Sunday, April 22, 2012

Petua Petui Kecantikan


Petikan daripada Ensaiklopedia Petua...
Petua Untuk Melicinkan
Kulit Muka

Pilihan 1: Campurkan sedikit tepung pulut dengan sedikit air. Sapukan pada muka sebelum tidur. Keesokkannya cuci muka dengan air suam. Amalkan seminggu sekali.

Pilihan 2: Campurkan 1 sudu besar madu lebah dengan 1 sudu besar susu tepung. Sapukan pada seluruh muka dan biarkan sebentar. Kemudian basuh muka dengan air suam. Amalkannya 2 kali seminggu.

Pilihan 3: Campurkan bedak sejuk, asam jawa, serbuk kunyit serta sedikit air. Sapu dan gosok perlahan-lahan pada muka selama beberapa minit sebelum mandi. Kemudian cuci dengan air suam. Amalkannya setiap hari.

Pilihan 4: Giling 3 sudu besar kacang hijau. Campurkan dengan sedikit air. Sapukan pada muka dan biarkan ia kering. Cuci dengan bersih.

Pilihan 5: Gosokkan serbuk teh yang telah digunakan ke muka anda. Biarkan selama 3 minit sebelum dicuci dengan air suam.

Pilihan 6: Kisar 2 biji buah tomato, gula dan air. Tapiskan dan minum air setiap pagi. Amalkannya selalu sehingga kulit muka kelihatan licin.

Pilihan 7: Setiap kali anda mandi, gosokkan tawas pada muka. Lakukan setiap pagi atau malam. Muka anda akan menjadi halus.

Pilihan 8: Ambil 1 biji buah tomato masak. Lecek hingga halus. Kemudian pupurkan di seluruh muka. Biarkan mengering selama 20 minit. Bilas dengan air bersih. Amalkannya 2 atau 3 kali semingg

Petua Untuk Wajah
Semakin Berseri


1. Ambil semangkuk kecil beras. Basuh dan toskan airnya.


2. Goreng tanpa minyak sehingga hangus.


3. Tumbuk atau kisar kering sehingga menjadi serbuk.


4. Simpan di dalam bekas bertutup kedap udara.


5. Apabila hendak digunakan, ambil sedikit dan campurkan dengan air limau nipis.


6. Sapu rata pada muka dan biarkan sehingga kering.


7. Basuh muka sehingga bersih.
Petua Solekan Untuk
Wanita Bertudung


1. Bersihkan wajah anda terlebih dahulu. Gunakan bedak asas dengan warna yang sesuai dengan jenis kulit.


2. Untuk bahagian mata, guna pembayang mata (eye-shadow) berwarna coklat pada kelopak mata, dan penggaris mata berwarna hitam pada lingkaran mata atas dan bawah.


3. Untuk menambahkan seri mata, sapukan maskara. Cara yang berkesan ialah membiarkan mata terbuka bagi memudahkan pemakaiannya. Teknik solekan ini untuk menghasilkan mata yang lebih galak dan ceria.


4. Sapukan pemerah pipi berwarna coklat pada tulang pipi dengan mengarah ke atas secara tipis untuk kesan semulajadi.


5. Gunakan gincu berwarna lembut dan diakhiri dengan pengilat bibir agar senyuman tampak lebih menawan.
Petua Menghilangkan Muka Kasar
dan Berbintik-Bintik Hitam

1. Ambil buah mentimum, parutkan dan diperah.

2. Ambil airnya.Gunakannya untuk mencuci muka sewaktu hendak tidur.
3. Anda juga boleh tempel atau tampalkan hampas mentimum wajah anda.
4. Pada waktu petangnya, mandi dengan air suam dan cuci muka anda berkali-kali dengan air suam.
Petua Untuk Mencuci Hati

Sebelum tidur, amalkan selalu membaca selawat Nabi paling kurang dalam kiraan 100 kali. Cara ini dapat memurahkan rezeki, menenangkan fikiran yang runsing serta membuat orang sayang pada kita. Orang yang hatinya be
rsih, pasti disenangi orang lain walau di mana jua dia berada. Kesan jangka masa panjang, bacaan selawat dengan kerap membuat fikiran kita bebas dari unsur-unsur fikiran negatif, membuat kita sentiasa bersangka baik pada situasi-situasi dalam hidup kita. Sikap suka bersangka baik dapat dibina dengan mengamalkan bacaan selawat. Rutin ini dapat mencetus sikap berfikiran positif, iaitu sikap yan paling perlu dalam usaha kita membina kecemerlangan.

