Monday, January 10, 2011
Ilham Pelajar
Tajuk: Kerusi Bola
Nama: Amanina Nasir
Ijazah Sarjana Muda Pereka Bentuk Dalaman …
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Pelbagai jenis pameran yang diadakan memberi ilham kepada Amanina Nasir untuk menghasilkan tempat duduk ringkas dan selesa menerusi projeknya yang diberi nama Event Furniture Design. Menampilkan reka bentuk unik berilhamkan bentuk bola, Amanina mengambil kira soal ruang yang terhad sewaktu menghasilkan perabot itu.
“Tempat duduk daripada getah menyerupai bentuk globe atau bola ini, boleh diubah suai kegunaannya sama ada mahu diguna berasingan atau bersekali dengan meja. Boleh didapati dalam pelbagai warna, kerusi ini disediakan untuk pengunjung pameran bagi kemudahan berbincang. Tempat duduk ini boleh dipusing, memberi kemudahan kepada sesiapa untuk duduk dari mana-mana arah atau disusun mengikut kehendak pelan lantai.
Tajuk: Kerusi Lipat dan Beg Tabung Haji
Nama: Muhd Faris Syafiq Abdul Razak
Projek tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda (Pereka Bentuk) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Muhd Faris Syafiq mengilhamkan kerusi yang boleh dilipat.Dengan kerusi ini, ia boleh disimpan,mengambil ruang sedikit.
Beliau juga mengilhamkan beg untuk jemaah Haji pelbagai fungsi yang direka berkonsepka bentuk bangunan Tabung Haji. Berpemegang daripada keluli tahan karat, beg direka berbeza daripada beg-beg lain sebelum ini.
Wednesday, January 5, 2011
Berpisah dengan Hamster
"Adik masuk asrama, mama jaga hamster adik ya?" Pesan Iliyana sebelum mendaftarkan diri di Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya.
"Oh tidak... tidak... ," kata saya.
Tak kuasa nak jaga haiwan peliharaan dia tu... banyak benda nak buat, kalau ditinggalkan dengan saya, silap-silap boleh mati kelaparan lupa nak bagi makan.
Iliyana pun terpaksalah meminta jasa baik kawannya untuk menjaga hamsternya itu.
Menunjukkan muka sedih, terpaksa menyerahkan hamster kesayangannya kepada kawan yang sedang menunggu di luar rumah...
Tuesday, January 4, 2011
Kisah Iliyana pada hari pendaftaran di UM
Awal pagi, Ahad 2 Januari (2.1.11), saya dan Si Dia menghantar Iliyana mendaftarkan diri di Universiti Malaya (UM). Sebelum ini, setiap kali pergi membuat liputan acara, terasa jeles dengan student yang mendapat peluang belajar di situ. Walaupun di sudut hati, ada keinginan untuk melihat anak belajar di UM, tetapi tidak pernah terfikir pula yang ia akan menjadi kenyataan.
Gambar atas: Jalan menunju ke Kolej Kediaman Pertama (Asrama)
Mendaftar di kaunter pejabat Kolej Kediaman Pertama. Iliyana berbaju hijau lumut.
TENGOK BALIK GAMBAR TERAKHIR NI, BARU PERASAN, CADAR TU SAYA GUNA KETIKA SEMESTER AKHIR DI ITM (kini UiTM). SAYA MEMBELINYA SEWAKTU MENJALANI LATIHAN AMALI DI SINGAPURA, 26 TAHUN LALU.. SUKA DENGAN JENIS FABRIK KAPAS 100 PERATUS, SANGAT SELESA, LEMBUT DAN SEJUK. KAINNYA KUKUH DAN TIDAH BERBULU.. TENGOK CADAR NI TERIMBAU KENANGAN LALU.. HU HU..
Sunday, January 2, 2011
Azam tahun ini..
