Tuesday, November 23, 2010
Sambungan entri - Macam-macam hal!
Mungkin fizikal saya kecil, sikap lembut dan timid tetapi sampai sekarang masih tabah mengharungi dunia kewartawanan yang dianggap sesetengah orang satu bidang yang sangat mencabar. Itu ke tandanya saya ni degil! Dan sememangnya, saya tak mudah mengalah, dalam apa jua hal.
Sifat semula jadi wartawan, memang sukakan cabaran... hakikatnya saya ni tidaklah begitu sangat... tetapi dengan apa yang sedang saya alami sekarang, terasa pula macam diri ini degil berani mendedahkan diri kepada cabaran, semacam saja nak mengundang risiko. Kawan-kawan kata cukup! Tetapi saya buat juga.
Kalau kawan-kawan baca entri saya yang lepas bertajuk `macam-macam hal', disebut mengenai seorang lelaki muda yang suka mengirim sms pelik-pelik. Hari ini kami bersms lagi, memang kandunganya pelik-pelik, kalau boleh saya nak simpan semua sms itu.. tetapi kerana peti mesej sudah penuh, terpaksa delete sesetengahnya.
Bila dah penat, saya lalu membalas smsnya dan mengatakan peti mesej sudah penuh dan dia membalas, "saja je.. padamlah separuh!"
Saya jawab, "tak ada masa nak delete". Tahu mengapa saya suka simpan sms-sms tu? Kerana saya seronok dapat mesej sedemikian rupa, semacam dalam drama.. dari awal lagi saya dah terfikir untuk jadikannya ilham menulis novel (macamlah awak kreatif sangat). Hajat di hati nak salin semua dulu dalam komputer untuk `dicanai' semula menjadi dialog-dialog dalam novel!
Mengapa saya anggap sms itu sangat penting, kerana saya ni penulis yang tidak begitu kreatif.. Saya adalah wartawan, tidak sama dengan penulis novel. Wartawan menulis berdasarkan fakta (kisah benar), manakala penulis novel atau drama boleh berfikir secara kreatif dan mampu mereka dialog-dialog dan cerita menjadi sangat menarik. Saya simpan sms tu macam saya simpan nota dalam buku cacatan temubual wartawan.
Maksud kedegilan saya di sini adalah kerana saya melayan sms itu sampai naik seronok dan pada masa yang sama berjanji kepada diri sendiri untuk tidak menyimpang daripada matlamat sebenar saya. Bahkan saya juga mengingatkan kepada dia menerusi sms lebih kurang bermaksud, anggaplah saya macam kawan-kawan biasa... kawan atas dasar ikhlas.
Kata hati saya, `awak tahu siapa saya, saya tahu siapa awak', dan perkenalan ini tidak akan membawa ke mana-mana pun, melainkan sekadar kawan saja.. Saya juga memberitahunya, "Kalau awak fikirkan benda-benda di luar daripada batasan persahabatan, lupakan saja dan carilah orang lain!" Itu jawab saya apabila dia mengajak untuk berjumpa dengannya... (bertemu dan berjumpa dengan orang adalah kerja saya setiap hari untuk mencari bahan tulisan, tetapi yang ini bermula daripada berjumpa untuk dapatkan bahan tulisan, melerek pula kepada entah apa-apa... dan saya pun tidak tahu apakah episod kisah selanjutnya....
Pernahkan anda melihat drama atau filem yang mana penulisnya sanggup membawa dirinya ke dalam satu situasi sebenar, misalnya dalam cerita seram atau misteri...dan dari situ penulis berkhayal mereka cipta cerita agar menjadi lebih menarik, membuatkan kita terlongo menotonnya dan berteka-teki itu dan ini..
Persoalannya, wajarkah saya meneruskan `uji kaji' ini.. semata-mata untuk mendapatkan bahan tulisan... konon-konon nak buat novel??? Beberapa `karya' (layak ke digelar karya) yang sudah dan sedang saya hasilkan, semuanya tidak sempurna, dan jauh lagi untuk diterbitkan!
