Thursday, September 29, 2011

Gambar Raya Aidilfitri 2011 di Kampung

Assalamualaikum buat kawan-kawan maya yang tersinggah di blog saya ni..


Setelah sebulan berlalu, saya baru ada masa untuk memasukkan gambar kenangan raya. Gambar-gambar ini dirakam sewaktu menyambut raya di kampung suami di Kelantan. Mula-mula ingin beraya di kampung orang tua saya sahaja di Pahang, tetapi di saat akhir kami ubah fikiran untuk balik ke Kelantan. Kedua-dua ibu dan bapa mertua saya sudah meninggal. Arwah emak mertua yg saya panggil Mok, sempat membina rumah batu ini untuk ditinggalkan kepada anak bongsunya, Mok Su Nab. Dengan terbinanya ia, lenyaplah daripada pandangan rumah asal daripada kayu.

Pakaian raya tahun ini bertemakan oren.. saja tak pilih warna 'sebiji' sama, agar tidak kelihatan seperti kumpulan boria. Warna baju Melayu Si Dia dan Izat lari sikit, tetapi tak apalah asalkan tonanya seakan...


Ini pemandangan di bahagian belakang rumah, menampilkan sawah padi berlatarkan bukit dan awan biru.

Agenda selepas solat raya ialah menziarah kubur. Mok Su Nab dan Yana, berjalan kaki ke tanah perkuburan.

Keluarga sepupu Yana, Ariff dan isterinya Dr Elani.


Di tanah perkuburan...
Sedang makan sate, sempat lagi berposing!

Menonton TV sambil menjamu selera di ruang tamu rumah Mok Su Nab.


Di depan rumah peninggalan arwah Mok/rumah Mok Su Nab.

Yana dan Saffiya Nadira

Di halaman hadapan...

Yana bersama sepupu-sepupunya.

'Jalan-jalan raya' di rumah pertama, rumah abang ipar sulung, Abe Din di Kok Lanas.

Kamil dan anak sepupunya - nampak saja kecil, tetapi sudah darjah dua.. Kamil pun nampak saja kecil, tetapi sudah Tingkatan dua.

Berbual-bual kosong di rumah kakak ipar sulung yang juga rumah Dr Nona dan Dr Ja (Noraza).

Yana dan anak sepupunya, Alia.

Bergambar kenangan di hapadan rumah Dr Noraza dan Dr Nona di Machang.

Yana dan Saffiya Nadira

Di rumah seorang lagi kakak ipar, Che Wa dan suaminya Ayah Ye. Suka dengan pokok bunga kertasnya yang subur dan rendang.

Yana tak habis-habis berposing dengan Saffiya Nadira

Thursday, September 22, 2011

Penataan Berani, Merah Menyerlah

Tempat letak tv buatan sendiri tampil ringkas tetapi unik dengan tambahan jaluran bilahan kayu.

Lilin besar warna putih, penyeri meja kopi yang beralaskan kain pua di ruang tamu.

Hiasan patung kuda belang, lilin berkaki, cermin dinding dan lampu hasil tangan kreatif Ajaq dan Faiz.
Rak merah hitam mempamerkan himpunan barangan seramik dan cawan. Susunan peralatan menghidang di atas meja meja menunjukkan contoh kreativiti menghias Ajaq dan Faiz.

Rak terbuka menyimpan majalah dan mempamer unsur hiasan pasu.

Tanduk rusa menghiasi dinding di sisi pintu bilik tidur utama.

Daun pintu bilik tidur dan rak hiasan bercat merah menyerlah. Tampalan corak petak hitam menggamit pandangan.

Bahagiab depan rumah ditanami pokok pasuan dan pokok jenis menjalar.

