Thursday, June 18, 2009

Pergimu Tak Kembali Lagi

Seorang ibu dan nenek yang bersemangat waja. Akhirnya menitiskan air mata apabila meninggalkan pesanan supaya anak-anak tidak bergaduh apabila dia tiada. Seperti tahu yang hayat sudah hampir sampai ke penghujung. Sudah lama arwah mengatur, bahagian anak-anaknya. Yang berada di senarai teratas disayangi, mendapat tanah pusaka tapak rumah di kampung di Kelantan. Dapatlah mereka membina banglo, setelah rumah kayu yang penuh nolstalgia dirobohkan.

"Mu semua janganlah bergaduh atau berdengki, yang tak dapat bahagian tapak rumah ini mak tinggalkan tanah yang di sana....." kata arwah sebelum meninggalkan kami. Baru saya tahu tanah yang di sana tu, lokasinya agak baik juga.

Hasmah, ibu mertuaku yang ku panggil mak - sangat prihatin terhadap nasib dan masa depannya dan anak-anak. Walaupun dia mempunyai lapan anak yang sesetengahnya berjawatan penting, tetapi dia menyimpan duit sendiri untuk kegunaan di hari kematiannya. Malah saya diberitahu, arwah mak sempat mengamanatkan beribu-ribu ringgit kepada dua anaknya untuk diguna pada hari kematiannya. Patutlah semua nampak relaks. Ternyata mak tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. Anak-anak pun senang tidak bergaduh sesama sendiri, siapa keluar banyak atau siapa keluar sikit untuk urusan pengkebumian dan kenduri arwah.

Tidak mahu menyusahkan anak-anak lain, arwah mak mendirikan banglo untuk anak bungsunya, satu-satunya anak yang tidak bekerja. Arwah juga berusaha mencarikan jodoh untuknya (adik bungsu). Selepas anak terakhir itu berkahwin, dia berasakan tugasnya dah selesai. Sebelum pergi, dia sempat mengumumkan, "rumah ini, mak serahkan kepada adik bungsu kamu semua."

Ada beranggapan, selama ini mak bertahan - melawan penyakit tiga serangkainya kerana anak bongsunya itu. Selagi dia tidak berkahwin, arwah menganggap tugasnya belum selesai. Selepas adik mendapat jodoh, arwah benar-benar lega. Selepas itu arwah tidak ada upaya lagi untuk melawan penyakitnya. Koma sehari sahaja, lepas tu tiada.

Saya dan suami akur, bukan tergolong dalam senarai teratas kesayangan mak. Mengapa? Itu tidak payah dipersoalkan. Yang pasti saya memang ingat jasa mak. Mak menjaga dan memberi makan dua anak saya (Irfan Izzat dan Iliyana) yang tinggal bersamanya sewaktu mereka di darjah enam. (Masuk saja darjah enam, kami selalunya menghantar anak bersekolah di Pulai Chondong yang tersohor melahirkan ramai lulusan 5A dalam UPSR). Sewaktu itulah badan mereka naik mengembang, tambahan emak saudara mereka Che Ti juga rajin memasak.

Arwah mak seorang keras hati. Apabila anak bercakap kasar dengannya kerana tidak sependapat mengenai sesuatu perkara, dia telan sahaja. Namun pendapatnya tetap dipertahan. Apa yang dipertahankan itu sebenarnya untuk anak-anaknya juga. Apa lagi kalau tidak fasal tanah. Bagi arwah, tanah yang ada pantang dijual. Mahunya tanah itu disimpan sampai bila-bila. Biasalah anak-anak memikirkan yang lain. Ada yang tidak mahu menetap di kampung. Ada yang memilih untuk tinggal di kampung isteri. Mungkin juga di Kuala Lumpur. Kelantan tu terlalu jauh, ada di antara anak dan cucunya pula sudah biasa hidup di KL.

Walaupun diri ini menantu agak rapat dengan arwah mak, tahu ada benda mak tak suka. Selalunya fasal layanan terhadap anaknyalah (suami). Baginya saya tidak melayan suami seperti mana dia melayan suaminya (sudah lama arwah). Makan minum, ikut waktu. Siap berhidang sepanjang masa.

