Sunday, June 27, 2010

Oren! Oren! Oren! Lawan baju oren.


Pengantin turun daripada kedai stokis Zhulian Mak Long selepas di make up, buat lawak naik basikal kecik. Waktu nilah juga mereka nak pastikan semua pakai baju tema, warna oren mengikut warna baju pengantin.


Mok Su pemilik kedai pakaian wanita dan lelaki, sibuklah mengeluarkan baju-baju warna oren untuk dicuba oleh puak-puak lelaki. "Ni satu baju T untuk budak, siapa muat pakai!"

Si Dia mula-mula terkejut bila disuruh tukar baju, komain lagi menjeling. Bila biras-biras lain pakai, barulah terasa ingin turut pakai, tapi malu-malu... ego lah tu!


Akhirnya Mok Su berjaya juga menyuruh semua ipar-ipar menukar kepada baju T oren. Di kanan sekali ialah Sedi adik lelaki pengantin, pakai baju oren hitam putih, Ikram anak Mok Teh (kiri sekali), terselit di celah tiang, pakai baju T bertulis di depan. Mak Long (2 dari kiri) dan Mok Su (berdiri di belakang). Duduk di depan dari kiri. Pok Teh, Pok Cik (Si Dia) dan Pak Ngoh (berdiri) dengan baju T berkolar oren! Sebelah kiri tu kelihatan kedai frozen Pok Su dan di kanan kedai pakaian Mok Su - tutuplah hari ni sebab nak gi kenduri.

Ambil peluang bergambar dengan pengantin, Yue dan Hadi. Di kiri sekali Biah (kakak sulung Yue) dan Nor, adik Yue. Di sebelah kanan Yue, saya (Mok Cik) dan Mok Muda.

Ahli keluarga pengantin perempuan. Dua orang lagi tak ada, kesian, Sedan dan Nani di asrama, tak dapat balik.

Yue dan Hadi bersama Atuk Ma dan Atuk Ayah

Sukanya saya dengan gambar yang terang ni, nampak suasana kampung dengan kehijauan pokok di kiri dan kanan jalan bertar. Semasa kecik-kecik dulu, belum begini lagi jalannya, tanah merah sahaja. Sambil Si Dia ambil gambar pengantin, sempat juga fokus kepada saya di tepi (kiri sekali). Kalau nak tahu (tanpa segan silu nak bagi tahu), baju oren tu Mok Su yang punya, baju kebaya hijau yang saya bawak tak jadi pakai sebab nakkan tema orenlah katakan!


Dah nak sampai ke rumah pengantin lelaki, kedua-dua mempelai melangkah dengan penuh berhati-hati...

Bergambar kenangan di pintu gerbang, sebelum melangkah masuk ke khemah pengantin dan menaiki jenjang pelamin.



Kisah perakahwinan Yue dan Hadi lagi.

Hari ini saya menyertai rombongan ke rumah pengantin lelaki di kampung asal kami, Pulau Mansuk, Jerantut. Tiga minggu berturut-turut balik kampung kerana majlis kahwin. Mula rasa macam tak nak pergi, tapi last minute buat keputusan balik jugalah. Takut nanti terkilan tak masuk dalam peristiwa hari itu.

Alkisahnya, mereka tak cakap pula nak pakai baju bertema. Saya bawa baju silk n songket Vietnam hijau, Si Dia pula dengan baju batik hijaunya. Sewaktu sibuk bersiap untuk pergi pagi tadi, barulah mereka beritahu nak pakai baju oren. La mengapa tak cakap... tak puas hatilah saya kalau lain daripada orang lain, nak juga pakai baju tema. Mok su pun pinjamkan baju kurung dia.

Sewaktu berkumpul di hadapan kedai di Nadi Kota Bandar Jengka, kecohlah masing-masing menukar pakaian. Kebetulan Mok Su menjual pakaian lelaki dan wanita. Apa lagi, dia pun ambil kesempatan keluarkan baju-baju T baru warna oren untuk dipakai oleh sedara-sedara lelaki. Mak Ngah (tukang jahit) yang bertungkus lumus menjahit baju sendiri di saat akhir hingga siap, akhir tak juga pakai baju tu, kerana kena ikut plan last minute pakai baju oren.