Friday, March 23, 2012

Persediaan Ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2012

Wau... itu buku di atas sekali - Langsir dan Bidai , yang ditulis dan diawasi reka letaknya oleh saya, dilaporkan sebagai - top in the list - iaitu yang terlaris, menurut sumber daripada Lot 10 (Kedai Buku Berita Publishing Sdn Bhd) dah masuk empat kali cetak...bangga jugalah saya, susunan gambar yang cantik itu juga adalah hasil kerjasama saya dengan pereka letaknya, Ramlah Noh. Jualan buku ini dipakejkan dengan buku Ruang Dapur dan Hias Laman.

Pakej buku Ruang Tamu, Lanskap Melayu dan Arkitek.

Pakej = set dua buku Sewangi kasih (himpunan cerpen) dan buku Jenayah Bawa Padah.

Buku-buku dan majalah yang sudah disusun mengikut pakej.

Dalam kepenatan dan berpeluh sakan, sempat lagi terseyum simpul...



Baru semalam selesai tugasan saya menguruskan penerbitan majalah Bonus Anjung Seri Ke 11, memakan masa berbulan-bulan....sangatlah lama dan sangatlah slow. Ini gara-gara pihak grafik membuat reka letak secara sambilan, `di celah-celah masa' menguruskan reka letak majalah utama, Anjung Seri.

Sesungguhnya saya sudah hampir berputus asa, tapi bersyukurlah akhirnya selesai juga. Yang penting, Bonus Anjung Seri Ke 11 mesti diterbitkan sebelum berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012, yang akan bermula penghujung April ini. Kepada peminat Anjung Seri, jangan lupa dapatkan satu naskhah ya! Dan terima kasih kepada pembaca setia yang telah menyokong majalah itu selama ini.

Hari ini jabatan saya, sunyi sepi... yang lain ada tugas di Lot 10 (kedai@stor buku). Mereka dikehendaki mengemas dan membungkus buku-buku dan majalah yang akan dijual di PBKL nanti. Justeru saya mengambil peluang membuat `spring cleaning', sekitar meja saya ini sudah beritimbun dengan majalah dan kertas-kertas. Kalau nak dibandingkan dengan tempat staff lain, tempat duduk sayalah yang paling `meriah` penuh dengan benda yang tidak diingini. Berjam-jam mengemas, tapi keadaan nampak macam tu juga...masih lagi bertimbun majalah dan fail-fail - press kit. Saya ni gemar menyimpan, terutama majalah, sayang nak buang, bayangkan mengumpul hampir 30 tahun, mahunya tidak setinggi gunung!

Selesai mengemas, yang tak berapa kemas.. saya pun turun ke Lot 10, untuk menjenguk mereka yang sedang bertugas di situ. Sempatlah ambil gambar, untuk dimuat naik dalam FB Majalah Anjung Seri. Sebagai tarikan kepada pembaca, tahun ini buku-buku dan majalah akan dijual secara pakej, dua atau tiga buah untuk satu harga, dengan diskaun yang menarik.

Di sini saya paparkan dahulu, set buku yang akan dijual secara pakej... harganya belum tetap lagi, kalau dan ada saya akan maklumkan kemudian...

Wednesday, March 14, 2012

Pilihan ilham hias

Meja kopi sebagai warna aksen.

Lagi pilihan gaya penataan bertemakan merah jambu.

Kelabu & pink

Tuesday, March 13, 2012

Paduan warna menawan

Selain merah jambu, saya juga menyukai warna hijau lumut. Ia menarik apabila digandingkan dengan putih.



Begitu juga jika merah hati digandingkan dengan putih, juga tidak kurang menawan. Merah adalah warna hangat, manakala putih adalah warna neutral. Di sini kehangatan merah telah diredakan oleh putih, sekali gus mengurangkan kesan menikam pandangan.

Kredit gambar : small-home-decorating-ideas-pictures-1-Wndows Life Photo Gallery

Pinky & White, I like!



Pinky & White.

Dari segi hiasan dalaman, warna merah jambu dikaitkan dengan gaya untuk anak perempuan. Saya memang menyukai warna merah jambu tetapi Si Dia pantang melihat warna ini. Katanya, ia warna kampung! Saya tak setuju dengan kata-katanya. Disebabkan bertentangan pendapat, maka sukar bagi saya untuk menerapkannya di rumah sendiri. Lihatlah idea hias bertemakan warna merah jambu ini. Ketegangan tona merah diredakan oleh warna latar putih. Gandingan merah jambu dan putih ternyata manis, memang sesuai untuk anak perempuan peringkat kanak-kanak mahupun remaja.