Penataan Berani dengan Merah Menyerlah

Mengubah gaya hiasan dalaman rumah adalah kegemarannya. Sesuatu gaya penataan tidak pernah bertahan lama. Jika sesetengah orang mengekalkan cat di dalam rumah sehingga lima tahun tetapi bagi pemilik rumah yang satu ini hanya bertahan kira-kira dua tahun saja. Minat mendalam di bidang hias menghias menyebabkan Abdul Razak Ahmad, 35, kerap menukar suasana penataan kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Menurut Abdul Razak yang selesa disapa Ajaq, kehadiran rakan serumah, Faiz Low Abdullah @ Kenny yang sealiran minat, memudahkan kerjanya untuk menukar ganti gaya penataan rumah. Biarpun bekerja makan gaji menurut Ajaq, beliau tidak terkongkong dari segi masa, justeru dapat menjalankan perniagaan sambilan tanpa sebarang halangan.

Beliau mengakui urusan menjadi lebih mudah dengan adanya rakan kongsi, Faiz yang bukan sahaja kaya ilham, tetapi juga arif dalam menghasilkan gubahan bunga dan hantaran. Gabungan dua orang menyebabkan mereka berani menjalan perniagaan penyediaan pakej perkahwinan dan gubahan bunga. Dua rakan itu kerap menerima tugasan menghias dewan majlis perkahwinan, menata hias meja makan, merancang susun atur ruang dalaman dan pencahayaan serta membina pelamin untuk majlis di dewan dan rumah. Namun Ajaq lebih kepada urusan pemasaran manakala Faiz melakukan kerja kreatif.

Kala urusan perniagaan kurang sibuk, mereka akan memikirkan sesuatu untuk mengubah gaya hisan rumah. Berpegang kepada prinsip `mesti boleh’, mereka tidak pernah berputus asa atau was-was dalam menentukan sesuatu seperti soal warna dan gaya penataan.

Menurut Ajaq lagi, penampilan paling berani yang pernah mereka terapkan di rumah teres setingkat itu ialah tema merah menyerlah menggantikan gaya semula jadi.

“Kami menggandingkan paduan tiga warna tema iaitu merah, hitam dan putih supaya rumah nampak lebih menyerlah daripada sebelumnya. Paduan warna-warna ini ditonjolkan menerusi dinding, unsur barangan dan hiasan serta termasuk permukaan pintu bilik,” ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, untuk bilik tidur mereka mengekalkan putih pada dinding, manakala perabot berwarna coklat. Keindahan suasana bilik itu diserlahkan menerusi pantulan warna pada dinding, yang tidak nampak terlalu putih.

Paling membanggakan, mereka bukan sahaja menghasilkan sendiri unsur hiasan, bahkan pandai mereka bentuk dan menghasilkan sendiri perabot. Bagi melindungi warna asli kayu, mereka mengecat semua permukaan kayu dengan warna merah cili. Bunga dan lilin hiasan tidak ketinggalan diguna untuk menerbitkan seri di sudut meja makan dan di atas meja kopi.

“Hampir semua barangan termasuk rak televisyen , kerusi, lampu dan cermin dinding, kami buat sendiri. Kelebihannya, dapat menonjolkan keunikan bagi setiap rekaan yan g kami hasilkan,” ujar Ajaq.

Menurut beliau lagi, semua rekaan itu tidak mengambil ilham daripada mana-mana melainkan idea mereka sendiri.

“Mungkin pernah dilihat di majalah, tetapi itu cuma kami jadikan rujukan. Kami lebih suka menggubahnya sendiri supaya tidak nampak sama dengan yang pernah dilihat,” jelasnya yang juga berjaya menghasilkan rak televisyen daripada kayu.

Sesetengah barangan seperti rak televisyen kelihatannya rumit namun menurutnya, tugas itu hanya mengambil masa dua hingga tiga hari sahaja. Ada barangan, kami hasilkan dengan tenaga sendiri tidak sampai setengah hari.

Ditanya sama ada bahagian hisan yang paling sukar untuk dizahirkan, beliau berkata, “ tidak ada yang sukar kerana kami sudah tetapkan setiap benda yang hendak dibuat, perlu disediakan lakaran terlebih dahulu. Jadi bagi kami semua mesti boleh dibuat. Ini dapat mengelakkan pembaziran.

