanya sedang nyenyak tidur. Kasihan anak-anak ini, terperangkap dalam kemelut masalah hidupku. Ya Allah, berilah kami kekuatan. Semoga mereka dapat memahami masalahku. Janganlah hendaknya mereka meminta pulang untuk tinggal bersama-ayahnya. Aku tak izinkan mereka dijaga orang lain. Ikrar Sharifah Ameera di dalam hatinya.
Pada waktu dinihari itu, Sharifah Ameera mengambil peluang mendirikan solat tahjud. Dia bertafakur di atas sejadah, sambil kemudian memikir apakah yang bakal terjadi ke atas hidupnya selepas ini. Dia pasti mendapat apa yang diidamkan. Pemergiannya daripada sisi Syawal dengan satu azam, untuk mencari suami dan keluarga baru yang boleh menerima kehadiran dia dan anak-anak seadanya.
Sambil menadah tangan Sharifah Ameera memohon doa, agar dipertemukan dengan seorang lelaki dan ahli keluarga yang dapat memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada hidupnya. Dia gembira dapat lari daripada keluarga Syawal, namun pada masa sama terkilan kerana terpaksa meninggalkan suaminya keseorangan. Bunyi ayam berkokok menjelang pagi, baru matanya mengantuk. Dia tertidur seketika sebelum bangun semula untuk solat subuh.

Thursday, February 17, 2011

Lara Di Hati Bab 1

Assalamualaiku, kawan-kawan maya semua,
Saya teringin nak tulis novel... Dah selesai pun tulisnya... tetapi rasa macam hampeh... Di bawah ni Bab 1. Tajuk tu tentative je... Komenlah sikit.. dengan ikhlas ya ... dah tahu dah... antara komen yang akan diberi 1. kaku, 2. tak kreatif, 3. apa ni? ayat laporan saja! Nak buat macam mana, dah dipengaruhi oleh kerjaya kewartawanan... Apa-apa pun, kalau nak layan, layan sajelah.. Zaasssss.....