Orang kerja, macam manalah nak buat sempurna mak. Balik dari kerja sama-sama dah jam 7 - 7.30 malam, kadang 8 dan kadang-kadang 9 malam. Sampai rumah dah letih. Mana sempat masak... nasi bungkus atau ke kedai Tom Yamlah jawabnya. Dah biasa begitu...Tapi mak tak faham. Bila di rumah arwah mak di kampung, selalu dijeling-jeling kalau saya lewat atau buat-buat lupa masak, sampai kena diingatkan selalu.

Hemm... terkilan jugalah, tahun ni jarang balik ke kampung, Gara-gara Irfan Kamil anak bungsu sibuk tuition sabtu ahad. Kamil satu-satunya anak yang mengambil UPSR di sekolah di Selangor. Tak sempat tengok arwah sewaktu tenat. Tahu-tahu, terima panggilan daripada suami di Kelantan, "mak dah tak ada". Terus terduduk. Berair mata saya. Apabila diberitahu, anak bungsu, Irfan Kamil tidak percaya.

"Tipu, Tipu, Tipu" kata Kamil. Sebentar kemudian dia memberontak mahu pulang ke kampung, "nak tengok mak, nak tengok mak"katanya. Tidak peduli lagi fasal dia akan menghadapi peperiksaan hafazan untuk PSR sebenar esoknya. Saya serba-salah.

Abangnya pun sama. "Izzat nak tengok mak, jomlah balik." Berkali-kali dia mengajak. Sanggup hendak memandu malam-malam tu sedangkan Izzat masih tak sihat, deman dah berhari-hari, belum sembuh betul.

"Pergi ketuk pintu rumah Uztaz, minta ditangguhkan hari peperiksaan hafazan Kamil, sms dan telefon dia tak berjawab," saya memberitahu Izzat. Nasib baik dibenarkan. Dapatlah juga pula menghadiri pengkebumian itu.

Apa-apa pun, kenangan terakhir ialah dapat meriba jenazah mak ketika dimandikan. Walaupun gentar sebab tak biasa, tetapi dapat juga menahan duduk sehingga tugas itu selesai.

Wednesday, June 10, 2009

Tempat jatuh lagi dikenang

Cuti hari ini, ambil peluang kunjungi Berita Harian, tempat kerja lama.
Sampai di pintu pagar, `nak kena ambil pas ke tak'. Kebetulan guard yang berkawal hari itu, orang lama. Dia masih cam saya, dan saya masih cam dia- tetapi tidak tahu nama. Selepas bertanya khabar... pak cik guard itu menyuruh saya masuk tanpa mengambil pas. Seronok jugalah, terasa masih dikenang sebagai bekas kakitangan di situ.

Tujuan ke BH pada hari itu, untuk berjumpa dengan bos besar yang juga bekas rakan sekuliah di UiTM (dulu ITM), Datuk Manja Ismail tetapi rupanya dia cuti. Cari seorang lagi bos, Mustaffa Omar juga tak ada. Saja pergi tak buat temu janji. Suasana pejabat sudah jauh berubah. Luaran dan dalaman berseri. Ada warna. Tidak macam dulu, putih di mana-mana. Ikut peredaran dunia hiasan dalaman, guna unsur warna untuk menceriakan suasana kerja.

Kalau tidak dibawa oleh seorang staff baru di situ, saya mungkin tak jumpa mencari pejabat BH sekarang. Maklumlah dah 10 tahun tinggalkan pejabat itu. Dulu kaunter penyambut tetamu hanya di aras bawah. Kini ada di setiap tingkat. Sampai di Editorial BH, tertinjau-tinjau mencari staff yang masih dikenali. Nasib baiklah ada Sal, Ketua Unit Sastera, juga bekas rakan sekuliah. Walaupun busy, Sal sempat melayan berbual, kemudian datang pula Intan dan beberapa staff lagi. Sebentar kemudian muncul pula Beni, bekas rakan sekerja di Anjung Seri. Berseri-seri muka Beni. Seronoklah di situ kut. Sikit-sikit ada juga rasa rindu dengan tempat kerja lama tu. Tapi apa nak buat, rasa lebih selesa bekerja dengan majalah.