Sebelum ini menurutnya, gaya penataan rumah berkonsep suram hasil penggunaan warna gelap dan cahaya jenis malap. Ketika itu, suasananya sejuk dan redup hasil penggunan warna-warna seperti hijau zaiton serta coklat gelap iaitu warna kesukaannya. Ajaq menambah, berpegang kepada prinsip `mesti boleh’, beliau mampu melaksanakan dua tugas pada satu masa iaitu bekerja di jabatan teknologi maklumat dan mengendalikan perkhidmatan pakej perkahwinan pada satu masa.

Menurut Ajaq lagi, Faiz adalah sahabat baik dan rakan kongsi perniagaannya.

“Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya . Paling saya suka, dia Faiz banyak idea unik, namun dia lebih suka diam dan fokus kepada kerja-kerja tangannya, sementara saya lebih banyak bercakap. Gandingan serasi mendorong kami berusaha lebih giat untuk meningkatkan taraf hidup,” tegasnya.

Tuesday, September 13, 2011

Kes penganiayaan

Bila saya menyebut mengenai permasalahan saya, masing-masing membuka cerita - mengenai pengalaman yang terkena pada ahli keluarga sendiri. Wah masing-masing pun ada cerita sensasi, bisik hati saya. Jadi saya tidaklah berasa berseorangan, mereka menyokong saya bertindak awal dalam mengemukakan persoalan/mendapatkan kepastian, atau memberitahu cadangan kepada pihak yang berkenaan.
Cerita I, Kes emak A.
“Semasa atuk saya nak meninggal, atuk menyampaikan wasiat secara mulut mengenai pembahagian harta. Atuk sudah mengisytihar bahagian tanah untuk anak-anaknya…. Ketika itu emak berusia 16. Dia anak tunggal, berlainan emak sama bapa. Kiranya adik beradik betul jugalah. Bila mak berkahwin, ayah meninggalkan emak di rumah kerana pergi bekerja di Singapura. Tidak lama selepas nenek dan atuk meninggal dan juga tidak lama selepas emak berkahwin, emak dihalau adik beradiknya (berlainan ibu). Perbuatan itu membabitkan tiga abang lelakinya, abang pertama, kedua dan ketiga. Sedangkan abang inilah yang sepatut memberi perlindunga kepada adik wanitanya, tergamak pula menghalau.”
“Tanpa alamat, emak pergi mencari ayah di Singapura. Nasibnya baik dapat bertemu ayah. Selepas bertahun di perantauan, emak pulang ke kampung nak menziarah rumah peninggalan orang tua dan berjumpa adik beradik. Dia bertanyakan tanah bahagian haknya yang diberikan atuk. Malangnya, sekali lagi mak dihalau oleh tiga adik beradik lelaki tadi dan isteri-isteri mereka, Mereka semua berkomplot menghalau emak supaya dapat merampas tanah yang diberikan oleh atuk kepadanya. Zaman itu tidak ada hitam putih, cakap mulut sahaja, jadi yang lemah mudah ditipu.”
“Emak menjadi mangsa dianiaya, mak mengadu kepada adik beradik lain, “tak apa, berjumpalah di akhirat nanti, ada hasil-hasil kebun dan pokok ni, makanlah tetapi semuanya haram!” Lalu emak dan suami kembali ke Singapura.”
“Lama kemudian, emak menerima panggilan telefon daripada keluarga di kampung memintanya balik kerana abangnya yang pertama sakit tenat. Mereka minta emak datang supaya maafkan kesalahannya. Emak berkata, tak apa, saya tak baliklah. Emak bertegas tidak mahu balik. Beberapa hari selepas itu, emak bermimpi tiga hari berturut-turut, seorang lelaki berwajah/berkepala anjing datang menemuinya meminta maaf. Hari ketiga dia bermimpi, dia mendapat panggilan telefon bahawa abang pertamanya meninggal. Yg datang itu, mungkin bayangan dari Allah terhadap rupa abang pertamanya ketika hendak meninggal, kerana kesalahannya.
“Semasa abang kedua sakit nak meninggal, mak juga terima panggilan daripada isteri abang supaya memaafkan abangnya itu. Tapi emak tidak balik. Kemudian mak diberitahu semasa hendak abang kedua meninggal, lidah terbelah dua/bercabang. Ini adalah abangnya yang menjadi tukang cakap, mungkin yang merancang segala penganiayaan ke atas emak.
‘Sewaktu abang ketiga hendak meninggal, emak dipanggil sekali lagi supaya memberi kemaafan. Mendengar cerita kurang enak sewaktu abang-abang sebelum hendak meninggal, hati mak terbuka untuk memberi kemaafan apabila dirayu. Emak berkata… `tak apa, Yam maafkan dosa-dosanya denganYam. Makan dan minum yang terambil hak Yam, Yam halalkan. Tapi dosanya dengan Allah dia tanggung sendiri! Dengan kata-kata itu, abang ketiga meninggal dalam keadaan biasa.
‘Apa yang berlaku selepas itu?
Isteri ketiga-tiga abang yang pada mulanya bersepakat berkomplot menganiaya mak, akhirnya datang meminta maaf, lalu mereka berkata: “Yam, ambillah tanah dan harta hak Yam -.kami tak nak, itu hakYam. Kami tak nak benda-benda tidak baik berlaku kepada kami pula, Barulah wujud penyesalan.”
Natijahnya, hak orang adalah hak orang. Kalau lemah dan tidak berani mempertahan, terjadilah seperti emak si A yang dianiayai dan tiada sokongan daripada semua adik beradik.