Wednesday, November 10, 2010
Lelaki Lembut Lidah, Suka Memperdaya.
"Akak baca tak cerita dalam blog Dieya, rakan blog akak tu...??" Soal Zurin.
"Tak, cerita apa?" Saya menyoal balik sambil mengulas, "Tak sempatlah nak baca."
"The story is about her friend hampir berkahwin dengan lelaki yang menipunya," jawab Zurin sambil terus bercerita bla..bla.. bla....
Ingin mengetahui secara detail, balik dari ofis saya pun buka blog Dieya... hmm.. panjang lebar ceritanya, memang menarik dan boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua agar lebih berhati-hati dan jangan cepat percaya kepada lelaki yang mengaku bujang. (Baca sendiri dalam blog Dieya tajuk: liar, liar, pants on fire) http://www.ronaldieya.blogspot.com/
Membaca cerita itu, saya teringat pula kisah silam, ada persamaan dengan kisah yang diceritakan Dieya.
Kalau kawan Dieya - Miss A terselamat daripada berkahwin dengan suami orang apabila seorang lagi kawannya menyiasat latar belakang lelaki itu di pejabat agama dan jabatan cukai... kes yang saya nak ceritakan ini pula membabitkan saya sendiri ala-ala menjadi penyiasat gitu.
Salah seorang ahli keluarga saya si A, berkenalan dengan seorang polis yang diragui statusnya, sama ada bujang atau suami orang.
Daripada sikap dan pembawaan diri lelaki itu, kami sekeluarga sudah cuak dan mengesyaki bahawa dia bukan bujang. Tanda-tandanya apabila bertandang, dia kerap memakai baju Melayu.. bertukar ganti. Sifat macam ala-ala matang gitu. Salah seorang daripada kami berkata, mana ada orang lelaki yang belum berkahwin ada banyak baju Melayu? Dari situ pulak dikesan tandanya. Logik atau tidak entahlah, sebenarnya mungkin instinct... kami ragu-ragu terhadap tingkahnya dan kuat mengatakan dia ni menipu.
Dipendekkan cerita entah macam mana, saya yang ketika itu wartawan mahkamah terdetik hendak memulakan siasatan. Saya teringat rakan setugas di meja jenayah yang selalu panjat ibu pejabat polis, Bukit Aman.
Si A yang ketika itu bekerja di Kuala Lumpur sudah tidak ingat apa-apa lagi, asyik teringatkan lelaki itu saja ... dibawa pulang ke kampung, sehari dua kemudian berjaya meloloskan diri kembali ke KL. Pening kepala ayahnya. Emak apatah lagi.
Berbalik kepada kes penyiasatan, saya dan rakan setugas itu pun mengambil kata sepakat untuk pergi ke Bukit Aman. Kami berjumpa dengan seorang PR (Public Relation Officer) di situ dan bercerita. Sebentar kemudian dia mengarahkan seseorang mencari fail peribadi polis berkenaan. Sebaik mendapat fail itu, PR itu meneliti butir-butir peribadinya. Jelas tercatat bahawa anggota polis itu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dan itu saja yang saya ingin tahu, Si A masih muda dan saya memang tidak akan membenarkan dia berkahwin dengan suami orang.
Saya terus memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai perkara itu dan sudah semestinya mereka tidak mengizinkan Si A meneruskan perhubungan dengan kekasihnya itu. Sebaik diberitahu kepada Si A perkara itu, pelik bin ajaib, dia bukan serik sebaliknya bertambah-tambah pula cinta kasihnya. Nak tahu kenapa jadi begitu? Sebab lelaki itu mengaku yang dia telah menipu dan kemudian menagih simpati dengan mereka-reka cerita bahawa dia mempunyai masalah itu dan ini dengan isterinya... Tidak cukup dengan itu, bahkan dia berani pula meminta untuk datang ke rumah bersemuka dengan orang tua Si A untuk menerangkan duduk perkara. Wah rumah saya menjadi saksinya. Pertemuan diadakan di ruang tamu rumah saya dan saya memang tidak hingin melihat mukanya.. Ingat lagi, saya duduk bersembunyi di tingkat atas dan mencuri dengar perbualan mereka di bawah.