Lunch time. Intan dan saya beredar ke kantin. Saja saya nak berlama-lama sikit di situ. Suasana kantin juga jauh berbeza daripada dulu. Dinding konkrit bertukar kaca lut sinar. Ada tempat makan di dalam dan di luar. Selama ini hanya menjenguk dari luar sewaktu berjalan menuju ke Koperasi NST. Bila lalu, cepat-cepat melangkah tidak mahu terserempak dengan sesiapa yang dikenali.

Sambil makan, bertukar-tukar perkembangan tempat kerja masing-masing. Semakin lanjut usia, semangat untuk bekerja tentu tidak sama seperti muda-muda dulu. Dalam kepala asyik nak berhenti, mahu buat kerja sendiri, SOHO (small office home office). Kerja secara santai, alangkah bestnya!

"Memanglah saya pun kalau, boleh macam tu juga, tetapi tak boleh ada komitment," kata Intan, news editor.

"Komitment apa?" tanya saya. Setahu saya, dia tidak ada tanggungan.

"Rumah, kereta..." jawabnya.

"Hemm... yalah, saya pun begitu juga... saya anak-anak masih belajar, tunggu mereka kahwin.."

"Mengapa nak berhenti sangat?" tanya Intan.

"Tempat kerja saya... dari segi kerja, memanglah best. Tapi.... dah jemu kut."

"Kata dulu buat bisnes pengantin?" Soal Intan lagi.

"Memang... tetapi sekarang dah berhenti...badan tak larat! Nantilah, kalau berhenti kerja... rasa nak buat balik," jawab saya.

Kemudian datang seorang staff lain datang duduk di meja kami.

Intan semakin rancak berbual. Dulu Intan bukanlah `gu' saya. Saya seriau dengan mulut dia kalau bercakap. Tetapi kali ini kami dapat berbual panjang.

Seronok pula mendengar cerita politik di NST dan BH. Ketika itu hot dengan kisah peralihan tampuk pimpinan ekoran perlantikan Perdana Menteri baru. Datuk Ahmad Talib diumum menjadi orang penting Media Prima. Terkenang pengalaman bersama beliau mengikut rombongan Sukarelawan Yayasan Salam ke Kemboja. Saya suka dengan personalitinya yang bersahaja, tidak nampak garang, ego atau meninggi diri. Khabarnya dia sedang giat mengumpul maklumat untuk memantapkan lagi pengurusan Kumpulan Media Prima. Dan khabarnya NST dan BH akan berada di bawah Media Prima...

Kembali mencelah fasal saya bosan kerja.

"Nak datang sini balikkah?" tanya Intan.

"Ingat nak jadi sub di sini... " saya bergurau, "tetapi sebenarnya saya cari kerja yang gajinya boleh tahan tetapi kerjanya ringan... kerja main-main, siapa yang nak bagi kerja macam tu?" saya menambah.

"Heeiih kerja di sini... jangan haraplah. Waktu kerja saya dari jam 9 pagi sampai 9 malam," kata Intan.

Memanglah, dari dulu lagi saya sudah tahu...bekerja di akhbar, lagi tinggi jawatan, lagi lama waktu bekerja dan lagi berat bebanan tugas. Saya bukan orang macam tu. Lebih baik jadi staff bawah - wartawan -, paling tinggi balik jam 7.30 petang. Kerja dengan majalah, lagi untung. Waktu datang dan pulang tidaklah diambil kira sangat, asalkan kerja siap mengikut dateline.






"

Monday, June 1, 2009

lawatan ke kilang ici


Bersama Ain@ Cik Senah (kiri) - staff bahagian grafik Anjung Seri, di depan pintu masuk ibu pejabat ICI Dulux, di Nilai.
Sedia nak masuk kilang membuat cat ICI Dulux. Kena pakai kasut tebal, jaket dan topi keselamatan.