Bab 1 Keluarlah menjeruk hati, bermula dengan rajuk di hati
“Apa?” Terkejut Rita Nadia mendengar hasrat Sharifah Ameera. Pengakuan rakannya itu membuatkan dia benar-benar kaget. “Cuba ulang sekali lagi?”
“Ya, memang itulah yang aku fikirkan sekarang ini. Kenapa, tidak percaya?” Soal Sharifah Ameera. Dia cuba meyakinkan rakannya, Rita Nadia mengenai hasrat hatinya itu.
“Betulkah apa yang aku dengar ini? Jangan main-main Meera!” Rita Nadia tidak percaya pada kata-kata Sharifah Ameera. Lantas mencapai alat kawalan jauh yang terletak di atas meja kopi. Ditekannya punat untuk memperlahankan bunyi tv. Rita Nadia ingin memberi tumpuan kepada perbualannya dengan Sharifah Ameera di ruang tamu rumahnya pada pagi itu.
“Betullah! Ingat aku main-main?” Pantas Sharifah Ameera membalas reaksi terkejut Rita Nadia, kawan rapatnya itu.
Setiap kali berhadapan dengan masalah, pasti Rita Nadia dicari Sharifah Ameera untuk berkongsi kedukaan dan melepaskan perasaannya yang remuk redam. Sekian lama duduk menjeruk perasaan. Selepas diluahkan, hati Sharifah Ameera berasa lega.
Rita Nadia pula tidak pernah jemu mendengar luahan hati Sharifah Ameera. Kadang-kadang sehingga naik bingung memikirkan masalah rakannya yang seorang itu. Tidak habis-habis dilanda masalah.
“Datang nak bagi tahu fasal ini saja? Kalau mahu tanya pendapat aku, rasanya baik fikir sekali lagi. Tak payahlah teruskan rancangan bodoh ini Meera.” Rita Nadia cuba menasihati. Dia membetulkan duduknya. Memandang tepat ke muka kawannya itu. “Aku bimbang, menyesal nanti.”
Siaran tv pada petang itu sudah tidak diendahkan oleh mereka berdua. Rita Nadia mengalihkan kedudukannnya mengadap tepat ke arah Sharifah Ameera.
“Ah kali ini, aku dah nekad. Dah nekad!” Ikrar Sharifah Ameera.
Kata-kata Sharifah Ameera itu mencemaskan Rita Nadia. Selama ini Rita Nadia amat menyanjungi Sharifah Ameera. Tidak payah belajar tinggi ke Menara Gading, dia dan suaminya, Syawal Sanusi berjaya dalam hidup. Dapat memiliki syarikat sendiri dalam usia yang masih muda.
Ketika Rita Nadia, lulusan sebuah universiti masih terkial-kial memulakan perniagaan secara sambilan di samping bekerja makan gaji, Sharifah Ameera sudah pun kaya raya. Walaupun tidak bergelar datuk atau datin, mereka berdua berada di darjat tinggi dari segi tahap pendapatan. Bayaran gaji pekerja dan perbelanjaan syarikat mereka mencecah ratusan ribu ringgit sebulan, sedangkan gaji bulanan Rita Nadia tidak sampai RM4,000 sebulan, walaupun sudah hampir 10 tahun bekerja. Dicampur dengan gaji suami yang juga tidak seberapa, masih belum cukup untuk memberikan kemewahan kepada keluarga Rita Nadia. `Bertuah sungguh Meera, tetapi mengapa pula dia sanggup mahu tinggalkan suaminya? Tinggalkan syarikatnya?’ Rita Nadia bermonolog.
Setahu Rita Nadia, kesenangan yang Sharifah Ameera perolehi adalah hasil kegigihan dia dan suami menguruskan perniagaan serta berkat rezeki anak seramai empat orang. Dua daripadanya adalah anak sendiri dan dua lagi anak angkat. Mereka percaya bahawa anak-anak adalah pembawa rezeki.
Namun Rita Nadia berpendirian sebaliknya. Walaupun berkelulusan ijazah dan bekerja di sebuah syarikat swasta yang kukuh, dia tidak yakin untuk mempunyai anak yang ramai. Rita Nadia sudah menetapkan awal-awal lagi, setakat dua cukuplah. Tidak sanggup melawan mabuk di peringkat awal mengandung juga antara sebab Rita Nadia mengehadkan bilangan anaknya.
Sangat rugi jika Sharifah Ameera meninggalkan istana bahagia yang dibinanya selama hampir 10 tahun, fikir Rita Nadia.
“ Kalau berundur, bererti membiarkan hak engkau diambil orang Meera. Tidak sayang? Tidak ingat betapa sukar kau berdua membina empayar perniagaan itu dulu?” Rita Nadia terus mengajukan soalan kepada Sharifah Ameera. Sekali lagi dia memandang tepat ke arah muka kawannya itu. Namun kata-kata Rita Nadia tidak membawa apa-apa makna kepada Sharifah Ameera.
“Tidak guna Rita. Tidak guna mempertahankannya. Hati aku sakit. Ramai sangat berangan-angan hendakkan bahagian aku. Bukan seorang dua. Adik-beradiknya, emaknya dan rakan kongsinya pun semacam ingin merampas syarikat itu daripada aku. Aku tidak sukakan perebutan. Aku sudah lemas dengan tekanan seperti ini.
“Kalau aku dihina hanya kerana usaha gigih sendiri, kerana usaha aku untuk menaikkan syarikat dan memberi gaji kepada mereka semua, biarlah. Lebih baiklah aku lepaskan. Tengoklah apa jadi kepada mereka bila aku tiada nanti,” luah Sharifah Ameera. Hanya satu yang difikirkannya ketika itu, iaitu ingin bebas daripada belenggu hidup bersama keluarga suaminya, Syawal Sanusi.