Nak tahu apa berlaku, macam drama pula. Saya dengar lelaki itu terisak-isak menangis meminta supaya diterima, konon ingin menumpang kasih dengan orang tua Si A. Nasib baiklah ayah Si A tidak termakan dek lakonannya.
Dan seterusnya adalah episod usaha untuk membuatkan Si A melupakan kekasihnya. Saya tak ingat berapa lama, yang pasti berkat doa ibu dan bapa, akhirnya usaha itu berjaya. Si A kemudian bertemu jodoh dengan lelaki lain dan kini hidup bahagia bersama dua anak mereka....
Wednesday, November 3, 2010
Punca Lantai Jubin Meletup!
Lama betul bersawang blog saya ni, macam tak idea nak tulis, tapi sebenarnya banyak benda yang nak diceritakan. Cuma hati tu rasa berat, perlukah berkongsi semua cerita dengan semua orang? Nanti kalau kita tulis-tulis, bila orang baca mereka pun kata, "Who cares?" atau pun dalam bahasa Melayunya, "Ada aku kisah?"
Tak apalah, sebab hari ini saya dapat cuti sakit, bolehlah saya luangkan sikit masa untuk menulis. Kalau minggu-minggu bekerja, usahkan nak tulis, nak jenguk pun kena curi-curi.
Apakah yang penting yang saya nak kongsikan kali ni ya, bila tak di depan komputer, macam-macam terfikir nak tulis. Bila dah buka blank pula... mungkin banyak sangat yang nak diceritakan...
Saya baru saja menyiapkan rencana mengenai jubin lantai rumah meletup dan pecah dengan sendiri. Suatu hari saya terbaca luahan hati Sweetsal di laman blognya... dia meluahkan kesedihan apabila jubin lantai bilik rumahnya meletup kuat, dalam keadaan cuaca `ribut tidak, hujan pun tidak'. Bayangkan sudah lima tahun dia sekeluarga mendiami rumah itu, tetapi tiba-tiba lantai itu jahanam dalam sekelip mata. Dan dia sendiri tidak tahu mengapa puncanya. Menurutnya kejadian berlaku sewaktu dia baru melangkah keluar dari rumah. Ketika itu, anak perempuanya ada di dalam dan dialah yang mendengar letupan kuat diikut jubin pecah berderai dan melantun ke serata ceruk bilik!
Sebagai penulis majalah dekor, saya rasa bertanggungjawab untuk mencari punca kejadian itu.
Di sini saya siarkan sedikit petikan rencana saya yang akan disiarkan dalam AS bulan Disember.
Tajuk: Lantai Jubin Bilik Tiba-tiba Meletup dan Pecah Berkecai!
Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM
Pernahkah anda terdengar mengenai kes jubin lantai rumah yang dipasang tiba-tiba meletup dan pecah dengan sendiri? Pertama kali mendengarnya, sukar untuk dipercayai. Sedang leka melayari laman blog ke satu laman blog suatu hari, penulis terkejut membaca luahan hati seorang pemilik blog, Sweetsal mengenai kejadian jubin lantai bilik tidurnya meletup dan pecah terpelanting!
Menerusi entri bertarikh 25 Ogos 2010 dalam laman blog beralamat http://feelmyseoul.blogspot.com/ bertajuk, Dugaan di Bulan Ramadan, Sweetsal atau nama sebenar Salasiah Abdullah yang tinggal di Taman Pelangi Semenyih, Selangor antara lain mencatatkan:
Sudah lima tahun aku menjadi penghuni di rumahku ini...tak pernah terjadi apa-apa perkara buruk. Fikiran semasa tu memang terkejut beruk, tak tentu hala sampai terbeliak biji mata memandang ke lantai master bedroom sendiri. Aku hanya sempat mengucap, Ya Allah… apa dah jadi ni... mimpikah aku?