Pada 1.1.11 - Menghadiri majlis pertunangan anak saudara, Biah (anak sulung Mak Long) di Kampung Pulau Mansuk, Jerantut, Pahang. Makanan dimasak oleh penduduk kampung, ramai saudara mara yang datang. Disebabkan rombongan wakil pihak lelaki lambat sampai, saya terpaksa beredar sebelum majlis sebenar berlangsung. Sempatlah makan nasi berlaukkan gulai tempoyak ikan patin.
Setiapkali balik kampung ini, teringat tugas saya yang belum selesai. Ayah meminta saya mendirikan rumah untuk menggantikan rumah kayunya yang tiba-tiba dirobohkan. Saya tahu ayah amat sayangkan tanahnya itu. Di situlah dia membesarkan kami. Ayah membeli tanah itu daripada pemilik asal sewaktu berpindah ke kampung itu lebh 50 tahun lalu. Saya juga asyik terkenang-kenangkan rumah lama itu, kini tapaknya telah kosong. Ayah tidak sabar untuk melihat rumah barunya didirikan. Kalau ikutkan hati, saya ingin membina rumah tradisional daripada kayu semcam rumah lama tetapi kerana ia mahal dan berisiko dimakan anai-anai, baiklah bina rumah batu.
Apabila kami sibuk membincangkan pasal ingin membina rumah baru, mama bersungut. "Rumah dah ada (di Nadi Kota, Bandar Jengka), nak juga bina rumah lain. Ini pun dah cukup," kata dia. Namun di hati ayah lain pula, dia tidak mahu tanah itu terlepas ke tangan orang lain. Berususah payah dia berusaha untuk mendapatkan tanah itu, membeli daripada pemilik asal, arwah Pak Cu Mat, penduduk tempatan. Arwah bermurah hati membenarkan keluarga ayah tinggal di atas tanah itu apabila kawasan tempat tinggal yang ayah teroka bermasalah dengan gangguan kuasa misteri.
Menurut ayah, Pak Cu Mat membahagikan separuh daripada lot tanah kediamannya kepada ayah untuk diduduki. Ketika ayah hendak berpindah dari Kelantan ke Pahang, keluarga mentuanya (datuk dan nenek sebelah Mama) mengambil keputusan untuk mengikut sama. Mungkin kerana tidak mahu berpisah dengan anak kesayangannya (Mama).
"Mula-mula Pak Cu Mat tinggal di sebarang sana jalan. Ketika itu jalan tidak ada lagi. Bila jalan dibina, kawasan tanah tempat Pak Cu Mat tinggal tidak diluluskan untuk pemberian geran, lalu arwah berpindah tinggal di kawasan tanah di sebelah sini jalan. Dengan itu kawasan tanah yang diberi kepada ayah dibahagi dua pula dengan arwah.
"Sewaktu kerajaan mahu mengutip bayaran untuk kelulusan geran tanah, Pak Cu Mat tak ada duit, jadi ayah tolong bayarkan semuanya. Kerana arwah sudah bermurah hanti membenarkan keluarga ayah tinggal di situ, jadi ayah kata, tak apalah, ayah tolong bayarkan," cerita ayah.
Berpuluh tahun juga ayah tinggalkan kampung di dalam daerah Jerantut itu untuk berniaga di Bandar Jengka. Sebelum menutup mata, ayah mahu duduk kembali di situ, kerana kedai-kedainya di Bandar Jengka sudah diserahkan kepada anak-anaknya untuk diuruskan.
"Sabarlah ayah, orang sedang giat mengumpul wang tunai untuk membina rumah impian ayah tu," bisik hati saya.
Thursday, December 30, 2010
Kisah Cuti Sekolah
Lagi beberapa hari nak buka sekolah, baru berpeluang menjenguk kedai untuk membeli baju sekolah Kamil. Dia yang dah nak masuk tingkatan 2, baru nampak tinggi sikit tetapi masih tidak dapat mengatasi ketinggian sepupu2nya... Banyak baju harian dia sudah tak muat. Dah lama dia merungut, tetapi tak sempat nak pergi beli. Malas betul nak ke kedai.
