Friday, March 6, 2009

Kalau Staff Berbakat, Tidak Dimanfaatkan...

Kalau kita tak diberi peluang, tak dapatlah kita sebagai staff nak tunjukkan kebolehan. Sebabnya, kita bukan jenis nak menunjuk-nunjukkan. Hanya buat apa disuruh, tak buat kalau dihalang.

Kalau staff yang berbakat dan kaya idea tidak diberi dorongan, tidak dicungkil dan tidak dipandang, akan matilah bakat dan kebolehannya itu. Siapa yang rugi? Staff tak rugi apa-apa. Yang rugi adalah majikan. BETUL TAK?? Justeru, majikan kenalah tahu staff mana benar-benar berbakat dan layak melakukan sesuatu tanggungjawab.

Sayangnya, kebanyakan majikan melihat kepada staff yang `manis di mulut' dan tidak berani kata `no' kepada idea dan arahan ketuanya. Bayangkan, kalau staff itu tahu yang idea bossnya langsung tak sesuai, tapi dipuji juga: "Yes, yes, very good idea boss!!!" Tunggu ajelah apa yang akan jadi kemudiannya.

Kalau staff berbakat dan berkemahiran tinggi, tak dimanfaatkan majikannya, silap-silap dia akan curahkan ke tempat lain. Kalaulah ideanya diterima dan berjaya pula dilaksanakan oleh pihak lain dan ditakdirkan membuahkan hasil bagus, siapa rugi dan siapa yang untung? Seandainya pihak lain itu adalah rival, macam mana? Kalau soalan ini diajukan kepada Nabil, dia mesti jawab: `Lu fikirlah sendiri!'

Anjung Seri, Kembali Berseri!!!

Masa staff ramai sampai enam tujuh orang, suasana kerja huru hara. Setiap bulan, dateline terlepas. Setiap bulan ditegur pengarang. Hairan bin pelik! Bila tinggal bertiga ni, keadaan okey je. Kini tinggal saya - orang lama, Huda staff baru dan Rosmin part timer... kerja memanglah banyak tak menang tangan, tetapi yang bagusnya, suasana kerja harmoni. Kami satu kepala!

Dengan tiga orang, bahan kena juga diadakan. Ain staff jurureka dalaman turut turun padang. Pengarang tidak terkecuali. Saya sebagai Penolong Pengarang Anjung Seri, tidaklah berasa terbeban sangat. Cuba menjalankan tanggungjawab, lebih daripada biasa dan berusaha mengemukakan bahan secukupnya. Paling penting, gambar kulit mesti ada faktor `wauu!!' Kalau dulu tak pernah masuk meeting dengan jabatan lain, kini kena.

Hasil kerjasama pihak grafik, terhasillah gambar dan lay out lebih baik. Untuk bulan Mac, wah.. dapat pujian pengarang, berjaya ikut dateline. Keseluruhan, hasilnya juga cantik, walaupun ada sedikit sebanyak boleh diperbaiki.

Setelah hampir setahun tawar hati untuk menyimpan majalah sendiri, baru dua tiga bulan ini teringin semula untuk membawa balik ke rumah dan menyimpannya. Keluar sahaja majalah (mac 09), Rosmin, saya dan Huda, terus ke kedai buku BP untuk mengambil, menilai dan menyimpannya. Seronok dan lega mendengar kata-kata Rosmin, "Cantik macam ni, barulah nak simpan." Saya pun begitu juga Min...

ROSMIN, HUDA, AIN... YES KITA BOLEH!!!

Pesanan Ketua Pengarang

"Bersiap sedialah," kata Ketua Pengarang BPSB dalam mukadimah sewaktu memulakan mesyuarat pemilihan gambar kulit majalah hari ini.
Saya tak nak percaya, tetapi itulah yang dikatakannya. Berkali-kali dia berpesan. "Kita semua mesti bersiap sedia. Kemelesetan kali ini adalah yang paling teruk. Semua staff mesti berusaha cari idea untuk tambahkan perolehan syarikat.
Kalau ekonomi semakin teruk, dan staff tidak dapat membantu menambahkan perolehan syarikat kemungkinan ada majalah tidak dapat diteruskan, kemungkinan juga gaji akan dipotong... kalau betul-betul gaji dipotong, apa kita nak buat? Kenalah fikir bagaimana nak menjaga periuk nasi masing-masing... gunalah segala kemahiran dan bakat yang ada untuk menambahkan pendapatan...