Bagaikan tak percaya dengan apa yang aku nampak, lantai jubin rumahku tiba-tiba menggelembung dan pecah. Serpihan jubin bertaburan ke merata tempat. Semasa kejadian, bunyinya agak kuat, macam benda meletup atau macam orang tengah main mercun. Yang ada dalam rumah ketika itu puteriku. Dia terkejut menyangka pencuri sedang membuka grill. Bunyinya sangat kuat, macam guruh pun ada… menakutkan....
Jadi sekarang, aku nak salahkan siapa? Pemaju atau kami penghuni rumah?… Ooh tak mungkin! Aku dah buat aduan kepada pemaju namun jawapannya sangat mengecewakan. Pemaju tak mahu bertanggungjawab... kononnya tempoh jaminan dah tamat. Mahu tak mahu aku kena buat sesuatu, kena perbaiki sendiri. Pastinya menelan belanja yang besar, sedangkan persiapan untuk raya belum pun dibuat aduh...sedihnya!
Didorong oleh perasaan ingin tahu, saya lantas menghubungi Salasiah untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai kejadian itu. Menurut Salasiah, rumah yang didudukinya itu dibeli siap daripada pemaju. Lantainya dipasangkan jubin seramik biasa 30.5 sm x 3.05 sm (1 kaki x 1 kaki) oleh kontraktor pemaju. Ukuran lantai yang pecah sekitar 3.05 m x 1.22 m (10 kaki x 4 kaki) membabitkan 45 keping.
“Pada hari kejadian, pemaju datang melihat dan mengambil gambar jubin yang pecah dan mengambil ukuran ruang terbabit. Malangnya, sampai sekarang tak ada siapa datang membaiki. Saya tidak tahu mengapa jubin di bilik saya pecah dan meletup. Pihak pemaju pula enggan bertanggungjawab dan tidak juga menerangkan puncanya,” keluh Salasiah.
Sambil mengulang rasa terkilan dan sedih, katanya lagi; “Saya memang terperanjat, tak sangka kejadian ini boleh berlaku setelah lima tahun saya tinggal di rumah ini dan saya memang berharap agar pihak pemaju bertanggungjawab menggantikannya.”
Bertitik tolak daripada masalah Salasiah, penulis berazam merungkai puncanya. Sebelum menghubungi pihak pengeluar jubin untuk bertanyakan sebabnya, penulis menarik perhatian mengenai kejadian itu di kalangan kawan-kawan sendiri. Dan saya terkejut, mereka pun pernah mengalaminya.
“Memang ada berlaku, lantai jubin rumah keluarga saya pun hari itu meletup dan pecah berkecai dengan sendiri. Kami pun tak tahu mengapa ia berlaku, akibat daripada kejadian yang tidak semena-mena berlaku itu, kami kenalah keluarkan duit untuk baiki,” ujar rakan sekerja, Irawati Ismail.
Seterusnya saya memanjangkan persoalan itu kepada Muhsin Abdul Ghani pemilik tunggal MAG Builders Sdn Bhd yang arif dalam bab kerja-kerja binaan. Perkara utama yang ingin saya tahu ialah adakah kejadian itu biasa dan apakah puncanya?
Menurut Muhsin, kejadian itu pun pernah dialaminya sekali. Mengulas mengenai kejadian itu, Muhsin memberikan dua kemungkinan sebab. Pertama katanya, mungkin jubin dipasang tanpa menggunakan campuran gam simen. Untuk melekatkan jubin perlu menggunakan bancuhan simen yang dicampurkan gam khas (gam simen). Kedua, sebelum dipasang kepingan jubin tidak dibasahkan atau direndam dahulu dalam air sejuk.