"Kata nak lawan baju oren dengan pihak lelaki, kenalah ramai-ramai pakai oren," kata Mak Long, mak pengantin.

Selit sikit latar belakang keluarga kami, selain saya yang tercampak kerja di majalah, yang lain semuanya berniaga. Mak Long dengan kedai stokis Zhulian, Mak Ngoh (kedai jahit), Pok Muda (kedai kasut dan pancing), Pok Su suami Mok Su (jaga kedai frozen food), Mok Su kedai pakaian.
Mok Nik jaga kedai kasut Pok Muda Pok Teh suami Mok Teh yang baru bersara dpd askar tolong urus edar gas masak. Mok Nik dulu tolong jaga kedai tetapi tarik diri, pilih jadi tukang masak ayah dan ma sambil jadi `misi' jaga bagi ubat ma yang sedang pulih dpd stroke.



Friday, June 25, 2010

Bagai Nak Patah Pinggang!

Mujurlah ada Yana, sedang turunkan ilmu belajar memasang kepada dia.
Si abang dia yang janji nak tolong, masa tulah pula demam tak bangun.. kena kami bertiga menguruskan pemasangan dan mengangkut, saya, yana dan si dia. Kerusi berpenyandar tinggi trend terkini, pelik saya tengoknya tetapi bila dan letak di pelamin okey pula nampak.

Pelamin shocking pink dan hitam berlatarkan putih pilihan pengantin. Kain backdrop tu bukannya senang nak dibentuk seperti yang dilihat. Saya dan Yana bertungkus lumus memasang kain itu pada rangka beberapa hari sebelum hari pemasangan di dewan.


Kisahnya......

Demi kawan, pada malam itu, bagai nak patah pinggang menguruskan pemasangan pelamin di dewan Polis Gerakan Am, Cheras. Pertama kali masuk, amboi mak besar sungguh dewannya. Saya sampai di waktu petang, budak-budak sedang bermain badminton di dalam dewan.

Banyak barangan yang kena bawa sehingga terpaksa menggunakan dua trip van. Sebaik sampai cepat-cepat pasang, sebelum kawan tu datang. Biarlah sewaktu mereka datang, pelamin dah hampir siap ditegakkan. Dengan harapan leglah mereka melihat pelamin idaman sudah tersergam di hadapan mata.

Memang betul waktu sedang touch up, pengantin perempuan dan emaknya pun muncul. Bila rangka pelamin selesai disusun, saya memberitahu mereka terpaksa pulang untuk mengambil pentas dan kerusi. Selepas maghrib kami sampai dan terus sambung dengan kerja menyempurnakan hiasan pelamin. Sekali lagi keluarga pengantin datang untuk melihat. Nasib baiklah mak pengantin macam kawan, sangat sporting tidak cerewet. Begitu pun saya berusaha memberikan yang terbaik untuk mereka.

Sampai saat nak pasang gerbang, bahagian belakang saya sudah sakit sangat tetapi cuba kontrol hansem, duduk jauh-jauh sebab dah tak larat nak berbual. Sikit-sikit membuka mulut untuk bercakap. Kaki pun dah lenguh. Mujur ada anak dara seorang tu, si Yana... nak sangat menguruskan bisnes pelamin. Saya beri dia peluang membuatnya bersama. Kesian juga si dia yang juga penat tidak terkira. Bahagian dia, tolong pasang tiang dan lighting. Hasilnya, hah itulah seperti gambar di atas.

Gayanya sederhana sahaja tetapi dalam hati dah seronok sangat kerana berjaya pasang pelamin besar yang baru dibeli, siap dengan lampu chanderlier lagi.

Ada yang menarik tertinggal, nanti saya tambah cerita. Upload gambar dulu.


Sunday, June 20, 2010

dah nak jadi!