Wednesday, March 4, 2009

Dari Bandung ke Chiang Mai

Menjelang akhir tahun lalu, adalah hari-hari paling menyeronokkan. Betapa tidak, berpeluang melawat tiga negara asia berturut-turut. Bermula dengan lawatan ke Bandung, Indonesa bersama pembaca Jelita yang diketuai pengarangnya, Raihana Abdullah, diikuti lawatan ke Chiang Mai bersama Thailand Authority of Tourism (TAT) dan kemudian ke Kemboja bersama Yayasan Salam Malaysia (Salam).

Rombongan Jelita, bagai lupa diri apabila dibawa ke pusat-pusat beli-belah istimewa di Bandung seperti Rumah Mode, Rumah Tas dan Pasar Baru. Kami gila membeli beg tangan berjenama. Pengalaman membeli-belah di sana memberi pengajaran kepada saya, bahawa barang-barang yang dijual di kedai kilang di situ tidak semestinya original.

Namun saya bernasib baik mendapat beg LV dan Guess yang kukuh. Original atau tak, itu tidak penting asalkan boleh dipakai lama. Satu pesanan, berhati-hatilah jangan terbeli yang palsu. Perhatikan kepada pangkal tali, Nampak sahaja seperti kulit atau pvc tetapi sebenarnya diperbuat daripada kepingan bod kertas. Apabila terkena air atau diisi barangan berat, dengan mudah putus, dan terserlah rupa kertas di bahagian dalamnya. Bayangkan kalau anda membeli sebuah beg berharga sekitar RM80 tetapi putus tidak sampai seminggu diguna. Tidakkah terkilan? Sempat juga membeli beberapa baju berjenama - Guess - untuk anak di Rumah Mode.

Antara program menyeronokkan ialah bengkel masakan bersama Chef Anwar di ruang legar sebuah hotel. Peserta juga dibawa melawat ke Gunung Tangkuban Perahu, di mana kami dilekakan oleh jurujual rantai manik batu sehingga masing-masing tidak ketinggalan membeli.
Kemuncak acara ialah membeli-belah di Pasar Baru. Semua tidak lepaskan peluang membeli telekung dan sejadah.

Masing-masing pulang berbondong-bondong dengan pelbagai barangan yang dibeli. Malangnya sewaktu tiba di Lapangan Terbabg LCCT, semua terngaga apabila diberitahu barang-barang penumpang belum sampai dan dijadualkan tiba esoknya!

Saturday, February 7, 2009

Ingin berjasa, sebelum terlewat

Dalam beberapa hari ini, hati gelisah. Resah tidak menentu. Teringat kepada kedua orang tua yang masih hidup. Memerhati kedut-kedut halus di wajah ayah dan ma, hati saya bertanya, apakah jasa saya terhadap mereka selama ini? Terlalu sedikit atau tiada langsung! Sedangkan kita selalu diingatkan, buatlah jasa kepada orang tua sementara mereka masih hidup.

Kerana duduk berjauhan, tidak berpeluang untuk membatu mereka dari segi tenaga. Saya sepatutnya memberi wang kepada mereka setiap bulan, tetapi tidak berbuat begitu. Bukan tidak mampu, tetapi leka. Lagi pun, dek gila beli rumah, wang di tangan tidak cukup untuk bermewah atau nak dihulurkan kepada ayah dan ma. Saya beruntung, mendapat orang tua yang tidak pernah mengharap wang daripada anak-anak. Bahkan mereka kerap membantu anak-anak dari segi kewangan, terutama tambahkan modal berniaga.

Berkahwin dalam usia muda, iaitu sebaik sahaja mendapat kerja menyebabkan wang gaji habis untuk keluarga sendiri. Bila anak semakin membesar, bersekolah tinggi dan banyak membeli harta beku, hasrat untuk memberi wang kepada ayah dan ma sering terhalang.
Hari ini saya bertekad untuk membuatkan mereka gembira. Biarlah mereka berpindah dari rumah teres lot tepi kepada yang lebih besar, kalau tidak banglo, sekurang-kurangnya rumah berkembar.

Saya mencari rumah yang berhalaman luas. Banglo mahal dan tanah terhad. Ada satu rumah berkembar lot tepi, berkeluasan 5,000 kaki persegi. Tu dah keluasan untuk sebuah banglo. Kira okeylah. Harga RM278,000. Menepati kehendak ayah. Ayah tak suruh beli dan tidak juga menghalang... "Nak beli, belilah... tapi ayah dah tak nak fikir fasal hutang," katanya yang sudah berusia lebih 70 tahun.