“Jika jubin tidak dibasahkan sebelum dipasang, air dalam simen akan lama kelamaan kering diresap jubin. Seterusnya jubin kembang, menggelembung, meletup dan pecah. Ini disebabkan kelemahan sewaktu memasang,” ujar Muhsin.
Dalam kes ini, tambahnya pemaju mungkin mensyaratkan penggunaan gam simen tetapi kemungkinan ketika memasang bahan itu kehabisan stok dan kerana hendak cepat, pekerja teruskan kerja memasang dengan simen biasa.
Kalau mengikut kaedah memasang yang betul menurut beliau lagi, kes itu mungkin tidak akan berlaku. Perlu diingatkan, kerana kecuaian atau kelemahan di peringkat memasang, ia boleh terkena kepada mana-mana tuan rumah yang tidak bernasib baik.
“Dalam kes seperti ini, pemaju akan membaiki jika rumah masih dalam tempoh jaminan. Tempoh jaminan (warranty) yang diberi biasanya setahun tetapi kalau rumah diubah suai dalam tempoh itu sebarang kerosakan tidak akan dibaiki oleh pemaju,” terangnya.
Sementara Pengurus Tenikal Ceramic Research Company Sdn Bhd, Loo Sheau Ming yang mewakili Guocera Tile, berkata daripada kajian dan penyelidikan yang dijalankan kejadian jubin tertanggal (de-bonding) bukan disebabkan mutu jubin sebaliknya kerana kaedah pemasangan tidak betul atau kerana penggunaan bahan gam yang tidak sesuai.
“ Ini boleh diibaratkan seperti menampal poster di dinding, apabila poster jatuh dengan sendiri, tentunya ia bukan disebabkan mutu poster!” ujar Loo.
Bagi memberi penerangan berhubung kes yang menimpa Salasiah, kata Loo dia perlu mengetahui sama ada jubin yang pecah, jenis seramik berkilau (glazed) atau porselin, apakah bahan yang diguna untuk melekatkan jubin, sama ada simen atau bahan perekat? Adakah jubin itu direndam di dalam air sebelum dipasang, adakah masih terdapat sebarang kesan bahan perekat di belakang jubin yang tercabut? Dan adakah kedengaran bunyi lopong di bawah kepingan jubin apabila permukaannya diketuk?
Melihat pada gambar kejadian di bilik Salasiah, Loo berkata ia kelihatan seperti jubin lantai seramik jenis berkilau (glazed) dengan kadar serapan air antara 6 hingga 10 peratus.
“Dengan andaian dipasang menggunakan mortar (campuran simen, air, pasir dan kapur), iaitu amalan biasa di negara ini, jubin perlu direndam dalam air sebelum dipasang. Saya agak kontraktor tidak mematuhi langkah pemasangan sepatutnya. Bahagian belakang jubin pecah tiada kesan mortar simen, mengesahkan kelemahan di peringkata kerja memasang. Ketiadaan atau kekurangan bahan perekat di belakang jubin melemahkan daya lekat, seterusnya menimbulkan masalah seperti yang dibincangkan. Saya mengetahui banyak juga kes seperti ini berlaku,” ujar Loo.
Berdasarkan kenyataan di atas, kesimpulan daripada kes di rumah Salasiah adalah seperti berikut;
· *Jubin mengelembung, pecah terpelanting disebabkan kelemahan daya lekat di antara jubin dengan lapisan simen. Ini ditunjukkan oleh gaya jubin itu tercabut yang menampakkan keadaan bersih daripada kesan mortar simen di belakang.
· *Semua lantai dan dinding di dalam bangunan melalui proses pengembangan dan penguncupan pada tahap peratusan tertentu. Atas sebab itu, tekanan dari bahagian dalaman membawa ke jubin. Dalam kes di mana jubin dipasang tidak mengikut kaedah sepatutnya atau menggunakan bahan tidak betul, membuatkan lapisan jubin tidak cukup kuat untuk menampung tekanan dari dalaman.