1 Jun 2009

Bersama rombongan pembaca Anjung Seri melawat kilang ICI Dulux di Nilai. Sehari suntuk. Penat juga. Pagi mendengar ceramah mengenai panduan mengecat diikuti ceramah mengenai warna dalam bidang hiasan dalaman oleh Eric Leong. Acara kemuncak ialah melawat kilang memperoses cat dan bilik rundingan warna ICI.

Bagi mereka yang pertama kali mendengar ceramah Eric tentulah seronok dan teruja. Tapi bagi staff Anjung Seri yang sudah beberapa kali mengikuti kegiatan Kembara Hias Bersama Eric, ceramah itu seperti satu sesi ulangan. Tapi jangan terkejut ada peserta sudah berkali-kali menyertai program anjuran Anjung Seri, dan mereka juga mungkin sudah hafal dengan kandungan ceramah Eric. Apa yang pasti, walaupun beberapa kali mendengar, mereka tidak jemu-jemu melihat telatah lucu Eric.

Pengalaman masuk kilang adalah sesuatu yang menarik walaupun rimas terpaksa pakai topi, jaket dan kaca mata keselamatan. Lebih rimas lagi memakai kasut tebal yang agak berat. Semua pelawat perlu memakai pakaian keselamatan sewaktu hendak masuk ke kawasan kilang cat. tidak ada saiz yan sesuai untuk kaki saya yang kecil, maka terpaksalah guna kasut longgar. Apabila berjalan macam nak tercabut.

Disebabkan kasut longgar, agak sukarlah nak berjalan dan naik turun tangga. Tetapi terpaksa juga menapak dalam keadaan tidak selesa. Lawatan bermula di tempat membancuh bahan cat, diikut tempat pembancuhan warna, bilik kawalan warna dan mutu serta terakhir tempat proses memasukkan cat yang siap diproses ke dalam tin. Keadaan di dalam kilang bising dan panas. Bising dan panas dengan bunyi jentera mesin. Sayangnya peserta tidak dibenark membawa telefon bimbit mahupun kamera di dalam kawasan kilang cat.

Lebih meriah lagi apaibila peserta turut membawa anak masing-masing. Sewaktu ibu bapa mereka melawat kawasan kilang dan mendengar ceramah, kanak-kanak berkumpul di tempat lain untuk mengikuti kegiatan pertandingan mewarna. Tiga peserta yang mewarna cantik, diberikan hadiah.

Friday, May 29, 2009

Alahai.... kena lagi....

29 Mei 2009

Masih terngiang-ngiang lagi arahan B.
"from now on, i want you to lead the discussion about what we want to write! macam biasalah, prepare topic sebelum masuk meeting sebenar."
B nak saya senaraikan cadangan topik atas kertas. Menyesal! Sewaktu assist ganti ketika yang seorang tu bercuti panjang, saya senaraikan topik elok-elok atas kertas untuk dibincang. Sedangkan sebelumnya, sewaktu dia lead, bertahun-tahun meeting tanpa cadangan di atas kertas. Tak ada hal pun. B dah lupa lah pula. Semasa saya saja... saya type atas kertas untuk memudahkan discussion. B sukalah pula begitu. Yalah. Tak membazir masa, terfikir-fikir topik masa meeting. Semua pun senang.

Bila orang yang sepatutnya lead the team balik dari cuti, saya pun taklah pula sediakan topik atas kertas. Sebagai bakal editor, dialah patutnya buat, fikir saya. Saya cuma penolong pengarang yang akan kekal sebagai penolong pengarang sampai pencen! Tapi, banggalah pula bila B suruh saya lead the discussion, walaupun dalam hati bengang! "I want you to chair the meeting (discussion)', arah B. Penting juga saya si kambing hitam ni!

Sebenarnya tugas menyediakan cadangan topik tu taklah sesusah mana pun. Tak payah meeting, discuss sikit-sikit lepas tu taip elok-elok, kemudian print dan bawa masuk meeting. Itu saja. Bila masuk meeting, barulah B senang hati dan bincang.