Biarpun kasih saying Sharifah Ameera terhadap suami sendiri masih menebal, tetapi demi harga dirinya dia rela pergi. Dia tidak sanggup lagi diperli, dicaci, dicerca menumpang di rumah sendiri, dianggap seperti orang asing dalam syarikat sendiri.
“Perempuan tamak itu mana? Biar aku cilikan dia…tak sedar diri!”
Sharifah Ameera tidak boleh lupa kejadian sewaktu ibu mertuanya datang menyerang di pejabat. Dia disumpah seranah di hadapan semua pekerja. Dan kebanyakan yang bekerja di situ adalah ipar-duainya. Naik lemak mereka mendengar sokongan daripada ibu sendiri sementara Sharifah Ameera selaku majikan, berasa amat terhina.
Ketika itu Sharifah Ameera sudah dapat mengagak, tentu ada yang mengadu sesuatu kepada emak. Memanglah, di pejabat ini aku tegas. Kalau tak buat begitu, pekerja pijak kepala. Mereka sering kerja berlengah dan banyak buat kesilapan. Yang rugi adalah syarikat. Itu kata hati Sharifah Ameera.
`Salahkah aku memantau mereka?’ Sharifah Ameera tidak faham mengapa ada di kalangan adik iparnya suka mengadu. Mengadu kepada ibu mereka iaitu ibu mertuanya.
Kejadian diserang itu bukan pertama kali berlaku. Mula-mula sekadar cemuhan di bibir. Lama-kelamaan lebih teruk. Kemudian berani pula menuding-nuding jari, semacam tidak waras, menghina Sharifah Ameera sesuka hati. `Kali ini aku tidak boleh berdiam diri. Aku mesti berbuat sesuatu.’ Desak hati Sharifah Ameera. Kenangan terhadap peristiwa-peristiwa seperti itu membuatkan hatinya terus membengkak.
“Habis, kalau dah tinggalkan suami, tinggalkan syarikat itu, apa kamu nak buat nanti?” Soal Rita Nadia pula. Dia benar-benar tidak bersetuju dengan rancangan Sharifah Ameera.
“Kenapa, ingat aku tidak berani hidup berdikari? Banyaklah benda yang aku boleh buat. Aku ingin buka perniagaan sendiri. Tidak payah bergantung kepada sesiapa lagi. Aku akan buktikan yang aku juga mampu berusaha sendiri,” tekad Sharifah Ameera. Pada raut wajahnya menunjukkan kebencian tetapi di dalam hati menahan pilu. Tiba-tiba sahaja perasaan Sharifah Ameera diregut sendu. Pilu dengan keputusan yang bakal dibuatnya sendiri. Dia mengejangkan kelopak matanya sambil menahan butiran air mata daripada menitis. Pantas mengingati semula peristiwa-peristiwa pahit pernah dilalui sewaktu dikelilingi ahli keluarga sebelah suaminya. Dalam menahan kesedihan, terbit kata-kata semangat di dalam dirinya.
“Ya, aku tak akan berganjak dengan keputusan aku ini!”Ikrar Sharifah Ameera lagi. “Kenapa kau pula yang susah hati?” Soal Sharifah Ameera kepada Rita Nadia.
“Yalah, kamu ada empat anak. Macam mana hendak urus sendiri? Sabar sahajalah. Bukankah sabar itu separuh daripada iman? Sudah bertahun-tahun hidup bersama Syawal, tak sayangkah? Akan ada jalan penyelesaiannya nanti,” pujuk Rita Nadia. Dia tidak sampai hati melihat Sharifah Ameera susah di kemudian hari.
Rita Nadia dan Sharifah Ameera, adalah kawan baik. Kedua-dua mereka sedang meniti peringkat kehidupan yang matang. Ini adalah detik-detik penting bagi mereka untuk menentukan kejayaan dalam kehidupan. Berundur dan meninggalkan kesenangan bermakna usaha mereka selama ini disia-siakan. Itulah jalan yang dipilih oleh Sharifah Ameera. Jalan yang tidak tentu akan membawa ke arah kemajuan, apa lagi kesenangan.
“Berundur bukan bererti kalah. Tetapi berundur aku kerana merancang strategi baru. Aku ada empat anak. Walaupun dua daripadanya adalah anak angkat, aku pasti mereka akan membantu aku sewaktu usiaku tua kelak. Dua anak aku, dua lagi anak saudaraku sendiri. Aku akan membawa kesemua mereka bersama-samaku. Itulah harta aku yang sebenarnya,” kata Sharifah Ameera, berfalsafah.
“Kalau suami enggan lepaskan semua anak kepada engkau, macam mana?” Soal Rita Nadia, dengan harapan rakannya itu akan berfikir panjang dan menarik balik rancangannya itu.
“Dia mesti bagi. Bukannya dia tahu bagi makan anak-anak. Selama ini pun akulah yang memasak, sediakan makan minum untuk mereka. Dia bukan suka makan di kedai pun. Kalau aku tidak ada, tahulah dia nanti macam mana susahnya,” balas Sharifah Ameera. Hatinya sudah tidak dapat diubah lagi.
“Aku tidak fahamlah dengan sikap kamu ni. Degil betul! Tak sangka, kamu sekeras ini!” Ujar Rita Nadia lagi.
“Kamu buat tidak faham pula. Bukankah dah banyak episod derita yang telah aku ceritakan? Aku dah tak larat, tak larat!” Sharifah Ameera kecewa, luahan hatinya tidak mendapat tempat di hati kawannya itu. “Kalau kamu tidak mahu sokong aku, tidak mengapa, aku balik dululah.” Sharifah Aneera bangun daripada tempat duduk, mencapai beg tangannya untuk pergi.