* * Dengan tekanan berlaku secara berterusan dalam tempoh tertentu, menyebabkan lapisan jubin mengelembung dan terkopak. Dalam kes tertentu, disertai bunyi letupan kuat, dengan jubin pecah terpelanting.
· * Pemasangan menggunakan mortar simen bagi jubin seramik dengan resapan air melebihi 6 peratus, jubin perlu dirawat dengan merendam dalam air bersih kira-kira 30 minit sebelum dipasang. Ini mematuhi peraturan MS 1294 Bahagian 3: Kod Amalan Rekaan dan Pemasangan Lantai Seramik serta Mozek (MS 1294 Part 3 : Code of Practice for the Design and Installation of Ceramic Floor and Mosaics).
·* *Membasahkan jubin dengan air sebelum dipasang bertujuan mengelak penyerapan air berterusan dari lapisan mortar simen-pasir ( ke dalam jubin) yang menjejaskan proses atau kekuatan melekat.
· *Kejadian di rumah Salasiah boleh disimpulkan berpunca daripada kaedah pemasangan tidak betul. Malangnya ia berlaku lima tahun selepas jubin dipasang dan sukar bagi Salasiah untuk menuntut ganti rugi daripada pemaju kerana tempoh liability telah lama luput.
Saturday, October 23, 2010
Perihal Jin, syaitan dan iblis.
Bingung juga memikirkan kisah budak ini ye... di sini saya kongsikan penerangan mengenai hal jin `dan yang sewaktunya' di petik daripada laman blog rakan maya, seorang uztaz. www.syeikhtakiri.blogspot.com
Adakah Benar Kejadian Manusia Hilang Dikaitkan Dengan Kedengkian Jin Kepada Manusia
Manusia hilang dicolek oleh jin pernah berlaku di zaman umar bin al-khattab sepertimana diriwayatkan oleh oleh imam sayuti dalam kitab beliau laqt al-marjan sehingga timbul perbahasan hukum wanita yang hilang suaminya kerana dicolek Jin. Ceritanya, seorang wanita mengadu suaminya hilang. Umar mengarahkan wanita tersebut menunggu selama 4 tahun. Selepas penantian 4 tahun akhirnya wanita tersebut dibenarkan oleh Umar berkahwin lain. Tidak lama kemudian suami wanita yang hilang itu kembali lalu membawa kes tersebut ke pengaduan Umar. Lelaki tersebut menjelaskan bahawa beliau telah dicolek oleh Jin kafir sehingga akhirnya dibebaskan oleh Jin Islam yang membolehkan beliau kembali ke alam manusia. Umar menerima penjelasan lelaki tersebut dan mengiktiraf haknya sebagai suami kepada isterinya. Kerana itu baginda memberi pilihan kepada lelaki tersebut samada kekal sebagai suami wanita tersebut atau menceraikan wanita tersebut.
Persoalannya adakah ia berlaku kerana kedengkian Jin terhadap manusia? Bagi saya ia bukan persoalan dengki tapi persoalan sikap dan akhlak. Jin terbahagi dua. Ada islam dan ada yang kafir. Yang Islam pula ada yang solih dan ada yang fasiq. Hakikat ini dijelaskan dalam surah Jin. Yang kafir atau yang fasiq inilah yang bertindak jahat dan melakukan pencerobohan terhadap manusia samada bersebab atau tidak bersebab. Sekiranya ada Jin yang mencolek manusia ia merupakan satu pencerobohan yang mesti ditentang dan dihukum pelakunya.
Bagaimana mengubati seseorang yang dirasuk oleh Jin.
Cara merawat orang yang dirasuk oleh Jin telah ditunjukkan oleh Nabi saw dan para sahabat. Dalam hadis riwayat Ahmad, Darimi, Tabrani dan Baihaqi daripada Ibn Abbas, seorang perempuan membawa anak lelakinya yang dirasuki Jin kepada baginda saw baginda lalu menyapu dadanya dan mendoakannya. Budak itu lalu termuntah mengeluarkan seumpama binatang kecil berwarna hitam. Dalam hadis yang lain baginda saw memalu belakang seorang lagi anak lelaki dengan gumpalan pakaian sambil menyeru; keluar kamu wahai musuh Allah.