Saya bangga dengan ayah dan ma. Mereka mula berniaga dari zero. Kerana terlalu menjaga perniagaannya, mereka tidak kisah sangat mengenai tempat tinggal. Semasa kecil, rumah kedailah tempat kami tinggal. Bila mampu sedikit ayah beli rumah teres lot tengah yang diduduk sekarang. Pinjaman perumahan atas nama saya. Tapi satu sen pun saya tidak keluar duit, sampailah rumah tu habis dibayar. Kiranya rumah itu memang rumah ayah. Bayarannya ke bank, sebulan pun tidak pernah lewat. Prinsip ayah berniaga, bayaran kepada bank jangan lewat. Wang dalam akaun mesti dijaga. Baginya, pantang kalau keluarkan cek tendang.

Bila anak-anak sudah ambil alih perniagaan, ayah dan ma lega. Mereka menghabiskan usia emas di masjid dan pergi ke kebun di Jerantut, beberapa kali dalam seminggu. Tanah tapak rumah lama di kampung ada, tetapi tak kan nak duduk berjauhan dengan anak-anak? (Jarak Bandar Jengka dengan Jerantut, 45 minit memandu). Kini dia masih larat memandu, tidak tahulah beberapa tahun lagi.

Atas alasan di atas, saya bercadang membeli rumah baru yang berhalaman luas. Dengan tiga rumah di KL yang masih dibayar, mampukah beli satu lagi. Ini betul-betul gila! Gaji bukan RM10,000, dah tu sedang memikir untuk berhenti kerja pula. Namun, saya mengharapkan restu dari ayah dan ma untuk pembelian rumah kali ini. Ma kata, tak apalah nanti juallah salah satu rumah di KL. Masalahnya, buat masa ni semua rumah saya sayang, sedangkan ada yang meminta untuk membeli.

Belum lagi menandatangani pernjanjian jual beli, saya bermimpi yang menakutkan... babaknya macam di kejar along!

Tuesday, January 27, 2009

15 tahun bersama Anjung Seri, 25 tahun di dunia kewartawanan...

Tahun ini, genap 15 tahun di Anjung Seri dan 25 tahun di dunia kewartawanan/penulisan.
Tidak sangka ya, cadangan untuk bekerja selama tiga bulan akhirnya berlarutan sehingga suku abad. Lama sungguh! Dan sehingga kini, jari jemari ini bagaikan tidak mahu berhenti menari di atas papan kekunci.

Mula bekerja pada 1984, ketika itu komputer baru diperkenalkan. Alat yang kami guna untuk menulis ketika itu dipanggil `atex'. Semasa di UTM (kini UiTM), kami masih guna mesin taip. Selepas biasa dengan atex, diperkenalkan pula kepada komputer peribadi (pc). Tidak dapat bayangkan bagaimana susahnya wartawan sebelum itu, yang menggunakan mesin taip untuk menulis.

Terhutang budi kepada jurugambar

Sebelum meneruskan coretan pengalaman - sempena 15 tahun di Anjung Seri (AS) dan 25 tahun di dunia penulisan/kewartawan, ingin mengucap ribuan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu mempermudahkan kerja selama ini.

Sepanjang di Berita Harian dan di Anjung Seri, orang yang paling saya terhutang budi ialah jurugambar. Selalunya kami pergi assignment bersama-sama. Sewaktu di Berita Harian, sering bertukar-tukar jurugambar. Namun ketika di Anjung Seri, selalu bersama jurugambar, Ahmad Zurin Noh (Zurin) dan sesekali Abang Arip. (Ketika itu, mereka berdua sahaja jurugambar AS). Paling saya terhutang budi kepada Zurin. Kerjasama dan budi baiknya menumpangkan kereta ketika pergi assignment, tidak akan dilupakan.

Begitu juga dengan jurugambar lain. Sukar untuk menyebut satu persatu jurugambar di Berita Harian. Tetapi kalau jurugambar di BP, bolehlah disebut sebab dapat dikira dengan jari. Razali Mohamad, Mohd Nasir Roli, Mohd Jasmin Ramli, Mohd Ikram Junior - sentiasa memberikan kerjasama, dan saya anggap mereka ini antara insan baik hati. Biar sibuk macam mana sekali pun tidak pernah sengaja mencicirkan saya di tengah jalan, untuk pulang sendiri. Kalau tidak sempat hantar balik ke pejabat atau berlainan arah pulang, paling tidak mereka akan menghantar ke stesen LRT/komuter/stesen teksi atau bas terdekat... Pernah juga saya mendengar rakan penulis dicicirkan di tempat tidak sepatutnya. Tahu sebabnya.... kalau penulis sengaja membuatkan jurugambar marah, tentulah dia akan mencari peluang untuk
membalas balik. Namun, saya tidak pernah pula menerima nasib sebegitu.

