Friday, June 26, 2009

Berkat niat bersedekah...

Tidak tahulah sama ada satu kebetulan atau memang ditakdirkan.... Ikut Islam, kalau kita mendapat sesuatu rezeki, kita mesti sedekahkan sedikit kepada orang lain. Barulah berkat. Memang dah tahu lama perkara itu.

Pernah seorang kawan mak andam, memberitahu saya - setiap kali suaminya mendapat bayaran daripada projek binaan, dia akan sedekahkan sedikit kepada rumah kebajikan/anak yatim. Dan suaminya tidak putus dapat projek, walapun dalam keadaan ekonomi merudum. Dulu saya pun berniaga, tapi tak sangat mengambil berat mengenai perkara itu. Patutlah susah sangat nak maju.

Berbalik kepada persoalan yang nak dicerita dalam intro entry ni tadi, apabila Iliyana mendapat cek daripada Aswara, saya cuba pastikan yang amalan bersedekah itu dilaksanakan `dengan niat'. Kerana sangat seronok, belum lagi ambil cek, dah belanja kawan-kawan makan pada sebelah pagi. Hanya keluarkan beberapa puluh ringgit saja, tup-tup pada tengah hari itu juga, tuhan menurunkan rezeki lain bernilai RM1,000.

Panggilan rezeki di pagi hari.


Gambar Iliyana (di depan) bersama rakannya.



Semalam,

"Kring-kring." Bunyi telefon rumah. Ketika itu saya sedang bersiap-siap untuk ke pejabat.

"Eh siapa pula telefon guna telefon rumah." Bisik hati saya. Selalunya orang akan menghubungi saya menggunakan telefon bimbit. Saya angkat.

"Hello..."
"Hello...
"Dari mana?"
"Dari Aswara."
"Ya... ada apa?"
"Itu siapa... Iliyana ada."
"Emak dia."
"Oh ya, ini ada cek.. suruh Iliyana datang ambil cek. Bawa cop."

Erm... berita gembira untuk Iliyana. Tahulah saya, itu mesti cek bayaran untuk iklan dalam buku dia `Diari Khidmat Negara'. Dia pagi-pagi lagi sudah ke pejabat... hari ketiga latihan praktikal di Kraftangan.

Apabila diberitahu mengenai berita itu, beranganlah Iliyana nak beli kereta baru. Macamlah duit tu banyak.

"Kalau nak sangat beli kereta, tulis buku sekurangnya lima buah dalam setahun.... barulah kut-kut dapat royalti berpuluh ribu ringgit...," kata saya.

Hati yang gembira

Hari ini hari yang gembira.... sebabnya meeting bulanan pagi tadi berjalan lancar. Mood B baik hari ini. Apa yang B nak semua sudah disediakan. Bahan sudah banyak masuk. Senarai tajuk cadangan saya sediakan lebih kurang. Tajuk sikit saja, tapi saya besarkan fond supaya nampak penuh kertas. Jadi nampaklah macam banyak tajuk.

Yang mengejutkan, B terima semua tajuk cadangan. Bila tiada masalah, tiada hal yang berbangkit, tiadalah leteran. Bahkan diselitkan pula sesi berjenaka. Masa meeting pun dapat dipendekkan, tetapi jadi lama kerana diakhiri dengan makan-makan. Bagaimanapun dalam bergurau senda, ada juga yang terkena. Kesian dua rakan tu, mereka mereka berkecil hati/sakit hati....

Sebelah petang pergi assignment - ambil gambar rumah, projek seorang arkitek client syarikat kami. Arkitek yang menjadi contact saya tu, hem... bukan sahaja tidak jemu memberi rumah untuk diambil gambar, bahkan sangat baik hati. Siapa pun akan gembira apabila kita dilayani dengan begitu baik, kalau tidak dijamu makan selepas tugasan, dia akan memberikan sesuatu cenderahati untuk menghapuskan penat lelah kita berkunjung ke tempatnya. Biasalah manusia, kalau dapat yang berharga... senyumnya sampai ke telinga.