Sekitar majlis walimatulurus anak saudara, Yue dan Hadi.
(Baca kisah di bawah sekali)

Gambar atas: Pihak perempuan menyambut kedatangan rombongan pengantin lelaki.
Pak Pak!Pung! Pak Pak Pung! Bunyi kompang (muzik dari cd je pun). Suka dengan suasana latar belakang desa yang nyaman di Mercu View Resort.


Pengatin perempuan bersiap sedia menunggu. Ahli keluarga perempuan mengenakan pakaian seragam biru putih - warnanya(bukan corak) ala2 baju seragam plkn gitu. Kain dibeli adik beradik pengantin, tukang yang menjahitnya ialah Mak Ngah (salah seorang mak saudara Yue). Mujurlah mak saudara tu tukang jahit. Tapi saya dipesan, masing-masing kena gak bayar upah, untuk pembantu Mak Ngah yang turut tolong menjahit... ha.. siapa yang pakai baju seragam tu jangan pula buat-buat lupa bayar....

Masih lagi menunggu... tak sabarlah tu.. Eh si Yana (kanan sekali) tu orang suruh ambil gambar dia pula menyelit dekat pengantin, buat alasan nak pegang payunglah konon! Pengapit baju putih, Nor adik perempuan Yue dan yang pegang bunga manggar Sedi, adik lelaki Yue. Baju kebaya les pengantin saya jahit ala kadar. Berkenan pula oleh Yue, dia ambil dan pasang manik serba sikit. Baju lapik satin dijahit pula oleh Mak Ngoh. Payung tu tentulah saya punya dan gerbang tu pun kami pasang lebih kurang je. Janji ada warna biru.

Pelamin untuk Yue dan Adi bertemakan biru dan putih, disponsor oleh saya, jauh-jauh bawah dari KL. Terima kasihlah kepada Pok Su dan Mok Su yang tolong mengangkutnya dengan lori. Pelaminnya simple saja, mula-mula panik juga nampak kosong je... mujurlah tak lama kemudian keluarlah bunga bebola gantung. Ingat juga Yue apa yang pesan, dari awal lagi saya rancang nak pasang bunga gantung bebola tu... tetapi saya tak sempat nak beli. Rupanya Yue beli alat dan cucuk sendiri bunga tu... Tak sarat bunga pun, sikit-sikit ada jadilah kan.



Puaslah hati mereka dapat duduk bersanding atas kerusi besar gabak ni. Kerana saya sibuk dengan persediaan untuk majlis di KL, Yue pun tolong sediakan bunga bebola gantung tu. Selepas backdrop dipasang, kami hanya perlu gantung-gantung saja. Kerja tu dibuat oleh Yana. Rasakan, nak latih dia, saya tengok saja dia buat, terjengket-jengket berdiri atas kerusi nak stapler pada siling. Nasib lekat. Mujur dia tinggi. Harap maknya (saya) memang tak sampalahi kalau tak pakai tangga. Tunggu gambar profesional lambat, upload jelah gambar sendiri dulu. Ambil gambar main tembak, tak adalah teknik2 fotonya. Jadilah. Tapi hasilnya, biru sangatlah Mak Ngah!


Ramainya.... Berkerumun di hadapan pelamin merakamkan gambar.
Hari ini Raja Sehari macam selebriti. Saya paling suka dengan aksi ni...


Lepas pengantin dan rombongan lelaki santap, warga kerja daripada keluarga pengantin perempuan tidak lepaskan peluang, menghabiskan sisa makanan raja sehari. Saya berdiri je tengok mereka, awal-awal lagi dah ambil peluang makan bersama pengantin. Letih-letih gitu, tak delah rasa nikmat makananya... sekadar merasa saja.


20 hb JUN 2010.


Selesai sudah majlis kahwin anak saudara, Yue di Bandar Jengka, Pahang. Serentak pula dengan majlis anak kawan di KL. Biasalah, tugas saya sibuk di bahagian pelamin. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar.