Thursday, August 18, 2011

Pemandu Teksi Kantoi!!


Disebabkan hubby outstation maka saya terpaksa menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Saat beginilah yang paling saya tidak suka, kerana perjalanan terpaksa bertukar pengangkutan. Tambah lagi pagi-pagi bulan puasa ni. Nak tak nak saya terpaksa juga pergi. Saya mempunyai dua pilihan, menaiki bas untuk ke stesen LRT Gombak dan kemudian berhenti di KL Sentral atau Bangsar untuk menaiki bas atau teksi ke pejabat saya di Jalan Klang Lama.

Sewaktu menunggu di tepi jalan, yang pertama lalu ialah bas ke KL, maka saya tahan dan terus ke KL. Sedang memikir untuk turun di mana bagi menyambung perjalanan ke Jalan Klang Lama, bas yang dinaki langsung melewati Chow Kit. Saya ternampak stesen monorel, lantas terfikir lebih baik turun sebelum terperangkap dalam jam. Jalan memang sudah semakin sesak, lalu saya bertindak segera turun dan bergegas ke stesen monorel untuk ke KL Sentral.

Setengah jam dalam monorel akhir sampai ke stesen terakhir, KL Sentral di Brickfield. Oh jalan sudah berubah sehala. Di stesen akhir monorel kelihatan banyak teksi sedang menunggu. Sebenarnya bab di sinilah yang hendak saya ceritakan ini. Sesampai di tempat teksi, saya terus memberitahu pemandu-pemandu di situ, mahu ke Taman Desa, Jalan Klang Lama. Dan amat terkejut apabila seorang pemandu memberitahu harga tambangnya.

"RM15!"

"Apa? Kenapa pula RM15, saya hari-hari naik teksi di sini tau.. saya tahu harganya," saya menyampuk dalam nada angin satu badan, tapi masih dapat mengawal perasaan.

Pemandu teksi itu kelihatan memberitahu kawan-kawannya dan mereka semua bersepakt tidak mahu pergi, sambil bertegas RM15! kalau nak pergi juga.

"Kenapa RM15? Saya tahu harganya dalam RM7 saja.... , saya selalu naik teksi di sini..Kenapa RM15?" Saya terus menyoal.

"Nanti balik tak ada penumpang," pemandu yang sama memberi alasan.

"Mana boleh tak ada penumpang?" Saya membidas.

Dia ingat saya tidak tahu, kawasan pejabat saya di Jalan Klang Lama itu bukannya jauh tersorok.. bangunannya pun di tepi jalan besar. Nampak sangat dia sengaja memberikan alasan itu.

"Awak ingat saya orang luar, saya orang sini tau? Awak ingat saya orang Indon, orang luar?" Saya terus merungut.


Ada di antara mereka sudah menunjukkan rasa serba salah. Nampaknya pemandu-pemandu teksi itu sudah kantoi, nak mengenakan saya tetapi sudah silap orang... kelihatan mereka berbincang sesama sendiri dalam bahasa Tamil.