Di kalangan wartawan, pemberian cenderahati selepas sidang akhbar atau temubual khas sudah menjadi perkara biasa... selalunya alat tulis, baju T, diari, mug dan apa saja. Sekarang ini bukan di majlis rasmi sahaja dapat cenderahati, bahkan tuan rumah yang kami pergi ambil gambar pun ada yang bagi, siap macam goody bag!

Nak ingat balik apa yang berharga pernah saya terima, hemm.. kalau di majalah tempat saya kerja ni, menjurus kepada barangan rumah. Cermin bertingkap Bali, kabinet mini, bangku U, kusyen hiasan, perhiasan kristal, bingkai gambar, lampu. Dan yang kecil-kecil tu tak terkiralah..

Wednesday, June 24, 2009

Nak promote, tapi malu-malu...







Kelakarlah si Iliyana ni. Nak promosi buku tetapi malu-malu. Orang dah bagi kebenaran untuk buka meja untuk jual bukunya bertajuk Diari Khidmat Negara, tetapi tidak ambil kesempatan mempromote all out pada hari pelatih mendaftar untuk bertolak ke kem. Pelatih datang, daftar dan terus naik bas.

Tengah boring-boring, dia nak angkat meja untuk balik tetapi ditahan pegawai yang bertugas. "Ada berbelas lagi bas belum berlepas. Grup kedua akan mula mendaftar jam 11.00 pagi nanti," katanya. Pegawai itu berjanji akan buat pengumuman untuk tarik perhatian ramai terhadap kegiatan Iliyana di situ.

Sewaktu pendaftaran pelatih PLKN kumpulan kedua, barulah ada yang menyedari mengenai kehadirannya di situ. Tapi masih-masih malu-malu, sehinggalah announcer yang juga junior PLKN Iliyana tolong mewar-warkan mengenai penjualan bukunya. Bahkan announcer to turut membawa buku itu ke hulu ke hilir, untuk menarik perhatian ibu bapa.

Alhamdulillah katanya, barulah ada yang datang membeli. Tetapi junior itu yang berjaya menarik lebih ramai pembeli. Saat hampir bas bertolak, datang satu keluarga yang sangat berminat dengan buku itu. Salah seorang anak (lelaki) akan bertolak ke kem dan dua adik perempuannya turut mengiringi.

Ibu dan bapa calon pelatih itu membeli sebuah buku dan meminta tanda tangan Iliyana. Terharulah kerana bapa calon pelatih itu kelihatan begitu teruja dan kagum dengan usaha Iliyana membukukan pengalamannya. Dia bertanya, berapa lama ambil masa untuk menyiapkan bukukan itu.

"Dua tahun," jawab Iliyana tanpa coverline. Kut ya pun jangan dedahkan itu, nampak sangat tak bersungguh-sungguh.

Yang bertanya menunjukkan lagi rasa kagum dan terharu sambil berkata... "itulah nak tulis dan menghasilkan sebuah buku ambil masa begitu lama... bukan senang, tetapi usaha penulis tidak sangat dihargai oleh masyarakat kita..."

Iliyana mengangguk.

Saat berkemas untuk pulang, junior announcer tu datang membawa pesanan pegawai bertugas hari itu, bahawa bosnya iaitu Komandan salah sebuah kem PLKN, meminta sebuah buku dengan tanda tangan penulis.

Lagi sekali Iilyana menurunkan tanda tangannya. Ternyata dia masih kekok untuk menjadi `penulis selebriti' (huk, huk, huk).

Seorang lagi pelanggan, dipercayai seorang pegawai kerajaan datang, dan berkata... "eh ada buku... ditatapnya kulit buku, lalu terus diambil satu dan bayar. Kemudian dia terpadang pada satu poster yang Iliyana buat untuk promosi buku itu, "ini tak jual...?" dia bukanlah orang pertama yang berminat kepada poster itu.