Sekian lama peralatan pelamin saya bersawang di dalam stor. Sempena perkahwinan Yue, saya berazam untuk memanfaatkan barang-barang tersebut.Tapi, mereka mahukan pelamin terkini. Kenalah beli tiang besar putih dan kerusi besar gabak tu. Ikut trend sekaranglah katakan. Jadinya, hampir semua barang dibeli baru termasuk lampu candelier dll. Banyaklah keluar modal, Yue sahaja makan RM2,000 dan untuk anak kawan tu pun lebih RM2,000. Harap-harap lepas ini, adalah orang lain tempah supaya balik modal.

Majlis Yue berlangsung di Mercu View Resort, Bandar Jengka. Glamour namanya tetapi tempat tu biasa-biasa sahaja. Si Izzat (anak sulung saya tu), sibuk menguruskan hal lampu spot pelamin yang asyik padam. Termasuk lampu spot pada alang pelamin. Mentolnya terbakar. Marah benar dia, `ini mesti kerja mereka yang tumpang ambil gambar di pelamin tu. Nak buat macam mana, ramai yang minat nak ambil gambar. Risaunya saya, takut kerusi putih gebu tu kotor kalau ramai yang duduk. Sibuknya saya menguruskan hal pelamin hingga tak sempat tukar baju, untuk menyaksikan majlis nikah.

Alkisah, kerana salah pengumuman orang masjid yang yang mengatakan pada malam itu ada ceramah di masjid, kenalah tukar lokasi majlis nikah di dewan perjumpaan/mesyuarat pejabat stokist Zhulian, tempat mak pengantin (mak Yue) bekerja. Sepantas kilat, kerusi-kerusi dibawa keluar untuk mengosongkan ruang. Tempat tu sesuai sangat kerana ada pentas rendah, dapatlah bina backdrop ringkas. Seluruh lantai dihamparkan permaidani. Sebaik tempat itu siap dihias, ayah memberitahu Mak Long yang orang masjid tersilap buat pengumuman. Rupa-rupa tidak ada acara pun di masjid kerana ceramah agama ialah pada esoknya.

Itu tak apa lagi, nasib kawan di KL lebih malang. Betapa tidak makanan yang ditempah utk majlis itu tak sempat siap. Pengantin dan rombongan lelaki tak dapat makan kerana makanan yang dihantar hanya untuk kira-kira 100 orang. Sedangkan tetamu lebih ramai daripada itu. Sayangnya sungguh, saya dah buat pelamin besar dan cantik, ditambah pula dengan kumpulan petugas dan penyambut tetamu daripada kalangan ahli keluarga perempuan yang berpakaian anggun lagi manis, tetapi gitu pula jadinya majlis itu. Nasib baiklah saya tidak terbabit dalam bab tempahan makanan. Risiko kejadian macam nilah yang saya takut untuk menguruskan tempahan katering. Geram dan malu punya pasal, mak pengantin ambil keputusan membuat aduan kepada tribunal pengguna dan menuntut ganti rugi malu.

Bayangkan anda sebagai tuan rumah/mak pengantin, apa perasaan kalau makanan yang ditempah tak sampai-sampai, manakala tetamu sedang menunggu kelaparan?

Tuesday, June 8, 2010

Cuba nasib.....

Daripada warna kosong..... (atas)

Jadilah begini....hasil cubaan saya menggunakan perisian hiasan dalaman Elyza's....
Rencana khusus mengenai perisian dan majlis pelancaran nanti saya masukkan....



Assalamualaikum kawan-kawan maya semua... rasa bersalah pula membiarkan laman bersawang sekejap, sibuk sungguh hingga tak berpeluang nak mengupdate blog. Terima kasih pada kawan-kawan maya yang sudi meninggalkan jejak di Duniaku Rashidah... sayangnya tak dapat nak bagi buah tangan...

Entri kali ini, mungkin ada kesinambungan dengan entri sebelum ini. Dalam tugasan minggu lepas, saya dan seorang staff marketing, berpelung menghadiri Majlis Pelancaran Perisian Hiasan Dalaman Elyza's... perisian (software) yang dapat membantu kita memilih dan menyuai padan corak serta warna fabrik Elyza's menerusi komputer. (Baca rencana di bawah untuk keterangan lanjut mengenai perisian itu).