Gambar daripada sudut dekat, menonjolkan keindahan warna tema merah jambu dengan dua remaja posing santai. Memang cun, ceria lagi memikat. Bagi mereka yang berkenan, bolehlah mencontohi gaya penataan ini.
Gambar dipetik daripada laman sesawang http://niriti.com/bedroom-design/charming-barbie-bedrooms-ideas-for-girls.html.

Friday, February 24, 2012

Malangnya Si Burung Itu!


Setelah penat mendongak melihat si dia memasang langsir, saya melangkah ke luar bilik untuk meredakan lenguh leher kerana terlalu lama memandang ke atas. Ini adalah langsir sementara, kerana yang betul-betul belum dibeli lagi. Sampai keluar di ruang tamu, saya terkejut melihat sesuatu. "Apa tu?" Bisik hati. Kelihatan seperti benda hidup tetapi kelihatan kaku di lantai.


Saya terus mendekatinya, lalu menyedari bahawa ia adalah seekur burung yang sangat cantik. Bulunya berwarna hijau kebiruan, cantik dan gebu. Sayangnya ia seperti sudah mati, terlantar kaku. Apa telah jadi pada burung ini? Mengapa ia mati? Lantas teringat, beberapa hari lalu, Pak Cu Wee memberitahu saya, beberapa ekor burung mati terlanggar kaca tingkap sewaktu rumahnya baru siap.

Kalau tidak kerana Pak Cu Wee memberitahu begitu, harus pening kepala saya memikirkan kenapa burung itu mati di dalam rumah? Mungkin sahaja saya akan terfikir, ada orang ingin menghantar sesuatu niat jahat..he he he... macam terpengaruh dengan cerita misteri je... Tapi tak boleh juga berfikir begitu, kerana burung yang mati itu dalam keadaan baik, tidak ada darah, malah seperti sedang lena tidur. Jika difikir secara logik, percayalah saya bahawa tingkap kaca lut sinar yang berderet itu telah mengelirukan pandangan burung, sehingga terlanggar dan patah lehernya.



Lihatlah burung malang ini. Ternampak saja burung itu, saya lantas menjerit memanggil semua yang ada. "Ayah, tengok kenapa burung ni!!" Pada mulanya ayah juga hairan. Perlahan-lahan dia mendekati burung itu dan cuba melihat sama ada ia betul-betul sudah mati. Memang pun, ia sudah kaku dan tidak bergerak lagi.


Kalaulah burung ini masih hidup, tentu saja boleh disembelih dan dimakan. Tapi melihatkan rupanya yang comel, saya tidak pasti boleh menelannya atau pun tidak kalau dimasak. "Burung apa ni ayah?" Soal saya. Ayah yang pernah tinggal di pinggir hutan dan meneroka kebun, tentu saja kenal jenis-jenis burung, bisik hati saya.

"Inilah burung punai kata ayah," kata ayah.
"Betulkah? Oh begini rupanya....Cantik juga burung punai ni ya!" Saya suka warnanya yang hijau kebiru-biruan. Kami semua kasihan melihat burung ini yang malang ini.

Si dia juga teruja melihatnya. Dia lantas memegang kedua-dua hujung sayap. Ini dia rupa burung punai berkenaan apabila dipandang dari belakang.

Ini pula pandangan dari depan. Saya lantas terfikir, alangkah baiknya jika burung ini masih hidup. Memandangkan ia sudah mati, saya terfikir juga untuk mengawetnya, tetapi bagaimana? Bukan pernah ada pengalaman mengawet haiwan pun. Kalau diawet tentunya cantik macam burung-burung yang dipamer di muzium. Takkan nak minta tolong orang muzium? Lupakan sajalah! Nak tahu apa jadi dengan bangkai burung ini? Saya fikir si dia menggali lubang dan `mengebumikannya` tetapi apabila ditanya, dia menjawab: "Sudah dilemparkan ke dalam kebun kelapa sawit di sebelah!" ... Aduhai, kesiannya si burung itu!




Menyempurnakan kemasan rumah baru.


Assalamualaikum, lama sungguh tidak mencatat di sini. Dari sehari ke sehari bertangguh, sedangkan banyak yang dihendak dirakam sebagai kenangan. Sebulan dua yang lalu, sibuk dengan kegiatan menyempurnakan rumah yang kami bina [untuk ayah dan emak duduk]. Kontraktor enggan muncul selepas diberi kata putus, "Saya nak tengok semua kerja selesai hujung minggu ni. Kalau tak nampak apa-apa perkembangan, bermakna DNA (ringkasan nama syarikat itu) tidak berminat nak siapkan rumah ni. Dan ini juga bermakna DNA menarik diri sendiri (self termination)." Wah tegas betul kata-kata saya tu ya, tapi bukan kata-kata pun.. ia hanyalah catatan peringatan menerusi sms.