Saya sudah mulai cuak dan tidak mahu pedulikan mereka lagi. Dengan wajah masam mencuka saya angkat kaki, ingin pergi ke seberang sana jalan... tak mahu tengok muka-muka mereka lagi.
Sedang saya memulakan langkah dengan perasaan geram, kedengaran seorang memanggil.

"Okey, naik-naik! "

Saya memberikan syarat, "Ikut meter tau?" Pemandu yang bersedia menghantar saya itu mengangguk.

Saya membuka pintu, lantas duduk. Apabila pemandu berkenaan masuk, saya sekali mengingatkan, "ikut meter tau?"

"Ya, ya!" Pemandu itu menjawab sambil cuba menerangkan, "mereka ikut giliran, sebab itu saya tak boleh ambik tadi.."

"Itulah, kenapa nak kenakan saya RM15... you tahu tak, saya ni reporter!" Saya memberanikan diri bersuara sambil menunjukkan raut muka yang serius.

Mendengarkan pengakuan saya, pemandu itu terus tersentak.

"Apa? Reporter? Ayyoooo....," pemandu itu kelihatan gugup lantas menyambung kata-katanya;"Awak tengok muka saya ya, saya tak ambil mahal..."

Dalam hati saya berkata-kata, oo.. tahu takut...

"Saya ni bukan reporter jahat, saya cuma mahu naik teksi dan saya orang sini... Kalau nak kenakan penumpang pun, tengok dulu siapa orangnya," saya memberi ingatan.

"Yalah, tak baik mereka kenakan harga tinggi kepada orang kita," pemandu itu bercakap dengan sopan. "Ofis mana?" Soalnya lagi.

Saya menjawab, sambil sengaja menegaskan perkataan, "BERITA Publishing!" Ini untuk membuktikan bahawasanya saya memang reporter.

Mendengarkan kata-kata itu, saya dapat rasakan yang pemandu berkenaan semakin serba salah dengan kesilapan kawan-kawannya, lantas dia diam... Dan saya turut diam sambil mengetap bibir menahan geram dengan sikap pemandu-pemandu teksi yang cuba mengenakan saya dengan caj tinggi tadi.

Monday, August 15, 2011

Percutian di Krabi, Thailand.


Indahnya alam....Pemandangan di antara dua gua, warna biru kehijauan ini sentiasa tersemat di ingatan. Gambar ini diambil ketika lawatan ke pulau Phi Phi pada hari kedua.


Sebaik tiba di stesen bas Transnasional di Hatnyai, kami menaiki tut tut untuk ke stesen bas utama di mana kami seterusnya menaiki van untuk ke Ao Nang, Krabi.



.




"Krabi? Kat mana tu?"

Demikian reaksi saya pertama kali mendengar nama itu yang sedang diperkatakan oleh rakan-rakan sepejabat. Mereka sedang memilih tempat untuk pergi bercuti dengan membuat tempahan perjalanan bersama pesawat AirAsia yang sedang mengadakan tawaran tambang murah.
"Kat Thailand ke?" Saya meneka mengikut gerak hati dan mereka mengangguk. Betul pula tekaan saya itu.

Lucunya, saya memang agak ketinggalan dalam hal tempat-tempat melancong. Selama ini memang tidak berminat untuk menghabiskan wang dengan cara itu. Walaupun teringin, hati saya kuat menyatakan kalau pergi dengan wang sendiri, `tak payahlah... membazir saja!' Selama ini, saya hanya menunggu peluang untuk pergi secara percuma, atas urusan pejabat. Selama ini pun banyak jugat tempat di negara Asia yang saya sudah sampai melalui perjalanan yang ditaja.

Entah kenapa pada hari itu, hati saya menggeletek untuk ke luar negara dengan wang sendiri tetapi bila mengambil kira perbelanjaan untuk pergi bersama seorang anak dengan pesawat AirAsia, saya bersungut `banyak juga habis duitnya.' Akhirnya saya tak jadi membuat tempahan. Namun nasib berpihak kepada saya, apabila kawan baik saya, Zurin mengajak pergi.