Dalam hadis riwayat Abu Dawud, Seorang sahabat Nabi merawat lelaki kerasukan dengan dibacakan surah al-fatihah lalu sembuh sehingga diberikan hadiah 100 ekor kambing.Dalam riwayat lain menyebut beliau membacakan al-Fatihah selama 3 hari pagi dan petang. Apabila selesai membaca al-Fatihah beliau mengumpul air liur dan diludahkan kepada pesakit Dalam hadis Abu dawud juga terdapat kisah sahabat yang berjampi. Ertinya rawatan ialah dengan menggunakan doa dan ayat-ayat al-Qur'an. Adapun cara menggunakan ayat boleh jadi berbeza antara seorang dengan seorang perawat lain berdasarkan ilham daripada Allah dan pengalaman yang mujarrab selagi ia tidak bercanggah dengan syara'. Imam Ahmad bin Hambal pengasas mazhab Hambali yang terkenal mengutuskan terompah yang dipakainya untuk diketuk kepada sakit sebanyak 70 kali sebagai satu ancaman kepada Jin. Belum sempat diketuk jin tersebut telah keluar kerana taat kepada Imam Ahmad yang taat kepada Allah.
Tanda diganggu Jin
Ada pelbagai tanda antaranya apabila seseorang itu mula derhaka kepada Allah, hatinya sentiasa resah dan berserabut, atau merasakan sesuatu yang luar biasa berlaku kepada badannya yang tidak dapat disembuhkan oleh perubatan fizikal biasa.
Manusia bole berkomunikasi dengan Jin?
Manusia boleh berkomunikasi dengan Jin tanpa perlu jin memperlihatkan dirinya. Antaranya dengan masuk ke dalam mimpi manusia, atau membisikkan sesuatu kepada manusia atau bercakap secara terus dengan suara seperti manusia. Ia berlaku kepada sahabat antaranya Abu Darda'. Apabila Jin merupa pada bentuk yang lain daripada bentuk asalnya manusia juga boleh melihat dan berkomunikasi dengannya. Antaranya kisah Abu Hurairah yang ditugaskan mengawal harta zakat lalu dicuri oleh Jin yang menjelma pada bentuk satu lembaga. Abu Hurairah menangkap lembaga tersebut tetapi dilepaskan setelah dirayu. Ia berlaku 3 malam berturut-turut. Perkara itu disampaikan oleh Abu Hurairah kepada Nabi saw.
Apa beza Jin, Syaitan, iblis dan bunian?
Jin adalah makhluk yang dicipta oleh Allah sebelum manusia. Ia berakal dan bernafsu seperti manusia. Kerana itu mereka juga ditaklifkan dengan hukum halal dan haram, iman dan kufur. Bapa bagi segala Jin adalah Jaan sebagaimana sabit dalam al-Qur'an sepertimana bapa bagi manusia adalah Adam. Iblis adalah salah seekor daripada Jin yang di bawa ke langit setelah Jin yang merosakkan muka bumi diperangi oleh para Malaikat. Iblis enggan sujud kepada Adam setelah diperintahkan oleh Allah, lalu Allah melaknatnya. Iblis kemudian meminta agar umurnya dipanjangkan sehingga hari kebangkitan, tetapi Allah hanya menerima untuk memanjangkan umurnya sehingga berlakunya Kiamat.
Syaitan pula adalah gelaran bagi jin dan manusia yang derhaka kepada Allah. Dalilnya dalam surah al-An`am ayat 112. Dalam musnad Ahmad Nabi saw berkata kepada Abu zar; berlindunglah kamu wahai Abu Zar daripada syaitan manusia dan syaitan Jin."