“Alahai, merajuk pula. Duduklah dulu. Aku tahulah semua, tetapi tidak bolehkah bersabar? Pasti ada hikmah di sebaliknya. Kalau diteruskan juga, aku rasa menyesal nanti.” Rita Nadia meluahkan kebimbangannya sambil mengangkat jari telunjuk dan menggerakkan tangan ke belakang ke depan seperti seorang cikgu memberi amaran kepada anak muridnya supaya tidak berbuat kesalahan. Rita Nadia geram dengan pendirian kawannya itu. Langsung tidak mahu mendengar nasihatnya.
Daripada pemerhatian Rita Nadia, Sharifah Ameera dan suaminya, Syawal Sanusi memang serasi. Dia ingat lagi, sewaktu mereka berada di jenjang pelamin. Kedua-duanya sama cantik, sama padan bagai pinang di belah dua.
“Wah, awalnya Meera kamu berkahwin, aku baru nak sambung belajar,” Rita Nadia menegur Sharifah Ameera sewaktu menemaninya di bilik pengantin. Usia mereka ketika itu baru 19 tahun.
“Jodoh dah sampai, kamu bila pula?” Soal Sharifah Ameera kepada Rita Nadia. “Aku belajar, setakat tingkatan lima sahaja cukuplah. Dah ada yang berkenan, baiklah terima saja,” tambahnya.
“Kalau tanya aku, tidak tahu bila lagi. Eh, tak mahulah aku kahwin muda-muda macam ini. Belajar di universiti pun belum setahun,” jawab Rita Nadia. Sewaktu mengipas kawannya itu di atas pelamin, Rita Nadia berkata-kata sendiri, `aku tak mungkin ikut jejak Meera, berkahwin dalam usia yang sangat muda.’ Mereka baru lepas STPM. Rita Nadia berazam untuk belajar di universiti sehingga tamat. `Biarlah Sharifah Ameera bertemu jodoh lebih awal’, bisik hati Rita Nadia. Namun sekarang, apa yang terjadi? Mahligai cinta yang dibina oleh kawannya itu sudah hampir roboh.
Prihatin terhadap nasib kawannya itu, Rita Nadia tidak putus asa cuba menasihati Sharifah Ameera agar tidak berpisah dengan suaminya. Anak-anak mereka akan menerima kesannya kalau mereka bercerai.
“Sudah fikir betul-betulkah?” Berulang kali Rita Nadia mengajukan soalan ini kepada kawannya itu.
“Memanglah kalau difikirkan, aku memang masih sayangkan dia, tapi….”
“Tapi apa…Kalau dah sayang, kenapa sanggup hendak tinggalkan dia?” Rita Nadia benar-benar tidak faham dengan prinsip Sharifah Ameera.
“Kan aku dah cakap banyak kali, aku tidak suka orang campur tangan dalam urusan hidupku… aku dah hilang kesabaran.” Balas Sharifah Ameera. Raut wajahnya membayangkan kekecewaan.
“Apa pun, emak dia macam emak kau sendiri juga. Apa pun yang dia buat pada kamu, janganlah ambil hati.” Rita Nadia terus memberi nasihat.
“Pandailah nak mengubah keputusan aku. Cuba terkena pada batang hidung sendiri, baru tahu!” Getus Sharifah Ameera.
“Tetapi mengapa pula sampai hendak berpisah? Aku nampak Syawal baik saja. Pernahkah dia pukul kau?” Soal Rita Nadia lagi.
“Syawal hendak pukul aku? Dia tak pernah jentik aku sekali pun! Dia memang baik tetapi…”
“Ha, tengok… kamu sendiri mengaku dia baik,” Rita Nadia mencelah. “Tapi apa lagi? Kalau kau sendiri mengaku begitu, mengapa nak teruskan dengan keputusan bodoh ini?” Rita Nadia betul-betul tidak faham dengan kehendak kawannya yang seorang itu.
“Susahlah nak cerita. Dah macam-macam berlaku? Macam-macam tau… dengan penyakit misteri aku yang tidak baik-baik! Anak aku pun kena… aku seriklah,” balas Sharifah Ameera. Baginya, sekali dia membuat keputusan, tidak akan ada siapa yang dapat mengubahnya lagi.
“Itu aku tahu… bukankah kau tengah berubat, sabarlah. Tuhan sedang menduga.” Rita Nadia bukan tidak tahu penderitaan yang dialami oleh Sharifah Ameera sejak akhir-akhir itu. Malah dia sendiri pun tidak sampai hati melihat malang yang menimpa kawannya itu.
Kedatangan ke rumah Rita Nadia pada hari itu tidak langsung melegakan hati Sharifah Ameera. Tujuan memberitahu hasrat hatinya itu adalah untuk mendapat sokongan daripada kawan sendiri. Namun Rita Nadia tidak dapat menerimanya, malah Sharifah Ameera dituduh degil! Sharifah Ameera pulang ke rumahnya dengan rasa terbuku di hati.
Rita Nadia pula asyik terkenangkan nasib kawannya itu. Baginya, biarlah Sharifah Ameera terus bersama Syawal. Dia tidak sanggup melihat kawannya itu sengasara di kemudian hari. Bukan Sharifah Ameera seorang yang akan menanggung deritakalau dia teruskan dengan rancangannya itu. Anak-anaknya juga terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan hidup baru. Sampai seminggu Rita Nadia memikirkan masalah Syarifah Ameera.
BERSAMBUNG...