Dah ada orang berminat, Iliyana mengambil keputusan untuk menjual... Lagi pun poster itu terdapat nombor contactnya untuk kemudahan sesiapa menghubungi jika berminat membeli.

"RM10," jawab Iliyana. Pegawai itu langsung tak terkejut, lalu dicapainya poster itu dan terus membayar RM10.

Sunday, June 21, 2009

Belajar Rahsia Tulis Novel Dalam Masa 2 Minggu.

Hari ini terpanggil untuk menyertai kursus penulisan novel, kelolaan penulis novel prolifik, Kusyi Hirdan. Beliau yang juga bekas rakan sepejabat saya dengan humblenya mendedahkan teknik penulisan novel cara Kusyi Hirdan. Kursus sehari itu disertai lima orang, termasuk dua editor perolehan dari syarikat penerbitan terkemuka, PTS.
"Saya tak tahu cara orang lain, tetapi yang akan saya terangkan ini adalah cara saya. Lain orang, lain caranya... saya kalau tulis novel, mesti ikut jadual," katanya yang begitu mementingkan disiplin dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang penulis.
"Kalau kita nak jadi penulis novel, kita kenalah bermula dengan menulis. Kalau asyik sebut di mulut saja nak tulis novel tetapi tidak memulakannya, sampai bila-bila pun novel yang kita angan-angankan tu tak akan menjadi." Begitulah lebih kurang kata-kata Kusyi sewaktu memulakan kuliahnya. Kusyi mengakui di peringkat awal dulu, beliau mengikuti banyak kursus penulisan novel.
"Kalau kita belum menulis novel dan tidak tahu bagaimana caranya, kenalah belajar... ikutilah seberapa banyak kursus, lebih banyak lebih baik," katanya sambil memberitahu beliau pernah mengikut kursus yang dihadiri oleh penulis yang hebat-hebat.
"Mereka yang hebat itu pun masih lagi menyertai kursus, apatah lagi kita yang baru nak belajar," katanya. Banyak tips yang diberi, paling menarik tips untuk menyelesaikan penulisan novel dalam masa hanya dua minggu!
Walaupun Kusyi jauh lebih muda, tetapi saya tidak pula berasa janggal untuk menimba ilmu daripadanya, apatah lagi sudah banyak judul bukunya diterima dan dibeli oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Thursday, June 18, 2009

Seorang lagi akan pergi...

Hemmm.... tidak tahu mahu bersedih atau gembira. Mungkin kedua-duanya. Yang nyata, berita terbaru pada petang tadi membuatkan kami masing-masing teruja. Seorang lagi bakal pergi. Bukanlah pergi buat selamanya dari dunia yang fana ini, sebaliknya akan pergi meninggalkan kami di pejabat mengikut arah haluan lain.

Baru masuk, dah nak pergi...tetapi sudah agak pun, dia tidak akan lama di sini. Sesudah diketahui perkara hakiki, dia pun berusaha mencari haluan lain yang lebih menjamin masa depannya. Syukurlah pekerjaan barunya nanti jauh lebih bermakna. Bakal berbakti kepada anak nusa dan bangsa.

"Perlukah saya pergi?" soalnya walaupun dalam hatinya teruja bakal mendapat pekerjaan baru yang bukan menjadi cita-citanya.

"Kalau nak menyesal seumur hidup, tak payahlah pergi," kata saya.

"Saya tanya kakak saya, dia pun kata begitu," jawab rakan sepejabat itu.

Walaupun sebelum masuk, amat menyanjungi dan mengidamkan kerja ini, tetapi selepas berada di sini dan mengetahui indah khabar daripada rupa, dia terpaksa jua angkat kaki.

"Tetapi saya memang dah jatuh cinta dengan kerja ini, bagaimanapun saya tak nak menyesal seumur hidup, peluang hanya datang sekali," katanya.

`Tahu pun,' bisik hati saya.