"Kak, saya dah tengok (gambar kat internent).... Krabi, cantiiiikkkkk kak... saya nak pergilah! Akak nak ikut?" Zurin, kaki bag packer menyoal.
"Dengan AirAsia?" Saya menyoal.
"Tak nak dengan Air Asia, lambat sangat... saya nak pergi dalam masa terdekat," ujar Zurin.
"Bila?" Saya menyoal lagi.
"Bulan depan. Saya nak naik bas, murah saja," jawab Zurin lagi.
"Bulan depan? Cepatnya!" Saya terkejut. "Berapa?"
"Untuk seorang perjalanan pergi balik, seratus lebih saja.. hotel kita tempat yang harga patut," tambahnya.

Dipendekkan cerita rancangan kami akhirnya menjadi kenyataan. Rancangan untuk pergi bertiga akhirnya menjadi bertujuh. Semuanya berminat untuk pergi di saat akhir, kerana percaya kepada Zurin selaku ketua.

Percutian selama lima hari bermula Selasa malam. Bertolak dengan bas Transnasional dari Puduraya ke Hatnyai, sekitar jam 10 malam. Sampai di stesen bas Hatnyai jam 6 pagi.
Perjalanan dengan van dari stesen bas Hatnyai ke Ao Nang, mengambil masa kira-kira tiga jam. Van bekenaan menurunkan kami di satu pejabat yang menyediakan kaunter tempahan kegiatan island hopping. Pandai betul, dia sengaja meninggalkan kami di situ - kira-kira 30 minit lagi perjalanan ke kawasan pantai - supaya berpeluang bertanya mengenai tempahan kegiatan melawat pulau.

Sudah tentulah kami bertanya mengenai harga dan sebagainya di situ dan akhirnya mengambil keputusan membayar keseluruhan wang untuk tempahan perjalanan melawat pulau untuk dua hari. Hari pertama kegiatan island hopping dan kedua, lawatan ke pulau Phi phi. Setiap seorang perlu membayar lebih RM100 untuk dua hari lawatan di pulau dengan menaiki bot laju. Pelanggan boleh memilih sama ada ingin menaiki bot laju atau bot ekor panjang (long tail boat). Sejurus selesai tawar menawar dan membayar, van tadi muncul semula dan datang mengambil kami untuk menghantar ke kawasan pantai, destinasi sebenar kami.


Destinasi kegiatan melawat pulau (island hopping) yang pertama di Tup island. Laut biru kehijauan luas terbentang, pasir halus memutih....

Di Tup island kami terperangkap sejam dalam hujan, ketika inilah kebimbangan melanda ... berdiri dalam sebuah pondok kecil beramai-ramai sambil menunggu hujan berhenti, teringat peristiwa Tsunami... "Bagaimana kalau ombak besar melanda dan menenggelamkan kami di pulau yang amat kecil ini? Oh Tuhan selamatkanlah kami! Apakah yang saya buat di sini," bisik hati kecil saya. Ketika itu, saya pasrah. Mujurlah kira-kira 30 minit kemudian hujan berhenti dan kami sambung dengan sesi bergambar.

My dotter ni, dia saja asyik nak bergambar... bagi chanlah kepada dia....

Yana, di tepian pantai, di sebelah long tail boat.

Di Phranang. Saya suka bangat dengan pemandangan di sisi gua dalam laut ini.... huuhhh!

Cuba nak ambil gambar ombak membelah pantai....

Zurin, saya dan Dila dengan gelagat masing-masing... keletihan...

Yana lagi berposing di celah akar berserayut di tepi gua... tempat ini sesuai dijadikan lokasi penggambaran cerita seram.

Yana bergambar dekat papan kenyataan di tepi gua pulau Phranang..

Itulah nama-nama tempat yang kami lawati, pada papan tanda arah tu...

Di depan chalet, di Phranang beach.


Yana dengan Mad, pemandu pelancong kami selama dua hari - island hopping di pantai Ao Nang, Krabi. Mad ni sangat nakal ... dia menggelar saya `amak' (emak) ! "Call me Mad," katanya yang mengakui beragama Islam, memang pun dia Islam ... nama penuh dia, Mohamad.