Teruja dan tak sabar pula nak bercerita.... Selepas pelancaran, lima ahli media diberi peluang mencuba perisian itu. Yang mendapat tepukan terkuat akan dipilih sebagai pemenang.

Seperti biasalah saya `alergi' kalau fasal bertanding, tak pernah yakin pada diri sendiri.. jadi tidaklah angkat tangan untuk mencuba walaupun teringin. Lima yg mengangkat tangan dipanggil ke depan...saya ikut ke depan untuk tengok mcm mana mereka menggunana perisian itu... satu kerusi masih kosong, agaknya salah seorang yang angkat tangan tadi tu takut... saya pun tawarkan diri untuk mencuba dan diterima lalu duduk di depan salah satu komputer.

Setiap peserta diberikan gambar ruang kediaman tidak berwarna. Tugas kami ialah memilih fabrik dan menyuaipadankan warna mengikut kesukaan masing-masing. Senang saja, klik pada kod jenis fabrik dan corak, letak curser pada fabrik mengikut corak dan warna pilihan, kemudian tarik kepada bahagian yang hendak kita warnakan, misalnya pada sofa, kusyen atau langsir.

Menggelabahlah juga nak mencari corak warna yang disukai, nasib baik ada staff yang membantu. Bila saya kata nak warna sekian, corak sekian.. dia bantu saya cari daripada kod fabrik yang tertera.

Mula-mula saya terjumpa corak bunga yg ada sedikit sentuhan jingga .. itu untuk tema country...saya tak berapa suka kerana penataan begitu selalunya nampak sarat.. tapi kerana nak cepat, letak saja corak itu pd sofa utama (2 tempat duduk). Berasaskan corak sofa itu, saya pun pilih dan padankan warna untuk keseluruhan unsur kemasan yang ada.

Bagi mengelakkan suasana nampak sarat, saya gandingkan dengan warna polos jingga untuk satu lagi sofa dan kusyen. Manakala langsir berikan gandingan polos + jalur petak jingga. Terendak lampu pula diberikan corak serupa sofa pertama tadi. Selepas siap, reka corak itu disave. Kemudian `hasil penataan' peserta dipaparkan pada skrin besar untuk dipilih pemenang.

Tak sangka pula hasil ilham saya mendapat tepukan paling kuat, termasuk saya sendiri yang menepuk sampai merah tapak tangan, turut disokong dua lagi rakan sekerja yang hadir saya... Terima kasihlah kepada mereka... Zurin dan Serena! Maka daptalah hadiah, ingatkan apa.. rupanya speaker komputer mudah alih...

Berkenan pula saya tengok suai padan corak itu, bolehlah guna di rumah impian nanti. Gandingan country dan moden..


Sunday, May 23, 2010

Ayah yang baik hati dan rumah impianku.

Rumah Impianku

Perspektif dari depan. Pelan asal ini diubah sedikit, daripada dua banglo menjadi satu dengan courtyard besar di tengah. Ala-ala resort gitu... komain lagi angan-angan tu!

Pelan lantai yang dirancang, diubahsuai dari lakaran ini.

Padangan daripada belakang.


Angan-angan ini... adakah akan menjadi kenyataan?

Lewat beberapa bulan ini, hatiku asyik tersentuh apabila mengenangkan ayah. Dek terlalu sibuk dengan kerja dan memantau Iliyana menyempurnakan tugasan kursusnya, dua bulan dah tak menjenguk orang tua di balik kampung. Pagi semalam, aku dan si dia ambil kesempatan balik. Cadangnya nak balik sekejap saja. Pergi pagi, balik petang.

Sesampai di rumah dalam11.30 pagi, kelihatan ayah dan ma di dapur. Mok Teh yang bertugas memasak sepenuh masa untuk ayah dan ma sedang menggoreng sesuatu. Ma terkejut melihat kemunculan tiba-tibaku. Sengaja tak beritahu mereka, kami nak balik. Selepas berpelukan dengan ma dan bersalaman dengan ayah, aku menolong mok teh memasak. Sedang makan tengah hari (enaknya bersambalkan sambal belimbing jeruk), aku beritahu ayah, kejap lagi nak balik. Petang ni juga.