"Satu saja yang saya bangga sangat..."

||"Apa dia?"

|"... saya dapat tak pakai kabel pun... dan saya bukan berhenti untuk kerja di tempat lain, sebaliknya akan pergi sambung belajar..." balasnya.

Saya diam. Teringat kebodohan sendiri 25 tahun lalu - pernah menolak tawaran seperti itu, juga kerana sudah jatuh cinta dengan pekerjaan yang tidak pernah menjadi cita-cita saya.

Semasa bersekolah dahulu, saya tidak terlintas pun ingin menjadi wartawan... Tetapi melekat pula sampai 25 tahun! Tapi satu yang pasti, kalau diserahkan tugas itu (guru) kepada saya di saat ini, saya tidak akan dapat melakukannya. Bagi saya tugas itu sangat berat tanggungjawabnya. Selepas membanding-bandingkan dan mencuba pekerjaan itu secara tidak rasmi, ternyatalah kerja saya sekarang jauh lebih mudah.

Kenangan bersama mak (mentua) di Mekah

Sepuluh tahun lalu, mak yang mengidap penyakit tiga serangkai pun sudah tidak berdaya. Hidupnya bergantung kepada ubatan-ubatan doktor. Ke mana sahaja, satu beg plastik besar ubat di bawa. Di rumahnya dalam laci plastik bertingkat, penuh dengan ubatan-ubatannya. Ubat sakit jantung, sakit darah tinggi, kencing manis, sakit pinggang, sakit urat, tahan muntah dan macam-macam.

Saat kami ingin pergi umrah kira-kira 10 tahun lalu, arwah mak ingin ikut serta. Biasalah dia mengeluarkan duit sendiri untuk tambang. Hairannya, sampai di Tanah Suci Mekah, arwah cukup bertenaga. Larat tawaf dan saie mengikut syarat. Tidak merungut sakit lutut, tidak bersungut letih atau penat seperti di rumah sebelumnya.

Dengan adanya mak yang kurang berdaya seperti orang muda, pergerakan saya dan suami terhad. Kami tidak boleh pergi merewang ke sana sini atau berlama-lama `window shopping' hatta memilih barangan. Selesai yang fardu, terus mengikut mak balik ke bilik hotel. Dia ingin segera berehat.

Satu hari, teringin benar saya melihat-lihat barangan jualan dalam perjalanan pulang ke hotel. Saya memberi isyarat tangan menyuruh suami membawa mak pulang ke hotel dahulu. Saya mahu berseorangan menengok barangan, memberi tumpuan memilih atau sekadar melihat-lihat. Selepas memberi isyarat kepada mereka supaya pulang dahulu, saya berpaling semula ke arah barangan yang sedang dipilih.

Mengikut gerak hati, saya berpaling semula ke belakang. Saya dapati arwah mak masih tercegat lagi di sebelah sana, memandang tepat ke arah saya. Rupanya dia dan suami saya tidak pun beredar dari situ. Bagai faham, saya terus meluru ke tempat mereka dan berkata, "Kenapa tak pergi, tinggallah orang di sini nak tengok barang-barang."

Fahamlah saya, walaupun di tanah suci Mekah, arwah mak tidak harap/tidak yakin meninggalkan saya berseorangan. Teringat pula kisah, ada wanita Malaysia yang hilang di tanah suci Mekah, disyaki diculik atau dibawa lari Pak Arab. Mungkin itu yang dibimbangkan mak. Saya lagi saya tak ikut pulang, arwah tidak akan balik ke bilik.

Dipendekkan cerita, saya pun mengikut mereka pulang ke bilik hotel. Nak meninggalkan mak berseorangan di dalam bilik semata-mata ingin pergi membeli-belah bersama suami, tidak sampai hati pula. Jadi tidak dapatlah kami merayau ke serata tempat, melainkan beribadat melaksanakan umrah setiap hari sepanjang dua minggu di Mekah dan Madinah.

Bagaimanapun dapatlah juga membeli serba sedikit barang di sekitar hotel dan masjid untuk dibawa pulang.