Apa pun terkujatlah pula, apabila B angkat punggung keluar daripada meeting secara tiba-tiba, meninggalkan kami terpinga-pinga (belum sampai 10 minit meeting). Sedangkan sebelum ni ambil masa, berjam-jam berbincang...

Saturday, May 23, 2009

Rezeki yang ditunggu-tunggu, hampir dapat.

Irfan Izzat - diberi tugas memasarkan buku adiknya.

23 Mei 2009

Tepat pada masanya. Selesai urusan percetakan buku Iliyana, dia mendapat e mel daripada pegawai di ASWARA...

"LO dah siap..
harap Ilyana dapat dtg jumpa saya dan ambil LOnya yea?!
tqvmuch!
'bukunya dah siap?..
kalau dah siap, blh saya dptkan beberapa naskhah utk simpanan library aswara
dan rujukan bahagian saya?...sudah siap. Iliyana tolong datang jumpa saya."

Begitulah pesanan pegawai itu. Sekali gus, menjadi bukti ASWARA tidak hanya bersetuju di mulut.

AKHIRNYA.... sudah di hadapan mata.

23 mac 2009

Semalam hari yang sungguh bermakna bagi Iliyana. Buku Diari Khidmat Negara (DKN) tulisannya akhirnya berjaya diterbitkan. Nasib baik majlis pelancaran oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang dijadualkan hari ini ditunda pada satu tarikh yang akan diberitahu.

Mula isteri Timbalan Menteri Pertahanan dijadual melancarkannya hari ini di Kem PLKN Rimber Templer. Tetapi kemudian ditukar kepada sama ada Timbalan Menteri sendiri atau pun Menteri. Tunggu sajalah berita daripada pihak JLKN.

Sewaktu pelancaran dijadualkan hari ini, saya cemas benar. Ketika diberitahu mengenai tarikh berkenaan, buku belum dicetak. Sempat atau tidak? Hari itu juga saya suruh Iliyana bertindak. Syukurlah, 3,000 unit buku itu dapat dicetak dalam masa kira-kira seminggu. Menjelang petang semalam, buku sampai. Bertambun dah di rumah.

Iliyana. Iliyana. Gembira sangatlah tu. Memanglah, saya pun tumpang gembira bercampur jealous sikit. Apa tidaknya, baru sekali hasilkan buku, muka dia terpampang pada cover. Sebenarnya dia tak nak pun tayang muka, malulah konon! Kalau saya pun malu juga. Memang, emak dengan anak sama saja. Tak suka tonjolkan diri. Tak suka glamour.

Namun satu yang saya pelajari selama 25 tahun berkerjaya, kalau kita asyik nak low profile, sampai bila pun kita takkan ke mana. Jadi saya tanamkanlah keyakinan pada diri Iliyana. Lay out cover tu sesuai dengan tajuk buku. Terima kasihlah kepada pihak grafik yang membantunya mencantikkan cover buku DKN.

Saya rasa, rakan sekuliah dan pensyarah Iliyana pun tentu bangga dengan usahanya. Ke mana-mana pun dia akan membawa nama ASWARA, tempat dia mengasah ilmu penulisan. Sebagai ibu, saya tidak lupa pada sokongan ASWARA yang bersetuju menyumbangkan sedikit wang.. walaupun duitnya belum dapat lagi.

Idea memohon bantuan dari Aswara timbul secara spontan, di peringkat akhir pembikinan buku itu. Kami teringat ucapan Rektor sewaktu majlis pendaftaran, yang mengatakan "kita akan sedaya upaya bantu pelajar dalam mengusahakan apa jua projek, hatta mendapatkan pekerjaan untuk lulusannya.

"Aswara bukan mementingkan kuantiti sebaliknya mementingkan mutu pelajar. Aswara ingin melahirkan pelajar bermutu yang dapat memberi sumbangan kepada negara, sama ada di bidang ilmu pengetahuan, industri seni, budaya dan warisan," kata Rektor di majlis pendaftaran pelajar dua tahun lalu.