Terkejutlah orang tua tu. Terdetik di hatiku, apa punya anak, tak sampai sehari dah nak balik. Sendiri rasa bersalah tetapi tidak pula kusangka, tetiba ayah mengusulkan pada ma.

"Ha wei.. tak nak ikut gi KL. "
Ma menunjukkan wajah yang kelat. Selepas baik daripada koma hari itu, dia tidak gemar berjalan jauh. Tapi ayah tak boleh berenggang, asyik nak heret maa ke sana ke sini. Dalam tak berapa sihat, dah dua kali dah balik Kelantan.

Di pendekkan cerita, ayah dan maa ikutlah kami balik ke KL. Alasan tujuannya ialah untuk melihat rumah baru cucu sulungnya. Dalam perjalanan balik dari Bandar Jengka, kami singgah di kampung ayah di Jerantut. Tujuannya, nak tengok rumah adik kepada maa yang baru dibina di atas tanah ayah.

Terfikir aku pasal hal ini, semuanya kerana tetiba ayah sudah meminta aku membina sebuah rumah di atas tanahnya itu. Tiba-tiba saja ayah yang sudah berpuluh tahun duduk di Bandar Jengka, ingin tinggal di kampung itu pula.

"Kalau rumah tu dapat dibina, bolehlah kita semua berkumpul di kampung pada waktu raya dan kenduri kendara," ujar ayah. Maklumlah rumah di Nadi Kota, Bandar Jengka itu sudah tidak muat untuk menampung kesemua anak cucunya yang berkumpul serentak. Tujuh anak dah jadi 14 bila termasuk pasangan masing-masing dan kemudian menghasilkan lebih 2o cucunya.

Aku memang tak sabar nak bina rumah idaman tu, bukan apa, supaya ayah sempat menghabiskan hari tuanya di situ tetapi pada masa sama aku terfikirkan pula kata-kata ayah: "Mungkin ayah hanya sempat tinggal setahun dua saja," (merujuk kepada usianya yang sudah lanjut). Aku sebak tetapi dalam hati dok fikir, kalau ma dan ayah tak ada, adakah aku nak duduk di kampung, di rumah itu.

"Kalau mu bina rumah tu, mu duduklah nanti rumah tu. Rumah tu nanti jadi rumah mu juga." Berkali-kali ayah berkata begitu.


Maka terbayang-bayang banglo idaman banglo di kelilingi taman... Mulalah terfikir nak gaya tradisional, ke Bali, ke moden atau kotej? Pas tu terfikir pula, kalau duduk di kampung, macam mana ngan anak-anak, mereka tu dah confirm tak nak. Izzat dan Yana, awal-awal lagi dah sound, tak teringin nak duduk di kampung.

Hmm aku masih berfikir-fikir...

Friday, May 21, 2010

Terkenang dia.


Sempena keluaran raya 2009, kami diberi peluang bergambar untuk disiarkan di dalam majalah. Maka masing-masing pun bergayalah dengan aksi tersendiri. Begini gelagatnya, posing secara santai konon. Dua daripada mereka di atas iaitu yang bertudung ungu dan hitam sudah tidak lagi bersama kami. Sesekali rindu datang menjemput kepada kawan yang memakai baju berbunga halus bertudung hitam tu. Dia kawan baik saya sewaktu pejabat kami masih di Berita Harian. Ketika itu setiap petang saya menumpang keretanya untuk balik ke rumah. Budi baik mu kanku kenang sampai bila-bila....

Sunday, May 16, 2010

Madrasah Nurulhuda Perlu RM15,000

Ustaz Kosem menunjukkan gambar pelajar dan madrasah yang sedang dibina. Samalah pula dengan gambar kat atas, tak tahu cam mana nak delete. Gambar yang ini kecil saiznya, gambar yang atas sekali boleh dienlarge lebih besaaar...