Kepada Razali, Nasir, Jasmin dan Ikram... budi baik anda semua, akan akak kenang selamanya.
Hanya Tuhan yang akan membalasnya. Akak doa dimurakan rezeki dan cepat berjaya! Insya Allah.

Sebut fasal berjaya, salah seorang daripadanya ialah Zurin. Mengambil keputusan lebih awal keluar dari BP untuk menjadi jurugambar bebas sepenuh masa, ternyata dia kini meniti kehidupan yang lebih baik.

Selama AS di Berita Harian, memang senang sekali bekerja dengan Zurin dan dia tidak pernah sekali pun menyusahkan saya. Sebaliknya kami penulis di Anjung Seri banyak menyusahkan dia. Betapa tidak, kami `berebutkan' dia untuk pergi assignment. Dan sayalah paling banyak menyusahkannya. Bukan sahaja pergi assignment bersama, bahkan kerap juga menghantar pulang sampai ke rumah...kalau kena bertugas di hujung minggu, baiknya dia sampai sanggup menjemput saya di rumah. Begitulah akrabnya kami. Kebetulan rumah kami berdekatan, di Gombak. Dan kerap juga sesi penggambaran diadakan di rumah saya, untuk shooting assignment ruangan `inspirasi (produk) dan gaya di meja. Mendapat jurugambar yang rajin dan tidak banyak kerenah seperti dia memang menyeronokkan. Boleh buat banyak stock gambar, bermakna produktiviti meningkat dan kerja pun berjalan lancar.

Ketika itu, nak guna jurugambar tidak perlu melalui ketua, ada assignment, cakap saja. Tiba masa pergi, habis assingment dengan seorang penulis disambar pula penulis lain.. Sekarang nak buat begitu? jangan harap... kerana perlu mengikut peraturan - peraturan yang merumitkan!


Pengalaman bersama Zurin

Saya tidak dapat menahan perasaan lucu, apabila pergi assingment di kawasan kampung, ada tuan rumah menyangka kami ni satu pasangan... Mendengarkan tohmahan itu, saya pantas menjawab, "bukan! bukan!... kami kerja satu pejabat." Tak tahu ke, Zurin ni jauh lebih muda? bisik hati saya.

Pengalaman paling menarik, apabila ditugaskan ke Indonesia selama lapan hari pada akhir 80-an. Hanya saya dan Zurin. Dari satu air port, ke satu air port, dari satu hotel ke satu hotel - kami dibawa melawat oleh Tourism Indonesia ke serata tempat, bermula di Jakarta, kemudian ke Bandung, Yogyakarta dan berakhir di Bali. Sampai di air port, dijemput wakil penaja ke hotel dan sebaik sampai, disambut manager hotel, dijamu makan dan diberikan kamar selesa.
Macam honey moon!

Sepanjang lawatan itu, kami disediakan sebuah kereta dan pemandu untuk melawat ke destinasi-destinasi menarik mengikut jadual. Di Jakarta, kami diiringi pemandu pelancong, Bambang, masih muda. Kurus dan kecil sahaja orangnya tetapi ligat serta peramah. Di Bandung kami melawat ke pusat peranginan Bukit Tinggi dan meninjau Gunung Berapi Tangkuban Perahu, di Yogyakarta antaranya melawat sebuah istana lama dan Chandi Borubudur. Di Bali, diberikan pemandu pelancong yang agak berusia, beragama Hindu. 'Slow and steady' lagaknya, membawa kami melawat satu temple ke satu temple terkemuka. Saya sebenar takut untuk mendekati temple, namun pemandangan sekitarnya sungguh syahdu terutama yang terletak di tepian tasik. Kami pulang dengan stock cerita dan gambar yang banyak, sehingga diperli seorang rakan sekerja, `eih, tak habis-habis tulis fasal cerita di Indonesia!'


Zurin berubah !

Apabila Anjung Seri diletakkan di bawah Berita Publishing (BP), cara kerja kami berubah. Perubahan lebih ketara apabila BP berpindah ke Jalan Klang Lama. Di situ, Zurin bukan lagi milik Anjung Seri, dia kena berkhidmat untuk semua majalah di bawah BP termasuk Jelita, Her World, i-remaja. Sehari demi sehari saya perasan, sikapnya tidak lagi seperti dulu. Mungkin dipengaruhi jurugambar asal BP. Ketika itu hanya Zurin seorang jurugambar Berita Harian yang berpindah ke BP.