Sebelah pagi sempat ke sekolahnya beli buku tulis. Sewaktu balik singgah di kedai uniform belilah sepasang baju pengawas briged - warna ungu dan satu seluar hitam. Balik rumah dia terus terkam komputer main game dan berfb seperti kebiasaan. Saya dah cemas, sebulan cuti haram tak buka buku. Sepanjang cuti ni, kegiatan berfaedahnya ialah belajar tahfiz dengan sepupu2 di sekolah agama lamanya. mula-mula tak nak tetapi saya paksa. Itupun 20 hari saja Dapatlah hafal satu surah Yassin. Okeylah juga daripada saya kena baca tengok buku.
Lepas selesai program tahfiz, sempat juga saya bawa budak-budak tu ke Port Dickson. Menginap di pusat latihan penulis di Seri Pena, NSTP.
Kami sampai tengah hari. Kegiatan paling menyeronokkan ialah mandi kolam dan naik bot banana... Kami berenam, Kamil dan tiga sepupunya, kakak Kamil, Iliyana dan saya. Si Dia penakut, tengok saja. Bukan main seronok lagi dapat naik bot laju....
Sejak keluar dpd daripada Berita Harian (BH) hampir 10 tahun lalu, saya tak jejak lagi ke sini. Sewaktu masih jadi staff di BH, selalu juga bawa family bermalam di situ. Keadaan masih sama sahaja, cuma tepi pantai luar kawasan Seri Pena, terdapat gerai menjual pelbagai jenis barangan.
Bila berani sikit... mulalah cuba berenang dan menyelam.
Lama-lama dah berani, main air tak sedar apa dah...
Tu dia, dan naik dah...
Gambar bawah; Eh apa pula ni?
Esoknya, bangun pagi-pagi terus ke tepi pantai.. saya terkejut nampak benda seperti kura-kura besar, ingatkan patung atau pelampung bentuk haiwan... telek-telek rupanya penyu sesat, dah mati rupanya.... bahagian kepala dan tangannya cedera sikit, agarnya dilanggar oleh bot.
Kami pun bergambarlah dengan penyu mati tu..
Wednesday, December 29, 2010
Flashback Persembahan Makyong
Tamat sudah pengajian tiga tahun Iliyana di ASWARA. Lega hati saya apabila dia berjaya dalam pengajian peringkat diploma (Penulisan Kreatif). Namun perjuangannya belum berakhir, bakal melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pula. Pada 2 Januari ini, akan bermulalah episod pengajiannya di universiti tertua di tanah air itu.
Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti Iliyana akan menjadi siswa di UM walaupun hakikatnya di hati kecil ini terselit harapan agar dia berpeluang melanjut pengajian di situ. Saya tahu, bukan senang untuk mendapat tempat di universiti ternama itu jika keputusan pengajian tidak seberapa. Namun pengajian di ASWARA menjadi laluan mudah untuknya memanjat tangga menara gading itu.
Tiga tahun lalu, sewaktu Ketua Jabatannya memberitahu saya bahawa lulusan ASWARA lebih mudah diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam, saya kurang yakin dengan katanya-katanya... "Mungkin sekadar mahu menyedapkan hati saya sebagai ibu," bisik hati kecil saya.
Sebenarnya saya kecewa apabila Iliyana menolak tawaran ke UiTM kerana ingin kekal berada di ASWARA. Ketika itu dia sudah satu semester berada di ASWARA. Biasalah budak-budak, bila dah selesa dengan kawan-kawan di situ, tidak mahu lagi pergi ke tempat lain.
Perasaan saya, memang gembira apabila Iliyana dapat melanjutkan pengajian di UM, tetapi pada masa sama agak terkilan dengan bidang pengajian yang bakal diikutinya nanti. Namun saya cuba untuk melupakan perasaan itu dan berdoa yang terbaik untuk dia biar apa pun bidang yang diceburinya.
Dipaparkan lagi gambar yang mengimbau kenangan saya sewaktu menonton persembahan tradisional Makyong yang disertai Iliyana dan kawan-kawannya dalam exam tahun akhir di ASWARA.
Gambar atas: Bersedia untuk memulakan persembahan yang dimulai dengan iringan muzik yang lemah gemalai.