Gambar ahli lembaga pengarah


Saya turut menyampaikan sedikit derma. Gembiralah juga dapat memberi sumbangan kepada pemungut yang tidak mencurigakan. Sewaktu kunjungan media bersama Yayasan Salam di Kratie, Ustaz Kosemlah antara orang yang menerima kunjungan rombongan dari Malaysia dan menerima sumbangan derma untuk madrasah. Sebahagian besar penyumbang adalah rakyat Malaysia. Pemerhatian mendapati orang di sana ternyata miskin dan daif.



Ukuran Madrasah (2 tkt). Panjang: 30 meter, Lebar 22 meter. Tinggi 16 meter.
Anggaran wang yang diperlukan untuk menyiapkan madrasah, RM15,000 sahaja lagi.
Pembinaan bermula pada tahun 2007 dan sudah 90 peratus siap.

Alamat: Thnoth Village, Pongro comone.chhloung
Daerah: Kratie, Kemboja.


Sebarang pertanyaan, hubungi nombor telefon 855-12-279003 (Kemboja) dan nombor telefon 017-3087739 (Malaysia).
Boleh masukkan terus wang ke dalam akaun: ACLEDA Bank Plc
SWIFT CODE: ACLBKHPP
CHIPS uid 415637

ATAS NAMA: Man Ka Soem
No Akaun: 1008-20-000677-1-1


Suatu hari dapat panggilaan telefon jauh dari Kemboja. Pemanggilnya Uztaz Kosem Mhd Daud, Pengasas dan Pengerusi Sekolah Madrasah Nurulhuda di wilayah Kratie. Lantas teringat yang saya pernah memberikan sekeping kad nama kepada seseorang selepas sesi temu bual sewaktu mengikuti rombongan Yayasan Salam di Kemboja.

Menerusi panggilan itu, beliau memberitahu saya akan ke Malaysia dalam misinya untuk mendapatkan derma bagi menyiapkan madrasah berkenaan. Selang beberapa minggu, Ustaz Kosem menelefon dari Kelantan dan memberitahu dia akan turun ke Kuala Lumpur.

Sesampai di Kuala Lumpur, beliau terus menghubungi saya dan kami mengatur temu janji di KL Sentral. Dalam hati risau juga, Ustaz Kosem menaruh harapan tinggi kepada saya untuk membantunya mengumpul derma. Manalah saya ada wang banyak nak disumbangkan, setakat mana mampu bolehlah... dan saya juga tidak ramai kawan daripada kalangan orang kaya dan korporat.

Selepas bertemu bual dan menyampaikan sedikit sumbangan, saya memberitahunya akan mewar-warkan rayuan derma melalui facebook dan blog. Beliau sangat gembira, katanya dengan meminta bantuan orang seperti saya, hasilnya lebih baik daripada dia pergi dari seorang ke seorang untuk memungut derma. Saya berasa terbeban. Ini pun sudah terlewat `menyiarkan' rayuan ini. Rasa bersalah sangat.

Sebagai bukti dia memungut derma secara sah, Ustaz Koesem memberikan saya satu risalah yang antara lain terkandung salinan Sijil Kebenaran daripada kerajaan Kemboja.
Setakat ini sekolah itu mempunyai 60 pelajar semua lelaki. Menurut Ustaz Kosem, dermawan yang ingin menaja pengajian pelajar juga dialu-alukan.
Dalam risalah itu tercatat maklumat, "Kepada sesaipa yang berhajat untuk infaq atas nama Madrasah Nurulhuda, jadual perbelanjaan adalah seperti berikut;
1. Untuk gaji Ustaz - 4 orang sebulan USD 400.00
setahun USD 4,800. 00
2. Untuk makan pelajar 60 orang sebulan USD 1,000.00
setahun USD 12,000.00
3. Untuk Thaam Pelajar sebulan USD 1,000.00
setahun USD 12,000.00
4. untuk minyak generator sebulan USD 50.00
setahun USD 600.00
Jumlah perbelanjaan setahun USD 18,240.00
Besar sungguh ganjaran pahala bagi mereka yang mampu memberi sumbangan banyak untuk kegiatan pendidikan agama.
Selamat menderma... Amin!