Saturday, February 12, 2011

Syurga isteri di telapak kaki suami

Apabila saya memberitahu kepada seorang rakan sekerja, ingin bertemu dengan seseorang yang mengajak dating, kawan saya itu terus berkata, "boleh, tapi akak bawa saya pergi sekali, biar saya tengok dari jauh, macam manakah orang yang nak berjumpa dengan akak tu?" Bermacam andaian kami mengenai motif lelaki itu, suami orang nak berdating dengan isteri orang... bagi saya, sebenarnya nak berjumpa saja... bukan langsung nak berdating... bergurau...

Bagaimanapun cerita pasal ni tolak ketepi dulu, kerana saya nak menulis mengenai kisah yang diceritakan oleh kawan saya itu sebagai contoh tauladan yang jangan diikuti.

Sedang berbual di dalam kereta, rakan saya tu berkata,"Akak tahu, saya ada seorang adik angkat yang mana kalau boleh saya tak nak dah terbabit dengan kegiatan mereka ni. Adik angkat saya tu perempuan, sudah bersuami.. dia ada seorang boyfriend yang jugak dah beristeri. Hari-hari mereka berjumpa selepas waktu bekerja untuk dating (mendalam saja perkataan datingnya tu..). Mereka selalu juga pergi bercuti bersama."

Saya berpaling ke arah rakan yang sedang memandu itu, "Isteri dan suami mereka tu tak tahu ke mengenai perhubungan sulit tu?"

"Si lelaki, kerjaya selalu outstation, boleh beri alasan kepada isteri untuk tidak balikke rumah. Tetapi si perempuan kerjanya tak pernah outstation pun tetapi, beritahu kepada suami ada outstation, " ujar kawan saya.

"Ada sekali dia orang minta saya pula, hantar ke air port untuk pergi bercuti.. dan saya terpaksalah hantar sebab kadang-kadang saya minta tolong mereka....Saya rasa bersalah sangat. Bila balik dari bercuti, mereka tak terus balik ke rumah tetapi minta tumpang tidur di rumah saya... tidur sebilik pulak tu.. " tambahnya lagi.