Dalam bot, bersiap sedia dengan jaket keselamatan untuk pergi snorkeling...

Ini trip keesokan harinya.... ke Phi Phi island.. perjalanan bot melalui celah gua, pemandangannya waduhh.. sungguh mengasyikkan! Rujuk gambar paling atas..

Ketua bag packer kami, Zurin.. kelihatan tegas orangnya tetapi bila terlambung-lambung dalam bot laju yang meredah badai, tiba-tiba dia berbisik, "Kak.... saya takut!!!"


Hmmm akhirnya sampailah ke destinasi, snorkeling... Yana ni yang paling terer... pergi ke tengah laut, yang lain bermain di tepi bot saja.. Yana siap bawa roti dalam botol berair, untuk dituang dalam laut, bagi menarik perhatian ikan-ikan...

Ini hanya sebahagian kecil gambar dari album `Sepanjang Jalan Kenangan' saya di Ao Nang, Krabi... kalau ada masa sambung lagi cerita...

Saturday, July 30, 2011

The making of,,,,

Assalmualaikum,

Untuk kawan-kawan maya yang pernah terbaca angan-anganku untuk membina rumah buat ayah, ...... akhirnya inilah hasilnya. Pembinaan dimulakan sekitar April 2011, sebenarnya banyak gambar yang telah kuambil tetapi percaya atau tidak semua gambar sudah gone.. missing in action - apabila lap top kami dicuri dengan kamera sekali. Sekarang ini musim orang mencuri barangan seumpamanya... berhati-hatilah kawan-kawan simpan dan soroklah barangan berharga itu apabila nak tidur.

Kalau tidak kerana kejadian itu, saya masih lagi tak letak gambar-gambar peringkat pembinaan rumah ini... kerana sakit hati gambar-gambar sedari proses awal pembinaan sudah hilang, ini saya uploadkan terus gambar-gambar yang saya ambil hari ini... sekurang-kurangnya adalah yang tersimpan kat blog ni kalau apa terjadi pada gambar yang disimpan dlm komputer.

Proses memasang kepingan jubin bumbung sedang giat dijalankan.


Pandangan dari depan...
Gambar close up, binaan bahagian depan ini mulanya nak buat tempat letak kereta tetapi akhirnya akan ditukarkan menjadi beranda.

Dua pekerja Indon sedang membuat kerja memasang rangka bumbung.

Eh-eh .... ternampak bendera lama pada pagar, yang sedang berkibar megah, langsung saya rakam dari bawah tiang. Sebab dah nak masuk bulan Ogos, saya uploadlah gambar ni sekali.. nak menunjukkan yo yo o, semangat patriotik he he...

Tiang bulat besar untuk menyokong bumbung beranda...

Pandangan tepat dari depan....

ada masa, saya tambah maklumat.... ngantuk ah...

Thursday, July 28, 2011

Gelagat Sewaktu Sesi Fotografi (sempena keluaran raya)

Semalam, bertempat di Hotel Palm Garden, Putrajaya warga Anjung Seri mengadakan sesi fotografi untuk keluaran raya, September 2011. Kakitangan Unit Editorial, Pemasaran, Promosi dan Foto masing-masing bergaya dengan pakaian ala-ala raya untuk `bertemu' dengan pembaca.

Hmm gambar close up inilah yang paling saya suka, masing-masing mengukir senyuman ikhlas!

Dalam bilik hotel, bersiap-siap dan touch up sambil menunggu kawan-kawan lain tiba untuk sesi fotografi.

Bersama jurugambar GG di kanan dan Sha dari Unit Promosi di kiri.

Bersama rakan-rakan warga AS unit Editorial kecuali Sha yg meneropong dari bahagian Promosi.

Kandid! Menengok gelagat grup Unit Foto berposing....

Sambil berbual-bual kosong sempat lagi menjeling ke arah kamera...

Duduk santai, sambil tunggu giliran untuk ambil gambar. Penatlah tunggu mereka berposing! Ada yang bercekak pinggang, ada yang menyandar ada yang berdiri tegak...

Saksikan gambar terpilih dalam Anjung Seri keluaran September 2011.