Ibarat `masuk ke kandang kambing, kena mengembik' begitulah kami, kena mengikuti aturan kerja baru. Bukan sahaja Zurin, bahkan kami penulis AS yang begitu terasa, sukarnya untuk menyesuaikan diri dengan aturan kerja baru di BP. Apa yang saya sedari aturan itu bukan menambahkan produktiviti, tetapi makin mengurangkan! Semua assignment yang memerlukan penggunaan jurugamar, perlu melalui kelulusan ketua jurugambar... dan sampai ke hari ini, saya masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan aturan dan sikap pemimpin di unit foto.

Perihal Zurin, rupanya dia juga kurang selesa di tempat baru tu. Mungkin banyak benda yang dia tidak puas hati. Kalau tidak masakan dia mengambil keputusan berhenti selepas beberapa tahun BP di Jalan Klang. Sejak itu tiada lagi assignment bersama Zurin. Kali terakhir assingment jauh bersamanya ialah di Shanghai.

Zurin mengambil keputusan tepat berhenti kerja. Kini dia menjalani kehidupan lebih baik sebagai jurugambar bebas sepenuh masa. "Jika diberi peluang, saya tak akan kembali bekerja dengan orang," katanya. Lebih terserlah cahaya kehidupannya kini. Mampu mengubahsuai rumah dan bertukar ganti kereta. Akrabnya kami, membeli rumah kedua, jenis teres bersama-sama, dalam satu barisan, selang beberapa unit - dan tidak lama kemudian beli sebuah lagi rumah, jenis apartment, bersetentang pintu.

Kini Zurin bukan sahaja menawarkan khidmat mengambil gambar, bahkan turut menerima job membuat buku-buku projek khas.
Syabas untuk Zurin!

Sunday, January 4, 2009

Terkenang - perbicaraan di mahkamah

Peristiwa: Sewaktu membuat liputan kes bunuh di mahkamah tinggi
Waktu: Akhir 80-an atau awal 90-an ( kurang ingat tarikhnya).

Terima kasih tuan! demikian kata seorang anak muda, Satwan Singh apabila dijatuhkan hukuman mati oleh hakim selepas didapati bersalah membunuh kawannya dalam satu perbicaraan kes bunuh.
Satwan Singh memang seorang yang pelik. Di saat-saat akhir perbicaraan dia memberitahu seorang anggota polis, `kalau saya dijatuhkan hukuman mati, saya nak ucapkan terima kasih kepada hakim.'
Ditakdirkan Satwan Singh didapati bersalah dan sebaik sahaja selepas hakim membacakan hukuman, memang benar dia mengucapkan terima kasih. Lebih menarik lagi, perbicaraannya berlangsung dua kali. Kali pertama, hakim mendapati berlaku kesilapan dalam perbicaraan, lalu diarah diadakan ulang bicara. Sementara itu, Satwan Singh resah menunggu keputusan. Dia terpaksa berulang alik ke mahkamah sekali lagi untuk menghadapi perbicaraan.
Kes Satwan Singh memang pelik. Cinta tiga segi membabitkan tiga anak muda lelaki termasuk Satwan Singh membawa kepada satu pembunuhan. Menurut perbicaraan, perasaan cemburu menyebabkan Satwan mengambil keputusan menghapuskan riwayat mangsa dengan memotong kepala. Kepala mangsa dimasukkan ke dalam beg dan dibawa untuk ditunjukkan kepada seorang lagi rakan. Sewaktu kejadian, Satwan juga terbabit dengan kegiatan `menurun' dan dia juga mendakwa jiwanya sering diganggu oleh sesuatu kuasa misteri.
Satwan memang menunggu-nunggu keputusan bersalah. Walaupun usianya masih muda, belum sampai 30 tahun, dia seakan tidak ingin hidup lagi. Dia mendakwa dirinya sentiasa dalam keadaan tertekan dan sakit disebabkan oleh satu kuasa asing. Dan dia juga seorang garang. Pernah suatu hari, dia menjerit ke arah sama ada peguam atau pendakwa yang meninggikan suara terhadap bapanya ketika perbicaraan. Kami yang duduk di meja wartawan, berdebar juga apabila Satwan hampir melompat daripandang kandang kerana marah. Perbicaraan mendapati dia melakukan kesalahan membunuh dalam keadaan sedar dan keputusan bersalah mengakhiri kesnya.