"Dan saya terpaksa telefon suami yang bekerja di luar kawasan... sebelum benarkan mereka tidur di rumah saya...Saya kenalah beritahu suami saya... sebab nak tidur berdua di rumah kami... hmm lepas ni saya tobat dah, saya tak nak bersubahat dengan benda-benda macam ni... berdosa saya, jatuh kepada bersubahat..." kata kawan itu.

Dia menambah, "Suatu hari saya nasihatkan kepada adik angkat saya tu..."kau jangan buat main-main, berperangai begini, tak cium bau syurga... kalau suami tahu takkan dimaafkan... kalau kita buat salah dengan emak tak apa lagi, emak mesti maafkan kita..sebab kita ni anak... anak dia. Tapi kita sebagai isteri, syurga terletak di bawah tapak kaki suami... hubungan kita dengan suami sebenarnya tak ada apa-apa... dua orang berlainan asal-usul, berlainan darah berlainan hati.. cuma disatukan dengan ikatan perkahwinan... dengan tak ada ikatan darah... jadi tak ada belas di hati dia... semacam mana belas kasihan emak kepada anaknya yang berbuat salah... sebagai emak, mudah saja akan maafkan anak... Kalau kita buat salah besar dengan suami, dia boleh tak akan maafkan kita seumur hidup.. peduli apa dia dengan kita.. sedangkan `syurga kita terletak di bawah telapak kaki suami'. Waktu tu, macam mana kau nak dapatkan keampunan..." Lancar saja kawan saya mengatur perkataanya, macam Uztazah pula.

"Apa jadi selepas tu," saya menyoal ingin tahu secara lebih lanjut.

"Selepas saya lecture dia, sampai sekarang dia tak datang dah ke rumah saya. Tapi apa yang saya tahu, mereka masih lagi berhubungan," cerita kawan saya itu lagi.

Sebenarnya saya salute dengan kawan saya tu, walau dia lebih muda dan tinggal berjauhan dengan suaminya bertahun-tahun, dia kata dia tidak akan berlaku curang... walaupun kelihatan peramah, berani dan mudah mesra. Dalam hati saya berkata-kata, "pandai juga awak beri nasihat kepada adik angkat awak tu..." Tapi malangnya hati orang yang dinasihatinya itu belum terbuka untuk menilai dengan mendalam kata-kata berkenaan dan jauh lagi untuk insaf.

Teringat nasihat Ustaz Nazri dalam rancangan Sehati Sejiwa, tengah hari tadi.. "Orang perempuan senang saja nak masyuk syurga, pertama - tunai sembahyang lima waktu (dan semua rukun Islam), keduanya taat/jaga hati suami dan ketiga, jaga kehormatan diri... Tapi orang lelaki susah nak masuk syurga, sebab banyak tanggung jawab, kena cari pendapatan, sediakan tempat perlindungan, sara hidup sekeluarga, jaga makan minum anak dan isteri, beri didikan agama untuk anak dan isteri ... dan macam-macam lagi...."

Friday, February 11, 2011

Dugaan daripada luar untuk isteri...

Bagi mereka yang usia perkahwinan sudah meniti senja, sering bergaduh dan saling menyakiti dengan kata-kata, bukalah album lama... tengok gambar bersama suami semasa muda , mungkin dapat menyejukkan hati...

Pada suatu hari itu, saya bertemu dengan seorang rakan lama, rakan sekursus ketika di UiTM di Tupai-Tupai. Dalam restoran yang diteduhi pokok rendang dan menghijau di satu kawasan terceruk di KL, kami banyak berkongsi cerita. Paling menarik mengenai dua rakan perempuan seusia, si A dan si B yang menempuh dugaan dalam liku perkahwinan mereka. Hakikatnya dua rakan itu tidak pun menghadapi sebarang masalah dalam rumah tangga mereka.

Namun saat usia mencecah separuh abad (50 tahun), barulah perasaan mereka diduga. Si A didatangi rakan sewaktu zaman kanak-kanak yang tiba muncul dan diganggu dengan sms yang pelbagai ragam, meluahkan perasaan, sedangkan kawan itu tahu yang lelaki berkenaan sudah pun beristeri.