Penderhaka kalangan Jin yang paling besar ialah Iblis. Justeru itu Allah menggelarnya sebagai Syaitan. Antaranya dalam surah al-A`raf ayat 27 dan surah Fatir ayat 6.
Bunian pula hakikatnya adalah Jin. Ia adalah nama yang diberi oleh orang Melayu selalunya merujuk kepada Jin Islam.
Jin Bole masuk ke dalam badan manusia?
Allah taala mencipta Jin bersifat halus yang boleh memasuki jasad manusia. Dalam hadis nabi bersabda: syaitan bergerak menurut aliran darah manusia.". Jin boleh menguasai jasad manusia yang lemah imannya. Begitu juga orang yang leka tidak memohon perlindungan daripada Allah. Kerana itu nabi saw mengajar umatnya membaca surah al-Falaq dan surah an-nas sebagai cara memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan jin.
Saka?
Saka selalunya merujuk kepada jin yang diwarisi kepada anak cucu. Selalunya ia berlaku apabila seseorang mempunyai perjanjian dengan Jin seperti mengunakan khidmat jin menerusi perantaraan beberapa mentera. Apabila lelaki tersebut mati, Jin tersebut mengganggu anak-cucu lelaki tersebut untuk meneruskan perjanjian yang dilakukan oleh bapanya.
Cara melindung diri?
Dalam banyak ayat Allah mengajar manusia memohon perlindungan daripada allah bagi menghadapi gangguan jin dan syaitan. Antaranya dalam surah al-A`raf ayat 199. Nabi saw juga mengajar ayat-ayat al-Quran dan doa-doa pelindung daripada gangguan Jin. Antara membaca surah al-Falaq dan surah an-Nas. Dan banyak lagi doa-doa yang sabit daripada Nabi saw boleh dirujuk pada kitab-kitab hadis dan buku-buku doa..
Friday, October 1, 2010
Berita Pelancaran Buku ILIYANA
Buku Papar Pengalaman Wira dan Wirawati dilancar. – Berita Harian
Newspaper & Online 29.9. 2010
http://www.bharian.com.my/bharian/articles
/Bukupaparkehidupanwira_wirawatiPLKNdilancar/Article/
ILIANA (kiri) dan Azzah menunjukkan hasil karya masing-masing selepas pelancarannya, semalam.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan semalam melancarkan dua buku yang menceritakan kehidupan seharian wira dan wirawati serta jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi memupuk minat remaja menyertai program berkenaan.
Pelancaran buku bertajuk Diari Khidmat Negara yang ditulis bekas pelatih siri keempat 2007, Iliana Hamdan, 21, dan Celoreng Biru hasil karya bekas jurulatih PLKN, Azzah Abdul Rahman, 31, itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dr Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Ismail berkata, dua buku yang dihasilkan itu adalah projek perintis idea bekas pelatih dan jurulatih memandangkan masyarakat di luar masih meragui keberkesanan latihan PLKN.
“Penulisan yang menggambarkan kehidupan seharian pelatih sepanjang berada di dalam kem selama tiga bulan itu diharap mampu menjadi rujukan kepada bakal pelatih dan keluarga di luar untuk membabitkan diri dalam program berkenaan,” katanya selepas melancarkan buku berkenaan, di Kementerian Pertahanan Dua, di sini, semalam.
Sementara itu, Iliana yang baru menamatkan pengajian peringkat Diplo-ma jurusan Penulisan Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) berkata, keputusan menerbitkan buku itu adalah idea daripada ibunya yang berpengalaman lama dalam bidang kewartawanan.
Katanya, walaupun PLKN bermula pada 2004, masih ramai pihak meragui latihan yang dilakukan, malah ibu bapa juga tidak menggalakkan anak mereka menyertai program berkenaan.
Justeru, katanya, dia yang menjalani PLKN pada 2007 nekad menulis setiap aktiviti yang dilakukan sepanjang berada dalam kem PLKN supaya masyarakat luar sedar tujuan utama program itu dilakukan.