Disebabkan malu atau rasa bersalah atau memang sengaja hendak tinggalkan kerja, kontraktor terbabit tidak muncul pada hari yang dijanjikan. Cadangan pertemuan pada hari itu adalah untuk mengesahkan baki, pengurangan atau penambahan..sebelum kami dapat menyelesaikan pembayaran sepenuhnya. Bayaran yang kami anggap sengaja direka-reka kemudian, perlukan perundingan. Adakah patut dia meminta bayaran asing untuk pemasangan siling dan cat, sedangkan sepatutnya termasuk dalam kos pembinaan yang ditetapkan sejak awal.

Kami memberi masa selama empat bulan tetapi masuk lapan bulan, tidak siap-siap juga. Kalau terlewat dua bulan, boleh lagi diterima. Jika dibiarkan akan menjadi setahun! Saya tidak mahu begitu. Sebenarnya saya bukannya tidak boleh tunggu, lebih setahun pun boleh tunggu. Masalahnya ayah tak sabar nak duduk, katanya: "Ayah harap, sempat duduk di rumah ni beberapa tahun. Maksud ayah, bukan dia saja..dia nak sangat agar Mama sempat tinggal di rumah baru itu.

Kata ayah lagi: "Dulu-dulu, kami tidak pernah hidup selesa... rumah pun macam pondok saja." Itu cerita sewaktu ayah mula berhijrah ke Pahang dan bekerja sebagai petani. Berkat kegigihan ayah, kehidupannya berkembang dan kemudan berjaya membuka perniagaan. Kemudian ayah dan mama sibuk menguruskan kedai. Kebun diserahkan kepada orang lain untuk diuruskan. Dan selepas itu, bermulalah pengalaman kami duduk di rumah kedai.

Kerana ayah tidak sempat untuk membina rumah yang selesa, maka ayah meminta saya membina rumah di atas tanahnya di kampung. Akhirnya tercapai juga impian. Rumah yang diidamkan sudah tersergam di hadapan mata. Mama yang beberapa bulan lalu terlantar sakit, kini beransur sembuh. Daripada makan bersuap kini, boleh makan sendiri. Ayah semakin gembira. Masih ingat lagi, betapa susahnya hati ayah apabila mama jatuh sakit buat kali kedua. Doa ayah dan doa saya agar mama segera sembuh termakbul jua. Alhamudillah.

Berikutan itulah saya dan si dia bertungkus lumus menyegerakan penyempurnaan rumah berkenaan agar ayah dan mama dapat segera duduk. Kerja yang terpaksa kami selesaikan sendiri adalah mengemaskan permukaan pintu kayu. Kami sengaja memilih untuk membuat sendiri kerana kalau mengharapkan tukang, mereka akan membuat tidak kemas dan comot! Maklum pekerja yang sama membuat semua kerja. Tiada pengkhususan. Hanya yang pakar dalam bidang tertentu akan menghasilkan sesuatu yang cantik dan bermutu. Disebabkan hendak jimat kontraktor menetapkan pekerja yang sama membuat semua kerja, daripada peringkat binaan hinggalah kemasan.

Membuat sendiri kerja-kerja kemasan pintu memasang langsir memanglah cerewet dan amat memenatkan. Hanya satu hari saya dapat peluang mengumpul semua anak membantu. Orang muda memanglah banyak tenaga, tapi susah betul nak ajak mereka pulang ke kampung. Ada saja alasannya. Dapat buat kerja beramai-ramai satu dua hari, pun sudah bersyukur.....

Gambar memaparkan ragam mereka sewaktu membuat kerja pada satu hujung minggu.



Kalau sudah orang kampung, orang kampung jugalah. Sudah disedia meja besar, tetapi ayah tetap nak makan sambil duduk bersila. "Ayah rasa tak kenyang kalau makan duduk di kerusi", kata ayah. Cara hidangan seperti ini tidak pernah berubah...sempoi, berlapikkan kertas surat khabar. Yang penting ada sambal dan ikan singgang! Dan dapat makan penuh berselera!


Mengemaskan rangka pintu belakang dengan mengenakan sapuan warna antik seperti pintu depan.

Dianya sudah dua kali datang membantu. Sedang mengemaskan sapuan warna kayu di celah-celah garisan jalur hias pada pintu depan.

Di mulakan dengan kerja melicinkan permukaan pintu dengan kertas pasir. Mempunyai paling banyak tenaga tetapi paling kedekut nak buat kerja.

Pertama kali dapat datang membantu, sebab duduk di asrama. Cuti hujung minggu rela duduk terperap di rumah melayan game di komputer.