Si A yg juga kawan saya itu sengaja melayan lelaki berkenaan sehingga suatu hari dia saja bertanya, "Kalau U betul-betul suka pada I, sanggupkah you kahwin dengan I kalau I bercerai?" dan lelaki itu tidak menjawab sepatah pun.

Selepas sekali dua keluar dengan lelaki itu, kemudian menerusi FB, si A dapat mengesan satu perkara...bahawa lelaki yang dianggapnya sangat baik, dikenali sejak zaman kanak-kanak dan sedang bersms gila dengannya adalah suami kepada dua orang isteri! Apabila ditanya, lelaki itu mengaku pulak. Dan Si A menyoal, "Dah ada dua isteri, mengapa pula nak menggatal dan mempermain-mainkan perasaan I?" Jawapan bodoh diberikan oleh lelaki itu.

Lelaki itu pernah memberitahu Si A yang dia sering tidur berseorangan di hotel...

Dan Si A terfikir, mengapa pula pergi tidur di hotel, sedangkan dia mempunyai dua rumah dan dua isteri? Lantas Si A membuat kesimpulan, mungkin dia asyik bergaduh dan dimarahi oleh isteri pertama dan kedua sehingga mereka menutup pintu rumah, menyebabkan suami mereka yang seorang itu terpaksa tidur di hotel. Sambil itu, lelaki berkenaan sibuk mencari perempuan lain sebagai teman bicara, untuk meluahkan perasaan dan melegakan hatinya yang sedang berserabut. Dan kebetulan dia (Si A) yang menjadi mangsa.

Walaupun ada suami dan tidak sangat terpengaruh dengan kawan lelakinya itu, luluh juga hati Si A. `Perasaan hati saya ketika, bagai langit nak runtuh mengenangkan apa yang berlaku.' "Sampai hati U tipu I, U tak pernah beritahu yang U ada dua isteri, lepas tu ada hati pula nak main-mainkan perasaan I!" Terguris Si A oleh perbuatan kawannya itu. Pada firasat saya, tentu juga dia berasa malu pada dirinya kerana dipermainkan begitu oleh kawan, yang konon sangat baik ketika di zaman kanak-kanak dulu.

Satu lagi cerita, Si B pula asyik bersms dengan seorang lelaki yang lebih muda 10 tahun daripadanya. Lelaki itu juga adalah suami orang, mempunyai tiga anak kecil yang comel-comel. Lelaki itu asyik mengajak Si B berjumpa di hotel. Walaupun ditolak, dia tetap mengajak berjumpa di bilik hotel. Apabila dicadangkan oleh si B untuk berjumpa di restoran di satu pusat beli belah, lelaki itu menjawab, "Tak boleh, di situ ramai orang kenal saya."

Si B berkata, "Mengapa pula takut orang nampak, tak kisahlah kan berjumpa dan berbual di meja restoran, secara terbuka... saya biasa begitu.. tidak menjadi soal kerana ala-ala urusan kerja."

Tapi-tapi lama kelamaan Si B dapat mengesan bahawa lelaki itu hanya memainkan perasaannya kerana setiap kali mereka cuba mengatur pertemuan, pertemuan itu tidak akan berlaku.. menghabiskan masa sahaja bersms.

Bodohkan melayan benda-benda macam ni...

Nak tahu tak siapa Si A dan Si B tu? Si A adalah kawan yang saya berjumpa di Tupai-Tupai itu, manakala Si B adalah dot dot dot... Hakikatnya hidup kita tidak akan berwarna-warni jika kita tidak melalui pengalaman-pengalaman pelik seperti ini...

Renjis-renjis di pilis...




Sebelum lupa, inginku abadikan gambar pengantin yang sedang bersanding di atas pelamin yang kami pasang. Ringkas sahaja dengan tema biru-putih dan sedikit merah jambu. Tak ingat pula tarikhnya, tetapi dalam hujung tahun lepas. Majlis diadakan di Dewan PGRM, Cheras. Gambar adalah daripada ihsan pengantin... Saya sangat suka dengan gandingan warna itu, manis dan berseri? Lebih lagi dengan kehadiran kedua-dua mempelai yang muda belia, tampil berseri-seri dalam busana pengantinnya, tinggi lampai macam model saya tengok mempelai perempuan tu.